BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 22, 2010

Urus sisa elektronik

r


Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD 23 Julai 2008 Utusan Malaysia
Setiap tahun dianggarkan sebanyak 50 juta tan bahan elektronik dibuang sebagai sisa pepejal di seluruh dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan lima peratus daripada jumlah sisa perbandaran terdiri daripada buangan elektronik. Lambakan buangan elektronik ini sebenarnya boleh membawa implikasi yang besar terhadap manusia dan alam sekitar. Ia merupakan suatu cabaran kepada pengurusan sisa pepejal sama ada di peringkat lokal mahupun global.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China adalah antara pengeluar bahan buangan elektronik yang tertinggi di dunia. Pada tahun 2007, di AS sahaja terdapat lebih kurang 700 juta komputer usang yang sedia untuk dilupuskan sebagai bahan sisa pepejal.
Sementara itu China dilaporkan mengeluarkan satu juta tan buangan elektronik setahun dan Kesatuan Eropah menjana lebih kurang 8.7 juta tan buangan elektronik setahun.

Dalam konteks Malaysia, penggunaan peralatan elektronik turut bertambah seiring dengan pertambahan penduduk. Statistik menunjukkan sejak tahun 1999 hingga 2003 jumlah komputer yang digunakan telah meningkat sebanyak dua kali ganda iaitu daripada 1.8 juta kepada 4.18 juta. Sementara itu penggunaan telefon bimbit meningkat sebanyak empat kali ganda daripada 2.7 juta pada tahun 1999 kepada 11.12 juta pada tahun 2003.

Selain itu peralatan elektronik yang digunakan oleh penduduk Malaysia menunjukkan angka yang agak tinggi iaitu pada tahun 2003 bagi TV ialah 4.5 juta, radio 9.4 juta dan peti sejuk 3.5 juta. Kesemua barangan ini bakal menjadi bahan buangan apabila sampai ke penghujung hayatnya.

Pada tahun 2004 adalah dianggarkan sebanyak 380,000 hingga 430,000 tan buangan elektronik dikeluarkan oleh negara ini. Persoalannya apakah kita telah bersedia untuk menguruskan pertambahan buangan elektronik ini pada masa hadapan?

Sememangnya pengurusan buangan sisa pepejal di Malaysia pada ketika ini amat mencabar dan sering kali menjadi isu nasional. Kebanyakan tapak pelupusan sampah di Malaysia kini mempunyai hayat tampungan yang semakin berkurangan. Ini disebabkan oleh jumlah penjanaan bahan sisa pepejal dan pertambahan penduduk yang semakin meningkat.

Pada ketika ini dianggarkan 18,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari di seluruh Malaysia. Di Kedah misalnya, sehingga tahun 2006, terdapat lebih kurang 11 buah tapak pelupusan sisa pepejal dan 50 peratus daripadanya mempunyai jangka hayat tidak lebih daripada empat tahun.
Antara isu yang sering kali timbul mengenai pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal adalah aspek penempatan dan reka bentuknya yang tidak menepati spesifikasi kejuruteraan dan tidak menerapkan konsep mesra alam.

Hal ini telah mengundang pelbagai kesan buruk terhadap persekitaran seperti bau busuk dan pelepasan air larut resap dari tapak pelupusan sehingga menjejaskan kualiti air sungai di kawasan berhampiran.

Dalam konteks buangan elektronik pula, ia memerlukan suatu sistem pengurusan yang agak kompleks dan berbeza dengan pengurusan sisa pepejal harian. Sejak tahun 1990 Kesatuan Eropah telah melarang pelupusan buangan elektronik bersama dengan sisa pepejal harian.
Terdapat dua sebab utama mengapa buangan elektronik perlu di urus secara sistematik. Sebab yang pertama adalah buangan elektronik mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar.

Terdapat lebih kurang seribu jenis bahan kimia dalam buangan elektronik. Ini termasuklah beberapa jenis logam berat yang boleh membawa kesan toksik kepada manusia seperti plumbum, raksa dan kadmium. Buangan elektronik juga mengandungi Polychlorinated biphenyls (PCBs) yang boleh membawa kesan karsinogenik kepada manusia.

Kajian yang dibuat oleh Basel Action Network (BAN), daripada sejumlah 500 juta komputer di dapati mengandungi 2.8 bilion kg plastik, 716.1 juta kg plumbum dan 286,700 kg raksa. Secara puratanya setiap sebuah monitor komputer mempunyai enam peratus plumbum yang kebanyakannya terdapat dalam kaca tiub sinar katod (CRT).

