BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 2, 2008

Kebaikan enzim sampah - Kuasa untuk menyelamatkan dunia ada di dalam sampah di dapur anda


BAHAN buangan ini mudah ditemui di dapur.


“Sampah dari dapur anda mampu membawa keajaiban. Kulit buah, lebihan sayur dan bahan yang anda gunakan untuk memasak atau makan, adalah kuncinya. Tukarkan ia kepada enzim dan anda dapat merawat dunia,” ujar seorang pengamal perubatan alternatif homeopati, Dr. Joean Oon.

Merawat dunia? Mungkin ramai yang tertanya-tanya akan maksudnya. Formulanya mudah: penapaian sampah dari dapur anda dapat menghasilkan gas ozon yang diperlukan untuk memulihkan cuaca bumi.

Bagaimana ia berlaku?


Joean


Ia bermula dari hari pertama anda memerap atau menapai sisa makanan organik. Proses katalisnya sudah mula membebaskan gas ozon.

Molekul itu kemudiannya bertindak balas dengan gas karbon dioksida dalam lapisan atmosfera serta logam berat yang memerangkap haba di dalam awan. Sekali gus haba dapat dibebaskan dari muka bumi, mengurangkan kesan rumah hijau dan pemanasan global.

Pada masa yang sama, garam nitrat dan karbonat terbentuk. Kedua-dua elemen ini dapat membantu menyuburkan tanah dan menjadi hormon serta nutrien semula jadi kepada tumbuhan.

Enzim pula secara amnya diketahui dapat menggalakkan atau mempercepatkan proses kimia. Jadi penggunaannya dalam sungai yang dicemari minyak atau bahan kimia didapati berjaya merungkaikan ikatan kompleks bahan kimia tersebut dan seterusnya menjernihkan airnya.

Biarpun masih belum dapat membuktikannya melalui ujian makmal, banyak keajaiban telah disaksikan hasil usaha Joean, ibu kepada tiga orang anak.


ENZIM sayur-sayuran dapat menggalakkan proses kimia.


Ilmu yang dipelajari daripada seorang pensyarah dan doktor dalam perubatan alternatif di Thailand, Dr. Rosukon Poompanvong, ini mula mendapat perhatian dan kini memperoleh permintaan sehingga ke beberapa negara di rantau Asia Tenggara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.




“Pokok naga di sebuah ladang di Seremban yang disembur enzim sayur-sayuran dan buah-buahan dapat mengeluarkan sehingga 40 biji buah dari sebatang pokok, sedangkan pokok naga pekebun lain hanya dapat mengeluarkan maksimum 10 biji. Perbezaannya ialah empat kali ganda.

“Seorang wanita yang mempunyai 60 pasu pokok bunga orkid pernah merungut pokok yang ditanam sukar untuk berbunga, tetapi selepas menyembur enzim yang dihasilkan sendiri, bunga berkembang sehingga 60 peratus lebih banyak tanpa bantuan baja herbisid,” kongsi Joean tentang kebaikan enzim kepada bidang agro.

Tidak melibatkan kos yang besar, enzim yang dihasilkan hanya memerlukan apa yang ada di dapur anda. Perapkan bersama gula perang, sisa makanan dan air pada nisbah 1: 3: 10 dalam bekas tertutup dan tunggu selepas tiga bulan.

“Enzim yang terhasil akan melakukan magik untuk anda. Pengusaha restoran yang sebelum ini mempunyai masalah lalat yang banyak di kawasannya sekarang dapat berniaga dengan tenang selepas beliau mengelap meja menggunakan enzim yang dihasilkan sendiri,” kongsinya.

Tidak menolak sangkaan ramai bahawa penapaian akan menghasilkan bau yang teruk, wartawan Kosmo Ahad diberi peluang menghidu enzim yang dihasilkan dan nyata ia tidak seteruk yang disangkakan. Tambahan pula penapaian dilakukan dalam bekas kedap udara.

“Setiap kali kita melintas tong atau longgokan sampah, kita akan terhidu bau masam yang busuk. Itulah gas metana. Apabila ia dibebaskan ke udara, ia membentuk gas karbon dioksida yang memerangkap sehingga 21 peratus haba berbanding keupayaan gas karbon dioksida.

“Jadi, bayangkan apa yang sedang kita lakukan semasa kita membuang sampah,” usul anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang ini.

