BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 2, 2009

Isu-isu Alam Sekitar

Pembangunan Ekonomi Yang Berterusan

Kesan Pembangunan Tanah Ke atas Alam Sekitar

Pertanian

Penukaran tanah dari hutan kepada pertanian telah mengakibatkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain daripada mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia

Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan semula air bawah tanah dan menyebabkan lebih banyak banjir di kawasan tanah rendah.

Pembangunan pertanian menyokong US$30 bilion nilai jualan racun makhluk perosak setiap tahun diseluruh dunia. Kira-kira 40% daripada jumlah ini dibelanjakan di negara membangun untuk sebatian toksik seperti DDT, orgonofosfat dan organoklorin.

Menurut Repetto dan Baliga (1996), Malaysia merupakan salah sebuah negara yang paling banyak menggunakan racun makhluk perosak yang paling intensif di Asia. Jumlah racun makhluk perosak yang digunakan bagi setiap hekter tanaman untuk tahun 1992 dilaporkan 9.2 kilogram/hektar iaitu hampir sepuluh kali ganda jumlah yang digunakan di Thailand untuk tempoh yang sama.

Selain menimbulkan masalah pencemaran air akibat penggunaan secara intensif ini, rakyat Malaysia yang menggunakan penyembor serta operator mesin penyembur racun makhluk perosak akan menghadapi risiko akibat pendedahan terutamanya melalui kulit, apabila menggunakan peralatan yang tidak sempurna untuk mencampurkan atau menyembur racun makhluk perosak.

Perlombongan

Kekayaan ekonomi boleh dicapai dari pembangunan industri perlombongan dengan mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar, tidak lebih daripada bentuk pembangunan lain. Kebanyakan operasi perlombongan menjalankan penilaian kesan alam sekitar.

Satu dasar berkaitan dengan galian telah pun dirangka untuk mengambil kira faktor alam sekitar melaui penggunaan bon prestasi dan langkah fisikal lain. Bagaimanapun, perlombongan skala kecil dan operasi kuari perlu diperbaiki segera terhadap pengurusan alam sekitar mereka.

Penyelidikan menunjukkan lombong emas skala kecil boleh mengganggu dengan tetap sumber air semula jadi, menyebabkan masalah pemendapan teruk di bahagian hilir operasi dan menyebabkan saliran lombong berasid. Tambahan pula, operasi perlombongan pasir di dataran serta tebusguna tanah dan lain-lain pembangunan di sepanjang pantai meningkatkan ancaman kepada ekologi marin. Terutamanya terumbu karang, hutan bakau dan rumput laut sepanjang pantai yang menjadi sumber perikanan.

Pengembangan kawasan perbandaran dan pembangunan industri secara langsung telah menyebabkan perubahan yang besar kepada ekosistem semula jadi berbanding dengan pembangunan hutan, perlombongan atau pertanian.

Isu alam sekitar berkaitan dengan perbandaran dan pembangunan industri, adalah lebih kompleks dan sering lebih sukar untuk ditangani, Ini termasuklah sisa buangan dan pembetungan, pemuliharan kawasan hijau di dalam perbandaran, maslah haba perbandaran serta pencemaran air dan udara.

Sisa buangan/pembentungan

Perkhidmatan pembentungan dan sisa buangan telah diswastakan di Malaysia untuk memperbaiki pengurusannya. Bagaimanapun, masih terdapat kebimbangan berkaitan dengan kesan alam sekitar daripada kemudahan ini. Di antaranya ialah kemungkinan pencemaran air bawah tanah di kawasan tapak pembuangan sampah lama majlis perbandaran dengan bahagian permukaan yang tidak sesuai serta pencemaran air sungai akibat pembuangan sisa kumbahan daripada penempatan dan kemudahan rawatan kumbahan yang tidak mencukupi.

Ketiadaan dasar untuk mewajibkan kitar semula dan kekurangan insentif untuk menggalakkan penggunaan semula melemahkan usaha majlis perbandaran untuk mengurangkan sisa buangan. Akibatnya beberapa kawasan pembuangan sampah secara terbuka akan meningkat dengan cepat dan risiko pencemaran air dan air bawah tanah mungkn juga akan meningkat.

Pembuangan industri telah menjadikan masalah toksik dan sisa buangan bahaya lebih teruk lagi. Masalah ini dan kesannya yang menjejaskan kesihatan manusia hanya dikenal pasti sejak awal 1990an. Masalah ini termasuklah pencemaran logam berat, nitrogen dan sulfur oksida, hidrokarbon petrolium, bahan partikel, polychlorinated, biphenyls (PCBs), sianida dan arsenik.

Pencemaran tanah dan air bawah tanah akibat pembangunan industri perlu dijelaskan dan diklasifikasikan dengan cara yang lebih sistematik di Malaysia. Dalam usaha untuk mengadakan kawalan sisa bahaya dan toksik yang berkesan, industri seharusnya diwajibkan menyimpan rekod jenis dan jumlah sisa buangan yang dihasilkan oleh mereka serta tarikh dan cara ia dilupuskan. Oleh kerana pembuangan sisa ini menelan belanja yang tinggi, memerlukan kemudahan khas dan kontraktor serta kontraktor kecil mereka seharusnya berhati-hati kerana insentif untuk menipu amat banyak.

Aktiviti lain

Keadaan suhu pada umumnya lebih tinggi di kawasan bandar kerana haba yang dikeluarkan oleh perumahan, pengangkutan dan industri serta termal dari bangunan dan jalan. Suhu pada waktu malam di persimpangan Jalan Ampang-Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur di dapati meningkat kira-kira 4 darjah F antara 1972 dan 1980 akibat peningkatan jumlah lalu-lintas.

Suhu pada waktu malam juga berubah dalam 3-4 darjah juga direkodkan di kawasan perumahan. Kawasan perumahan lama dengan lebih banyak kawasan hijau dan pertumbuhan pokok didapati suhunya lebih sederhana berbanding dengan kawasan perumahan baru. Oleh sebab itu kepupusan kawasan hujau di bandar mestilah dihentikan segera.

