BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, October 15, 2009

Lingkaran gergasi Zuhal

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my




Luas gelung terbesar dalam sistem solar mampu tampung 1 bilion bumi

DUNIA astronomi minggu ini dikejutkan dengan penemuan satu lingkaran gergasi planet Zuhal yang keluasannya mampu menampung kira-kira 1 bilion bumi.

Lingkaran gergasi yang dirakam teleskop angkasa milik Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa), mempunyai ukur lilit kira-kira 36 juta kilometer dan lebarnya pula, 12 juta kilometer.

Ia yang mengandungi debu serta ketulan ais, tidak pernah dilihat sebelum ini dan menjadi satu catatan sejarah tersendiri bidang astronomi selepas penemuan lingkaran pertama Zuhal atau Saturn oleh Galileo Galilei, kira-kira 400 tahun lalu.

Apa yang menarik, penemuan terbaru oleh sepasukan penyelidik Universiti Virginia itu juga yang terbesar pernah ditemui dalam sistem solar atau suria kita.

Digelar ‘Lingkaran bersaiz luar biasa,’ oleh pasukan saintis berkenaan, ia yang merangkumi debu dan partikel, memang cukup besar sehingga boleh meliputi dua bulan penuh di langit jika dapat melihatnya dari Zuhal.



Berbeza dengan lingkaran pertama yang boleh dilihat dengan menggunakan teleskop paling kecil sekalipun, penemuan terbaru cuma boleh kelihatan menerusi lampu infra merah.

Ia kira-kira 10 kali lebih besar berbanding garis pusat Zuhal dan orbit pada jarak lapan juta kilometer dari planet berkenaan. Lingkaran itu kira-kira 2.4 juta kilometer tebal dan 50 kali lebih jauh ke dalam angkasa lepas berbanding lingkaran Zuhal lain sekali gus menjadikannya yang terbesar berbanding lingkaran lain pernah dikaji.

Sehingga kini, lingkaran terbesar dalam sistem solar ialah lingkaran E pada planet Zuhal.

Malangnya, biarpun bersaiz gergasi, lingkaran terbaru itu terlalu pudar untuk dilihat dari bumi.

“Ia sememangnya satu penemuan yang amat menakjubkan dan menarik,” kata saintis astronomi Institut Penyelidikan Southwest di Amerika, John Spencer.

Saintis kelahiran Ireland, Prof Carl Murray, yang juga salah seorang penyelidik utama misi kapal angkasa NASA, Cassini ke Zuhal pada 2004, pula menyifatkan penemuan itu hanya mengiyakan ramalan kertas saintifik kurang dikenali yang dibentangkan 30 tahun lalu.

Prof Murray, salah seorang ketua saintifik dalam misi kapal angkasa NASA, Cassini, yang merakamkan gambar Zuhal dan sistem lingkarannya selama bertahun-tahun, berkata penemuan itu menyelesaikan misteri mengapa salah satu daripada bulan planet itu, Iapetus, gelap di satu sisi dan terang di sisi satu lagi.

“Apabila mendengar mengenainya, saya cuma mengangguk dan berkata ‘ya itu hampir dengan apa yang kita jangkakan’. Bulan yang dinamakan Phoebe ialah sumber material lingkaran.

“Kita berdepan masalah selama 300 tahun apabila hasil pemantauan Cassini menemui Iapetus yang anehnya mempunyai kawasan hemisfera gelap dan cerah” katanya.

Seperti bulan di bumi, Iapetus juga ‘terikat’ dengan Zuhal, menyebabkan bahagian yang berdepan Phoebe akan terkena impak serpihan yang datang daripada bulan berkenaan.

“Kami mempunyai petunjuk mengenai perkara ini daripada kapal angkasa Voyager (yang merakamkan Zuhal dan semua bulannya pada awal tahun 1980-an) tetapi akhirnya menyaksikan dengan imej Cassini yang Iapetus mempunyai beberapa lapisan.

“Teori menyatakan jika Phoebe dilanggar dan serpihannya akan berputar ke arah Zuhal dan bulan pertama akan ditemui ialah Iapetus. Ia semakin jelas sekarang. Kami menjangkakan pasti ada lingkaran. Ia sudah terbukti sekarang,” katanya.

FAKTA: Sistem Solar

  • Merujuk Matahari dan semua objek yang mengorbitnya iaitu planet seperti Utarid (Mercury), Zuhrah (Venus), Bumi, Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Uranus, dan Neptun (Neptune), tiga planet kerdil (Pluto, Ceres dan Eris), 170 bulan-bulan yang mengelilingi planet-planet itu dan berbilion objek-objek yang lebih kecil, termasuk asteroid, objek lingkaran Kuiper, komet, meteoroid dan debu angkasa.

    Planet Zuhal
  • Planet keenam dari matahari dan kedua terbesar dalam sistem suria, selepas Musytari. Zuhal, bersama-sama dengan Musytari, Uranus dan Neptun, diklasifikasikan sebagai sebuah planet gergasi bergas.
  • Mempunyai 53 bulan
  • Suhunya -191 darjah Celsius - -130 darjah Celsius
  • Mempunyai kira-kira 53 bulan.
  • 0 comments: