BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, May 20, 2008

Bencana petanda rintihan alam

Belum reda dengan krisis kekurangan bekalan makanan yang turut diakibatkan oleh perubahan iklim global, dunia terus cemas apabila satu demi satu bencana meletus sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa.


FUTALEUFU Chile: Gunung Chaiten memuntahkan laharnya sehingga menyebabkan ribuan penduduk kawasan itu melarikan diri.


SATU demi satu bencana mencemari alam dan paling teruk, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa. Tanpa amaran, ia memusnahkan segalanya dalam sekelip mata.

Namun, beginilah keadaannya apabila bumi 'mengamuk'.


SICHUAN, China: Gegaran sekuat 7.8 skala ritcher menyebabkan banyak mangsa maut di bawah timbunan runtuhan bangunan.


Bermula dengan kes letusan gunung berapi di Chile pada 2 Mei lalu, penduduk-penduduk di bahagian selatan negara itu lari bertempiaran meninggalkan rumah dan haiwan peliharaan sebaik saja Gunung Chaiten memuntahkan laharnya.

Di bandar Futaleufu, asap tebal dan abu hitam menutupi kebanyakan kawasan.

Hanya 400 daripada 1,500 penduduk di kawasan itu dibenarkan tinggal di rumah masing-masing meskipun bekalan air sudah terputus.

Sesetengah pakar ekologi berpendapat, bencana ini meninggalkan kesan perubahan yang ketara ke atas alam semula jadi seperti hutan pokok sipres dan pain di samping spesies rusa yang jarang ditemui.


LABUTTA, Myanmar: Mangsa taufan Nargis merenung masa depan kehidupan mereka yang kini semakin sukar.


Chile merupakan 'rumah' kepada 2,000 gunung berapi, di mana 500 daripadanya masih aktif dan hampir 60 gunung berapi ini telah meletus sejak 450 tahun yang lalu. Chaiten buat pertama kali meletus dalam tempoh beribu tahun.

Di Myanmar, hampir 30,000 nyawa hilang sebaik Siklon Nargis melanda pada hari yang sama dengan kekuatan tiupan angin selaju 120 batu sejam dan ribut taufan.

Secara rasminya 33,000 penduduk dipercayai maut dengan lebih 50,000 masing hilang meskipun seorang jurucakap dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Horsey percaya besar kemungkinan angka itu lebih tinggi, iaitu boleh mencapai sehingga 100,000 orang.

Dalam situasi genting sebegini, lebih daripada dua juta penduduk memerlukan bantuan segera dari segi makanan, minuman dan pakaian tetapi usaha untuk mencapai ke kawasan-kawasan luar bandar memang sukar.

Di kawasan yang paling teruk ditimpa malapetaka, Delta Irrawaddy, penduduknya hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan beratus-ratus orang mendapatkan teduhan di dalam biara.


LABUTTA, Myanmar: Adakah pukulan Nargis akibat kemurkaan alam kerana pemanasan global yang semakin membimbangkan?


Selebihnya mereka cuba mendirikan khemah di luar tanpa bekalan air bersih kerana telah dicemari najis dan mayat yang bergelimpangan.

Amerika Syarikat (AS) turut tidak terkecuali apabila ribut petir dan puting beliung melanda di bahagian tengah negara itu pada 10 Mei lalu.

Pengurus Agensi Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Michelann Ooten, memberi amaran bahawa angka kematian mungkin meningkat lebih tinggi.

Beliau berkata, sebuah kawasan kediaman yang mempunyai 20 blok bangunan di Oklahoma mengalami kerosakan besar akibat bencana tersebut.

Sementara itu, pada awal minggu ini, satu gempa bumi yang kuat menggegarkan bumi China, berdekatan dengan bandar Sichuan. Bermagnitud 7.8 pada skala Richter, ia menyebabkan kematian kira-kira 10,000 orang penduduk dan ramai lagi yang masih terperangkap di bawah ranapan bangunan konkrit.


OKLAHOMA, AS: Tidak terlepas daripada amukan alam, AS antara negara yang paling kerap menerima pukulan ribut taufan.


Gempa bumi ini dilaporkan yang terburuk dalam tempoh tiga dekad. Di bandar Juyuan, sebuah bangunan sekolah bertingkat tiga runtuh lalu memerangkap 900 pelajar hidup-hidup dan 50 lagi terbunuh. Seramai 1,000 lagi pelajar dan guru dipercayai tertanam atau terbunuh di sekolah menengah yang runtuh di Beichuan.

Selain di wilayah Sichuan, angka korban juga tinggi di Gansu, Yunnan dan juga Chongqing yang berjiran dengan Sichuan, lapor akhbar harian Xinhua.

Pusat gegaran tertumpu di daerah Wenchuan di Sichuan dan kekuatannya menyebabkan bangunan-bangunan tinggi di seluruh China bergoyang.

Gempa bumi itu yang berlaku pada pukul 2.28 petang (waktu tempatan), dirasai selama beberapa minit di Bangkok, Thailand, yang jaraknya kira-kira 3,300 kilometer ke barat daya China. Bangunan di ibu negara Vietnam, Hanoi, juga dilaporkan bergegar.


SICHUAN, China: Seorang lelaki menangis selepas ahli keluarganya menjadi korban gempa.


Kurang tiga bulan Beijing akan menjadi tuan rumah kepada sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik. Namun, ramai yang mempersoalkan adakah China mampu menganjurkan di sebalik pelbagai bencana yang menimpa. - SUBASHINI RAJANDRA

0 comments: