BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, March 24, 2011

Lingkaran musibah
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/30

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    Bekas tapak perkampungan di Mentawai selepas dilanda tsunami Isnin lalu.

Gempa bumi, tsunami dan letusan Merapi melanda Indonesia hampir serentak

ANDAI mahu diukur dari segi kedudukan, kestabilan muka bumi dan kekerapan ditimpa bencana alam, Indonesia mungkin paling layak berada di tempat teratas senarai negara paling tidak selamat untuk diduduki. Jika diteliti, sukar rasanya untuk republik itu melepasi tempoh setahun tanpa ada satu pun bencana mencelah.
Namun apa yang dihadapi negara jiran itu kali ini sesuatu yang jauh berbeza daripada kebiasaan kerana tiga musibah datang hampir serentak. Semuanya kerana kedudukan republik berkenaan dalam Lingkaran Api Pasifik.
Isnin lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di Sumatera, sekali gus mencetuskan tsunami dan keesokannya pula, Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius.

Setakat Khamis lalu, bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dan mencipta ombak besar setinggi tiga meter dilapor melenyapkan beberapa kampung dan mengorbankan hampir 300 nyawa manakala angka korban angkara gunung berapi Merapi mencecah puluhan orang.

Pakar gunung berapi berkata, ketika mereka tidak boleh menidakkan letusan lebih ganas, ia mungkin berterusan sebagai siri letupan kecil seperti yang berlaku Selasa lalu.

“Jika keadaan berterusan seperti ini untuk beberapa waktu, kita akan melihat letusan yang perlahan dan panjang,” kata penyelidik gunung berapi, Gede Suantika.
Seperti Kepulauan Aleutian di Alaska yang bertaburan dengan gunung berapi, kepulauan Indonesia juga terletak di sempadan bawah laut antara dua plat paling besar dalam kerak bumi.

Dalam kes Indonesia, kerak plat Australia terletak di bawah kerak plat Eurasia yang membentuk kubu Sunda. Pergeseran kedua-dua plat memanaskan batu ke tahap cair, membekalkan magma yang membesar untuk membentuk gunung berapi serta mencetuskan gempa bumi.

Zon sama mengeliling Pasifik, mewujudkan rangkaian gunung berapi yang memanjang dari Andes sehingga Pasifik Barat, lalu membentuk Lingkaran Api.

Risiko keseluruhan rantau itu membuatkan sebahagian pakar gempa bumi berjaga sepanjang malam kerana ia juga mengandungi sebahagian zon yang membentuk ketegangan selama lebih 200 tahun. Jika ia dibebaskan dalam satu keadaan, gempa boleh mencecah 8.5 pada skala Richter yang boleh mencetuskan gempa bumi amat kuat.

Bahagian itu berpusat di bawah Pulau Siberut di Padang. Pada September 2009, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda persisiran pantai Padang.

Sekali pandang, ia menepati corak gempa bumi pada ukuran sama yang berlaku sepanjang bahagian lain di pantai itu sejak 2004 apabila gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter menggegarkan utara Sumatera, menyebabkan anggaran 231,000 kematian secara langsung atau tidak langsung kerana tsunami yang merebak ke seluruh Lautan Hindi.

Sebahagian penyelidik berkata, mereka mengesyaki siri apa yang dikatakan gempa bumi lemah yang mewakili zon berkenaan sekadar menyesuaikan diri untuk berubah dalam corak tekanan yang disebabkan gegaran pada 2004.

Bagaimanapun, menurut sepasukan pakar gempa bumi yang berada di situ, gegaran pada 2009 tidak memberi kesan dalam mengurangkan ketegangan yang sudah terbina selama 200 tahun.

Menulis dalam jurnal Nature Geoscience, Januari lalu, pasukan berkenaan memberi amaran bahaya gempa bumi berukuran lebih 8.5 pada skala Richter masih ada di sepanjang segmen di Padang.

Sebarang harapan gempa bumi Isnin lalu mungkin mengurangkan ketegangan, nyata tersasar. Berdasarkan maklumat awal mengenai lokasi dan kedalaman pecahan, gempa itu berlaku amat jauh daripada ketegangan yang tercetus berhampiran Padang.

Indonesia dikelilingi pulau yang dianggarkan berjumlah 17,504 buah dan dengan kedudukan geografi yang meletakkan republik itu di titik pertembungan tiga plat yang mempunyai pergerakan tersendiri dengan arah bertentangan, lalu menyebabkan kumpulan tenaga tidak boleh dibendung, sekali gus mencetuskan gempa bumi.