Tuesday, May 20, 2008

Bumi semakin nazak

Semenjak 1960, gas nitrogen yang dibebaskan ke ekosistem meningkat sebanyak dua kali ganda dan tiga kali ganda bagi fosforus.


MAMPUKAH dunia dirawat untuk kembali sihat?


APAKAH kadar dan skala perubahan yang berlaku ke atas alam semula jadi? Bagaimana perubahan alam meninggalkan kesan ke atas ekosistem dan kebaikan kepada manusia sejagat? Apakah perubahan ekosistem yang dijangkakan dalam tempoh 50 tahun akan datang?

Soalan-soalan ini diusulkan oleh Profesor A.H. Zakri dari Institut Lanjutan Kajian di Universiti United Nations pada perbincangan meja bulat Linking Ecosystem Knowledge and Development, baru-baru ini. Ekosistem telah banyak berubah dalam tempoh 50 tahun lalu dan prospek perubahan dalam 50 tahun akan datang amat tinggi dan amat menakutkan.


SUNGAI tidak mampu lagi menjadi habitat hidupan laut.


Berdasarkan kepada penilaian milenium yang terbesar terhadap ekosistem sub-global, seramai 1,360 orang pakar dari 95 buah negara berkongsi pendapat dan pandangan masing-masing berhubung 'kesihatan' bumi.

Didapati, dalam tempoh 50 tahun lalu menyaksikan perubahan yang paling mendadak dan tersebar meluas berbanding dengan mana-mana catatan tempoh dalam sejarah.

Ini telah menyebabkan banyak kehidupan alam yang pelbagai hilang tanpa kawalan atau sukar dipulihkan. Semenjak 1960, gas nitrogen yang dibebaskan ke ekosistem meningkat sebanyak dua kali ganda dan tiga kali ganda bagi fosforus.

Sebanyak 50 peratus daripada baja nitrogen sintetik digunakan sejak tahun 1985 dan 60 peratus daripada penambahan gas karbon dioksida berlaku sejak 49 tahun lalu.


PENCEMARAN daripada sumber bahan api antara faktor utama melonjakkan suhu dunia.


Menurut satu petikan: "Sejak 1960, populasi penduduk berlipat dua kali ganda dan aktiviti ekonomi bertambah sehingga enam kali ganda tetapi kadar pengeluaran makanan meningkat dua setengah kali dengan harga makanan menurun, penggunaan air dan tenaga hidro bertambah dua kali ganda."

Kesan langsung daripada kerosakan ekosistem dilihat dalam aktiviti penangkapan ikan, makanan hidupan luar, sumber tenaga kayu, biokimia, air tawar, sumber genetik, bencana alam, penyebaran penyakit dan sebagainya. Yang bertambah maju ialah sektor tanaman, penternakan haiwan, pembebasan karbon dan akuakultur.

"Kawasan tanah lapang meliputi kawasan seluas 41 peratus daripada permukaan bumi dan hanya lapan peratus daripada bekalan air ini boleh diperbaharui. Tapi bayangkan lebih daripada dua bilion manusia hidup di atas permukaan kering ini dan sekarang, hampir 10 hingga 20 peratus kawasannya musnah," kata Zakri yang menambah kadar perkembangan populasi yang tertinggi direkodkan pada tahun 1990-an.

Malaysia mengalami perubahan ekosistem yang drastik semenjak aktiviti penggunaan sumber alam dan pertanian dilakukan secara besar-besaran. Sektor pertanian mengambil kawasan tanah yang terbesar dan dalam tempoh 30 tahun, trend penggunaan tanah memihak kepada tanaman kelapa sawit.


KAWASAN pertanian tidak menjadi lantaran kemarau melampau di banyak negara.


Selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia mengadaptasikan konsep industrialisasi sebagai agen penjana ekonomi sekali gus menukar kebanyakan zon tanah pertanian kepada zon industri.

Seperti yang dinyatakan oleh Prof. Mazlin Mokhtar, Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), meskipun perubahan ekosistem untuk memberi laluan kepada perkembangan ekonomi adalah baik dan berimpak positif, namun ia tidak sejajar dengan pemeliharaan alam.

Bencana alam seperti banjir kilat, hakisan tanah di persisiran pantai, gangguan bekalan air, kepupusan biodiversiti dan kawasan pembiakan hidupan marin adalah tempias yang dirasai oleh penduduk, lewat-lewat ini.

"Setakat ini, polisi negara bagi menjamin ekosistem alam tidak lengkap. Masih wujud jurang kesinambungan di antara ekosistem alam dan sistem sosial alam semula jadi."

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) juga menuding kepada beberapa kelemahan sistem seperti ketidakseragaman dan konflik pengurusan tanah di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri serta cabaran kawalan jerubu di perantauan ini.

Bagaimanapun, wakil dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mempertahankan usaha yang diambil dengan menyenaraikan langkah-langkah perlindungan lima juta hektar hutan dan kawasan marin, yakni Taman Marin Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan larangan menangkap ikan.




Sehingga hujung tahun 2007, 397.1 hektar hutan paya bakau ditanam semula dengan spesies bakau minyak, bakau kurap dan rhu pantai. Akhir tahun nanti, angka ini dijangka akan meningkat kepada 2,000 hektar.

Mungkin ada baiknya jika kerajaan menerima baik opsyen insentif ekonomi yang ditawarkan oleh negara Costa Rica di mana pemilik tanah di kawasan tanah tinggi 'dibayar' untuk mengekalkan pokok-pokok dan sebaliknya, penduduk di kawasan tanah rendah memperoleh manfaat daripada perlindungan ekosistem.

Bencana petanda rintihan alam

Belum reda dengan krisis kekurangan bekalan makanan yang turut diakibatkan oleh perubahan iklim global, dunia terus cemas apabila satu demi satu bencana meletus sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa.


FUTALEUFU Chile: Gunung Chaiten memuntahkan laharnya sehingga menyebabkan ribuan penduduk kawasan itu melarikan diri.


SATU demi satu bencana mencemari alam dan paling teruk, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa. Tanpa amaran, ia memusnahkan segalanya dalam sekelip mata.

Namun, beginilah keadaannya apabila bumi 'mengamuk'.


SICHUAN, China: Gegaran sekuat 7.8 skala ritcher menyebabkan banyak mangsa maut di bawah timbunan runtuhan bangunan.


Bermula dengan kes letusan gunung berapi di Chile pada 2 Mei lalu, penduduk-penduduk di bahagian selatan negara itu lari bertempiaran meninggalkan rumah dan haiwan peliharaan sebaik saja Gunung Chaiten memuntahkan laharnya.

Di bandar Futaleufu, asap tebal dan abu hitam menutupi kebanyakan kawasan.

Hanya 400 daripada 1,500 penduduk di kawasan itu dibenarkan tinggal di rumah masing-masing meskipun bekalan air sudah terputus.

Sesetengah pakar ekologi berpendapat, bencana ini meninggalkan kesan perubahan yang ketara ke atas alam semula jadi seperti hutan pokok sipres dan pain di samping spesies rusa yang jarang ditemui.


LABUTTA, Myanmar: Mangsa taufan Nargis merenung masa depan kehidupan mereka yang kini semakin sukar.


Chile merupakan 'rumah' kepada 2,000 gunung berapi, di mana 500 daripadanya masih aktif dan hampir 60 gunung berapi ini telah meletus sejak 450 tahun yang lalu. Chaiten buat pertama kali meletus dalam tempoh beribu tahun.

Di Myanmar, hampir 30,000 nyawa hilang sebaik Siklon Nargis melanda pada hari yang sama dengan kekuatan tiupan angin selaju 120 batu sejam dan ribut taufan.

Secara rasminya 33,000 penduduk dipercayai maut dengan lebih 50,000 masing hilang meskipun seorang jurucakap dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Horsey percaya besar kemungkinan angka itu lebih tinggi, iaitu boleh mencapai sehingga 100,000 orang.

Dalam situasi genting sebegini, lebih daripada dua juta penduduk memerlukan bantuan segera dari segi makanan, minuman dan pakaian tetapi usaha untuk mencapai ke kawasan-kawasan luar bandar memang sukar.

Di kawasan yang paling teruk ditimpa malapetaka, Delta Irrawaddy, penduduknya hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan beratus-ratus orang mendapatkan teduhan di dalam biara.


LABUTTA, Myanmar: Adakah pukulan Nargis akibat kemurkaan alam kerana pemanasan global yang semakin membimbangkan?


Selebihnya mereka cuba mendirikan khemah di luar tanpa bekalan air bersih kerana telah dicemari najis dan mayat yang bergelimpangan.

Amerika Syarikat (AS) turut tidak terkecuali apabila ribut petir dan puting beliung melanda di bahagian tengah negara itu pada 10 Mei lalu.

