BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, December 28, 2011

Artik beri isyarat kecemasan


TIGA ekor singa laut berehat di atas ketulan ais yang terpisah dari bongkas ais besar.


LEGENDA Titanic, sebuah kapal British paling gah rekaan Thomas Andrew akhirnya karam pada tahun 1912 akibat terlanggar bongkah ais.

Pasti ramai yang mengetahui sejarah sedih di lautan Atlantik ini yang meragut beribu-ribu nyawa. Malah cerita itu yang difilemkan semula beberapa kali dan mencapai kejayaan 'box office' dalam setiap tayangannya satu masa dulu.

Kisah tenggelamnya kapal British hasil rekaan Ketua Jabatan Reka Bentuk sebuah syarikat pembinaan kapal, Harland & Wolff itu dikatakan tidak akan tenggelam sehingga ia digelar 'The Unsinkable Ship' oleh setiap individu yang mengkaguminya.

Namun, sesiapapun pasti tidak dapat menyangkal kehebatan kuasa alam apabila ia berjaya 'merebahkan' sebuah kapal muatan 3,547 penumpang pada satu-satu masa itu.

Bongkah ais padu yang terapung di atas permukaan air akhirnya membaham keagungan Titanic sekali gus menjadikan ia sebagai sebahagian daripada kisah sejarah dunia.

Melihat kepada bongkah ais yang menjadi medium 'pemangsa', tiada siapa terfikir bahawa kehebatannya itu akan lenyap suatu hari nanti.

Faktor utama tentunya isu pemanasan global yang menjadi ancaman kepada pencairan bongkah ais itu yang tidak dinafikan mampu lenyap hanya dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun akan datang.

Kerana itu hasil kajian yang dibuat sekumpulan pakar penyelidikan dalam siri jelajah mereka selama 73 hari di kutub utara (Artik) pada musim bunga lalu benar-benar membimbangkan.

Artik adalah rantau sekitar Kutub Utara, bertentangan dengan benua Antartika sekitar Kutub Selatan. Di hemisfera utara, Artik termasuklah Lautan Artik (yang bertindih dengan Kutub Utara) dan bahagian-bahagian Kanada, Greenland (sebuah wilayah Denmark), Rusia, Amerika Syarikat (Alaska), Iceland, Norway, Sweden dan Finland.

Ekspedisi ke Artik yang diketuai pengembara veteran bernama Pen Hadow bersama-sama dua rakannya dari Britain, Martin Hartley dan Ann Daniels itu meramalkan, kemungkinan besar kutub utara tidak lagi akan dilitupi ais dalam tempoh satu dekad.

Malah, jika senario 'bongkah ais lenyap' itu terjadi, pasti ia akan mencetuskan fenomena baru apabila Artik bertukar menjadi lautan terbuka, tanpa susunan bongkah-bongkah ais yang mencipta satu pemandangan unik di muka bumi ini.

Menurut Ketua kumpulan fizik lautan kutub dari Universiti Cambridge, United Kingdom (UK), Profesor Peter Wadhams, berdasarkan hasil pemantauan dan ukuran yang dijalankan, purata ketebalan ais di Artik boleh mencecah sehingga dua atau tiga meter.

Namun apabila ia berpadu dengan bahagian ais mampat puratanya boleh mencecah 4 atau lima meter. Jumlah ini berbeza dengan purata ketebalan ais di Antartika di mana ais hanya boleh 'bertahan' sehingga satu atau dua meter sahaja.

''Purata ketebalan 2 meter menyamai ais yang dibentuk dalam satu tahun, dan ia terdedah kepada risiko kecairan pada musim panas. Tetapi, apa yang membimbangkan ialah ais yang terbentuk lebih daripada satu tahun lalu kini didapati menipis dengan kadar yang cepat.

''Ia sekali gus menunjukkan satu contoh konkrit berhubung fenomena perubahan global. Dengan sebahagian besar kawasan kini dilitupi ais tahun pertama, jelas sekali Artik kini diancam bahaya.