INFO: Tragedi bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Indonesia

  • Gempa bumi Toba di Sumatera Utara
    Gempa bumi gunung berapi yang dianggap terbesar dalam sejarah dunia berlaku kira-kira 450,000 tahun lalu. Ia disebabkan aktiviti magma yang selalunya berlaku sebelum letusan gunung berapi. Aktiviti yang semakin memuncak akan menyebabkan letupan yang juga mengakibatkan gempa bumi. Kesan gempa bumi itu membentuk Danau Toba yang kini terkenal sebagai destinasi pelancongan.

  • Gempa bumi di Jawa
    Juga gempa bumi gunung berapi yang berlaku di pergunungan Jawa Timur dengan ukuran 6 hingga 6.8 pada skala Richter, kira-kira 1,770 tahun lalu. Gegaran menyebabkan letusan Gunung Sumeru dan tragedi ini meragut 6,000 nyawa serta menghasilkan hujan debu selama empat hari di seluruh kawasan tengah hingga Jawa Timur. Gunung Sumeru dianggap gunung berapi paling aktif sehingga sekarang.

  • Gempa bumi 25 November 1833
    Ia menyebabkan wujudnya segmen Kubu Sumatera di sepanjang 1,000 kilometer di tenggara. Perkara sama berlaku dalam gempa bumi pada 26 Disember 2004. Ia mencetuskan tsunami yang melanda pantai barat Sumatera, kawasan paling hampir dengan pusat gegaran ialah Pariaman hingga Bengkulu.

  • Letusan gunung berapi Krakatoa
    Apabila Krakatoa meletup pada Ogos 1883, ia menyamai kuasa bom atom. Letusan dapat didengar sehingga beribu kilometer, menggegarkan seluruh Lautan Pasifik, menyebabkan seluruh ‘pulau Krakatau’ tenggelam dan turut membawa bersama 100 pulau sekitarnya. Bencana itu membunuh 36,000 orang, kebanyakannya disebabkan tsunami. Debu letusan sampai hingga ke New York, menyebabkan penurunan suhu seluruh dunia untuk tempoh hingga setahun.
  • Impak Tsunasi Jepun

    Bumi berubah


    Oleh Hazirah Che Sab
    zeehan@bharian.com.my
    2011/03/24

    • Foto

    • Foto

    • Foto

    Gempa Jepun ubah landskap, diramal cetus Zaman Ais baru

    BELUM pun igauan ngeri tsunami yang melanda Aceh pada 26 Disember 2004 terhapus sepenuhnya, kita dikejutkan sekali lagi kehadiran bencana yang melumpuhkan Jepun dalam sekelip mata, minggu lalu.
    Bermula dengan gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter jam 2.46 petang waktu tempatan, tsunami pula menyerang dengan kelajuan kira-kira 800 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 10 meter. Malah ketika rencana ini ditulis, selain berdepan ancaman gempa susulan, Jepun turut dihimpit krisis mengawal kebocoran radiasinya apabila tahapnya 10 kali ganda lebih tinggi daripada biasa, berikutan impak gempa bumi kategori mega itu. Lebih menyayat hati, harapan menemui mangsa yang terselamat terus pudar dengan angka korban dan mereka yang hilang, lebih 12,000 orang.
    Namun, hakikatnya, gempa bumi terbesar di Jepun dan kelima terbesar dalam sejarah dunia itu bukan hanya menambah fakta mengenai bencana tetapi turut mengubah landskap dan perjalanan bumi ini.

    Di Jepun saja, gempa itu menyebabkan Kepulauan Honshu, yang juga bahagian paling besar di negara itu, berganjak sehingga 2.4 meter.

    Tidak cukup itu, paksi bumi pula menyendeng 25 sentimeter dan mempercepatkan kadar putaran bumi lebih sejuta mikro saat.

    Perubahan lain termasuk sejumlah kerak bumi jatuh menjunam ke dalam retakan atau rekahan sepanjang 402 kilometer yang membuka jurang seluas 9.6 kilometer di bawah Lautan Pasifik. Impak ini seperti diakui saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi yang melanda Sumatera, sebelum ini.

    Pakar fizik di City College of New York di Amerika Syarikat, Michio Kaku, pula melontarkan andaian kemungkinan gempa kuat yang mengubah paksi bumi boleh menjadi punca berlakunya Zaman Ais.

    “Impak gempa bumi 9.0 dalam kategori mega itu turut menyebabkan pengagihan semula sejumlah besar kerak bumi, memendekkan hari, selain mengubah paksi bumi dan mempercepatkan pusingan.

    “Namun, ketika kepantasan putaran bumi dijangka tidak memberi kesan jangka sederhana atau panjang, perubahan paksi mungkin ada impaknya, termasuk menjadi punca pembentukan Zaman Ais.

    “Masih ada perdebatan saintifik mengenai apa yang menyebabkan zaman itu tetapi teori utama ialah gangguan kecil pada paksi bumi ketika ia mengelilingi matahari. Perubahan kecil ini yang menggoyangkan paksi dan mungkin menyebabkan Zaman Ais,” kata Kaku yang dipetik media antarabangsa, baru-baru ini.

    Zaman Ais atau tempoh glasier ini berlaku secara tidak tetap sejak lebih dua bilion tahun. Pada zaman Ais, lapisan ais terbentuk di sebahagian besar benua atau muka bumi ini dan biarpun punca sebenar perubahan dunia itu tidak diketahui, ada saintis yang mengaitkannya dengan perubahan putaran bumi.

    Selain itu, pakar geofizik Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Richard Goss, pula berkata, perubahan yang menyebabkan putaran bumi pada kadar 1.8 juta setiap saat atau 1.8 mikrosaat, adalah satu isu kekal yang perlu dihadapi manusia sejagat.

    Saintis Britain, Bethan Harris, sebaliknya menyifatkan impak itu sememangnya ada tetapi amat minimum.

    “Ia kedengaran banyak tetapi kecil berbanding saiz bumi. Perubahan satu darjah paksi bumi bermakna ia bergerak kira-kira 110 kilometer.

    “Bagaimanapun, ia tidak berhenti di situ. Bentuk muka bumi Jepun bergerak sebanyak empat meter. Selepas gempa bumi itu, berkemungkinan hari yang kita lalui 1.8 juta sesaat lebih pendek disebabkan perubahan itu.

    “Kita dapat melihat perubahan itu dalam purata panjang hari disebabkan perubahan lain di bumi dan atmosfera,” katanya.

    Seorang lagi pakar geofizik Barat, Richard Gross, pula berkata paksi Bumi tidak sama dengan paksi utara-selatan di ruang angkasa yang berputar sekali sehari pada kelajuan kira-kira 1,604 kilometer sejam.

    Hakikatnya, ini bukan kali pertama gempa bumi besar mengubah tempoh sehari bumi iaitu 24 jam. Malah ia semakin pendek disebabkan gegaran kuat sebelum ini. Buktinya, gempa bumi berukuran 8.8 pada skala Richter di Chile tahun lalu turut meningkatkan putaran bumi dan memendekkan hari kepada 1.26 mikrosaat manakala gempa bumi 9.1 pada skala Richter di Sumatera pada tahun 2004 memendekkan hari kepada 6.8 mikrosaat.

    Apa yang membimbangkan, ada kalangan saintis ini turut mendakwa impak gempa bumi di Jepun itu mungkin belum lengkap sepenuhnya kerana gegaran susulan yang lemah turut berupaya mengubah panjang hari. Sekurang-kurangnya 20 gegaran susulan berukuran antara 6.0 pada skala Richter atau lebih dilaporkan berlaku.

    Pakar gempa bumi Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat, Dr Daniel McNamara, juga memberi amaran gegaran itu menenggelamkan paras bentuk muka bumi Jepun dan menjadikan sebahagian negara itu kekal di bawah paras laut.

    Lima bandar zon gempa

    Gempa bumi Jepun minggu lalu turut mendedahkan risiko yang boleh dialami bandar berpenduduk padat terutama di kawasan berisiko tinggi seperti di sepanjang garisan gelinciran.

    Berikut lima bandar raya paling berisiko dilanda musibah dahsyat disebabkan kedudukannya yang mana tiga daripadanya di Amerika Syarikat.

  • Tokyo, Jepun
    Wujud betul-betul di persimpangan tiga plat tektonik iatu Plat Amerika Utara, Plat Filipina dan Plat Pasifik. Sejarah panjang ibu negara Jepun itu dan biasa dilanda gempa bumi mendorong bandar raya berkenaan membina perlindungan tektonik ke paras maksimum. Ia juga dikatakan bandar raya paling bersedia di dunia untuk berdepan musibah gempa bumi.

  • Istanbul, Turki
    Gelinciran Anatolian Utara adalah terpanjang di dunia tetapi bandar raya yang menempatkan prasarana lama dan moden itu mendedahkan 13 juta penduduknya dalam risiko tinggi.

    Gegaran berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda Izmit, 101 kilometer dari Istanbul pada 1999 menjadikan bangunan abad ke-20 yang selalunya dibina dengan konkrit bercampur air masin selain tidak menghiraukan kod bangunan, rebah menyembah bumi yang meragut kira-kira 18,000 nyawa.

  • Seattle, Amerika Syarikat
    Berdepan ancaman gempa bumi besar dan letusan gunung berapi Rainier. Ia terletak di atas sempadan tektonik aktif di sepanjang Plat Amerika Utara, Plat Pasifik dan Plat Juan de Fuca. Pemandangan menakjubkan Gunung Rainier sekadar memberi peringatan yang ia adalah gunung berapi ‘tidur’ atau senyap yang boleh mengatasi Gunung St Helen pada bila-bila masa.