Keperluan semasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1970 (Semakan 1995) untuk mengekalkan semua pokok dengan lilitan melebihi 80 cm dalam sebarang perojek pembangunan mungkin boleh menyumbangkan kepada keadaan kecil terhadap pemuliharaan kawasan hijau di bandar dan kawalan terhadap suhu di kawasan bandar.

Pencemaan udara di kawasan bandar merupakan salah satu contoh di Malaysia di mana ia telah melebihi paras kritikal dan dengan itu menjejaskan potensi pembersihan sendiri alam sekitar. Sumber utama pencemaran udara di Lembah Klang ialah kenderaan bermotor yang menyumbangkan kepada partikel karbon (PM-10). Sumber lain termasuklah pembuangan industri dan aktiviti pembinaan (JAS, 1993)

Perbandaran juga mempengaruhi paras jumlah partikel terampai (TSP) dalam udara (JAS, 1993). Selain sumber daripada luar sempadan dalam tempoh tertentu setiap tahun, sumber utama TSP ialah pembakaran secara terbuka daripada pembangunan perumahan dan pertanian. Pencemaran udara di Lembah Klang tidak akan diperbaiki melainkan langkah-langkah kawalan dilaksanakan dengan segera.

Penggunaan Tanah Yang Buruk
Timbulkan Masalah

Kategori undang-undang tanah di Malaysia seperti yang dicatatkan dalam Laporan Klasifikasi Kemampuan Tanah (Lee dan Panton, 1971) termasuk Tanah Kerajaan, Tanah Yang Diberi Milik Untuk Pertanian, Tanah Yang Diluluskan Untuk Perlombongan, Tanah Rizab Melayu, Rizab Untuk Ternakan, Rizab Orang Asli, Rizab Hutan, Rizab Hidupan Liar dan Tanah Diberi Mlik/Diwartakan untuk kemudahan awam dan tujuan lain.

Kategori terakhir itu merujuk kepada tanah untuk pembangunan perbandaran, kubur, polis dan rezab tentera, lapangan terbang dan rizab-rizab lain kerajaan tetapi tidak termasuk rizab tadahan air.

Pembangunan tanah di Malaysia termasuklah pembangunan kawasan baru untuk pertanian, perlombongan dan perhutanan serta penukaran tanah untuk pertumbuhan industri dan perbandaran. Kepelbagaian penggunaan tanah meningkatkan konflik berhubung dengan matlamat pembangunan. Pembangunan yang pesat telah menjadikan tanah satu persaingan di Malaysia. Ia juga telah mengakibatkan amalan penggunaan tanah yang buruk dalam keadaan tertentu.

Amalan penggunaan tanah yang buruk boleh membawa kepada masalah yang serius dan berdepan dengan halangan untuk pembangunan dalam jangka panjang. Masalah yang boleh timbul termasuklah kemusnahan yang kekal atas kemampuan tanah untuk menyediakan faedah alam sekitar dan ekonomi, ketidakcekapan penggunaan sumber semula jadi yang diperolehi serta pengumpulan kesan negatif. Dari segi kawasan, pertanian akan menjadi salah satu bentuk pembangunan tanah yang paling meluas di Malaysia.

Teknik dan amalan pertanian moden, disokong oleh penggunaan mesin dan input sejumlah besar tenaga daripada minyak fosil telah menjadikan pertanian lebih produktif di Malaysia tetapi memberikan kesan kepada alam sekitar. Penukaran tanah daripada hutan kepada pertanian telah mengakibatkan meluasnya penebangan hutan, mengurangkan jumlah hutan dan kepelbagaian bilogi hutan serta hidupan liar.

Selain itu, pembukaan kawasan baru untuk pertanian telah menyebabkan sumber galian semakin berkurangan di kawasan ini. di sebalik fakta bahawa sebahagian besar tanah telah dikurangkan untuk pembangunan pertanian, kebanyakan tanah yang subur tidak digunakan untuk pengeluaran makanan, sebalinya digunakan untuk tujuan lain seperti perumahan, rekreasi dan kawasan perindustrian.

Pengeluaran makanan tempatan

Tambahan pula, perikanan persisir pantai dan pedalaman tidak begitu berjaya dalam persaingan untuk pembangunan tanah yang seterusnya melemahkan pengeluaran makanan tempatan. Usaha untuk menggalakkan pengeluaran makanan dan menggalakkan industri berasaskan makanan perlulah diperkukuhkan dalam usaha untuk menyediakan jaminan makanan untuk negara.

Kos import makanan negara dilaporkan sekitar RM8 bilion setahun dan turut menyumbang kepada defisit akaun semasa negara (NST, 1997). Memandangkan kemelesetan ekonomi semasa dan krisis mata wang, perkara ini perlu ditangani dengan segera.

Oleh kerana jumlah penduduk semakin meningkat di kawasan bandar, pembangunan infrastruktur semakin meningkat ke kawasan yang bermasalah dan kurang sesuai. Kawasan ini sering terdedah kepada kejadian banjir, hakisan sungai, tanah runtuh dan pemendapan, melainkan langkah pengawalan yang sempurna diambil.

Dalam kes tertentu, langkah pengawalan tidak dapat diambil dan cara terbaik untuk keselamatan penduduk ialah kawasan ini tidak dimajukan untuk perumahan tetapi digunakan untuk tujuan lain seperti taman, rezab semula jadi dan kawasan rekreasi.

Pada tahun 1996 terdapat lebih 100 kejadian banjir, 20 kejadian tanah runtuh, lapan kejadian mendapan dan tujuh kes tebing sungai dihakis, yang dilaporkan di Lembah Klang sahaja. Ini menunjukkan betapa perlunya diperkuatkan pengurusan perbandaran bersepadu untuk menjadikan penempatan manusia lebih selamat dan terjamin.

(Petikan artikel-artikel daripada Utusan Pengguna, Mac 1998)


Pencemaran Alam Sekitar
PENCEMARAN

Pembuangan bahan-bahan buangan secara tidak terkawal boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang tidak sesuai kepada kehidupan di persekitaran kita. Bahan-bahan yang tidak sesuai ini dipanggil bahan-bahan pencemar .