''Kawasan itu semakin menjadi laut lepas setiap kali musim panas tiba, tidak mustahil lambat laun ais di laut akan hilang sepenuhnya," katanya.

Fenomena

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan kerana ia telah pun disuarakan oleh para pengkaji sejak bertahun-tahun yang lalu apabila manusia tidak lagi mengendahkan 'jeritan' dan 'kesakitan' bumi sehingga planet biru ini mula bertindak balas terutama terhadap pemanasan global sejak awal tahun 1940-an.

Isu perubahan cuaca dunia merupakan ancaman besar kepada kehidupan bumi. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, maka kita terpaksa bersiap-sedia untuk berhadapan dengan pelbagai bencana alam yang sukar diramal.

Simptom-simptom ini sebenarnya telah kelihatan. Antaranya, catatan suhu udara di Lautan Artik telah mencapai sehingga 4 darjah celsius di atas paras normal antara Oktober hingga Disember 2008 sekali gus mencetuskan tanda tanya di kalangan para pengkaji yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Berdasarkan laporan Pusat Ais dan Salji Amerika Syarikat (AS) setakat 6 Oktober lalu, litupan ais pada musim panas tahun ini di Artik merupakan yang ketiga terkecil mengikut laporan berbanding pada tahun-tahun sekitar 1979 - 2006 dan laut Artik kini semakin menyusut kira-kira 11.2 peratus pada setiap dekad.

Mungkin ia kedengaran seperti tidak banyak. Tunggu dulu. Mungkin fakta ini akan mengubah tanggapan anda dimana sebenarnya peratusan itu menyamai kira-kira 1.68 juta kilometer per segi litupan ais yang hilang di permukaan Artik.

Jumlah sebenar litupan ais telah semakin menipis dalam masa kurang dari satu tahun. pada tahun 2008, kehilangan ais di Artik mencatatkan peratusan di angka sembilan, satu penurunan mendadak berbanding pada tahun 2007 (21 peratus), yang dikatakan tahun di mana Artik mencair paling drastik.

Jadi, bayangkan pula apa yang tinggal sekiranya permukaan ais di Artik berkurangan dari tahun ke tahun.

Para pengkaji mendapati ais 'tua' yang terdapat di Artik hanya tinggal 19 peratus sahaja berbanding pada tahun antara 1981 hingga 2000 di mana kewujudannya masih tinggal sebanyak 52 peratus sebelum ketebalan ais semakin mengecil kepada 0.68 meter antara tahun 2004 hingga 2008. Sudah tentu ini benar-benar membimbangkan.

Jika diteliti pada statistik ketebalan dan litupan ais itu, anda pasti sudah mampu membuka mata untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku.

Secara saintifik, para pengkaji berpendapat, fenomena itu kemungkinan berkait rapat dengan perbezaan iklim kawasan, selain faktor kalendar musim serta aktiviti manusia yang menyumbang kepada pemanasan global.

Bahkan, menurut hasil penelitian Ahli ekologi ekosistem daripada Institut Kajian Penggunaan Daratan Macaulay, United Kingdom (UK), Dr.Martin Sommerkorn, isu kecairan ais di Artik jika tidak ditangani segera ia akan mengakibatkan separuh daripada populasi dunia terjejas, selain berlakunya peningkatan pengeluaran gas rumah hijau termasuk perubahan cuaca keterlaluan secara global.

Ini kerana, katanya, Lautan Artik merupakan posisi utama dalam sistem iklim bumi dan sama ada sedar atau tidak, bongkah-bongkah ais yang semakin mencair kini turut memberi respons negatif kepada iklim bumi dan kesannya adalah jauh lebih daripada terhadap Artik semata-mata.

