BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, January 12, 2012

Air pasang besar serang Pantai Timur




BULAN Disember lalu, orang ramai yang tinggal di sekitar Pantai Canggung, Kelantan mendapat rezeki tidak disangka-sangka apabila persisirannya dipenuhi dengan hidupan cengkerang terutama remis.

Pesta remis itu menyaksikan penduduk di situ berpusu-pusu mengutip remis yang bertaburan di tepian pantai. Menurut penduduk di situ, remis dimasak tumis pedas atau digoreng merupakan menu paling sedap.

Tambah seorang lagi penduduk di situ, remis boleh didapati di persisiran pantai sekali dalam tempoh setahun pada penghujung musim iaitu sekitar bulan Januari.

Tetapi, disebabkan fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini di Terengganu menyebabkan remis bertaburan di tepi pantai lebih awal.

Fenomena air pasang besar bukan suatu fenomena luar biasa tetapi, bersifat semula jadi berdasarkan pada putaran jasad-jasad yang terdapat dalam sistem cakerawala.

Perkara tersebut diakui oleh pakar geologi, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, 60, dengan menyatakan, bahawa peredaran bulan dan bumi yang mengelilingi bumi menyebabkan perkara tersebut berlaku.

“Ia memiliki satu putaran masa iaitu antara lima hingga tujuh tahun sekali untuk air pasang besar berlaku,” ujar bekas ketua jabatan Geologi, Universiti Malaya.

Bertukar ekstrem

Namun begitu, dia turut menyatakan bahawa campur tangan manusia pada alam sekitar boleh menyebabkan fenomena-fenomena alam seperti air pasang besar menjadi luar biasa.

Banyak kejadian bencana alam berlaku seperti cuaca menjadi sangat ekstrem seperti panas melampau atau hujan tidak berhenti-henti selama berhari-hari.

Ujarnya, kegiatan manusia yang tidak terkawal atau salah pengurusan seperti penebangan hutan menyebabkan berlaku pemanasan global dan berlaku pencairan salji.

Lebihan air tersebut turut menyumbang kepada fenomena air pasang besar. Bukan itu sahaja, gempa bumi yang dirasai sehingga ke Malaysia dan kekerapan turun hujan batu merupakan kesan cuaca ekstrem.

Mengulas mengenai kejadian di Pantai Canggung yang melihatkan lambakan remis di tepian pantai itu, Mohamad Ali berkata, ia berkemungkinan hidupan laut tersebut sudah dapat mengesan fenomena air pasang besar berlaku.




Menjadi perbandingan, ketika tsunami berlaku pada tahun 2004, banyak hidupan laut seperti ketam naik ke kawasan pantai untuk menyelamatkan diri.

Baru-baru ini, rakyat Malaysia dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan dan selepas tempoh seminggu lebih berlaku pula kejadian air pasang besar di Terengganu.

“Memang terdapat tarikan graviti antara bulan dan bumi yang mempengaruhi fenomena air pasang. Tetapi, untuk mengatakan gerhana bulan mempunyai kaitan terus dengan kejadian itu tidak boleh,” kata pegawai penyelidik Agensi Angkasa Negara, Lau Chen Chen, 31.

Hakisan ombak besar

Tambah Chen Chen, fenomena air pasang besar adalah perkara biasa dalam kejadian melibatkan alam sekitar.

Di beberapa bahagian pantai timur, jalan raya di tepi pantai peranginan Teluk Lipat rosak teruk kesan daripada hakisan yang terhasil daripada pukul ombak air pasang besar.

Calet-calet yang terdapat di Tanjung Chat Beach Resort juga berdepan hakisan ombak teruk.

Di Kuantan, angkara pukulan ombak besar menyebabkan sebuah kapal dipercayai terputus daripada kapal induk dan terdampar di Pulau Pelindung.

Kedai-kedai makan di tepian pantai juga musnah teruk kerana hakisan menyebabkan tempat mereka mencari makan terjejas.

Dataran Tanjung Gemuk, Rompin, Pahang dinaiki air sehingga penduduk di situ terpaksa berdepan dengan masalah banjir.




Benteng pemecah ombak di hadapan perumahan PPRT, Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut, Besut pula pecah akibat dipukul ombak kesan fenomena air pasang besar.

Jika di bahagian pantai barat, hutan pokok bakau menjadi penampan daripada berlaku hakisan di pantai timur yang berpasir pula, perintang angin (windbreaker) iaitu binaan yang dibina di kawasan lepas pantai dilihat dapat membantu.

“Ia dibina supaya dapat mengurangkan kederasan ombak.


KOSMO ONLINE

13/1/2012

Wednesday, December 28, 2011

Artik beri isyarat kecemasan


TIGA ekor singa laut berehat di atas ketulan ais yang terpisah dari bongkas ais besar.


LEGENDA Titanic, sebuah kapal British paling gah rekaan Thomas Andrew akhirnya karam pada tahun 1912 akibat terlanggar bongkah ais.

Pasti ramai yang mengetahui sejarah sedih di lautan Atlantik ini yang meragut beribu-ribu nyawa. Malah cerita itu yang difilemkan semula beberapa kali dan mencapai kejayaan 'box office' dalam setiap tayangannya satu masa dulu.

Kisah tenggelamnya kapal British hasil rekaan Ketua Jabatan Reka Bentuk sebuah syarikat pembinaan kapal, Harland & Wolff itu dikatakan tidak akan tenggelam sehingga ia digelar 'The Unsinkable Ship' oleh setiap individu yang mengkaguminya.

Namun, sesiapapun pasti tidak dapat menyangkal kehebatan kuasa alam apabila ia berjaya 'merebahkan' sebuah kapal muatan 3,547 penumpang pada satu-satu masa itu.

Bongkah ais padu yang terapung di atas permukaan air akhirnya membaham keagungan Titanic sekali gus menjadikan ia sebagai sebahagian daripada kisah sejarah dunia.

Melihat kepada bongkah ais yang menjadi medium 'pemangsa', tiada siapa terfikir bahawa kehebatannya itu akan lenyap suatu hari nanti.

Faktor utama tentunya isu pemanasan global yang menjadi ancaman kepada pencairan bongkah ais itu yang tidak dinafikan mampu lenyap hanya dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun akan datang.

Kerana itu hasil kajian yang dibuat sekumpulan pakar penyelidikan dalam siri jelajah mereka selama 73 hari di kutub utara (Artik) pada musim bunga lalu benar-benar membimbangkan.

Artik adalah rantau sekitar Kutub Utara, bertentangan dengan benua Antartika sekitar Kutub Selatan. Di hemisfera utara, Artik termasuklah Lautan Artik (yang bertindih dengan Kutub Utara) dan bahagian-bahagian Kanada, Greenland (sebuah wilayah Denmark), Rusia, Amerika Syarikat (Alaska), Iceland, Norway, Sweden dan Finland.

Ekspedisi ke Artik yang diketuai pengembara veteran bernama Pen Hadow bersama-sama dua rakannya dari Britain, Martin Hartley dan Ann Daniels itu meramalkan, kemungkinan besar kutub utara tidak lagi akan dilitupi ais dalam tempoh satu dekad.

Malah, jika senario 'bongkah ais lenyap' itu terjadi, pasti ia akan mencetuskan fenomena baru apabila Artik bertukar menjadi lautan terbuka, tanpa susunan bongkah-bongkah ais yang mencipta satu pemandangan unik di muka bumi ini.

Menurut Ketua kumpulan fizik lautan kutub dari Universiti Cambridge, United Kingdom (UK), Profesor Peter Wadhams, berdasarkan hasil pemantauan dan ukuran yang dijalankan, purata ketebalan ais di Artik boleh mencecah sehingga dua atau tiga meter.

Namun apabila ia berpadu dengan bahagian ais mampat puratanya boleh mencecah 4 atau lima meter. Jumlah ini berbeza dengan purata ketebalan ais di Antartika di mana ais hanya boleh 'bertahan' sehingga satu atau dua meter sahaja.

''Purata ketebalan 2 meter menyamai ais yang dibentuk dalam satu tahun, dan ia terdedah kepada risiko kecairan pada musim panas. Tetapi, apa yang membimbangkan ialah ais yang terbentuk lebih daripada satu tahun lalu kini didapati menipis dengan kadar yang cepat.

''Ia sekali gus menunjukkan satu contoh konkrit berhubung fenomena perubahan global. Dengan sebahagian besar kawasan kini dilitupi ais tahun pertama, jelas sekali Artik kini diancam bahaya.

''Kawasan itu semakin menjadi laut lepas setiap kali musim panas tiba, tidak mustahil lambat laun ais di laut akan hilang sepenuhnya," katanya.

Fenomena

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan kerana ia telah pun disuarakan oleh para pengkaji sejak bertahun-tahun yang lalu apabila manusia tidak lagi mengendahkan 'jeritan' dan 'kesakitan' bumi sehingga planet biru ini mula bertindak balas terutama terhadap pemanasan global sejak awal tahun 1940-an.

Isu perubahan cuaca dunia merupakan ancaman besar kepada kehidupan bumi. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, maka kita terpaksa bersiap-sedia untuk berhadapan dengan pelbagai bencana alam yang sukar diramal.

Simptom-simptom ini sebenarnya telah kelihatan. Antaranya, catatan suhu udara di Lautan Artik telah mencapai sehingga 4 darjah celsius di atas paras normal antara Oktober hingga Disember 2008 sekali gus mencetuskan tanda tanya di kalangan para pengkaji yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Berdasarkan laporan Pusat Ais dan Salji Amerika Syarikat (AS) setakat 6 Oktober lalu, litupan ais pada musim panas tahun ini di Artik merupakan yang ketiga terkecil mengikut laporan berbanding pada tahun-tahun sekitar 1979 - 2006 dan laut Artik kini semakin menyusut kira-kira 11.2 peratus pada setiap dekad.

Mungkin ia kedengaran seperti tidak banyak. Tunggu dulu. Mungkin fakta ini akan mengubah tanggapan anda dimana sebenarnya peratusan itu menyamai kira-kira 1.68 juta kilometer per segi litupan ais yang hilang di permukaan Artik.

Jumlah sebenar litupan ais telah semakin menipis dalam masa kurang dari satu tahun. pada tahun 2008, kehilangan ais di Artik mencatatkan peratusan di angka sembilan, satu penurunan mendadak berbanding pada tahun 2007 (21 peratus), yang dikatakan tahun di mana Artik mencair paling drastik.

Jadi, bayangkan pula apa yang tinggal sekiranya permukaan ais di Artik berkurangan dari tahun ke tahun.

Para pengkaji mendapati ais 'tua' yang terdapat di Artik hanya tinggal 19 peratus sahaja berbanding pada tahun antara 1981 hingga 2000 di mana kewujudannya masih tinggal sebanyak 52 peratus sebelum ketebalan ais semakin mengecil kepada 0.68 meter antara tahun 2004 hingga 2008. Sudah tentu ini benar-benar membimbangkan.

Jika diteliti pada statistik ketebalan dan litupan ais itu, anda pasti sudah mampu membuka mata untuk melihat apa yang sebenarnya berlaku.

Secara saintifik, para pengkaji berpendapat, fenomena itu kemungkinan berkait rapat dengan perbezaan iklim kawasan, selain faktor kalendar musim serta aktiviti manusia yang menyumbang kepada pemanasan global.

Bahkan, menurut hasil penelitian Ahli ekologi ekosistem daripada Institut Kajian Penggunaan Daratan Macaulay, United Kingdom (UK), Dr.Martin Sommerkorn, isu kecairan ais di Artik jika tidak ditangani segera ia akan mengakibatkan separuh daripada populasi dunia terjejas, selain berlakunya peningkatan pengeluaran gas rumah hijau termasuk perubahan cuaca keterlaluan secara global.

Ini kerana, katanya, Lautan Artik merupakan posisi utama dalam sistem iklim bumi dan sama ada sedar atau tidak, bongkah-bongkah ais yang semakin mencair kini turut memberi respons negatif kepada iklim bumi dan kesannya adalah jauh lebih daripada terhadap Artik semata-mata.

Menurut Sommerkorn, ibarat sebuah cermin, ais di Artik berfungsi memantulkan semula haba matahari ke angkasa. Malah, ketika ais membeku, laut Artik menyerap lebih banyak haba dan ini sekali gus menyumbang kepada masalah pemanasan global yang menuntut perhatian daripada seluruh penduduk dunia.

litupan ais

Penasihat Kanan Perubahan Iklim Tabung Hidupan Liar (WWF) itu juga berkata, statistik akhir berhubung litupan ais paling minimum di Artik untuk tahun ini berkemungkinan hanya tinggal 4.13 juta kilometer persegi berbanding tahun lepas.

''Apabila bercakap mengenai litupan ais di musim panas, kita jangkakan 2008 merupakan tahun sama ada yang paling rendah atau kedua terendah berbanding tahun sebelumnya.

''Ini bermakna, rekod rendah dicatatkan selama dua tahun berturut-turut sejak pihak kami mula merekodkan litupan ais di Artik. Perubahan ini lambat laun jelas akan memberi kesan kepada manusia yang tinggal secara tradisi di Artik yang bergantung kepada sumber ekosistem yang sihat.

"Selain Artik, dilema yang sama turut sedang membelenggu benua Antartika di mana satu laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Saintifik Penyelidikan Antartika (SCAR) AS menunjukkan bahawa ais di kawasan itu semakin berkurangan sehingga 27,000 kilometer per segi sejak direkodkan 50 tahun lalu," katanya.

Di saat ini, pasti terlintas di fikiran anda bagaimanakah keadaan dan nasib penduduk dunia sekiranya ais di Artik dan Antartika lenyap dari pandangan.

Perkara ini tidak mustahil kerana berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan oleh pakar di seluruh dunia, jika ais di kedua-dua kutub ini cair sepenuhnya dalam tempoh yang diramalkan, ia akan menyebabkan paras air laut meningkat melebihi 68 meter dan mampu menenggelamkan kira-kira 13 juta kilometer persegi daratan yang sedia ada.

Tatkala ini, dunia mungkin terpaksa mengucapkan 'selamat tinggal' kepada negara-negara terjejas seperti Bangladesh, utara Eropah, sebahagian Siberia, Amazon, tanah besar China termasuk sebahagian kawasan daratan di tenggara AS. Bukankah ini sesuatu yang menakutkan?

Menyedari hal ini, kerajaan di seluruh dunia tanpa berlengah bersatu mengadakan rundingan baru untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bermula 2013 bagi merangka dasar berhubung langkah-langkah menangani perubahan iklim dunia memandangkan fasa pertama yang dikenali sebagai Protokol Kyoto bakal tamat pada Disember 2012.

Selain perlu dipercepatkan, pemimpin-peiminpin dunia juga perlu mendapatkan persetujuan daripada kesemua 191 buah negara berhubung perjanjian baru yang akan diadakan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copanhagen, Denmark pada Disember ini.

Perkara ini turut ditekankan oleh Pengarah Besar Antarabangsa WWF, James Leape, yang berharap dasar baru itu kelak dapat mewujudkan satu jalinan usahasama dari seluruh dunia, terutamanya dari negara-negara membangun untuk bersama-sama mengambil apa sahaja langkah bagi menangani isu ini.

Bagaimanapun, harapan tanpa usaha bersama sebagai individu prihatin pastinya tidak akan mendatangkan sebarang impak terhadap perkembangan positif dalam masalah ini.

Apa yang diharapkan ialah seluruh umat manusia di muka bumi ini dapat memainkan peranan masing-masing, walau sekecil hama sekali pun demi memastikan dunia tidak terus 'tenggelam'.

Kini, sudah tiba masanya untuk kita membuka mata dan telinga bagi mendengar signal kecemasan yang disampaikan oleh Artik dan berbuat sesuatu kerana tentunya kita tidak mahu 'dunia putih' ini terus lenyap dan menjadi salah satu mimpi ngeri buat setiap hidupan di planet biru ini.

Persoalannya, bersediakah kita?

Utusan Malaysia Online - Impak Alam

ARKIB : 25/11/2009

Saturday, December 10, 2011

Kosmo! Online - Rencana Utama

Kosmo! Online - Rencana Utama

Monday, December 5, 2011

Saintis sahkan glasier cair di Himalaya

GAMBAR fail bertarikh 4 Disember 2009 menunjukkan glasier di kawasan Gunung Everest 140 kilometer dari timur laut Kathmandu, Nepal.


KATHMANDU, Nepal - Berjuta-juta orang terancam akibat glasier cair di banjaran Himalaya, menurut beberapa saintis yang melakukan kajian menyeluruh mengenai perubahan iklim di rantau berkenaan.

Penemuan yang disiar dalam tiga laporan Pusat Antarabangsa bagi Integrasi Pembangunan Pergunungan (ICIMOD) itu menunjukkan glasier Nepal mengecil sebanyak 21 peratus manakala glasier Bhutan menyusut 22 peratus sejak lebih 30 tahun lalu.

Siri laporan berkenaan yang dibentangkan di mesyuarat iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Durban, Afrika Selatan, kelmarin merupakan pengesahan rasmi pertama mengenai tahap kecairan glasier di Banjaran Himalaya.

Ia menyusul selepas pengumuman beberapa saintis pada 2007 bahawa glasier di rantau berkenaan akan hilang menjelang 2035.

Satu kajian selama tiga tahun yang dibiayai kerajaan Sweden diketuai ICIMOD menunjukkan 10 glasier di rantau itu sedang mengecil dengan penyusutan besar berlaku antara tahun 2002 dan 2005.

Satu kajian lagi mendapati terdapat pengurangan besar dalam jumlah kawasan dilitupi salji di rantau berkenaan dalam tempoh sedekad lalu.

"Laporan-laporan ini menyediakan asas baharu selain maklumat lokasi spesifik untuk memahami perubahan iklim yang berlaku di kawasan ekosistem antara paling rapuh di dunia (banjaran Himalaya)," kata pengerusi panel antarabangsa mengenai perubahan iklim (IPCC), Rajendra Pachauri. - AFP

Sunday, December 4, 2011

Biodiesel sawit melestari bumi



PERUBAHAN iklim dan pemanasan global yang melanda dunia mencetuskan kebimbangan banyak pihak tentang bahaya fenomena itu baik kepada bumi dan kehidupannya. Peningkatan paras air laut, gelombang haba, banjir, taufan, glasier yang cepat mencair, gempa bumi dan gangguan sistem ekologi antara simptom bahawa bumi dalam bahaya.

Di peringkat nasional, menyedari langkah drastik perlu diambil, kerajaan telah mengumumkan komitmen pengurangan secara sukarela pelepasan intensiti gas rumah hijau (GHG) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020 berdasarkan kadar pelepasan GHG pada tahun 2005.

Komitmen tersebut telah dilakukan sempena Persidangan mengenai Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009.

Salah satu inisiatif yang giat dilaksanakan untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau adalah dengan memperkenalkan program B5 dalam penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif bagi mengurangkan dan seterusnya menggantikan diesel petroleum.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah diberi tanggungjawab menjalankan kajian merealisasikan impian penggunaan B5 dalam menyumbang kepada persekitaran lebih bersih untuk generasi akan datang.

B5 merupakan adunan lima peratus biodiesel sawit (metil ester sawit) dan 95 peratus lagi adalah diesel petroleum.

Lebih bersih

"Penggunaan adunan biodiesel yang dihasilkan daripada minyak sawit ini adalah daripada sumber boleh diperbaharui dan menyumbang kepada pengurangan lebih 50 peratus pelepasan GHG ke udara berbanding bahan api diesel petroleum.

"Dengan pengurangan pelepasan gas rumah hijau ini, ia sekali gus dapat mengurangkan impak terhadap persekitaran dan menjadikannya lebih bersih," kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May ketika ditemui Kosmo! baru-baru.

Ia amat bertepatan dengan visi Dasar BioBahan Api Negara menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam, mampan dan berdaya maju bagi mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang semakin menyusut.

Beliau menambah, industri sangat komited terhadap usaha mengurangkan gas rumah hijau dan ia akan mempertingkatkan lagi imej minyak sawit sebagai produk mesra alam di mata dunia.

Katanya lagi, pengenalan program B5 adalah inisiatif kerajaan ke arah penggunaan teknologi hijau bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG).

"Sebenarnya, kajian penghasilan dan penggunaan biodiesel daripada minyak sawit bagi kenderaan diesel telah dilakukan sejak tahun 1980-an lagi yang membawa kepada pengkomersialan teknologi pengeluaran biodiesel.

"Bahkan, pada tahun 1990 sehingga 1994 kajian bersama syarikat permotoran gergasi Jerman, Mercedes Benz membuktikan penggunaan biodiesel sawit sesuai digunakan untuk enjin diesel," katanya.


DARI kiri: Penolong Pegawai Penyelidik MPOB, Nor Najwa Mustapa Kamal, 26, dan Pembantu Penyelidik institusi tersebut, Nur Syahwela Md. Ahee, 24, menunjukkan perbezaan antara diesel petroleum dan ester metil sawit.


Sebagai langkah percubaan, program B5 telah diperkenalkan di peringkat agensi kerajaan sejak tahun 2009 yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dalam projek perintis tersebut, lebih 3,900 kenderaan diesel dijana menggunakan bahan api B5 dan tidak berdepan sebarang masalah enjin.

"Biodiesel mengandungi cetane number yang boleh meningkatkan prestasi enjin dan mengeluarkan asap lebih bersih," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal DBKL, Peter Ong Hai Lim berkata, boleh dikatakan hampir keseluruhan kenderaan diesel dimiliki DBKL telah beralih menggunakan bahan api baharu itu sejak bulan Februari 2009 atas permintaan MPOB.

"Sehingga kini, terdapat kira-kira 900 kenderaan seperti lori, jentera, pacuan empat roda dan banyak lagi menggunakan bahan api biodiesel B5.

"Pada tahun 2010, kita mengadakan kaji selidik mengenai penggunaan bahan api biodiesel B5 dan mendapati ia tidak mendatangkan masalah kepada enjin kenderaan. Rata-rata pengguna berpuas hati dengan prestasi bahan api berkenaan," katanya.

Pemandu kenderaan ringan DBKL, Gunasekaran Kattagan, 47, pula memberitahu, perbezaan ketara dapat dirasai ketika memandu menggunakan bahan api baharu biodiesel B5 dari aspek pengurangan asap daripada kenderaan.

"Sebelum ini, asap yang dikeluarkan kenderaan lebih tebal tetapi apabila penggunaan biodiesel B5 diguna pakai pengeluaran asap kelihatan berkurangan menunjukkan ia lebih mesra alam.

"Saya juga tidak berdepan dengan sebarang masalah kerosakan enjin apabila menggunakan bahan api B5 ini malah kenderaan yang dipandu lebih lancar. Secara peribadi saya berpuas hati dengan bahan api baharu tersebut kerana mendatangkan kebaikan kepada alam sekitar," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Ali Mohd. Salleh, 43, yang merupakan pemandu jentera berat DBKL menambah, dia dapat merasai kuasa enjin lebih pikap berbanding menggunakan diesel terdahulu.

"Bagaimanapun, ketika memandu kenderaan berat, saya perlu memastikan kelajuan berada pada tahap 80 kilometer sejam untuk merasai pikap enjin berkenaan.

"Dengan pembakaran bahan api yang lebih lancar dan baik ia tentu dapat menjimatkan penggunaan diesel sekali gus mengurangkan kos operasi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Penggunaan adunan biodiesel dalam sektor pengangkutan dapat mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau (GHG) yang merupakan antara punca perubahan iklim dunia hari ini.

Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin berkata, pembakaran bahan api biodiesel lebih efisien berbanding diesel petroleum.

"Dengan pembakaran enjin lebih lancar dan efisien ia tentu sekali dapat membantu mengurangkan GHG di udara berbanding kenderaan yang tidak mempunyai pembakaran efisien.