Pengurus Agensi Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Michelann Ooten, memberi amaran bahawa angka kematian mungkin meningkat lebih tinggi.

Beliau berkata, sebuah kawasan kediaman yang mempunyai 20 blok bangunan di Oklahoma mengalami kerosakan besar akibat bencana tersebut.

Sementara itu, pada awal minggu ini, satu gempa bumi yang kuat menggegarkan bumi China, berdekatan dengan bandar Sichuan. Bermagnitud 7.8 pada skala Richter, ia menyebabkan kematian kira-kira 10,000 orang penduduk dan ramai lagi yang masih terperangkap di bawah ranapan bangunan konkrit.


OKLAHOMA, AS: Tidak terlepas daripada amukan alam, AS antara negara yang paling kerap menerima pukulan ribut taufan.


Gempa bumi ini dilaporkan yang terburuk dalam tempoh tiga dekad. Di bandar Juyuan, sebuah bangunan sekolah bertingkat tiga runtuh lalu memerangkap 900 pelajar hidup-hidup dan 50 lagi terbunuh. Seramai 1,000 lagi pelajar dan guru dipercayai tertanam atau terbunuh di sekolah menengah yang runtuh di Beichuan.

Selain di wilayah Sichuan, angka korban juga tinggi di Gansu, Yunnan dan juga Chongqing yang berjiran dengan Sichuan, lapor akhbar harian Xinhua.

Pusat gegaran tertumpu di daerah Wenchuan di Sichuan dan kekuatannya menyebabkan bangunan-bangunan tinggi di seluruh China bergoyang.

Gempa bumi itu yang berlaku pada pukul 2.28 petang (waktu tempatan), dirasai selama beberapa minit di Bangkok, Thailand, yang jaraknya kira-kira 3,300 kilometer ke barat daya China. Bangunan di ibu negara Vietnam, Hanoi, juga dilaporkan bergegar.


SICHUAN, China: Seorang lelaki menangis selepas ahli keluarganya menjadi korban gempa.


Kurang tiga bulan Beijing akan menjadi tuan rumah kepada sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik. Namun, ramai yang mempersoalkan adakah China mampu menganjurkan di sebalik pelbagai bencana yang menimpa. - SUBASHINI RAJANDRA

Sunday, December 16, 2007

Pemanasan global: AS terus timbulkan pelbagai masalah

NUSA DUA 16 Dis. – Perjanjian Bali yang menetapkan 2009 sebagai tarikh akhir untuk memeterai perjanjian baru bagi menangani pemanasan global terus berdepan dengan kesulitan hari ini apabila Amerika Syarikat (AS) menyuarakan “kebimbangan serius” tentang beberapa peruntukan perjanjian itu.

Ketika delegasi ke persidangan mengenai perubahan iklim di sini berlepas pulang selepas rundingan sengit selama dua minggu, White House merungut bahawa perjanjian itu gagal memperoleh komitmen negara membangun utama seperti China dan India untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dengan banyak.

Delegasi AS yang tersisih di sini telah akur dengan kehendak majoriti semasa hari ke-13 rundingan dan menyatakan mereka akan menerima perjanjian itu.

Namun beberapa jam kemudian, pentadbiran Presiden George W. Bush dilihat mempersoalkan aspek tertentu perjanjian tersebut.

White House menyatakan, sebarang perjanjian baru bagi menggantikan Protokol Kyoto perlu mengakui hak sesebuah negara untuk memajukan ekonomi dan menjamin bekalan tenaga.

White House mengakui perjanjian Bali mengandungi beberapa aspek positif namun “AS menaruh kebimbangan serius berhubung aspek lain apabila rundingan mengenai perjanjian baru dimulakan.”

AS satu-satunya negara perindustrian utama yang menolak Kyoto atas alasan tidak adil kerana tidak mewajibkan negara seperti China untuk memenuhi sasaran mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.

China yang merupakan pengeluar gas rumah hijau kedua terbesar selepas AS juga tidak tertakluk kepada ketetapan Kyoto.

– AFP

Friday, December 14, 2007

Dunia penuh tragedi

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

MASIH ada dua minggu lagi untuk menyimpulkan segala macam peristiwa sepanjang 2007.

Sama ada kesimpulan itu terlalu awal dibuat atau sebaliknya, ia terpulang kepada penerimaan masing-masing.

‘‘Tetapi mengambil kira insiden di mana dunia jadi saksi selama 349 hari yang lepas, global ini terlalu sarat dengan tragedi. Tiada perang yang mendera tetapi tragedi yang menuntut darah serta nyawa.