Menurut Sommerkorn, ibarat sebuah cermin, ais di Artik berfungsi memantulkan semula haba matahari ke angkasa. Malah, ketika ais membeku, laut Artik menyerap lebih banyak haba dan ini sekali gus menyumbang kepada masalah pemanasan global yang menuntut perhatian daripada seluruh penduduk dunia.

litupan ais

Penasihat Kanan Perubahan Iklim Tabung Hidupan Liar (WWF) itu juga berkata, statistik akhir berhubung litupan ais paling minimum di Artik untuk tahun ini berkemungkinan hanya tinggal 4.13 juta kilometer persegi berbanding tahun lepas.

''Apabila bercakap mengenai litupan ais di musim panas, kita jangkakan 2008 merupakan tahun sama ada yang paling rendah atau kedua terendah berbanding tahun sebelumnya.

''Ini bermakna, rekod rendah dicatatkan selama dua tahun berturut-turut sejak pihak kami mula merekodkan litupan ais di Artik. Perubahan ini lambat laun jelas akan memberi kesan kepada manusia yang tinggal secara tradisi di Artik yang bergantung kepada sumber ekosistem yang sihat.

"Selain Artik, dilema yang sama turut sedang membelenggu benua Antartika di mana satu laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Saintifik Penyelidikan Antartika (SCAR) AS menunjukkan bahawa ais di kawasan itu semakin berkurangan sehingga 27,000 kilometer per segi sejak direkodkan 50 tahun lalu," katanya.

Di saat ini, pasti terlintas di fikiran anda bagaimanakah keadaan dan nasib penduduk dunia sekiranya ais di Artik dan Antartika lenyap dari pandangan.

Perkara ini tidak mustahil kerana berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan oleh pakar di seluruh dunia, jika ais di kedua-dua kutub ini cair sepenuhnya dalam tempoh yang diramalkan, ia akan menyebabkan paras air laut meningkat melebihi 68 meter dan mampu menenggelamkan kira-kira 13 juta kilometer persegi daratan yang sedia ada.

Tatkala ini, dunia mungkin terpaksa mengucapkan 'selamat tinggal' kepada negara-negara terjejas seperti Bangladesh, utara Eropah, sebahagian Siberia, Amazon, tanah besar China termasuk sebahagian kawasan daratan di tenggara AS. Bukankah ini sesuatu yang menakutkan?

Menyedari hal ini, kerajaan di seluruh dunia tanpa berlengah bersatu mengadakan rundingan baru untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bermula 2013 bagi merangka dasar berhubung langkah-langkah menangani perubahan iklim dunia memandangkan fasa pertama yang dikenali sebagai Protokol Kyoto bakal tamat pada Disember 2012.

Selain perlu dipercepatkan, pemimpin-peiminpin dunia juga perlu mendapatkan persetujuan daripada kesemua 191 buah negara berhubung perjanjian baru yang akan diadakan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copanhagen, Denmark pada Disember ini.

Perkara ini turut ditekankan oleh Pengarah Besar Antarabangsa WWF, James Leape, yang berharap dasar baru itu kelak dapat mewujudkan satu jalinan usahasama dari seluruh dunia, terutamanya dari negara-negara membangun untuk bersama-sama mengambil apa sahaja langkah bagi menangani isu ini.

Bagaimanapun, harapan tanpa usaha bersama sebagai individu prihatin pastinya tidak akan mendatangkan sebarang impak terhadap perkembangan positif dalam masalah ini.

Apa yang diharapkan ialah seluruh umat manusia di muka bumi ini dapat memainkan peranan masing-masing, walau sekecil hama sekali pun demi memastikan dunia tidak terus 'tenggelam'.

Kini, sudah tiba masanya untuk kita membuka mata dan telinga bagi mendengar signal kecemasan yang disampaikan oleh Artik dan berbuat sesuatu kerana tentunya kita tidak mahu 'dunia putih' ini terus lenyap dan menjadi salah satu mimpi ngeri buat setiap hidupan di planet biru ini.

Persoalannya, bersediakah kita?

Utusan Malaysia Online - Impak Alam

ARKIB : 25/11/2009

0 comments: