BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label kesan pencemaran. Show all posts
Showing posts with label kesan pencemaran. Show all posts

Sunday, March 13, 2011

Pencemaran di China

Pencemaran di China kritikal


SELAIN daripasa asap yang dikeluarkan di kilang, China juga berhadapan dengan masalah pelupusan bahan kimia secara terbuka.


KUMPULAN pencinta alam sekitar, Greenpeace, pada Isnin lalu memuji China kerana menetapkan had pencemaran baru tetapi pendekatan yang diambil adalah tidak cukup berbanding paras yang diperlukan negara penyumbang karbon dunia itu.

Menurut media negara tersebut, Kementerian Perlindungan Alam Sekitar China hujung minggu lalu menyatakan ia telah memasukkan nitrogen oksida dan amonia nitrogen ke dalam senarai pencemar utama yang mahu dikurangkan sehingga 1.5 peratus tahun ini.

Nitrogen disertakan dengan keperluan oksigen kimia (COD) iaitu ukuran pencemaran air dan sulfur dioksida dalam senarai pengurangan yang disasarkan Beijing.

"Oleh kerana keadaan mendesak dalam krisis alam sekitar China, sekadar menetapkan sasaran untuk empat pencemar adalah tidak mencukupi," kata pengurus kempen iklim dan tenaga Greenpeace China, Yang Ailun.

Kementerian berkenaan menyatakan bahawa untuk mencapai sasaran, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap industri yang banyak menghasilkan pencemaran seperti pembuatan kertas, tekstil, kulit dan kimia selain menggandakan usaha untuk mengawal pencemaran asap kenderaan.

Kementerian juga akan melabur dalam pembinaan dan penaiktarafan loji rawatan air sisa serta membangunkan teknologi bagi mengurangkan pencemaran kilang.

Menurut Ailun, kerajaan perlu mewujudkan sistem pemantauan yang efektif bagi memastikan setiap langkah dilaksanakan dan tindakan pantas dikenakan ke atas mereka yang melanggarnya.

China yang pada November lalu mengakui 'peranan' sebagai pengeluar terbesar gas rumah hijau. Ia juga adalah antara negara dunia yang mengalami pencemaran udara terburuk berikutan perkembangan pesat sejak 30 tahun lalu. Perkembangan itu bagaimanapun turut menjejaskan alam sekitar.

Pembangunan ekonomi

China telah membelanjakan berbilion dolar untuk membersihkan alam sekitar namun setakat ini masih enggan mengurangkan kadar pencemaran, dengan alasan ia akan menjejaskan pembangunan ekonomi.

Republik itu pada tahun lalu menyatakan tekad untuk memperlahankan kadar pencemaran dengan mengurangkan penggunaan tenaga per unit KDNK kepada 40 hingga 45 peratus dari paras tahun 2005 hingga 2020, yang pada dasarnya merupakan 'sumpah' mereka terhadap penggunaan tenaga lebih efisien.

Menurut Kementerian Alam Sekitar China, pencemaran teruk dan penggunaan sumber yang besar menyebabkan China diselubungi masalah alam sekitar yang genting seterusnya berkemungkinan menjejaskan perkembangan ekonomi jika tidak diatasi dengan betul.

Menterinya, Zhou Shengxian juga memberi amaran bahawa kestabilan sosial yang menjadi isu penting kerajaan juga berdepan dengan risiko berikutan peningkatan kebimbangan masyarakat terhadap kesihatan.

"Dalam ketamadunan China sejak beribu-ribu tahun dulu, konflik antara manusia dan alam sekitar tidak pernah seserius seperti hari ini.

"Pengurangan, kerosakan dan kehausan sumber serta keadaan ekologi yang bertambah buruk kini menyekat pembangunan ekonomi dan sosial negara," tegasnya dalam satu esei yang disiarkan dalam laman web kementerian itu.

Penilaian risiko

Jelas Shengxian, pihak berkuasa akan mewujudkan sistem penilaian risiko perubahan pencemaran udara dan perubahan iklim. Ia akan mengambil kira risiko pemanasan global untuk mempertimbangkan pembangunan projek baru seperti pembinaan kilang.

"Kita akan menerima balasan buruk malah kerugian yang tidak dapat ditafsirkan jika kita tidak ambil peduli mengenai konflik antara manusia dan alam sekitar," ujarnya.

China selaku ekonomi kedua terbesar dunia, masih lagi dengan alasannya bahawa negara membangun perlu diberikan kelonggaran tentang pencemaran. Hakikatnya, 'selera' penggunaan tenaga di negara itu terus meningkat.

Tahun lalu saja menyaksikan peningkatan 5.9 peratus berbanding 2009 iaitu 3.25 bilion tan pembakaran arang jika mengikut data rasmi.

Negara itu banyak bergantung kepada penggunaan arang batu menyumbang kepada 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pembekalan tenaga.

Sejak 2009, insiden keracunan yang besar berlaku berulang kali dan ia dikaitkan dengan pencemaran.

Bulan lalu saja, seramai 28 orang kanak-kanak termasuk beberapa bayi di Anhui, wilayah timur negara itu, dikejarkan ke hospital kerana keracunan plumbum akibat pencemaran dari sebuah kilang bateri tempatan.