  • Los Angeles, Amerika Syarikat
    Sejak lebih 700 tahun lalu, gempa bumi kuat melanda wilayah berkenaan setiap 45 hingga 144 tahun. Gempa bumi besar terakhir berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku 153 tahun lalu. Dalam erti kata lain, Los Angeles cuma menanti masa untuk digegarkan dengan satu lagi gempa besar. Gempa bumi seterusnya akan memberi impak buruk, termasuk memberi kesan kepada keseluruhan California Selatan yang didiami penduduk sekitar 37 juta. Bencana alam besar boleh membunuh antara 2,000 dan 50,000 penduduk dan menyebabkan kemusnahan bernilai berbilion dolar.

  • San Francisco, Amerika
    Mempunyai cuma 800,000 penduduk, San Francisco ialah satu lagi bandar raya besar di sepanjang pantai barat Amerika Syarikat yang boleh musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar. Ia terletak berhampiran bahagian utara Gelinciran San Andreas. Ada beberapa gelinciran kecil yang terletak di seluruh bandar raya itu, meningkatkan kemungkinan gempa bumi dahsyat akan berlaku.

    INFO: Definisi

  • Gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Perkataan Jepun bermaksud ‘ombak pelabuhan.’ Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.
  • Tuesday, March 22, 2011

    Kandungan radioaktif dalam laut


    ASAP masih keluar dari loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi 1 di Fukushima, Jepun kelmarin.


    OSAKA, Japan - Paras kandungan radioaktif yang tinggi daripada tahap normal dikesan dalam air laut berdekatan loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di Fukushima yang rosak akibat gempa bumi kuat pada 11 Mac lalu, lapor pengendali loji itu, syarikat Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) semalam.

    Menurut jurucakap syarikat TEPCO, Naoki Tsunoda, tahap iodin-131 meningkat sebanyak 126.7 kali ganda dan sesium-134 pula 24.8 kali ganda tinggi daripada paras yang dibenarkan oleh kerajaan.

    Katanya, kandungan tersebut dikesan dalam sampel air laut yang diambil kelmarin pada jarak 100 kilometer dari arah selatan loji Fukushima No. 1.

    "Selain itu, tahap sesium-137 juga meningkat sehingga 16.5 kali ganda dan kobalt-58 pula lebih rendah daripada biasa.

    "Namun, paras kandungan radioaktif itu masih lagi tidak membahayakan kesihatan manusia," katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan terbaru kerosakan reaktor di loji jana kuasa nuklear Fukushima, pekerja-pekerja masih lagi berusaha untuk mengurangkan kerosakan loji tersebut.

    Menurut agensi berita Kyodo, asap dan wap kelihatan keluar lagi daripada reaktor yang rosak semalam.

    Kepulan wap putih dilihat keluar dari reaktor No.2 manakala asap seperti jerebu putih pula dilihat keluar daripada reaktor No.3.

    Usaha-usaha menyembur air dan mengembalikan semula bekalan elektrik telah diberhentikan buat sementara tetapi kerja-kerja baik pulih disambung semula.

    Dalam perkembangan yang berkaitan, sejumlah partikel kecil radioaktif dipercayai dari loji janakuasa nuklear Fukushima, Jepun telah dikesan berada di Iceland, kata sumber diplomatik semalam.

    Namun, bahan radioaktif itu terlalu rendah untuk menyebabkan sebarang kemudaratan kepada manusia.- Agensi

    Sunday, March 13, 2011

    Pencemaran di China

    Pencemaran di China kritikal


    SELAIN daripasa asap yang dikeluarkan di kilang, China juga berhadapan dengan masalah pelupusan bahan kimia secara terbuka.


    KUMPULAN pencinta alam sekitar, Greenpeace, pada Isnin lalu memuji China kerana menetapkan had pencemaran baru tetapi pendekatan yang diambil adalah tidak cukup berbanding paras yang diperlukan negara penyumbang karbon dunia itu.

    Menurut media negara tersebut, Kementerian Perlindungan Alam Sekitar China hujung minggu lalu menyatakan ia telah memasukkan nitrogen oksida dan amonia nitrogen ke dalam senarai pencemar utama yang mahu dikurangkan sehingga 1.5 peratus tahun ini.

    Nitrogen disertakan dengan keperluan oksigen kimia (COD) iaitu ukuran pencemaran air dan sulfur dioksida dalam senarai pengurangan yang disasarkan Beijing.

    "Oleh kerana keadaan mendesak dalam krisis alam sekitar China, sekadar menetapkan sasaran untuk empat pencemar adalah tidak mencukupi," kata pengurus kempen iklim dan tenaga Greenpeace China, Yang Ailun.