Kebanyakan pencemaran yang berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia. Terdapat berbagai jenis pencemaran iaitu:

( a ) Pencemaran udara
( b ) Pencemaran air
( c ) Pencemaran tanah

PENCEMARAN UDARA

Pencemaran udara berlaku bila terdapat bahan-bahan pencemar di udara. Contoh bahan-bahan pencemar ini ialah habuk,
debu, asap, dan gas-gas beracun .
Jadual di bawah menunjukkan punca-punca pencemaran udara dan bahan-bahan pencemar utama yang dihasilkan .

PUNCA-PUNCA PENCEMARAN
BAHAN-BAHAN PENCEMAR
Pembakaran bahan api di kilang
dan dalam enjin kenderaan bermotor
Gas sulfur dioksida, nitojen dioksida,
karbon monoksid dan debu
Pembakaran sampah sarap dan
hutan secara besar-besaran
Gas karbon dioksida dan debu
Penyemburan racun serangga dan
bahan-bahan kimia
Gas dan kimia beracun
Penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) Gas CFC

Kesan Pencemaran Udara

Menjejaskan kesihatan

1 . Apabila kita menarik nafas , udara yang tercemar memasuki badan dan menjejaskan kesihatan kita .
2 . Debu dan gas-gas beracun daripada kilang -kilang , ekzos kenderaan dan penyemburan racun serangga menyebabkan
penyakit jika disedut .
3 . Penyakit ini adalah berkaitan dengan sistem pernafasan dan penyakit mata .

Penyusutan Lapisan Ozon

1 . Lapisan ozon di udara ialah lapisan yang melindungi kita daripada sinaran terik matahari .
2 . Pembebasan gas CFC yang digunakan dalam alat-alat menyembur , alat penyaman udara dalam peti sejuk menipiskan
lapisan ozon .
3 . Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi .
4 . Pendedahan kepada sinaran matahari yang banyak boleh mengakibatkan penyakit kanser kulit .

Pembetukan Hujan Asid

1 . Gas-gas sulfur diosida dan nitrogen dioksida bergabung dengan air hujan dan membentuk hujan asid .
2 . Hujan asid boleh membunuh tumbuh-tumbuhan dan ikan-ikan .
3 . Ia juga menghakis pakaian , kertas dan bahan binaan bangunan .

Kenaikan Suhu Di Bumi

1 . Gas karbon dioksida yang terlalu banyak dalam udara akan memerangkap haba .
2 . Jadi suhu di bumi menigkat dan persekitaran kita menjadi panas .
3 . Ini akan menyebabkan banjir akibat pencairan ais di kutub-kutub bumi dan kemarau di beberapa tempat di dunia .

PENCEMARAN AIR

1 . Punca bekalan air datang dari sungai , laut , kolam dan tasik .
2 . Air boleh dicemari melalui
( a ) pembuangan bahan-bahan sisa kilang
( b ) tumpahan minyak dari kapal laut
( c ) pembuangan sampah-sarap dan najis
( d ) hakisan tanah akibat pembalakan dan pembinaan berleluasa .

Kesan Pencemaran Air

Menjejaskan Kesihatan

1 . Sisa-sisakilang yang dibuang ke dalam sungai meracuni air sungai .
2 . Ini membahayakan kesihatan kita jika air tersebut diminum atau digunakan untuk mandi .
3 . Sampah-sarap dan najis yang dibuang ke dalam sungai pula mengalakkan pertumbuhan bakteria yang menyebabkan
penyakit .

Pembunuh Hidupan Air

1 . Minyak yang tertumpah ke laut menghalang kemasukan udara ke dalam air laut .
2 . Jadi tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang hidup dalam laut tidak dapat bernafas dan akan mati .
3 . Air sungai yang mengandungi sisa-sisa kilang juga meracuni hidupan air .
4 . Sampah-sarap yang terkumpul dan lumpur yang termendap dalam air akibat hakisan tanah menghalang kemasukan
sinaran matahari kedalam air .
5 . Ini menjejaskan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan air .

Memburukkan Keindahan Alam

1 . Pantai-pantai yang dipenuhi dengan sampah-sarap tidak indah dipandang .
2 . Air sungai dan laut juga berbau busuk .

PENCEMARAN TANAH

Sesuatu kawasan tanah dicemari melalui :
( a ) pembuangan sampah-sarap di merata-rata tempat
( b ) penyemburan racun serangga
( c ) aktiviti pembinaan , perlombongan dan pembalakan .

Kesan Pencemaran Tanah

Hakisan Tanah

1 . Aktiviti-aktiviti pembinaan , perlombongan dan pembalakan yang tidak terkawal menyebabkan kawasan tanah
terdedah .
2 . Kawasan tanah yang terdedah dihakis oleh angin dan air hujan .

Membunuh Haiwan Di Bawah Tanah

1 . Racun serangga yang disembur meresap masuk dan berkumpul dalam tanah .
2 . Haiwan yang hidup di bawah tanah mati akibat pengumpulan racun ini .

Menjejaskan Kesihatan

1 . Sampah-sarap yang dibuang di kawasan-kawasan lapang menjadi tempat pembiakan kuman penyakit .
2 . Tikus, lipas dan lalat tertumpu di kawasan ini dan menyebarkan kuman-kuman penyakit ke tempat-tempat lain .
3 . Jika makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas , kita mungkin diserang penyakit .

Kekurangan Tanah Subur

1 . Pembinaan rumah-rumah dan bangunan-bangunan menyebabkan kesusutan tanah .
2 . Manusia menghadapi kekurangan tanah subur untuk pertanian .

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI
PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Untuk menyelamatkan alam sekitar daripada bahaya pencemaran , kita perlu mengambil langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran . Di antara langkah-langkah yang diambil ialah :

( a ) mengharamkan pembakaran sampah-sarap di kawasan terbuka

( b ) menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal pembebasan gas-gas beracun dari kilang-kilang dan
kenderaan .