Sebab kedua mengapa buangan elektronik perlu diurus secara sistematik kerana peningkatan drastik jumlah bahan buangan elektronik. Jumlah tapak pelupusan yang sedia ada kini amat terhad dan tidak sesuai untuk pelupusan buangan elektronik.

PelupusanPelupusan buangan elektronik kebiasaannya memerlukan proses yang agak kompleks. Kaedah pelupusan bahan buangan elektronik juga perlu mematuhi perundangan alam sekitar yang ditetapkan.

Buangan elektronik kini dijadikan sumber bahan mentah untuk industri kitar semula bagi mendapatkan bahan-bahan kimia yang bernilai untuk kegunaan lain. Selain itu, buangan elektronik seperti komputer boleh diguna semula dengan kaedah membaik pulih komputer lama.

Konsep 3R (reuse, reduce, recycle) telah diterapkan dalam usaha untuk mengelakkan bahan buangan elektronik terus dilupus dan mencemarkan alam. Bagaimanapun kaedah pelupusan buangan elektronik perlu mematuhi prosedur perundangan yang ketat.
Di Malaysia buangan elektronik perlu mematuhi perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditadbir oleh Jabatan Alam Sekitar. Buangan elektronik dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di bawah kod SW 110.

Pelupusan buangan elektronik perlu mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan. Konsep dari buaian hingga ke liang lahad (cradle to grave) diamalkan bagi memastikan tiada sebarang ketirisan dalam pelupusan bahan buangan ini. Mengurus buangan elektronik dari ia terhasil sehingga ia dilupuskan di tapak pelupusan selamat yang dilesenkan oleh kerajaan.

Dalam konteks antarabangsa, buangan elektronik telah disenaraikan di bawah kod A1180 dan kod A2010 di bawah Perjanjian Basel. Perjanjian Basel ini bermatlamat untuk mengerakan masyarakat antarabangsa mengenai usaha menjaga kesihatan manusia dan alam sekitar daripada kesan bahan buangan berbahaya, serta berusaha untuk mengurangkan penghasilan dan mengawal pergerakan buangan berbahaya rentas benua. Malaysia merupakan satu daripada 116 negara yang telah menandatangani perjanjian Basel pada tahun 1989.

Pengurusan buangan elektronik di Malaysia perlu dilihat sebagai suatu cabaran besar. Ia hanya mampu dilaksanakan dengan kesedaran dan kerjasama antara semua pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Selain daripada polisi dan perundangan amalan mesra alam perlu diterapkan di semua peringkat untuk memastikan risiko buangan elektronik ini dapat dikawal pada tahap minimum.

Antara amalan yang boleh dilakukan pertama, adalah mengembalikan setiap barangan elektronik yang lusuh kepada penjual. Kedua, menukar barangan elektronik yang lama apabila membeli yang baru. Ketiga, menghantar ke pusat- pusat kitar semula. Keempat, penggunaan komputer di sektor awam umpamanya perlu di servis secara berkala bagi memanjangkan hayat penggunaan barangan elektronik.


Kelima, membeli barangan elektronik yang lama tapi masih boleh digunakan. Keenam, memperbanyakan tong kitar semula bahan buangan elektronik untuk telefon bimbit. Ketujuh, memperbanyakan program kesedaran di kalangan masyarakat mengenai isu lambakan buangan elektronik dan kesannya terhadap alam sekitar.

Sesungguhnya langkah-langkah ini perlu segera dilaksanakan bagi mengelakkan negara kita terus menjadi lambakan buangan elektronik sehingga boleh menjejaskan alam sekitar dan manusia.

Dipetik daripadablog TAFAKUR KEINDAHAN ALAM (paparian.blogspot.com)

Alam sekitar semakin rapuh

Pemusnahan dan pembinasaan alam sekitar telah dan sedang berrlaku. Ambil beratkah kita atau kita hanya menunggu untuk menjadi mangsa bencana?

APABlLA berlaku sesuatu bencana, manusia dengan mudah menuding jari kepada alam dan alam rnenjadi 'kambing hitam'. Jarang sekali untuk rnanusia rnenyalahkan diri sendiri dan akur bahawa musibah yang berlaku itu sebenarnya 'bencana angkara perbuatan kita sendiri'.