    Kementerian berkenaan menyatakan bahawa untuk mencapai sasaran, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap industri yang banyak menghasilkan pencemaran seperti pembuatan kertas, tekstil, kulit dan kimia selain menggandakan usaha untuk mengawal pencemaran asap kenderaan.

    Kementerian juga akan melabur dalam pembinaan dan penaiktarafan loji rawatan air sisa serta membangunkan teknologi bagi mengurangkan pencemaran kilang.

    Menurut Ailun, kerajaan perlu mewujudkan sistem pemantauan yang efektif bagi memastikan setiap langkah dilaksanakan dan tindakan pantas dikenakan ke atas mereka yang melanggarnya.

    China yang pada November lalu mengakui 'peranan' sebagai pengeluar terbesar gas rumah hijau. Ia juga adalah antara negara dunia yang mengalami pencemaran udara terburuk berikutan perkembangan pesat sejak 30 tahun lalu. Perkembangan itu bagaimanapun turut menjejaskan alam sekitar.

    Pembangunan ekonomi

    China telah membelanjakan berbilion dolar untuk membersihkan alam sekitar namun setakat ini masih enggan mengurangkan kadar pencemaran, dengan alasan ia akan menjejaskan pembangunan ekonomi.

    Republik itu pada tahun lalu menyatakan tekad untuk memperlahankan kadar pencemaran dengan mengurangkan penggunaan tenaga per unit KDNK kepada 40 hingga 45 peratus dari paras tahun 2005 hingga 2020, yang pada dasarnya merupakan 'sumpah' mereka terhadap penggunaan tenaga lebih efisien.

    Menurut Kementerian Alam Sekitar China, pencemaran teruk dan penggunaan sumber yang besar menyebabkan China diselubungi masalah alam sekitar yang genting seterusnya berkemungkinan menjejaskan perkembangan ekonomi jika tidak diatasi dengan betul.

    Menterinya, Zhou Shengxian juga memberi amaran bahawa kestabilan sosial yang menjadi isu penting kerajaan juga berdepan dengan risiko berikutan peningkatan kebimbangan masyarakat terhadap kesihatan.

    "Dalam ketamadunan China sejak beribu-ribu tahun dulu, konflik antara manusia dan alam sekitar tidak pernah seserius seperti hari ini.

    "Pengurangan, kerosakan dan kehausan sumber serta keadaan ekologi yang bertambah buruk kini menyekat pembangunan ekonomi dan sosial negara," tegasnya dalam satu esei yang disiarkan dalam laman web kementerian itu.

    Penilaian risiko

    Jelas Shengxian, pihak berkuasa akan mewujudkan sistem penilaian risiko perubahan pencemaran udara dan perubahan iklim. Ia akan mengambil kira risiko pemanasan global untuk mempertimbangkan pembangunan projek baru seperti pembinaan kilang.

    "Kita akan menerima balasan buruk malah kerugian yang tidak dapat ditafsirkan jika kita tidak ambil peduli mengenai konflik antara manusia dan alam sekitar," ujarnya.

    China selaku ekonomi kedua terbesar dunia, masih lagi dengan alasannya bahawa negara membangun perlu diberikan kelonggaran tentang pencemaran. Hakikatnya, 'selera' penggunaan tenaga di negara itu terus meningkat.

    Tahun lalu saja menyaksikan peningkatan 5.9 peratus berbanding 2009 iaitu 3.25 bilion tan pembakaran arang jika mengikut data rasmi.

    Negara itu banyak bergantung kepada penggunaan arang batu menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pembekalan tenaga.

    Sejak 2009, insiden keracunan yang besar berlaku berulang kali dan ia dikaitkan dengan pencemaran.

    Bulan lalu saja, seramai 28 orang kanak-kanak termasuk beberapa bayi di Anhui, wilayah timur negara itu, dikejarkan ke hospital kerana keracunan plumbum akibat pencemaran dari sebuah kilang bateri tempatan.

    Laporan awal bulan lalu pula memaklumkan bahawa sebanyak 10 peratus daripada padi yang ditanam di China mungkin dicemari dengan unsur logam berat.

    Jepun dan Tsunami

    Cara Jepun lawan tsunami

    Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.


    KEMUDAHAN gas asli di Miyagi terbakar selepas gempa bumi.


    JAM dinding di pejabat akhbar Wall Street Journal yang terletak di tengah-tengah pusat perniagaan di bandar Tokyo menunjukkan pukul 6.57 pagi.

    Wartawan akhbar itu, Yuka Hayashi bersama rakan-rakannya baru sahaja ingin memulakan rutin harian mereka apabila bilik berita yang menempatkan mereka mengalami gegaran kuat.

    "Beberapa saat selepas itu, satu laporan diterima mengatakan timur laut Jepun dilanda gempa bumi yang besar.

    "Untuk beberapa ketika, kami semua terpaku sehinggalah keadaan di pejabat kami bertukar kelam-kabut.