"Apabila terdapat banyak GHG di udara matahari akan menyerapnya dan mengeluarkan tenaga sekali gus meningkatkan pemanasan," jelasnya.

Ahmad Ainuddin menambah kepentingan pengurangan GHG ini dapat memberi impak kepada pemanasan global dan perubahan iklim.


PEGAWAI Penyelidik Kanan MPOB, Dr. Harrison Lau Lik Nang menunjukkan loji pemprosesan biodiesel MPOB.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Teknologi dan Alam Sekitar (Cetdem), Anthony Tan Kee Huat berkata, jumlah gas rumah hijau yang dihasilkan oleh manusia telah menyebabkan pemanasan global. Ia telah meningkat dari 0.7 kepada 1 darjah Celsius sejak tahun 1800.

"Permulaan Revolusi Perindustrian yang berlaku sekitar tahun 1800 adalah pemangkin kepada peningkatan pembakaran bahan api fosil apabila merupakan kedatangan enjin pembakaran dalam. Ia telah menghasilkan 65 peratus jumlah GHG buatan manusia.

"Dalam pada itu, pemanasan global telah menyumbang kepada perubahan iklim dan kita dapat melihat kesan-kesannya apabila berlaku perubahan cuaca melampau kebelakangan ini di seluruh dunia," jelasnya mengenai kesan GHG.

Beliau memberi Thailand sebagai contoh, ribuan kehidupan penduduk terjejas akibat banjir dan kerosakan disebabkan air banjir malah banyak kilang-kilang terpaksa berpindah dari negara berkenaan.

Katanya, ini menunjukkan pemanasan global dan perubahan iklim boleh mengganggu eko sistem dan kehidupan.

Wednesday, November 30, 2011

Kitar semula sisa pepejal



DALAM sedar atau tidak, pengurusan sisa pepejal yang efektif sangat penting dalam memberi impak positif kepada kehidupan manusia dari aspek sosial, politik, ekonomi dan persekitaran.

Apabila sesebuah negara semakin maju dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, lebih banyak sisa pepejal akan dihasilkan.

Malaysia yang sedang berkembang pesat tidak terkecuali. Negara ini perlu berdepan dengan cabaran menguruskan sisa pepejal secara berhemah.

Ia adalah untuk memastikan jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal dapat dipanjangkan seterusnya boleh menampung sisa pepejal negara.

Dalam tahun 2005, kuantiti sisa pepejal yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia adalah sejumlah 19,000 tan sehari.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah menganggarkan bahawa pada tahun 2020, jumlah buangan sisa pepejal akan mencecah hampir 30,000 tan sehari.

Bagaimanapun, beberapa penemuan terkini menunjukkan bahawa jumlah sampah dan bahan buangan telahpun mencecah hampir 27,000 tan sehari.


SISA pepejal akan diangkut menggunakan kren untuk dihancurkan dan dicincang.


Ini bermakna jangkaan bahawa jumlah sisa pepejal sebanyak 30,000 tan sehari akan dicapai lebih awal sebelum tahun 2020.

Pengurusan sisa pepejal yang baik dapat memastikan alam sekitar, sumber tanah, air dan udara kekal terpelihara.

Bahkan, dengan kaedah yang tepat, sampah-sarap menggunung di tapak pelupusan sisa pepejal yang menyakitkan mata itu boleh diubah menjadi sumber tenaga untuk bekalan penduduk.

Menyedari kepentingan pengurusan sisa pepejal, YCB Renewable Energy Sdn. Bhd. tampil memberi alternatif dengan membawa kepakaran teknologi stabilat Herhof dari Jerman untuk dimanfaatkan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif YCB Renewable Energy Sdn. Bhd. (YCB), Yaakop Daut, berkata, teknologi stabilat Herhof menggunakan konsep pengurusan sisa pepejal kitar semula menyeluruh. Dalam falsafah operasi mereka, sisa pepejal merupakan aset yang boleh menjana pendapatan.

“Teknologi stabilat adalah berbeza berbanding teknologi pengurusan sisa pepejal yang pernah dilihat sebelum ini. Ia lebih mesra alam dan pengguna malah mampu memberi pelbagai faedah apabila digunakan kelak.

“Disebabkan itu, kita telah menjadi ejen rasmi teknologi stabilat Herhof untuk memindahkan teknologi yang diguna pakai di negara Jerman. Ia merupakan penyelesaian menyeluruh kepada pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal,” katanya kepada Kosmo!.

Faedah

Dalam erti kata lain, dia memberitahu, terdapat banyak faedah yang boleh diperoleh apabila menggunakan teknologi stabilat didatangkan khusus dari negara Jerman itu.


PENGGUNAAN sistem berkomputer terkini memudahkan lagi proses kitar semula sisa pepejal.