Kita menjadi berang apabila dilanda banjir kilat. Kemarahan kita meluap-luap apabila air paip berbau busuk.

Apabila ini berlaku, pernahkah kita melemparkan pandangan kepada sungai. Sejenak perhatikan betapa kita telah menganiayai kewujudannya sejak sekian lama. Ambil pedulikah kita kepada sampah-sarap yang tenggelam terapung, apakah kita turut sama mengotorkannya?

Apabila bukit dan tanah tinggi rakus ditarah atas nama pembangunan runtuh dan mengorbankan nyawa, masih bolehkah kita mendabik dada dan berkata ia hanya satu bencana dan terus menghukum alam?

"Alam sekitar semakin rapuh dan tahap kerapuhannya semakin terukl," begitu rumusan yang dibuat Prof Ir. Dr.Zaini Ujang, Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor Bahru.

'Kerapuhan' yang dimaksudkan beliau merujuk kepada 'keadaan alam sekitar yang semakin tidak stabil'.

"Alarn sekitar kita memang sudah tak stabil khususnya di kawasan perbandaran. Lembah Klang bila hujan sikit banjir kilat. There is no higher degree of
tolerance to disturbance, disturbance itu apa, air hujan. Hujan pasti turun cuma sistem saliran kita tak boleh nak serap," katanya.

Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan agensi penguatkuasaan lebih memberi tumpuan kepada apa yang masuk ke dalam alam sekitar sperti pencemaran bahan cemar, udara dan sampah.

"Tetapi saya melihat apa yang ada di luar ini rapuh dan apa yang perlu dikeluarkan daripada proses pembanbangunan dan masyarakat.
Sebab itu strategi sekarang kalau kita nak memperbaiki, kita tak boleh lagi melihat apa yang kita keluarkan. Kita mesti lihat apa yang
rapuhnya. Macam mana nak perbaiki kerapuhan yang ada.

"Sebagai contoh, katakanlah kita ada satu titi dan titi itu sudah rapuh. Pada asalnya titi itu direka bentuk untuk menampung berat satu
tan, misalnya. Apabila sudah rapuh, titi tersebut tidak lagi boleh menampung berat satu tan dan ia perlu dibaiki.

"Dalam konteks pengurusan alam sekitar, kita perlu mengembalikan tahapnya supaya kerapuhan itu dapat dikurangkan dengan cara
tertentu selaras dengan konsep pelestarian alam n sekitar," jelas Dr. Zaini dalam satu temu bual baru-baru ini.

Dalam konteks alam sekitar, beliau berkata, pendekatan untuk menangani masalah alam sekitar perlu ditukar.

Ini, katanya termasuk perundangan yang dibuat semasa kepelbagaian biologi alam sekitar masih lagi berada pada tahap yang
tinggi lebih 30 tahun lalu.

"Kalau tidak, kerapuhan ini akan 'pecah," jawab beliau ringkas.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya kita menjadi lebih pro-aktif, mengambil inisiatif sendiri untuk menjadi lebih mesra
alam dalam setiap aspek kehidupan.

Begitu banyak kempen yang dibuat kerajaan sebelum ini, antaranya Kempen Belilah Barangah Buatan Malaysia, Kempen Enam Jahanam
(antinajis dadah), Kempen Kitar Semula dan Kempen Tak Nak (antimerokok).

Tidak keterlaluan jika dikatakan kempen hanya tinggal sebagai kempen.

Begitu juga dengan Kempen Cintailah Sungai Kita. Masih ada sungai yang terus dicemari dengan pelbagai jenis bahan buangan
terutama buangan domestik dan najis, airnya yang busuk perlu dirawat, jika boleh, untuk menampung keperluan air kita.

"Apa yang diperlukan adalah komitmen," kata Dr. Zaini yang juga Naib Presiden Persatuan Air Malaysia dan Persatuan Air Antarabangsa.

Menurut beliau, konsep mesra alam memang dikemukakan di Malaysia sejak beberapa tahun lalu tetapi berpendapat, ia lebih menjurus kepada
keuntungan ekonomi dan perundangan, bukan kerana pelestarian alam.

"Di kebanyakan negara yang mempunyai masyarakat yang mesra alam, mereka berbuat demikian kerana mereka tahu jika mereka tidak
berbuat begitu, ada risiko bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga kepada generasi akan datang.