‘‘Seperti tahun 2001 dan 2003, terlalu banyak darah mengalir pada tahun 2007 ini. Kalau 2001, ada perang di Afghanistan. Dua tahun kemudian, tindakan ketenteraan di Iraq. Pada tahun 2007, tiada perang tetapi tragedi berdarah satu demi satu banyak memilukan masyarakat dunia,’’ kata Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (JUST), Dr. Chandra Muzaffar, sambil membilang satu persatu peristiwa berdarah yang memberi kesuraman kepada wajah dunia. Antara yang disebut ialah taufan Sidr di Bangladesh; tragedi berdarah di Masjid Merah, Pakistan; demonstrasi bertukar ganas menentang junta di Myanmar selain siri gempa bumi di Indonesia.

Beliau benar dalam memberikan kesimpulan dan contoh-contoh itu.

Ambil sahaja peristiwa taufan Sidr di Bangladesh yang berlaku pada hampir penghujung tahun 2007. Taufan Sidr yang mula melanda Bangladesh pada 15 November lepas bukan sahaja membunuh 3,400 penduduk, tetapi turut menjejaskan hidup berjuta-juta penduduk yang lain.

‘‘Rakyat yang dibelenggu kemiskinan terus terhimpit apabila hampir 400,000 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dilanda Sidr sementara lebih 800,000 keluarga lagi menanggung kerugian besar akibat kerosakan kediaman dan harta benda,’’ begitu rata-rata berita yang mengiringi ‘kesedihan’ akibat taufan tersebut.

Sehingga kini, daripada 6.7 juta penduduk yang menerima kesan akan taufan itu, dilaporkan 1,700 masih lagi hilang dengan ramai penduduk di kawasan pedalaman terpaksa hidup di dalam khemah kain sementara menantikan bantuan makanan dan perubatan.

Malaysia sendiri turut menghantar misi bantuan ke sana bagi membantu meringankan beban penduduk terjejas.

Lain pula derita yang melanda warga Indonesia kerana dilanda gempa bumi, walaupun ada menyatakan, setiap tahun begitu, sering dirundung malang.

Gempa bumi di Bengkulu pada bulan September, sebelum bulan Ramadan tiba, menyebabkan penduduk di situ bertimpa-timpa dilanda malang.

Tragedi yang paling dikenang kerana banyak disorot oleh media-media antarabangsa dan tempatan pada tahun 2007 tentunya peristiwa demonstrasi di Myanmar.

Myanmar, negara yang diperintah junta diasak terlalu teruk, kiri kanan, depan belakang sehingga hampir tiada ruang untuk membela, lebih buruk tidak dibela.

Apa yang menarik berlaku di negara anggota ASEAN itu ialah apabila sami-sami, yang kebiasaannya menjadi kumpulan dihormati selain tidak mencampuri urusan politik, turut sama menyertai demonstrasi antijunta. Imej di video dan kaca televisyen selain siaran akhbar menyiarkan secara besar-besaran betapa sami-sami itu dikasari sehingga cedera parah manakala seorang jurugambar bebas dari Jepun maut dalam tunjuk perasaan tersebut, yang mula berlaku pada 9 September. Rusuhan antijunta selama lebih seminggu itu bagaimanapun berakhir apabila tentera menyuarakan komitmen untuk menggerakkan usaha ke arah demokrasi, termasuk menimbang semula ‘penderaan’ ke atas ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi yang dikenakan tahanan rumah sejak beberapa lama.

Sementara itu, umat Islam di seluruh dunia terluka dengan peristiwa yang berlaku di Masjid Merah pada 15 Julai, menyebabkan lebih 24 orang maut, dikatakan terlibat dalam soal-soal keganasan.

Selang beberapa hari menyambut kegembiraan Aidilfitri, Pakistan bermandi darah lagi apabila terjadi serangan nekad bom berani mati, kali ini lebih 136 nyawa melayang.

Akibat tragedi itu, politik Pakistan yang telah pun meruncing lebih awal akibat ‘kesilapan demi kesilapan’ oleh Presiden Pervez Musharraf, menjadi semakin kacau dan gawat.

Sehingga kini, menghampiri penghujung tahun, kekalutan Pakistan, yang bermula sejak Mac lagi belum menunjukkan bibit menuju keamanan.

