BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, August 10, 2010

Saintis minta manusia hidup di planet lain

STEPHEN HAWKING

--------------------------------------------------------------------------------



LONDON - Pakar astrofizik, Stephen Hawking, 68, memberi amaran bahawa bangsa manusia perlu membuka penempatan baru di angkasa lepas dalam tempoh dua kurun lagi atau berdepan risiko pupus, lapor sebuah akhbar semalam.

Pakar astrofizik terkenal itu berkata, satu-satunya peluang untuk mengekalkan kesinambungan manusia adalah dengan membuka penempatan baru di planet-planet asing.

"Saya melihat bahaya menunggu umat manusia. Sebelum ini, sudah beberapa kali kita diancam kepupusan. Sebagai contoh, krisis peluru berpandu nuklear Cuba pada 1963," kata Hawking.

"Populasi manusia meningkat dan sumber asli di bumi terhad. Kita pula mengubah alam sekitar yang mendatangkan risiko manusia itu sendiri," tambahnya.

Menurut Hawking, adalah sukar bagi umat manusia mengelak bencana dalam masa 100 tahun akan datang, inikan pula untuk tempoh 1,000 tahun atau sejuta tahun.

"Satu-satunya peluang untuk selamat adalah untuk tidak kekal di bumi, tetapi memulakan kehidupan di angkasa lepas," jelasnya. - Agensi

Thursday, August 5, 2010

Malang terumbu karang Cabo Pulmo


CABO PULMO hanya menerima kumpulan kecil pelancong lantaran kemudahan pelancongan yang agak terhad.


TERUMBU karang berusia 20,000 tahun yang merupakan satu-satunya terumbu karang di Teluk California sedang berdepan ancaman kemusnahan berikutan rancangan satu projek pembangunan pelancongan mega di kawasan pantai Cabo Pulmo.

Ia sekali gus dijangka memberi kesan besar terhadap beribu-ribu hidupan marin di Mexico.

Suatu ketika dulu, kebanyakan orang hanya mendengar berita dari mulut ke mulut tentang kecantikan Cabo Pulmo, iaitu sebuah pantai dara kerana masih belum diteroka pelancong.

Beberapa tahun ini Cabo Pulmo mula menerima sedikit demi sedikit kehadiran pelancong yang datang dari destinasi percutian berdekatan iaitu Cabo San Lucas.

Cabo Pulmo terletak kira-kira dua jam dari utara Cabo San Lucas.


DASAR laut Cabo Pulmo menyimpan pelbagai khazanah marin unik.


Cabo San Lucas sememangnya tidak asing lagi di kalangan pelancong apabila hotel dan rumah-rumah agam mewah menghiasi pantainya.

Kini, Cabo Pulmo juga bakal bertukar wajah apabila kerajaan Mexico meluluskan pembangunan mega di situ.

Pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Lenny McCarl memberitahu, dia mendapat tahu mengenai Cabo Pulmo melalui keluarga teman wanitanya yang datang ke Cabo San Lucas pada bulan Jun lalu.

"Saya sukakan tempat terpencil seperti ini. Anda hanya perlu memandu selama dua jam dari Cabo San Lucas yang mempunyai jarak perjalanan sejauh 130 kilometer (80 batu)," katanya sambil berdiri menghadap laut.

Pagar kawat

Tidak jauh dari tempat McCarl berdiri kelihatan pagar kawat mengelilingi sebuah kawasan sekitar 4,000 hektar (10,000 ekar) tanah.

Ia dipercayai bakal menjadi tapak kepada beberapa ribu bilik hotel dan kondominium yang akan dibina dalam lima fasa untuk tempoh 25 tahun.

Pelan pembangunan berharga AS$500 juta (RM1.6 bilion) itu termasuk membina sebuah bandar untuk pelancong, lapangan terbang untuk pesawat peribadi dan padang golf mewah.

Penduduk setempat dan kumpulan pencinta alam berpendapat saiz projek itu yang terlalu besar akan memberi impak bukan sahaja kepada kawasan tanah dan pesisir pantai, bahkan hidupan marin.


MEXICO mahu memajukan Cabo Pulmo sebagai destinasi percutian untuk menyuntik kembali industri pelancongan negara itu.


Terumbu karang berusia beribu-ribu tahun yang menjadi penghuni setia teluk itu adalah antara mangsa yang pasti terancam.

"Kerajaan memekakkan telinga dan membiarkan projek itu diluluskan dan berjalan seperti biasa. Mereka melihat seolah-olah tiada apa-apa akan berlaku," kata Enrrique Castro salah seorang penduduk yang tinggal di penempatan tersebut sejak lima generasi lalu.

Penduduk di situ sendiri sudah sekian lama menghentikan kegiatan menangkap ikan secara komersial demi survival marin Cabo Pulmo. Malah, mereka menghabiskan masa selama hampir 15 tahun berkorban mengubah kebiasaan mereka untuk memelihara khazanah di situ.

Aktiviti menangkap ikan hanya dijalankan secara kecil-kecilan untuk makanan harian bukan untuk dijual kata Castro.

"Cabo Pulmo kaya dengan hidupan marin sehingga pernah digelar sebagai Dunia Akuarium oleh seorang pelayar Perancis, Jacques Cousteau," kongsinya lagi.

Demi ekonomi Mexico

Bagaimanapun salah sebuah syarikat Sepanyol, Hansa Urbana yang telah mendapat permit untuk memulakan pembinaan bangunan bernama Cabo Cortes membuat kenyataan bahawa mereka sudah menjalankan pelbagai langkah untuk memastikan alam sekitar terpelihara.

Tindakan yang dilakukan, termasuklah larangan memasang lampu di kawasan pantai bagi mengelakkan gangguan ke atas penyu yang mendarat sekaligus boleh mengancam populasi haiwan itu. Tidak ketinggalan penggunaan air yang dikitar semula dan tenaga solar.


KEINDAHAN terumbu karang Cabo Pulmo pasti menggoda pencinta aktiviti menyelam dan snorkeling.


"Ini menyebabkan projek yang dijalankan itu, kini 40 peratus lebih mahal," kata salah seorang wakilnya, Sergio Tabansky kepada AFP, di Mexico City.

Lebih 60 peratus tanah akan dibiarkan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, ujar Tabansky yang mengakui gelaran sebuah kawasan pelancongan mesra alam adalah baik untuk menarik pelancong.

"Kami mahu Mexico memberi peluang pekerjaan kepada warganya," tambah Tabansky yang melihat negara itu masih bergelut mengatasi krisis ekonomi sejak beberapa tahun ini.

Berdasarkan statistik Kementerian Pelancongan Mexico baru-baru ini, kesan wabak selesema babi (H1N1) dan krisis global mengakibatkan penurunan 1.1 juta pelancong tahun lalu berbanding tahun 2008 dengan kerugian sebanyak AS$2 bilion (RM6.3 juta).

"Pembangunan tidak dapat dielakkan, namun apa yang boleh dilakukan adalah tidak menggunakan terma negatif yang boleh memburukkan pembangunan itu," kata Alejandro Gonzalez yang mengurus Taman Marin Cabo Pulmo untuk Kerajaan Mexico.