    "Gegaran yang semakin kuat mengakibatkan ramai di antara kami tidak mampu berdiri sehingga terpaksa berpaut pada kerusi dan meja. Ada juga yang menyorok di bawah meja.

    "Apa yang dapat diperhatikan dari tingkap pejabat yang terletak di tingkat 19, bangunan-bangunan tinggi yang berada di tengah-tengah pusat perniagaan Tokyo semuanya bergegar kuat dan ia berlangsung selama beberapa minit.

    "Ada yang cuba untuk keluar dari bangunan menggunakan tangga kecemasan, ada juga yang mencapai topi keledar keselamatan dan menangis kerana terlalu terkejut.

    "Lebih membimbangkan, cubaan untuk menghubungi keluarga gagal. Mujur juga e-mel masih boleh dikemas kini.

    "Untuk mendapat perkembangan terkini, kami hanya bergantung kepada laman portal akhbar Jepun yang memberikan perkembangan terkini mengenai kejadian gempa dan tsunami," cerita Hayashi di dalam blog Japan Real Time-WSJ.

    Gempa dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer (km) itu turut menghasilkan gelombang tsunami pada kelajuan 1,000 kilometer sejam. Sendai terletak 400 km dari Tokyo.

    Puluhan bandar dan kawasan penempatan di sepanjang 2,100 km di pantai timur Sendai turut merasai gegaran gempa yang paling kuat sejak 140 tahun lalu itu.


    KEMUDAHAN gas asli di Miyagi terbakar selepas gempa bumi.


    Lebih menyedihkan, ombak panjang setinggi 10 meter yang mengganas itu bukan sahaja menggoncang plat bumi Jepun, malah turut menjadi pencetus kepada beberapa siri tanah runtuh dan kebakaran besar yang menyebabkan bekalan elektrik serta telekomunikasi terputus.

    Air hitam

    Di beberapa kawasan lain seperti di Isago, Yokohama, asap hitam menyelubungi sebahagian besar kawasan perindustrian tersebut sementara di bandar lain di utara Jepun seperti di Kamaichi dan Kensennuma, kapal-kapal, trak, kereta dan kenderaan ringan dihanyutkan air hitam yang dipenuhi sampah sarap.

    Sebuah pelabuhan di bandar Iwaki dijilat api, begitu juga di bandar Yamada.

    Selain puluhan ribu penduduk terutama di bahagian utara Jepun terpaksa berdepan dengan kemusnahan tempat tinggal, ribuan pekerja di loji nuklear di Dai-ichi, Fukushima pula terpaksa berdepan dengan risiko gas radioaktif dari kawasan kilang yang rosak teruk akibat bencana yang sangat dahsyat itu.

    Lewat petang semalam, stesen televisyen Jepun melaporkan empat pekerja loji nuklear cedera parah dalam kejadian letupan di salah satu bangunan reaktor yang rosak teruk.

    Sejarah


    DETIK-DETIK ombak gergasi melanda pesisiran Iwanumi, Miyagi.


    Sehingga semalam, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan statistik rasmi di mana 413 mayat telah ditemui, 784 masih hilang manakala 1,128 mangsa dilaporkan cedera.

    Angka tersebut dijangka bertambah memandangkan gempa skala besar itu masih baru dan misi menyelamat baru sahaja dimulakan.

    Kedudukan Jepun yang terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik meletakkan ia sebagai negara yang paling aktif menerima gempa bumi.

    Lantaran itu, tidak mustahil jika Jepun diiktiraf sebagai negara yang mempunyai teknologi mengurangkan impak bencana alam dan kecekapan dalam sistem pengurusan bencana terbaik di dunia.

    "Agensi Meteorologi Jepun mampu menyebarkan maklumat mengenai bencana tsunami dalam masa tiga minit," kata Dekan Fakulti Pengurusan Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Kiyoshi Kobayashi.

    Orang Jepun memperkenalkan istilah tsunami, bermaksud ombak gergasi, kepada dunia. Sememangnya fenomena laut naik ke darat itu menjadi sebahagian daripada sejarah Jepun.

    Tsunami yang dijana oleh gempa bumi, berlaku beratus-ratus kali setahun di Negara Matahari Terbit itu.

    Gempa pesisiran pantai pada tahun 1707 dikatakan menyebabkan Pulau Shikoku ditenggelami ombak tsunami dan membunuh beribu-ribu penduduk.

    Sebelum itu pada abad ke-15, ombak gergasi telah memusnahkan sebuah dewan yang menempatkan Daibutsu iaitu sebuah patung Buddha gangsa yang besar di Kamakura, sebuah pekan di selatan Tokyo.

    Jepun terletak di atas beberapa plat tektonik menyebabkan ia mengalami kira-kira 1,000 gegaran setahun.