Pertama adalah mengenai aspek termasuklah penjimatan tanah. Memulakan mekanisme pengurusan sampah menggunakan teknologi stabilat itu tidak memerlukan pembukaan tapak pelupusan tanah yang baharu.

“Bayangkan berapa banyak tanah perlu digunakan untuk membina tapak pelupusan sisa pepejal dengan sampah sarap semakin meningkat.

“Dengan implikasi teknologi stabilat ini, tapak pelupusan sisa pepejal yang tidak aktif turut ditebus guna semula untuk memastikan ia tidak dibiarkan begitu sahaja sekali gus dapat menjimatkan tanah,” ujarnya.

Yaakop menambah, kelebihan itu secara tidak langsung dapat membantu memulihara alam sekitar sekali gus menghindari pencemaran air, udara dan tanah yang boleh mengakibatkan risiko penyakit.

Teknologi stabilat membolehkan sisa buangan yang telah melalui pelbagai proses dapat dikitar semula menjadi tenaga bahan api seperti gas mahupun material pepejal guna semula.

Penjimatan pelepasan karbon yang dipromosi teknologi stabilat juga boleh ditukar nilainya dalam sistem perdagangan kredit karbon untuk menjana ekonomi kepada negara.

Proses

Berbanding membiarkan proses reputan sampah dan menimbusnya seperti di pusat pelupusan sampah biasa ataupun pembakaran menggunakan insinerator yang menelan belanja tinggi, stabilat ada perbezaannya.

“Dalam kaedah teknologi stabilat, terdapat tiga fasa utama yang perlu dilalui iaitu pemprosesan, penstabilan dan pengasingan sisa pepejal.

“Sisa pepejal akan melalui proses pengasingan setelah dihancurkan dan dikeringkan sebelum dikitar semula,” kata Yaakop.

Ujarnya lagi, sisa sampah tersebut akan dikumpulkan pula di dalam bunker yang mampu menampung muatan sehingga 300 buah lori sampah.

Dengan teknologi terkini dan sistem berkomputer, dia menambah, sisa pepejal akan dicincang serta dihancurkan di dalam mesin pengisar menggunakan kren.


PRODUK akhir stabilat yang telah dikitar semula mempunyai pelbagai faedah.


Selepas proses tersebut, sampah akan dipindahkan ke bunker pemindahan yang dikenali sebagai kebuk Herhof bio box.

“Selepas semua sudah selesai, proses penstabilan biologi sisa pepejal pula dilakukan. Kerja pengeringan terebut memakan masa selama tujuh hari.

Yaakop memberitahu, pengasingan sisa pepejal pula akan dilakukan untuk mengasingkan pecahan mineral seperti batu, gelas, seramik, besi dan lain-lain material.

Katanya, selepas ketiga-tiga langkah tersebut dilakukan, barulah hasil produk kitar semula dapat diperoleh.

Kelebihan

Sementara itu, Ketua Bahagian Borneo YCB, Zubir Zainuddin, menjelaskan, penggunaan teknologi terbaharu itu juga dapat mengatasi masalah bau busuk dan pencemaran di tapak pelupusan sisa pepejal.

“Ia juga dapat mengurangkan kos operasi dan pengurusan sisa pepejal apabila menggunakan teknologi ini.

“Dalam pada itu, pengenalan teknologi ini mampu mengatasi tapak pembuangan haram malah menghilangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sisa pepejal,” katanya.

Kajian

Menyedari hakikat bahawa tidak semua teknologi dari luar negara boleh diaplikasikan di negara ini, YCB telah melantik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai konsultan khas bagi melakukan penilaian teknikal terhadap teknologi stabilat Herhof.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan Kejuruteraan Bioperubatan, Prof. Dr. Jasmy Yunus, berkata, pasukan yang melakukan penilaian teknikal terhadap teknologi stabilat Herhof mendapati ia adalah teknologi terkini rawatan sisa pepejal yang mendukung ciri mesra alam sekitar dan mapan.


PIHAK kerajaan tidak perlu membuka tapak pelupusan atau pengurusan sampah yang baharu kerana teknologi stabilat boleh mengguna pakai tapak yang sedia ada.


“Kita turut mendapati teknologi Jerman ini mempunyai kesesuaian untuk digunakan di Malaysia kerana mampu menjadi teknologi penyelesaian menyeluruh dalam pengurusan sisa pepejal.

“Teknologi tersebut juga dapat memanfaat sisa pepejal apabila boleh di kitar semula dan digunakan dengan lebih efisien serta ekonomi,” katanya yang merupakan Pengurus Besar Global Technology and Innovation Management Sdn. Bhd. (GTIM).

Jasmy menambah, pasukan yang menjalankan kajian tersebut terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Katanya, mereka adalah Prof. Mohd. Razman Salim, Prof. Mohd. Rashid Mohd. Yusof, Prof. Farid Ani Nasir dan Prof. Abdul Halim Yatim.

