BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, February 24, 2011

Gempa Bumi di Christchurch

Gambar Christchurch sejurus selepas gempa

HOTEL Carlton yang bersejarah musnah dalam gempa bumi di Christchurch pada Selasa lalu.

CHRISTCHURCH, New Zealand – Beberapa buah akhbar semalam menyiarkan gambar situasi di bandar ini beberapa saat selepas gempa bumi berlaku pada Selasa lalu.

Gambar itu menunjukkan debu menyelubungi bandar tersebut.

Dalam gempa bumi itu, seramai 98 orang disahkan terbunuh manakala 299 orang lagi masih hilang.

Pasukan penyelamat New Zealand enggan menghentikan usaha bagi mencari mangsa-mangsa gempa bumi yang masih hidup semalam di sebalik harapan kini tipis untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang dikhuatiri terperangkap.

“Kita tidak boleh berputus asa kerana di seluruh dunia apabila berlaku bencana seperti ini kita turut menyaksikan keajaiban apabila terdapat mangsa yang berjaya dikeluarkan selepas berhari-hari terperangkap,” kata Perdana Menteri John Key dalam satu wawancara dengan stesen televisyen TV3.

Gempa bumi itu sekuat 6.3 pada skala Richter yang dianggap yang terkuat selepas gempa bumi 7.0 pada skala Richter pada September lalu tetapi ia tidak melibatkan kematian walaupun 100,000 buah bangunan rosak. – Agensi

Wednesday, February 23, 2011

Gempa bumi di Chrischurch

Christchurch macam zon perang

ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat berusaha mengesan mangsa gempa yang tertimbus dalam runtuhan selepas gempa bumi di Christchurch, New Zealand semalam.

KUALA LUMPUR – Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter melanda wilayah itu pukul 12.51 tengah hari waktu tempatan kelmarin (waktu Malaysia pukul 8.19 pagi semalam).

“Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak,’’ kata Abdullah Mohd. Nawi ketika dihubungi Bernama.

Pelajar ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Canterbury itu sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.

“Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan.

Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat.

Kejadian gempa yang melanda itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai lagi terperangkap di celah-celah runtuhan.

Thursday, February 3, 2011

Hemisfera Utara diliputi salji

Hemisfera Utara diliputi salji

BEBERAPA buah kereta diliputi salji di Chicago kelmarin.

WASHINGTON - Imej yang disiarkan Persatuan Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menunjukkan Hemisfera Utara termasuk Amerika Utara diliputi salji sejak 29 Januari lalu, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Dalam imej itu, salji menyelubungi sejumlah besar kawasan dari pantai barat Kanada hingga ke timur China.

Imej itu disiarkan ketika bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Al-Gore mempertahankan dakwaan bahawa salji tebal yang melanda AS disebabkan oleh pemanasan global.

Al-Gore dalam blognya, Al's Journal pada Selasa lalu menyatakan bahawa pemanasan global bukan sahaja penyebab kemarau tetapi juga ia boleh mencetuskan ribut salji.

Sementara itu, salji masih melanda di 30 buah negeri di AS kelmarin dengan ketebalan salji kurang 60 sentimeter di kawasan pertengahan barat AS.

Puluhan juta orang terpaksa berkurung di dalam rumah manakala di Chicago, salji setebal 51 sentimeter mencipta rekod sebagai yang ketiga paling tebal dalam sejarah.

Di Taman Central New York, kawasan-kawasan lorong kecil umpama gelanggang luncur akibat cuaca terlalu sejuk. - Agensi

Wednesday, February 2, 2011

Ribut Salji Di AS

Ribut salji lumpuhkan AS

SEORANG penduduk mengayuh basikal dalam hujan salji di Milwaukee, Wisconsin semalam.

WASHINGTON - Berjuta-juta warga Amerika Syarikat (AS) terputus bekalan elektrik apabila ribut salji yang dikatakan lebih hebat daripada fenomena sama pada tahun 1967 melanda lebih 30 buah negeri dan memberi kesan kepada satu pertiga penduduk di AS semalam.

Ribut salji itu menyebabkan banyak lapangan terbang, sekolah, kolej dan pejabat pentadbiran ditutup.

Ais dilihat meliputi jalan raya Chicago.

"Jangan pergi ke mana-mana. Duduk di dalam rumah. Angin kencang dan salji tebal membuatkan perjalanan hampir mustahil," jelas satu mesej daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) menggesa orang ramai supaya bersiap sedia untuk menghadapi cuaca buruk itu.

Presiden AS, Barack Obama telah diberi taklimat tentang kejadian ribut itu dan pelan-pelan bantuan kecemasan sedang disediakan.

Pakar meteorologi, Jeff Johnson yakin ribut salji itu akan melumpuhkan sistem pengangkutan selama beberapa hari. Hampir 6,000 penerbangan terpaksa dibatalkan.

Keadaan ini dijangka mengakibatkan huru-hara apabila perkhidmatan penjadualan semula terpaksa dibuat seperti mana yang berlaku ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru yang lalu. - Agensi