"Di negara-negara seperti Switzerland, Sweden dan Denmark, mereka tak ada halal dan haram dari perspektif keagamaan dalam hidup
mereka. Halal dan haram bagi mereka sama ada mereka mesra alam atau tak mesra alam," jelas Dr. Zaini.

Mesra alam juga, tambahnya, bagi masyarakat di negara-negara berkenaan adalah satu gaya hidup.

"Seseorang komited berbasikal bukan kerana dia mahu berpeluh tetapi kerana dia mahu membantu alam sekitar, untuk mengurangkan
pengeluaran karbon monoksida.

"Mereka telah sampai kepada tahap menjadikan alam sekitar itu sebagai salah satu daripada unsur penting dalam kehidupan mereka
dari segi etika, cara hidup dan pemikiran. Sehinggakan apa yang tak berkaitan dan tak memberi kesan baik kepada alam sekitar, mereka
akan tolak," tambahnya.

Menurut Dr. Zaini, di sebahagian negara tersebur, mesra alam dianggap sebagai peringkat tertinggi dalam etika sosial.

"Bagi mereka, jika seseorang itu mesra alam, orang itu ada 'kelas'. Mereka yang tidak mesra alam dipandang rendah, tidak ada 'kelas',
tak berpelajaran. Ini belum berlaku di Malaysia. Pada kita orang yang ada 'kelas' ialah orang yang ada kemewahan," tegasnya.

Menyentuh perihal lawatannya ke sebuah tadika di Denmark yang dikenali sebagai The Green Kindergarten, Dr. Zaini memberitahu,
kanak-kanak seawal usia tiga tahun dilatih dan dididik supaya mesra alam.

Tidak ada peti ais di tadika itu, makanan disimpan di stor bawah tanah. Sisa makanan dikitar semula.

"Kanak-kanak selepas makan akan mengasingkan sendiri apa yang boleh mereput dan apa yang tidak. Dia tahu sisa makanan mana yang
boleh dijadikan baja kompos untuk tanam sayur," katanya.

Satu lagi contoh,di pejabat Agensi Perlindungan Alam Sekitar Denmark tiada kemudahan tempat letak kereta. Mungkin ini
dianggap pelik tetapi menurut Dr. Zaini, itulah komitmen mereka.

Pekerja-pekerja di agensi berkenaan percaya jika mereka berkereta ke tempat kerja, mereka tidak akan membantu alam sekitar.

Mereka beranggapan mereka perlu menjadi agensi yang menunjukkan contoh dengan menunggang basikal atau menggunakan kenderaan
awam.

"Secara langsung, agensi itu bukan sahaja menjadi agensi pembuat dasar malah mempraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.

"Satu lagi contoh ialah semasa saya melawat Royal Academy of Architecture di Denmark. Saya ingat lagi ketika itu akhir Disember,
musim sejuk, kira-kira jam 3petang, hampir Maghrib. Di dalam sebuah bilik mesyuarat diadakan, lampu masih belum dipasang sebab
cermin cukup terang dan membolehkan cahaya dari luar masuk. Itu menunjukkan mereka menggunakan tenaga dengan lebih cekap,"
jelas Dr. Zaini.

Beliau membuat perbandingan dengan bangunan-bangunan di Malaysia.

"Sekarang kalau tidak ada elektrik, hampir semua bangunan tidak boleh berfungsi sebab tertutup sedangkan kita ada cahaya matahari.
Anehnya dalam keadaan Malaysia yang banyak cahaya matahari kita gelapkan dengan langsir dan buka lampu pada waktu siang. Kita
tidak mesra alam dari segi penggunaan tenaga," tambahnya.

Tenaga, menurut beliau terhasil menerusi pelbagai aktiviti yang menjejaskan alam sekitar. Daripada pembakaran diesel atau kuasa hidro.

Semakin banyak tenaga yang diperlukan, semakin banyak petrokimia yang diperlukan dan semakin banyak ka wasan yang ditenggelami air
untuk mendapatkan kuasa hidro.

"Ini semua saling kait mengait. Itu sebab banyak negara, kalau bercakap tentang mesra alam, ia juga membabitkan bangunan," kata
Dr. Zaini.

Bercakap tentang tahap komitmen mesra alam di negara ini, beliau berpendapat ia masih kurang dan tidak seharusnya dipikul oleh satu-satu
jabatan sahaja.

"Kalau kita sebut mesra alam di Malaysia bukan bermakna fungsi kepada Jabatan Alam Sekitar sahaja. Ia sebenarnya merangkumi semua
kementerian , semua pihak sama ada dari segi penggunaan tenaga dan kenderaan," jelas beliau.