    Pada tahun 1923, satu gempa bumi besar melanda Tokyo. Dikenali sebagai gempa bumi Great Kanto, gempa sekuat 7.9 pada skala Ritcher itu mengakibatkan kebakaran rumah-rumah kayu dan membunuh 100,000 orang.

    72 tahun kemudian, satu lagi gempa berukuran 7.9 melanda bandar pelabuhan Kobe di barat Jepun. Banyak lebuh raya bertingkat berguguran dan beribu-ribu bangunan hancur.

    Kereta api laju


    JEPUN mempunyai sejarah panjang kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami.


    Dikatakan satu daripada lima buah bangunan di Kobe musnah sama sekali. Seramai 6,400 orang terbunuh dan lebih 400,000 cedera. Api marak di seluruh bandar itu.

    Kerajaan Jepun telah memberi perhatian serius kepada bencana tsunami dan gempa bumi.

    Apabila berlaku gempa, data yang mengandungi magnitud dan lokasi serta-merta disiarkan oleh stesen televisyen kebangsaan NHK.

    Mesej itu turut memuatkan sama ada amaran tsunami telah dikeluarkan.

    Di kebanyakan pekan dan bandar, sistem pembesar suara boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk.

    Di kawasan luar bandar, penduduk juga memiliki radio yang diagihkan oleh kerajaan tempatan di mana arahan berpindah boleh didengar.

    Kanak-kanak dilatih menyorok di bawah meja semasa gempa. Semua orang dewasa diberitahu di mana pusat penempatan sementara terdekat dengan kediaman mereka sama ada di padang atau taman.

    Pemeriksaan infrastruktur tidak dilupakan. Bangunan-bangunan pencakar langit di bandar-bandar utama direka supaya boleh bergoyang mengikut gegaran gempa, menjadikannya lebih selamat.

    Sesetengah kawasan pantai mempunyai tempat perlindungan tsunami, sementara yang lain membina pintu banjir untuk bertahan daripada ombak itu.

    Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu pula, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik.

    Saturday, March 5, 2011

    Kesan Gempa Christchurch

    Gempa bumi jejaskan ekonomi




    KESUBURAN tanah yang dianugerahkan kepada New Zealand telah menyaksikan negara tersebut berjaya menempatkan diri sebagai salah satu pengeluar pertanian disegani dunia.

    Negara beriklim sederhana itu boleh dianggap masih hijau dan berada berjauhan daripada pasaran dunia dari segi geografi.

    Bagaimanapun, pendekatan unik dan kreatif ditekankan New Zealand telah membuatkan industri pertanian menyumbang hampir suku pertumbuhan Dalam Negeri Kasar (GDP) negara berkenaan.

    New Zealand telah menggunakan kepakaran dalam perladangan berkualiti untuk menjadi pengeksport produk tenusu, daging lembu, kambing dan bulu biri-biri bagi menempatkan diri sebagai pemain ekonomi pertanian dunia.

    Dalam pada itu, negara berkenaan juga merupakan salah satu daripada lima pengimport tenusu dunia yang membekalkan 90 peratus produk tenusu di pasaran antarabangsa.

    Bagaimanapun, gempa bumi yang melanda Christchurch baru-baru ini dijangka melumpuhkan pertumbuhan ekonomi di New Zealand sehingga memaksa negara tersebut menurunkan kadar faedah dan kemungkinan berdepan kemelesetan ekonomi.

    Menteri Kewangan, Bill English berkata, bencana yang dipercayai telah meragut lebih daripada 240 nyawa akan meninggalkan kesan mendalam terhadap ekonomi negara itu malah menyediakan sedikit pertumbuhan dalam tahun ini.

    “Sehingga bulan Jun ini mungkin akan menyaksikan tiada pertumbuhan ekonomi langsung,” katanya kepada Radio New Zealand.




    “Ia merupakan satu senario berbeza daripada apa yang kami jangka enam bulan lalu tetapi kami akan terus memulihkan ekonomi negara ini,” ujarnya.

    Pakar ekonomi pula menganggarkan bandar kedua terbesar di New Zealand, Christchurch itu mencatatkan kira-kira 15 peratus daripada ekonomi negara berkenaan.

    Mereka juga menganggarkan kerosakan disebabkan bencana terburuk negara itu sejak 80 tahun lalu boleh mencecah sehingga AS$12 bilion (RM36 bilion).

    English berkata, bencana tersebut akan menjejaskan pertumbuhan dan enggan mengetepikan kemungkinan berlaku kemelesetan ekoran gempa bumi 6.3 pada skala Richter yang melanda Selasa lalu.

    “Saya tidak mempunyai jawapan kepada perkara tersebut.

    “Kita akan berdepan pertumbuhan yang rendah sama ada terdapat kemelesetan ataupun tidak, sama ada ia dipanggil kemelesetan hanya akan ditentukan oleh ahli statistik,” katanya.