Laporan awal bulan lalu pula memaklumkan bahawa sebanyak 10 peratus daripada padi yang ditanam di China mungkin dicemari dengan unsur logam berat.

Monday, July 26, 2010

Pengeluaran madu terjejas gara-gara cuaca tidak menentu

24/07/2010 4:09pm

KOTA MARUDU – Faktor cuaca yang tidak menentu di Sabah sejak beberapa tahun lalu dikatakan telah menjejaskan hasil pengeluaran madu lebah yang diusahakan oleh penternak lebah.

"Curahan hujan yang tinggi mengakibatkan gangguan kepada aliran nektar pada bunga-bungaan, selain menghalang pergerakan lebah mendapatkan sumber makanan tersebut," kata Pengurus Besar Koperasi Pembangunan Desa (KPD) Negeri, Datu Basrun Datu Harun.

Beliau berkata, selain faktor hujan yang banyak, ancaman daripada serangan tebuan, semut dan ulat kepada nektar serta pembukaan hutan baru bagi kegiatan ekonomi turut menyumbang kepada penurunan hasil madu lebah.

"Kajian kami mendapati berlaku penurunan ketara hasil pengeluaran madu lebah sejak beberapa tahun lepas apabila sepanjang tahun lepas, hanya 9.98 tan metrik yang berjaya diperolehi berbanding 12.7 tan metrik pada tahun sebelumnya dan 20.5 metrik tan pada tahun 2007," katanya.

KPD tersebut memperolehi bekalan madu dengan membelinya daripada peserta ladang kontrak, pembekal persendirian serta daripada ladang milik agensi itu sendiri.

Penternak madu lebah di Sabah banyak terdapat di Kudat, Kota Marudu dan Pitas dan rancangan sedang dibuat untuk diperluaskan ke kawasan lain seperti di pedalaman Keningau dan pantai barat. - Bernama

Friday, November 6, 2009

Pencemaran jejaskan kehidupan

n


KEMPEN Save Our Waterfalls semakin mendapat sambutan daripada golongan belia.


RAMAI yang memilih air terjun sebagai destinasi merehatkan minda dan menenangkan fikiran. Namun masih ramai yang enggan mengubah sikap untuk menitikberatkan penjagaannya.

Pakar Geologi Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan memberitahu, sikap segelintir masyarakat yang mencemari kawasan air terjun dengan timbunan sampah sarap akan mendatangkan impak yang bukan sedikit.

Ini kerana apabila air terjun tercemar, ia akan menjejaskan banyak perkara yang melibatkan keperluan utama manusia.

"Air terjun merupakan sebahagian daripada sumber air bersih. Jika ia disalahguna, banyak perkara yang tidak diingini akan berlaku. Antaranya menjejaskan sektor pertanian dan perikanan.

"Selain itu, suatu hari nanti kita akan kekurangan lokasi rekreasi. Bukan itu sahaja, tarikan pelancong akan berkurangan dan ini bermakna ia akan merencatkan ekonomi negara," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Malah katanya, air terjun yang turut dijadikan kawasan rekreasi bagi sesetengah masyarakat termasuk aktiviti bersukan akan lumpuh.


MOHAMAD ALI


Lebih menyedihkan lagi, kawasan yang dipenuhi dengan kehijauan dan sunyi daripada hiruk-pikuk kota tidak mampu lagi menjadi peneman bagi golongan yang ingin mendapatkan ilham.

"Kesemua faedah yang kita peroleh melalui air terjun akan terjejas sekiranya masih ramai antara kita bersikap endah tidak endah untuk menjaganya sebaik mungkin.

"Jangan hanya tunggu ada kempen sahaja atau berlaku perkara yang sudah serius, barulah kita kelam-kabut untuk mencari penyelesaian," katanya.

Selain itu katanya, ia juga berkait rapat dengan faktor untuk mengejar keuntungan dari segi pembinaan di lereng-lereng bukit, pembalakan dan kuari yang turut menjejaskan lokasi tadahan air iaitu air terjun.

Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohd. Azmi Abd. Hamid pula berkata, sekiranya sesebuah kawasan air terjun itu hanya mampu menampung bilangan orang ramai sekitar 1,000 orang, maka jumlah kemasukan pengunjung ke situ perlu dikawal.

"Kemasukan pengunjung sewenang-wenangnya seperti sekarang perlu dikawal.


LONGGOKAN sampah yang dikumpul dalam kempen ini.


"Ini merupakan antara cara terbaik sekiranya kita ingin mengekalkan alam semula jadi di negara kita. Kapisiti sesebuah air terjun perlu dipatuhi, jangan pula air terjun yang tidak terlalu luas diberi kelonggaran kemasukan pengunjung yang berlebihan," katanya.

Tegasnya lagi, jika negara tidak mengambil serius berhubung kualiti air terjun, kemungkinan dalam tempoh dua dekad akan datang, generasi baru tidak dapat menikmati apa yang kita miliki sekarang.

"Untuk memulihkan sesuatu yang rosak, ia mengambil masa yang sangat lama. Misalnya, pokok yang sudah berusia bukannya mudah untuk diganti balik. Ia mengambil tempoh bertahun-tahun," ujarnya lagi.