Mesra alam, katanya, lebih daripada hanya isu-isu pembuangan sampah, pencemaran air, pencemaran udara."la sebenarnya mecakupi
gaya hidup kita," ujarnya.

Sebagai contoh, kempen antimerokok yang menurut beliau hanya dikaitkan dengan kesihatan dan kewangan. "Sepatutnya ia dikaitkan
juga dengan alam sekitar. Itu pun orang terus merokok," katanya. - Bernama

Wednesday, January 13, 2010

Jerman Contoh Baik Negara Mesra Alam

Oleh Ummi Nadiah Rosli

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Beliau mengayuh basikal dengan cermat walaupun agak laju di atas jalan kota raya yang pada ketika itu pula kereta-kereta akan berhenti kerana kesesakan lalu lintas yang teruk.

Beliau yang mengemudi dengan lancar akan melalui pelbagai bentuk mukabumi bandar raya yang memerlukan beliau mengelak lubang atas jalan, mengurangkan kelajuan bagi memberi laluan kepada pejalan kaki dan memastikan beliau berada dalam jarak yang selamat daripada trafik di hadapan.

Inilah laluan yang diambil oleh beliau untuk ke tempat kerja pada setiap hari, berbasikal melepasi rumah, apartmen dan pencakar langit, khasnya Menara Berkembar Petronas ikonik yang terletak tidak jauh dari tempat kerja.

Masa yang diambil untuk sampai ke bangunan tempat kerja hanyalah 10 minit pada satu lagi pagi ceria selepas berjaya melepasi kesesakan lalulintas yang terpaksa diharungi oleh pengguna jalan yang lain.

Selepas mengesat peluh di dahi, beliau mengunci basikal dan membetulkan tali leher serta kot. Semasa memasuki pejabat seorang pegawai menyambutnya dengan ucapan "Good Morning Your Excellency!".

Berapa ramai anggota perwakilan diplomatik yang boleh berbangga kerana datang kerja dengan berbasikal? Pastinya tiada yang lain selain Duta Jerman Dr Guenter Georg Gruber.

DUTA MESRA ALAM

Ia pengetahuan lazim bahawa rakyat Jerman mengutamakan masa, tetapi ini tidak menghalang Dr Gruber daripada sampai ke tempat kerja, mesyuarat-mesyuarat perniagaan atau majlis rasmi dengan kaedah pengangkutan berlainan sama sekali.

Mengetepikan kaedah pengangkutan yang lebih bergaya dengan mengguna kereta mewah yang terkenal keluaran negaranya, Dr Gruber menekankan kepada usaha mengurangkan sumbangan karbon dengan beliau mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam.

"Jika saya membawa kereta ke pejabat, ia mungkin mengambil masa sejam untuk sampai berbanding jika saya berbasikal, yang hanya mengambil masa 10 minit. Ia mengurangkan penggunaan bahan api, menjimatkan masa dan kurang merumitkan," kata duta berusia 61 tahun ini.

Malaysia adalah antara negara dengan kadar tertinggi 'Single-Occupancy Vehicles' (SOV) (kenderaan dengan seorang penumpang) di dunia. Menurut satu laporan yang dikeluarkan pada 2007, lebih kurang 65 hingga 70 peratus kereta yang memasuki bandar raya adalah SOV. Lebih kurang 125,000 kenderaan ataupun 65 peratus (pada purata) yang melalui lebuh raya MRRII semasa waktu puncak pada pagi dan petang adalah kenderaan SOV.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail menganggarkan buat masa ini lebih sejuta kenderaan kebanyakannya SOV masuk ke pusat bandar raya setiap hari. Kenderaan ini menyumbangkan kepada kesesakan dan gas rumah hijau.

Dr Gruber berkata, "Saya juga mengayuh basikal ke majlis-majlis berdekatan dengan pejabat saya (bertempat di Jalan Tun Razak). Tetapi apa yang melucukan ialah apabila saya tiba di hotel bersama kereta-kereta mewah yang lain, saya tidak dibenar meletakkan basikal di situ, walaupun selepas saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya adalah seorang duta.

BUATAN JERMAN

Duta ini mungkin sudah biasa dengan renungan orang ramai semasa berbasikal ke tempat kerja, keghairahan beliau terhadap amalan-amalan mesra alam tidak lari daripada sikap lazim orang Jerman.