Dalam pada itu, Yaakop menambah, dia menjangka menggunakan loji pengurusan sisa pepejal teknologi Herhof yang mempunyai kapasiti 1,000 tan satu hari.

Jelasnya, ia amat bersesuaian dan berharap dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.


Kosmo! Online 1.12.2011

Tanam pokok di padang pasir


DAHAN-DAHAN pokok yang ditanam sebelum ini perlu dicantas bagi membolehkan pokok tersebut boleh tumbuh lebih tinggi.


WALAUPUN telah menempuhi perjalanan yang cukup panjang untuk sampai padang pasir Horqin, China, Aishah Sinclair yakin pengembaraannya itu bukan sesuatu yang sia-sia.

Dia yang dilantik sebagai duta Earthkeepers Malaysia bersama-sama 70 orang wakil dari negara lain seperti Taiwan, Singapura dan China serta para pekerja Timberland telah pergi dengan satu misi iaitu supaya padang pasir di situ tidak menjejaskan alam sekitar.

Dahulu, padang pasir tersebut mempunyai rumput dan tumbuh-tumbuhan lain tetapi perubahan masa dan gaya hidup telah menyebabkan kawasan tersebut bertukar menjadi kawasan gurun.

Kini, kawasan itu menjadi salah satu tempat yang berada pada tahap kritikal dengan masalah perubahan alam sekitar iaitu hutan yang menjadi kawasan tandus dan kering.

Apabila tiba musim angin monsun, tiupannya akan membawa pasir-pasir tersebut berterbangan sehingga ke negara jiran seperti Jepun. Fenomena itu secara tidak langsung menyumbang kepada kesan pemanasan global.

“Horqin adalah salah satu contoh bahawa usaha menjaga alam sekitar merupakan tanggungjawab semua orang di dunia ini. Pemanasan global bukan sahaja memberi efek kepada manusia di sesetengah tempat tetapi melibatkan penduduk dunia,” ujar Aishah ketika ditemui di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.


AISHAH sedang menemuramah Pengarah Pemasaran Rantau Asia, Tumberland, Arthur Ang ketika di padang pasir Horqin.


Cantas dahan

Aktiviti penanaman semula hutan di situ telah berlangsung selama tiga hari iaitu dari 14 hingga 17 Ogos. Aishah telah menjalankan pelbagai aktiviti seperti mencantas dahan yang bertujuan supaya pokok-pokok itu mampu tumbuh lebih tinggi.

Pokok-pokok tersebut umpama menjadi penapis bagi mengelakkan pasir-pasir berterbangan ke udara dan memasuki ruang udara negara jiran.

Selain itu, mereka turut menyemai anak-anak pokok baharu dan membina pagar di keliling kawasan tersebut.

Dalam masa yang sama, mereka turut memberi tunjuk ajar kepada penduduk tempatan di situ mengenai cara-cara menjaga alam sekitar supaya ekosistem akan kekal seimbang.

Projek Penanaman Semula Hutan Horqin diadakan setiap tahun oleh Program Earthkeepers Timberland dengan kerjasama badan bukan kerajaan yang berpusat di Jepun, Green Network sejak tahun 2001.

Di samping projek pemuliharaan, Timberland turut bekerjasama dengan China Beijing Environment Exchange (CBEX) untuk meminimum pengeluaran karbon sepanjang aktiviti dijalankan.


AISHAH menemu bual Pengarah Urusan Green Network, Yoshio Kitaura yang terlibat dalam aktiviti tersebut.


Tabung khas

Jumlah kewangan dikira oleh CBEX mengikut kadar pengeluaran karbon dan nilai tersebut akan didermakan kepada tabung khas projek Janakuasa Angin Heilongjiang.

Bukan itu sahaja, pada tahun ini juga pihak berkuasa tempatan turut sama menyertai Timberland dalam memelihara padang pasir Horqin.

“Saya sangat berbesar hati melihat usaha positif Timberland untuk alam sekitar dan kehidupan masyarakat di wilayah Horqin,” kata Pengarah Urusan Green Network, Yoshio Kitaura ringkas.

Pada tahun lepas, Timberland telah berjaya menanam sebanyak satu juta pokok di situ dan dalam tempoh 10 tahun mendatang, pihaknya menyasarkan untuk menanam dua juta pokok lagi.

Sebagai langkah menangani perubahan iklim global dan perlindungan terhadap alam sekitar, Timberland turut meletakkan sasaran menanam lima juta pokok dalam jangka masa lima tahun.


SELAIN menjalankan tanggungjawab sebagai warga bumi, Aishah turut berpeluang melihat kehidupan tradisional penduduk Horqin.


Ujar Aishah, perjalanan untuk sampai ke pedalaman Mongolia itu sangat mencabar dan panjang. Untuk ke padang pasir Horqin, dia perlu menaiki bas yang perjalanannya memakan masa tiga jam dari bandar berdekatan.