    Kebergantungan ekonomi perladangan New Zealand telah menguncup sebanyak 0.2 peratus pada suku Ogos-September tahun lalu apabila Christchurch digegarkan gempa bumi 7.0 pada skala Richter.

    Bagaimanapun, gempa bumi yang berlaku pada 4 September tahun lalu tidak mengorbankan sebarang nyawa tetapi hanya melemahkan struktur bangunan bandar itu.

    Kata English, pertumbuhan bulan Oktober-Disember yang akan dikeluarkan pada akhir bulan ini juga bakal menyaksikan ekonomi agak mendatar.

    Kesan kemelesetan

    “Apa yang saya dapat maklum balas, orang ramai tidak terburu-buru dalam perbelanjaan mereka, peruncitan dan perumahan juga agak mendatar. Apabila ia mendatar anda tidak akan memperoleh peningkatan pertumbuhan ekonomi.




    “Kini kita berdepan bencana gempa bumi pula yang akan menjejaskan pertumbuhan,” katanya.

    Sekiranya data Oktober-Disember menunjukkan pengecutan, secara teknikal New Zealand akan berada dalam kemelesetan dengan dua suku berturut-turut mengalami pertumbuhan negatif.

    Dengan separuh pertama tahun ini mengalami kepincangan disebabkan gempa bumi, English berkata, Bank Simpanan mungkin merendahkan nilai faedah untuk merangsang kegiatan ekonomi.

    Ketua Bank Simpanan, Alan Bollard telah mengekalkan kadar pada tiga peratus sejak Julai apabila New Zealand bergelut daripada kesan kemelesetan pada awal tahun 2008 hingga pertengahan 2009.

    Bagaimanapun, pakar ekonomi menjangkakan pengurus bank pusat akan mengurangkan kadar sehingga 0.5 peratus apabila bank bertemu pada 10 Mac nanti.

    Membuka perniagaan

    “Pasaran mengatakan apa yang difikirkan akan berlaku. Gabenor Bank Simpanan apabila membuat keputusan dia akan mengambil kira bukan sahaja mengenai gempa bumi tetapi fakta pertumbuhan ekonomi yang sedikit mendatar berbanding jangkaan mereka tiga atau empat bulan lalu.

    “Ini akan menentukan keputusan tetapi kita akan melihat pada minggu hadapan,” katanya.

    Sementara itu, bencana yang melanda bandar kedua terbesar New Zealand, Christchurch telah menyebabkan sektor ekonomi terjejas teruk.

    Pemilik bersama Beach Cafe, Andy Vanlier yang menjalankan operasi di pantai Waimairi berdekatan perairan pantai Christchurch menganggarkan dia sudah kerugian simpanan stok dan perniagaan bernilai AS$18,750 (RM56,943).

    Dia bercadang untuk membuka semula perniagaan selepas pembersihan dilakukan tetapi bimbang kesan jangka panjang gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

    “Banyak orang telah meninggalkan Christchurch. Kita berharap orang ramai akan kembali seperti sebelum ini menikmati kopi dan bercerita mengenai pengalaman mereka,” katanya.

    Bagi Les Overend pula, dia berasa agak gementar untuk kembali menjalankan perniagaan trak aiskrim Mr. Whippy di jalanan terlalu awal.




    Bagaimanapun, dia mendapati penduduk amat menghargai segala imbauan kehidupan sebelum bencana gempa bumi melanda.

    “Orang ramai sangat bersyukur apabila melihat kami,” katanya mengenai trak yang mengeluarkan bunyian untuk menarik perhatian pelanggan-pelanggan.

    “Mereka melihat kami sebagai salah satu kehidupan normal di sini,” ujarnya lagi.

    Tatkala bandar Christchurch berdepan pelbagai dugaan, dokumen bersejarah yang tersimpan rapi di dalam arca kurun ke-19 terbongkar apabila ia rebah menyembah bumi.

    Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker berkata, manuskrip kulit tulisan tangan di dalam sebuah botol dan silinder tembaga tertutup rapi dipercayai mengandungi dokumen-dokumen telah dijumpai di dalam arca pengasas bandar itu.

    Arca tersebut terletak di dataran utama berdekatan gereja besar bersejarah bandar itu. Ia telah terjatuh pada 22 Februari lalu ketika gempa bumi yang meragut kira-kira 155 nyawa.

    Pada waktu ini, pakar muzium sedang melakukan kajian terhadap barangan tersebut dan mengandungi pesanan daripada pengasas bandar Christchurch menyuarakan wawasan mereka.

    Parker berkata, ia kelihatan seperti suratan takdir apabila menjelma dalam memberi sumber inspirasi kepada kami di saat-saat berdepan masa paling sukar.