Gelombang mesra alam yang melanda negara itu pada 1970-an berterusan sehingga hari ini, mempengaruhi generasi muda Jerman dan mencetuskan pemikiran canggih dalam revolusi mesra alam.

Jerman dianggap sebagai pemimpin dunia dalam tenaga boleh diperbaharui serta ia mendorong revolusi industri lestari. Teknologi mesra alamnya membawa manfaat dan syarikat-syarikatnya membantu mempengaruhi persekitaran global dengan menjadi negara maju contoh kepada yang lain.

Pada 2007, Jerman adalah 'juara dunia' daripada segi penjimatan tenaga, dengan ia mencatatkan pengurangan terbesar dalam penggunaan tenaga.

Negara Eropah ini juga berada dalam kedudukan nombor satu dalam bidang fotovolta dan tenaga angin. Sementara tenaga boleh diperbaharui, mewakili lebih 15 peratus daripada penjanaan tenaga elektrik domestik dan ia menguasai 10 peratus daripada pasaran tenaga boleh diperbaharui pada 2008, bersama sasaran untuk meningkatkannya kepada 20 peratus menjelang 2020.

Jerman meraih 29 bilion Euro (RM143 bilion) dalam hasil pada 2008 daripada industri ini, dan lebih 9 bilion Euro (RM44 bilion) dalam eksport dan lebih 13 bilion Euro (RM64 bilion) dalam pelaburan domestik.

Mereka juga mendahului dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi mesra alam di seluruh dunia dengan lebih 15 bilion Euro (RM74 bilion) dalam pelaburan kerajaan. Sektor tenaga boleh diperbaharui juga menggajikan lebih kurang 280,000 kakitangan pada 2008, satu angka yang mahu ditingkatkan kepada 400,000 menjelang 2020.

MALAYSIA BOLEH JADI NEGARA CONTOH

Walaupun Jerman berjaya dalam menggalakkan teknologi mesra alam, Dr Gruber menjelaskan ia mengambil masa yang lama.

"Ia mengambil masa 40 tahun bagi Jerman untuk membangunkan dasar-dasar mesra alam yang berkesan, dan kami masih berusaha menambahbaik keadah-kaedah kami dalam menggalakkan satu industri yang lebih lestari. Pada 1960-an Jerman asyik dengan pertumbuhan, oleh itu berusaha mengembangkan ekonomi tanpa menghiraukan akibatnya. Sumber-sumber semulajadi kami habis, dan nasib hutan dan sungai-sungai kami terabai.

Bagaimanapun perubahan berlaku pada 1970-an apabila satu pergerakkan akar umbi mendesak bagi dasar-dasar mesra alam, seterusnya 'German Green Party' diasaskan pada 1980, yang berjuang atas platform alam sekitar dan ia meningkat popular hingga ke peringkat kebangsaan.

Kejayaan Green Party, kata beliau, melampaui batasan politik. Ia membawa cetusan minda kepada warga Jerman supaya lebih arif akan alam sekitar dan mengundi bagi dasar-dasar lebih mesra alam.

"Dalam cara tertentu, apa yang dilalui Malaysia hari ini adalah mirip kepada apa yang berlaku di Jerman pada 1970-an. Negara kini di ambang revolusi mesra alam sekitar dan saya berpendapat Malaysia boleh menjadi negara contoh bagi yang lain dalam melangkah ke hadapan. Malaysia, dengan antara biodiversiti terkaya di dunia boleh muncul sebagai penggiat utama. Anda mempunyai segala-galanya - air, matahari, sumber-sumber semulajadi", kata beliau.

MESRA ALAM DITERIMA

Malaysia telahpun memulakan beberapa perkongsian dua hala bersama syarikat-syarikat perdana Jerman dalam industri mesra alam.

Pelaburan utama oleh syarikat-syarikat Jerman termasuk usahasama dengan

Q-cells, pengeluar terbesar di dunia sel-sel fotovolta. Kilangnya di Taman Sains Selangor mula beroperasi pada tahun ini mengeluarkan sel-sel solar bagi pasaran dunia.

Bersama satu pelaburan sebanyak 1 bilion, Euro Q-cells juga akan menyediakan sel-sel solar bagi kegunaan di kawasan-kawasan penempatan negeri Selangor yang akan memanfaatkan suku juta orang dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Penggiat-penggiat Jerman yang lain juga meningkatkan kehadiran mereka di Malaysia menerusi kerjasama dalam bahan api bio, inovasi dan pemindahan teknologi bagi bangunan mesra alam (senibina). Selain daripada itu, kursus-kursus dalam pembangunan lestari sedang diperkenalkan di universiti-universti tempatan oleh Jerman.