( c ) membina kilang-kilang jauh dari kawasan perumahan

( d ) mengawal aktiviti pembinaan , perlombongan dan pembalakan

( e ) menyedarkan orang ramai supaya menjaga kebersihan alam sekitar

( f ) menjalankan proses kitar semula bahan-bahan buangan.

Pengolahan Alam Hidupan

Mengolah Alam Hidupan Dengan Bertanggungjawab

1 Manusia mengolah alam sekitar dan hidupan untuk mendapatkan keperluan asas hidupnya ( makanan , pakaian dan
tempat kediaman ) dan mendirikan tempat rekreasi .

2 Dalam usaha memenuhi keperluannya, manusia telah membuka hutan untuk pertanian , perumahan , industri
perlombongan , membina empangan dan mengeringkan hutan paya bakau .

3 Aktiviti-aktiviti manusia ini menukar dan mencemarkan alam persekitaran serta menhapuskan habitat semula jadi,
banyak spesies tumbuhan dan haiwan . Ini merupakan ancaman yang terbesar terhadap kemandirian hidupan liar .

4 Tumbuhan dan haiwan yang juga diolah untuk keperluan manusia seperti sukan , makanan , ubatan , kulit dan bulu
turut susut bilangannya .

5 Beribu-ribu spesies tumbuhan dan haiwan menghadapi kepupusan kerana pupolasi mereka adalah terlampau rendah
akibat aktiviti manusia .

6 Spesies tumbuhan atau haiwan yang terpupus akan hilang dari bumi ini selama-lamanya . contohnya , burung dodo ,
harimau bali , dan harimau kaspia adalah diantara beribu-ribu hidupan yang telah pupus dari permukaan bumi .

7 Manusia perlu mengolah alam hidupan dengan lebih bertanggung jawab kerana kemandirian manusia juga berkait
rapat dengan kemandirian tumbuhan dan haiwan .

Kepentingan Pemeliharaan dan Pemulihan Haiwan dan Tumbuhan

1 Makanan : manusia bergantung pada tumbuhan dan haiwan untuk makanannya .Masih banyak spesies tumbuhan dan
haiwan yang belum diterokai tetapi berpotensi untuk membekalkan makanan kepada populasi manusia dunia yang
semakin meningkat .

2 Ubat-ubatan : Semua ubat-ubat tradisi dan sebahagian besar daripada bahan kimia ubat moden diperoleh daripada
haiwan dan tumbuhan . Masih terdapat banyak spesies tumbuhan dan haiwan yang belum sempat dikaji tetapi mempunyai
potensi untuk merawat penyakit-penyakit seperti barah , AIDS dan sebagainya .

3 Sumber bahan mentah

( a ) Kayu balak merupakan satu sumber yang sangat penting dalam pembinaan rumah dan perabot serta membuat
kertas .
( b ) Hasil keluaran seperti kulit haiwan , madu , rotan , damar dan sebagainya berasal daripada tumbuhan dan haiwan .

4 Keseimbangan alam sekitar :

( a ) Tumbuhan dan haiwan memainkan peranan yang sangat penting dalam siratan makanan dan keseimbangan
alam .
( b ) Tumbuhan hijau menolong mengekalkan kandugan gas oksigen dalam atmosfera yang perlu untuk haiwan dan
manusia bernafas . Sebaliknya haiwan dan manusia membebaskan gas karbon diosida yang diperlukan oleh
tumbuhan dalam fotosintesis .
( c ) Tumbuhan menapis kebanyakan debu dalam udara serta menyerap gas kasbon dioksida dan dengan itu
membantu mengawal pencemaran udara .
( d ) Tumbuhan memperlahankan aliran air hujan dan dengan itu mengelakkan banjir , hakisan tanah dan tanah runtuh
daripada berlaku semasa hujan turun .
( e ) Tumbuhan melindungi permukaan bumi daripada sinaran langsung cahaya matahari , langsung mengurangkan
penyejatan air dan membantu menyejukkan permukaan bumi .

5 Sumber air : Tumbuhan dalam hutan hujan merupakan kawasan tadahan air yang sangat penting untuk mengisi
empangan dan membekalkan keperluan air kepada manusia .

6 Rekreasi : Kepelbagaian haiwan dan tumbuhan mengekalkan keindahan semula jadi alam sekitar untuk aktiviti
riadah dan rekreasi manusia . juga ia menjadi satu daya tarikan kepada pelancong dan menyumbang kepada
ekonomi negara .

7 Ekonomi : hasil keluaran tumbuhan dan haiwan seperti hasil tanaman , hasil tangkapan ikan , kayu balak ,
damar ,ubat-ubatan , kulit dan sebagainya memberikan pendapatan kepada negara .


KEPUPUSAN HAIWAN DAN TUMBUHAN

1 Di Malaysia , pemusnahan habitat dan pencemaran alam sekitar mengancam banyak spesies hidupan ini adalah
seperti :
( a ) Spesies tumbuhan yang dikenali dan belum dikenali dalam hutan hujan tropika ( bunga pakma , orkid - orkid liar
dan pisang liar ) .
( b ) Burung-burung ( misalnya burung enggang , bangau dan helang bahu hitam ) .
( c ) Haiwan (misalnya tapir , harimau , badak Sumatera , orang utan , siamang , lutong , dan ular sawa ) .
( d ) Serangga .
( e ) Penyu ( misalnya penyu belimbing dan penyu hijau .

2 Contoh hidupan lain di dunia yang menghadapi kepupusan :
( a ) Panda gergasi hanya terdapat di satu kawasan kecil di China . Kini , terdapat kurang 200 ekor yang masih tinggal .
( b )Gorila gunung Afrika Barat juga terancam dengan kepupusan kerana pemusnahan habitatnya akibat aktiviti pertanian
serta diburu untuk bulu dan untuk dijadikan ubat-ubatan .
( c ) Ikan paus biru , haiwan yang terbesar , terancam dengan kepupusan kerana diburu untuk dagaing dan lemaknya .

Usaha Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hidupan Liar

1 Pemuliharaan hidupan liar ialah usaha pengurusan hidupan liar secara bijaksana supaya hidupan ini dapat dikekalkan
untuk generasi yang akan datang .
2 Sumber Bumi adalah terhad . Dengan penambahan populasi dunia , lebih makanan dan keperluan lain diperlukan
daripada sumber hidupan liar . Pada masa yang sama , kita perlu memastikan kita sentiasa dapat mengekalkan spesies
hidupan yang ada .
3 Usaha-usaha pemuliharaan hidupan liar termasuk :
( a ) Mewujudkan kawasan hutan simpanan untuk memelihara hidupan liar . Contohnya , hutan dara , hutan simpanan ,
dan taman negara ( T.N. Pahang ; T.N. Kinabalu di Sabah ; T.N. Bako , T.N. Mulu dan T.N. Niah di Sarawak ) .
( b ) Memindahkan tumbuhan yang diancami kepupusan untuk ditanam di kebun khusus atau aboretum dalam usaha
pemeliharaan .
( c ) Melindugi hidupan liar di hutan paya bakau dengan mewujudkan hutan simpanan paya bakau , misalnya di Matang
( Perak ) dan Pulau Kukup ( Johor ) .
( d ) Mendirikan pusat pembiakan haiwan yang terancam dengan kepupusan , seperti ikan dan penyu ( di pantai timur ) ,
tuntung ( Perak ) dan orang utan ( Sabah dan Sarawak ) .Pusat-pusat ini akan membiakkan haiwan -
haiwan tersebut untuk dikembalikan kepada habitat asalnya .
( e ) Taman marin didirikan untuk melindungi hidupan laut . Contohnya taman-taman marin di Pulau Redang ,
Pulau Tioman , pulau Paya , Pulau Perhentian dan Pulau Tinggi .
( f ) Mengisytiharkan hidupan yang terancam dengan kepupusan sebagai spesies terpelihara dan tiada siapa pun
dibenarkan menangkap , menembak atau menjualnya . Antara spesies-spesies terpelihara ialah orang utan , siamang ,
kera , badak Sumatera dan harimau .
( g ) Menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi hidupan liar .
( h ) Mengawal aktiviti pembalakan untuk mengurangkan pemusnahan habitat hidupan liar .
( i ) Penghutanan semula , iaitu menanam semula hutan dengan anak benih baru setelah pokok balak ditebang .
( j ) Pendidikan : Mendidik pelajar sekolah dan orang ramai tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan
hidupan liar .
( k ) Mengawal pencemaran sungai dan laut yang memusnakan habitat hidupan air .


ALAM SEKITAR

PENGENALAN

Dalam tahun 1995, proses disentralisasi kerja-kerja menyemak dan meluluskan laporan EIA telah dilaksanakan di semua 13 Pejabat Jabatan Alam Sekitar Negeri. Walau bagaimanapun, projek-projek yang meliputi lebih daripada satu negeri dan laporan terperinci EIA masih diproses di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar.

Langkah-langkah untuk mempertingkatkan lagi prosedur EIA terus diberi penekanan. Antaranya ialah kajian semula Buku Panduan EIA yang diterbitkan semula pada bulan Ogos 1995. Manakala 12 set garis panduan spesifik juga telah diterbitkan yang melibatkan aktiviti-aktiviti seperti bekalan air bawah tanah dan air permukaan, penjanaan dan pemancaran kuasa, saliran dan pengairan, pelabuhan perikanan dan akuakultur berasaskan penggunaan tanah, empangan dan takungan air, perlombongan dan kuari, tempat peranginan di kawasan bukit, kemudahan pelancongan di kawasan taman negara, kemudahan pelancongan di pulau-pulau yang dikelilingi oleh perairan yang diwartakan sebagai taman laut, industri, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran dan pelupusan serta pengolahan sisa toksik dan berbahaya. Selain daripada itu, Jabatan juga telah bekerjasama dengan memberikan input kepada penyediaan dan penerbitan garis panduan bagi aktiviti pembinaan jalan raya dan lebuh raya oleh Jabatan Kerja Raya.


PROSEDUR EIA

Pemberitahuan Projek-Projek yang tertakluk kepada Perintah EIA Sebagai langkah proaktif, Jabatan Alam Sekitar meneruskan usaha menyenaraikan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak pencadang projek ataupun yang dilaporkan oleh media massa walaupun tiada keperluan mengenai pemberitahuan ini. Pada tahun 1995, sejumlah 1,705 cadangan projek yang tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling telah diawasi berbanding dengan hanya 344 projek dalam tahun 1994. Antara projek yang paling banyak dicadangkan ialah untuk aktiviti pembangunan kemudahan rekreasi dan tempat peranginan (19 peratus), dan diikuti oleh kuari (18 peratus), infrastruktur (12 peratus), perumahan (10 peratus) dan industri (9 peratus).

Semakan Laporan
Bilangan laporan EIA yang diterima pada tahun 1995 telah meningkat sebanyak 16 peratus berbanding dengan tahun 1994. Daripada 348 laporan yang diterima, sebanyak 339 adalah laporan awal EIA, 1 laporan terperinci EIA dan 8 laporan analisa risiko yang berkaitan dengan kemudahan berbahaya (rujuk Rajah 5.1).

Semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) dikuatkuasakan pada 1 April 1988, sehingga 31 Disember 1995, bilangan laporan EIA yang telah diterima adalah berjumlah 1,444 dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,363 (94 peratus) adalah laporan awal EIA, 62 (4 peratus) laporan analisa risiko, 8 laporan terperinci EIA dan selebihnya iaitu sebanyak 11 laporan bagi cadangan pembangunan yang dijalankan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Kategori Projek dan Aktiviti-aktiviti yang Ditetapkan
Sehingga kini, bilangan laporan yang paling banyak diterima semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling), 1987 dikuatkuasakan ialah pembangunan tempat-tempat peranginan dan rekreasi (17 peratus) diikuti dengan pembangunan projek-projek infrastruktur (16 peratus) dan projek-projek perumahan serta aktiviti kuari, masing-masing sebanyak 14 peratus Laporan EIA yang berkaitan dengan aktiviti kuari didapati telah meningkat pada tahun 1994 dan 1995, manakala keadaan sebaliknya berlaku bagi aktiviti industri setelah tidak mengalami perubahan antara tahun 1991 sehingga 1993. Laporan terperinci EIA yang pertama bagi aktiviti penjanaan kuasa iaitu Projek Kuasa Hidroelektrik Bakun di Sarawak telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk ulasan. Projek ini merupakan aktiviti yang tertakluk di bawah bidang kuasa Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Negeri Sarawak. Rajah 5.2 menunjukkan perbandingan taburan laporan EIA mengikut kategori aktiviti-aktiviti bagi tahun 1995 dan untuk tempoh antara tahun 1988 hingga 1995.

Sehingga 31 Disember 1995, sejumlah 353 laporan EIA (86 peratus) telah disemak. Ini termasuklah 61laporan EIA yang dibawa ke hadapan dari tahun 1994. Manakala yang selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan EIA masih dalam semakan ataupun keputusannya masih tertakluk kepada beberapa maklumat tambahan yang belum diperolehi daripada pihak penggerak projek. Rajah 5.3 menunjukkan bilangan laporan EIA yang telah disemak setiap tahun dalam tempoh masa dari tahun 1988 sehingga 1995.

Sejumlah 238 daripada 348 laporan EIA yang diterima telah diluluskan, 38 laporan ditolak, 16 laporan telah ditarik balik oleh penggerak projek dan selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan telah dibawa ke tahun 1996 untuk disemak. Secara keseluruhannya, bermula dari 1 April 1988, sebanyak 1,081 (75 peratus) laporan telah diluluskan, 194 (13 peratus) laporan telah ditolak dan 52 laporan (3 peratus) telah ditarik balik oleh pihak pemaju. Rajah 5.4 menunjukkan status laporan EIA yang telah diproses pada setiap tahun dalam tempoh masa 1988 hingga 1995.

Rajah 5.5 pula menunjukkan kemajuan bagi tempoh pemprosesan laporan EIA. Secara purata, masa yang diambil adalah 1.6 bulan bagi satu laporan iaitu dengan kadar yang lebih baik daripada tempoh 3 bulan yang ditetapkan dalam Piagam Pelanggan. Berdasarkan pencapaian ini, bermula dari 1 Mac 1995, Piagam Pelanggan bagi memproses setiap laporan EIA telah dikurangkan kepada 2.5 bulan bagi setiap laporan. Sepanjang pelaksanaan EIA, analisa taburan laporan EIA mengikut negeri projek dibangunkan menunjukkan tren yang sama dengan tahun 1994, iaitu 38 peratus daripada keseluruhan jumlah laporan yang diterima ialah dari negeri Selangor dan Johor, iaitu jauh melebihi negeri-negeri lain. Manakala laporan EIA bagi negeri Perlis dan Kelantan pula merupakan yang terendah diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan
.
Rajah 5.6 menunjukkan taburan laporan EIA bagi setiap negeri untuk tempoh 1988 hingga 1995.

Kemajuan Dalam Pelaksanaan Prosedur EIA

Garis Panduan Spesifik

Jabatan meneruskan usaha membuat susulan kepada cadangan-cadangan yang telah diperakukan oleh Kabinet pada 9 Disember, 1992 bagi mempertingkatkan keberkesanan prosedur EIA dengan menerbitkan 12 set garis panduan spesifik EIA. Garis panduan yang diterbitkan ini adalah untuk aktiviti bekalan air bawah tanah dan air permukaan, penjanaan dan pemancaran kuasa, saliran dan pengairan, pelabuhan perikanan dan akuakultur berasaskan penggunaan tanah, empangan dan takungan air, perlombongan dan kuari, tempat peranginan di kawasan bukit, kemudahan pelancongan di kawasan taman negara, kemudahan pelancongan di pulau-pulau yang dikelilingi oleh perairan yang diwartakan sebagai taman laut, industri, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran, serta pengolahan dan pelupusan buangan toksik dan berbahaya.

Sebanyak 4 bengkel telah diadakan bagi menyediakan garis panduan-garis panduan tersebut yang dihadiri oleh wakil daripada agensi Kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan, penggerak-penggerak projek, perunding-perunding alam sekitar, badan-badan profesional dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dengan alam sekitar.

Pendaftaran Perunding-Perunding EIA

Pada bulan Januari 1995, senarai perunding-perunding EIA yang didaftarkan telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Sehingga 31 Disember 1995, sebanyak 55 firma perunding dan 176 perunding individu telah didaftarkan dengan Jabatan Alam Sekitar. Satu mesyuarat bersama dengan perunding-perunding EIA yang didaftarkan ini telah diadakan pada Julai 1995 untuk perbincangan kriteria pendaftaran dan isu-isu mengenai kualiti laporan EIA yang dikemukakan kepada Jabatan. Mesyuarat tersebut telah memperakukan beberapa perkara antaranya:

  • Penubuhan Jawatankuasa Sementara
  • Perunding-perunding EIA yang berperanan mengkaji perkara-perkara yang berkaitan dengan perakuan perunding-perunding EIA; dan
  • Pembentukan Lembaga Perunding-perunding EIA.
  • Promosi EIA
Program-program kesedaran terus ditingkatkan melalui pembentangan beberapa kertas kerja dan mengadakan hubungan baik antara Jabatan dan pelanggan. Sepanjang tahun 1995, sebanyak 15 kertas kerja yang berkaitan dengan EIA telah dibentangkan di beberapa persidangan dan seminar di dalam dan luar negara.

Terbitan IMPAK merupakan satu makalah keluaran Jabatan Alam Sekitar mengenai EIA dan diterbitkan setiap sukutahun. Isu-isu seperti pembangunan tanah tinggi, Ulangtahun Ke-7 Prosedur EIA dan kemajuannya, pelupusan sisa toksik secara haram serta audit alam sekitar telah diberi fokus dalam keluaran-keluaran yang diterbitkan.

INPUT ALAM SEKITAR DALAM PERANCANGAN PEMBANGUNAN

Jabatan meneruskan usaha menggalakkan penerapan dimensi alam sekitar ke dalam perancangan projek. Dalam tahun 1995, input-input alam sekitar kepada 66 buah projek pembangunan telah disediakan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.7. Bilangan ini adalah sama seperti tahun yang sebelumnya.

Projek-projek pembangunan yang berkaitan kebanyakannya merupakan projek-projek kerajaan yang terdiri daripada penggubalan pelan-pelan tindakan (6%), pelan-pelan pemuliharaan (5%), pelan-pelan pembangunan (17%), pelan-pelan tempatan (6 %), pelan-pelan pengurusan (7.5%), pelan-pelan induk (9 %) dan pelan-pelan struktur (27%). Selainnya ialah projek tebatan banjir (7.5%), industri (1.5%), infrastruktur (7.5%), pengairan (1.5%), lanskap (1.5%), sumber asli (1.5%) dan projek-projek pembetungan (1.5%). Senarai projek-projek ini ditunjukkan dalam Jadual 5.1.

Jadual 5.1 Jabatan Alam Sekitar : Senarai Input Alam Sekitar bagi Perancangan Pembangunan Projek, 1995.

Jenis Projek

Pelan Tindakan Pelan Tindakan Akuakultur
Jalan Haji Abdul Rahman (Kuantan)
Pelan Tindakan Strategi Pembangunan Negeri Melaka
Sungai Kuantan

Pelan Pemulihan Kajian Pinggir Pantai dan Luar Pantai bagi Penyediaan Pelan Struktur Kuala
Terengganu, Setiu dan Besut
Pembangunan Zon Pinggir Pantai bagi Garis Panduan Perlindungan Hakisan Pantai
Strategi Pemuliharaan Kebangsaan

Pelan Pembangunan Pembangunan Akuakultur Besut
Kajian Kemungkinan dan Pembangunan Kawasan Air Panas bagi Pelancong
di Malaysia
Hulu Terengganu
Kuala Terangganu
Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
Kajian Kemungkinan Projek Pemusatan Ternakan Khinzir di Bidor
Kajian Semula Pembangunan Ekonomi Jangka Panjang Negeri Johor: 1995-2010
Setiu
Pelan Pembangunan Tasik Kenyir

Projek Tebatan Banjir Pelan Pengurusan Menyeluruh bagi Lembangan Sungai Muda
Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Khusus bagi Sistem Sungai-sungai
Prai, Sungai Juru, Sungai Jejawi.
Kajian Kemungkinan bagi Pembaikan Sungai Kelantan
Lembangan Sungai Kelang
Lemal dan Rantau Panjang

Projek Industri Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana

Projek Infrastruktur Kajian Awal dan Kemungkinan kejuruteraan bagi Jambatan Sungai Dinding
Lumut, Perak,
Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Terperinci bagi Kerja-kerja
Perlindungan Pantai di Pengkalan Datu, Kuala Besar, Kampung Buntal,
Sarawak dan Tanjung Aru, Sungai Kinarut, Sabah
Kajian Hidrolik bagi Kawasan Tadahan Sungai Sarawak Kiri dan
Kajian Kemungkinan bagi Cadangan Penambakan Merentasi Sungai Sarawak.
Cadangan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor
Bantuan Teknikal bagi Peraturan dan Polisi Pengairan.

Projek Pengairan Kajian Kemungkinan bagi Pembangunan Takungan Air Kecil

Projek Lanskap Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya

Pelan Tempatan Bukit Jalil
Pinggir Pantai Kuantan
Pusat Bandar Kuantan
Seberang Kuantan

Pelan Pengurusan Pelan Pengurusan Pantai Johor Selatan
Pelan Pengurusan Menyeluruh Lembangan Sungai Muda
Rancangan Malaysia ke-7 bagi Pasukan Petugas Alam Sekitar
Jawatankuasa Kecil bagi Piawai Alam Sekitar- Syarat & Definisi
Taman Negara Endau- Rompin

Pelan Induk Johor
Kajian mengenai Pelan Induk Operasi bagi Wilayah Jengka
Pulau Tioman
Cadangan Pelan Induk bagi Taman Botanikal di Sungai Buloh
Seri Iskandar, Perak
Pelancongan di Bandar Mersing

Sumber Asli Bidang Rujukan bagi Kajian Pengurusan Menyeluruh Sumber-Sumber Air di Malaysia

Projek/Sistem
Pembetungan Kajian Pengurusan Sungai dan Kawalan Alam Sekitar Sg. Sarawak :
Ringkasan Kajian Kemungkinan Pembetungan

Pelan Struktur Alor Gajah dan Jasin, Bentung, Bera, Besut, Cameron Highlands
Daerah Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak, Daerah Manjung dan Perak Tengah,
Hulu Terengganu, Jerantut, Kuala Terangganu, Lipis, Majlis Perbandaran Seberang Prai
Maran, Pekan, Raub, Rompin. Setiu dan Termeloh

Sistem Informasi Geografik (GIS)

Perkakasan dan perisian GIS telah ditingkatkan bagi menampung tiga pengguna yang menggunakan Sistem GIS serentak melalui Rangkaian Tempatan (LAN) yang sedia ada.

Peta-peta tematik GIS yang dihasilkan terus memainkan peranan dalam membekalkan maklumat untuk membuat sesuatu keputusan. Antara projek-projek yang dijalankan dalam tahun 1995 ialah:

  • Pemetaan bagi Projek Pembangunan di Lojing, Kelantan
  • Projek-projek EIA di sekitar Mimaland
  • Aktiviti pembersihan tanah di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Subang
  • Pembangunan di sekitar Genting Highlands
  • Peta Kegunaan Tanah (1990) bagi Selangor, Pahang, Terengganu, Negri Sembilan dan Perlis
Program antara-muka antara GIS dan Sistem Inventori Punca-punca Pencemaran (SIPP) telah juga dibangunkan. Program antara-muka GIS-SIPP ini dapat menghubungkaitkan antara maklumat ruang dengan maklumat ‘tabular’. Di samping itu, projek baru iaitu Sistem Pembantu Pembuat Keputusan Alam Sekitar (EDSS) telah dicadangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh.

Penilaian Awal Tapak Projek
Penilaian awal tapak projek-projek dapat memastikan aspek alam sekitar diambilkira dalam pembangunan projek projek yang tidak tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling, 1987.

Penempatan
sesuatu cadangan projek dinilai berasaskan kegunaan tanah sedia ada di sekeliling kawasan tersebut. Pelan-pelan pembangunan telah dikaji bagi memastikan kawasan- kawasan sensitif alam sekitar seperti kawasan perumahan, sekolah, kawasan tadahan air, hutan simpan dan taman negara terletak pada jarak yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang impak alam sekitar akibat daripada aktiviti pembangunan yang dijalankan di sekitarnya.

Pencadang-pencadang projek perlu melaksanakan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian bagi mengurangkan pencemaran pada awal peringkat perancangan projek. Jabatan Alam Sekitar Negeri memainkan peranan utama dalam menjalankan siasatan tapak cadangan projek dan kemudiannya memajukan ulasan, pandangan dan cadangan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

Pada tahun 1995, sejumlah 6,565 permohonan bagi penilaian awal tapak telah diterima oleh Jabatan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.8. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding dengan tahun sebelumnya. Manakala Rajah 5.9 pula menunjukkan pecahan permohonan penilaian awal tapak yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri.

Kelulusan Pemasangan Alatan/ Kemudahan

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-peraturan yang berkaitan, kelulusan dalam bentuk kebenaran bertulis dan kelulusan bertulis perlu diperolehi daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling sebelum pembinaan atau pemasangan sebarang kemudahan yang akan mengakibatkan pelepasan bahan-bahan pencemar kepada persekitaran. Ini bertujuan untuk memastikan langkah-langkah pengawalan pencemaran digabungkan bagi mematuhi standard yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Minyak Kelapa Sawit Mentah), 1977,

Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Getah Asli Mentah), 1978, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-effluen Perindustrian), 1979.

(i) Kawalan Pencemaran Air
Sejumlah 796 permohonan kebenaran bertulis bagi pemasangan alat kawalan pencemaran air diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri, iaitu pertambahan sebanyak 27% daripada tahun sebelumnya. Rajah menunjukkan Negeri Johor menerima paling banyak permohonan (42%), dan ini diikuti oleh Negeri Selangor (15 %). Jumlah kelulusan yang dikeluarkan dalam tahun 1995 ini menghasilkan penambahan sebanyak 4,468,473 meter padu/hari effluen yang diolah.

(ii) Kawalan Pencemaran Udara
Sepanjang tahun 1995, sebanyak 1,189 permohonan kelulusan bertulis bagi pemasangan ala pembakaran bahanapi telah diterima dan jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 17% dari tahun 1994. Permohonan yang paling banyak telah diterima daripada Negeri Sabah (20%), diikuti oleh Negeri Selangor (19%) dan Johor (17%) seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.11. Jumlah penggunaan bahanapi cecair dan gas adalah sebanyak 268,562 tan/hari manakala jumlah penggunaan bahanapi pepejal pula ialah sebanyak 12,516 tan/hari.

PUSAT KHIDMAT NASIHAT ALAM SEKITAR DI MIDA

Pusat Khidmat Nasihat di Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menjalankan peranan sebagai penasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan alam sekitar, bukan sahaja kepada pelabur-pelabur malah kepada orang ramai. Dalam tahun 1995, sebanyak 35 pelabur tempatan dan asing serta 40 orang awam telah mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai alam sekitar. Perkara-perkara berkaitan dengan alam sekitar yang seringkali ditanya atau dirujuk adalah mengenai pembangunan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling 1987, kesesuaian tapak bagi projek yang dicadangkan, keperluan-keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan yang berkaitan, galakan-galakan bagi pemasangan alat pengawalan pencemaran, prosedur EIA dan keperluan-keperluannya, peluang-peluang untuk memberikan perkhidmatan berkaitan alam sekitar termasuk perundingan dan teknologi kepada industri yang sedia ada, dan juga peranan penswastaan dalam rancangan jangka panjang kerajaan dan polisi-polisi alam sekitar yang akan memberi kesan kepada sektor industri.

Jabatan Alam Sekitar juga merupakan ahli jawatankuasa kepada Jawatankuasa Tindakan Berkenaan Pengindustrian yang meluluskan lesen pengilang dan galakan. Pada tahun 1995, sejumlah 80 permohonan lesen pengilang telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk nasihat dan ulasan. MIDA juga menerima sejumlah 1,075 permohonan bagi projek-projek pengilangan berbanding dengan hanya 1,018 permohonan pada tahun 1994. Daripada jumlah tersebut, 554 permohonan adalah bagi projek-projek pengilangan baru dan selebihnya iaitu 521 permohonan adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran. Sejumlah 894 buah projek telah diberikan kelulusan oleh pihak MIDA berbanding 870 kelulusan dalam tahun 1994.

Sebanyak 516 buah projek daripada 894 kelulusan yang telah dikeluarkan adalah projek pengilangan baru, sementara 378 adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran kilang. Daripada jumlah ini, 41 projek adalah tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling yang kebanyakannya merupakan projek industri kimia dan petrokimia, projek kitar semula buangan terjadual, pengeluaran bahan bukan logam seperti simen dan kapur, kilang kertas dan juga kawasan peranginan pinggir pantai.

(Petikan daripada Sumber Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar)


Dapatkan maklumat lanjut dari Kementerian Saians, Teknologi dan Alam Sekitar

2 comments:

cenderamata KHA said...

terima kasih..kerana banyak membantu saya dalam membuat assgnmt dan kerja kursus saya...
http://www.kha11.blogspot.com

Unknown said...

terimakasih...jika boleh tambahkan maklumat. satu catatan yang sangat membangtu. terimakasaih.