"Banyak yang Malaysia boleh lakukan dalam industri ini oleh kerana penjimatan tenaga bukan satu beban, tetapi satu peluang bagi pasaran baru dan peluang pekerjaan. Tenaga fosil adalah terhad, jadi tenaga yang dijimatkan adalah sumber terbaik untuk mendapatkan tenaga."

Beliau menambah kata kerajaan juga boleh menghulurkkan sokongan kepada program-program mesra tenaga, termasuk menyediakan geran penyelidikan, inisiatif eksport tenaga boleh diperbaharui, inisiatif eksport kecekapan tenaga dan yang lain.

MASA SEMAKIN SUNTUK

Sambil memandang ke arah Menara Berkembar dari pejabatnya di tingkat yang tinggi, Dr Gruber mengulas walaupun beliau berharap bahawa gelombang mesra alam akan meningkat di Malaysia, Jerman memahami bahawa setiap negara berhak untuk membangun.

"Jerman tidak akan memberitahu Malaysia apa yang perlu dilakukan. Kita akan berkongsi pengalaman dan membawa bersama mereka yang bersependapat demi kesejahteraan semua.

Jerman sanggup meneruskan usaha, dan kami mempunyai rekod untuk membuktikan komitmen mesra alam kami. Pada 2007, sebanyak 8 peratus daripada GDP kami datang daripada teknologi alam sekitar dan kami mensasarkan untuk meningkatkannya kepada 14 peratus menjelang 2020. Kami mahu mengurangkan lagi penggunaan tenaga antara 25 dan 30 peratus."

"Permintaan bagi teknologi mesra alam terus meningkat, dan lebih cepat Malaysia menyertai aliran ini, lebih baik kualiti kehidupan rakyat Malaysia. Alternatif sentiasa ada, tetapi dapatkah kita menyahut cabaran ini?".

Buat seketika, jika anda kebetulan berselisih dengan Dr Gruber berbasikal di jalan-jalan di Kuala Lumpur, jangan lupa menyapa beliau dengan mengucapkan hello, atau seperti yang dikatakan oleh orang Jerman 'Guten tag!'.

-- BERNAMA

Tuesday, January 12, 2010

Trauma tragedi hitam Bhopal



BEKAS kilang Union Carbide yang meletup dan mengakibatkan ribuan orang mati serta menghidap penyakit.


DI sebuah kawasan pembuangan bahan toksik dan sesak Arif Nagar, Bhopal, India jumlah haiwan ternakannya melebihi manusia. Kedudukannya terletak betul-betul bersebelahan bekas tapak kemalangan industri paling dahsyat di dunia yang berlaku 25 tahun lalu.

Ketika haiwan-haiwan itu cukup tennang berada di persekitaran yang beracun, para penduduk sekitar masih sukar menerima hakikat berhubung peristiwa yang berlaku pada pagi 3 Disember 1984 itu. Kepulan asap beracun memenuhi ruang udara apabila berlaku kebocoran di tangki gas kilang lama Union Carbide.

Arif Nagar dan beberapa kejiranan miskin yang berhampiran kilang tersebut bertukar menjadi sebuah kawasan perkuburan apabila penduduknya mati lemas akibat terhidu 40 tan metil isosianat iaitu bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan racun serangga.

"Mulut saya mula berbuih, mata saya besar dan merah. Saya fikir saya akan mati," kata Hamid Khan, 70, yang turut melihat dua anaknya mati di depan mata.

Dia juga mengalami kecacatan kekal pada kulit dan organ badannya rosak akibat jangkitan penyakit sehingga ke hari ini. Khan merupakan seorang buruh harian pada ketika itu, namun kesan gas dan bertahun-tahun terdedah dengan air dan tanah yang tercemar menyebabkan dia terlalu lemah untuk melakukan kerja-kerja yang biasa dilakukannya.

Kerajaan mencatatkan jumlah kematian dalam tempoh tiga hari pertama adalah 3,500 orang, tetapi data persendirian yang diperoleh oleh Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) jumlah kematian sebenar ialah di antara 8,000 hingga 10,000 orang dalam temph yang sama.

"Ramai yang tiba-tiba rebah, beratus-ratus yang lain terbaring, muntah di jalanan, tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan," kata N.R. Bhandari yang ketika itu merupakan salah seorang petugas di hospital besar di Bhopal pada tahun 1984. Dia juga mengetuai kajian yang dilakukan untuk ICMR.

Mangsa yang terselamat berkata, ulang tahun kejadian tersebut seperti menambah setahun lagi trauma fizikal dan psikologi yang berpunca daripada kecuaian kerajaan dan institusi korporat.

Kebocoran


LETUPAN gas di kilang Union Carbide mengakibatkan ramai yang tiba-tiba rebah, muntah dan tidak sedarkan diri.


Dow Chemical telah membeli Union Carbide pada 1999. Tetapi mereka menegaskan liabiliti berkaitan kemalangan itu telah diselesaikan dengan bayaran sebanyak AS$470 juta (RM1,582,715 bilion) di luar mahkamah kepada kerajaan India dalam tahun 1989.

Insiden yang dianggap tragedi paling dahsyat dan terus membangkitkan kemarahan meskipun selepas 25 tahun berlalu, syarikat terbabit komited untuk memberi bantuan kepada mangsa dan mencari cara terbaik bagi mempermudahkan tuntutan penduduk.

Syarikat terbabit menegaskan kebocoran tersebut berpunca daripada sabotaj dan menekankan bahawa kerajaan yang menguruskan kawasan tersebut sedekad lalu sepatutnya bertanggungjawab membersihkan baki sepuluh tan sisa toksik yang berbaki.

Bagaimanapun, aktivis dan mangsa mengecam tindakan Menteri Alam Sekitar India, Jairam Ramesh ketika melawat tapak kejadian awal tahun lepas yang mengenggam segumpal tanah yang tercemar dengan tangannya dan menyatakan dia masih sihat.

"Kerajaan tidak sensitif. Mereka tidak tahu apa yang berlaku kepada anak-anak kami," kata Mamta Sen sambil memegang anaknya yang mengalami kecacatan otak.

ICMR yang melakukan kajian kesan pada kesihatan akibat kejadian tersebut, namun kerajaan telah mengarahkannya dihentikan tahun 1994. Lebih malang, kebanyakan kajian tidak disiarkan dan Bhandari menyifatkannya sebagai jenayah bahan buangan saintifik.

"Ahli birokrat tidak memahami perihal kesihatan, tapi masih ingin menguasai kesemuanya.

"Kajian tersebut patut diteruskan supaya dapat melihat kesannya untuk jangka masa panjang," kata Bhandari.

Kecacatan


AKTIVIS melaungkan agar keselamatan pekerja di kilang gas lebih terjamin sempena memperingati 25 tahun kejadian gas bocor di Bhopal, India.


Mangsa yang selamat menderita pelbagai jenis penyakit antaranya masalah pernafasan, buah pinggang, ketidakseimbangan hormon, penyakit mental dan kanser. Generasi baru juga tidak terkecuali daripada menggunakan air bawah tanah yang tercemar dan susu ibu yang beracun yang mereka minum sejak lahir.

Sehingga hari ini, kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan pada tangan dan kaki, sistem imun yang lemah, tumbesaran terbantut dan kecacatan kongenital.

Kerajaan memberi pampasan sebanyak AS$1,000 (RM3,367) hingga AS$2,000 (RM6,734.96) setiap seorang. Namun, peruntukan tersebut semakin kekeringan setelah bertahun membayar peruntukan jangka masa panjang.

Kajian ICMR menunjukkan 25,000 orang mati akibat pencemaran gas beracun itu. Statistik kerajaan pula menunjukkan 100,000 orang menghidap sakit kronik dengan lebih 30,000 tinggal di kawasan yang tercemar.

Walaupun kerajaan telah membina sistem paip yang baru untuk membekalkan air minuman yang bersih namun ia tidak konsisten. Mereka sering bergantung kepada pam tangan yang mengeluarkan air yang kotor.

"Jika bekalan tidak mencukupi, kami tidak mempunyai pilihan untuk mengambil air daripada tanah walaupun kami tahu ia membuatkan kami sakit," kata Sisupal Yadav sambil menyingsing lengan baju menunjukkan ruam di tangan.

Mangsa yang terselamat berasa marah apabila kerajaan mengumumkan untuk membuka semula kilang itu kepada pengunjung yang mahu melihat bekas tapak tragedi tersebut.