Sangkaan bahawa kepulangan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pada Oktober lepas sedikit sebanyak boleh mengembalikan keamanan di Pakistan ternyata meleset. Bahkan, kesediaan Pervez meletakkan jawatannya sebagai tentera sebelum memberi laluan kepada sebuah pilihan raya diadakan pada Januari ini sekalipun ternyata tidak boleh mengembalikan prospek kedamaian di negara kuasa nuklear itu.

Mudah kata, masyarakat dunia semakin tidak pasti apa yang akan berlaku pada Pakistan, apatah lagi sambil menunggu bulan Januari nanti.

Konflik kemanusiaan yang paling lama berlanjutan dalam dunia - Israel-Palestin, masih tidak menunjukkan tanda-tanda terlerai pada tahun ini.

Walaupun ramai mengharapkan agar sebuah negara Palestin dan berdaulat dapat diwujudkan pada penghujung tahun depan, seterusnya menghembuskan angin damai di Asia Barat, namun nampaknya ia belum boleh disimpulkan sebagai mimpi jadi nyata.

Tanpa mahu menjadi pesimis, konflik Hamas-Fatah yang belum berakhir sehingga sekarang menjadi antara penghalang bagi meruntuhkan tembok keras keamanan yang Palestin idamkan - sudah semestinya masyarakat antarabangsa juga.

Perlu diingatkan, tidak terkira banyaknya nyawa melayang kerana kesengsaraan di Palestin; tidak diketahui berapa jumlah kematian akibat penganiayaan Israel ke atas warga Palestin; tiada diketahui jua bilangan yang terdera mental serta fizikal sebaliknya hanya air mata dan darah menjadi saksi konflik tidak berpenghujung itu - tidak juga pada 2007 ini.

Perang di Iraq masih juga berpanjangan. Ternyata huru-hara menukar syurga menjadi neraka apabila hampir saban hari ada sahaja kematian dicatatkan akibat serangan bom, serangan berani mati, tidak terkecuali tembakan rambang.

Di sebalik tragedi-tragedi yang kekal menjadi ‘simbol’ kesuraman helaian halaman 2007 itu, sepanjang tahun ini turut dikejutkan dengan beberapa persaraan dan peletakan jawatan beberapa pemimpin dunia.

Di Turki, Abdullah Gul, bekas Menteri Luar negara itu akhirnya menjadi Presiden apabila melalui beberapa proses yang sukar.

Pemilihan Abdullah, perlu dibaca sebagai kemenangan bagi Islam kerana beliau diterima tengah-tengah asakan dan campur tangan tentera di negara Turki, yang pada satu masa amat tebal nilai-nilai sekularisme tinggalan Kemal Attartuk.

Dunia juga terkejut dengan peletakan jawatan secara tiba-tiba Shinzo Abe pada awal September.

Laporan menyebut, beliau mengambil keputusan itu sebagai memikul tanggungjawab terhadap imej dan kredibiliti parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP) yang kalah dalam pilihan raya Parlimen sebelum itu.

Paling diingati tentunya, wajah suram bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair melambai tangan kepada kesemua penyokong Parti Buruh apabila mengumumkan pengunduran pada 13 Mei dengan digantikan oleh Gordon Brown.

Beliau, yang merupakan pemimpin paling berkuasa di Britain secara rasmi meletakkan jawatan pada 27 Jun.

Begitu juga, John Howard, seorang lagi pemimpin berkuasa - kerana bersekongkol bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, menerima padah sama, kecundang kerana hal Iraq.

Kecuali tragedi atau bencana alam, kalau kita bersetuju, landskap politik dunia banyak ditentukan oleh pucuk pimpinan di White House. Lalu, tentunya dunia di lembaran 2008 ditunggu dengan penuh debar. Bush penggalnya tamat tahun depan, dunia akan kehilangan pemimpin yang kemaruk darah dan dahagakan nyawa orang lain.

Gagal selamatkan Bumi?

Oleh: SOPHA SULAIMAN


PARA aktivis alam sekitar mengadakan demonstrasi ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Antarabangsa di Bali. - AFP.

SIDANG Kemuncak Perubahan Iklim Antarabangsa di Bali selama lebih 10 hari berakhir semalam.

Mesyuarat itu yang dihadiri oleh 192 buah negara menjadi medan perbahasan hangat sepertimana isu pemanasan global yang dialami di seluruh dunia sekarang.

Bagaimanapun setakat kelmarin belum ada tanda atau kesepakatan satu keputusan atau deklarasi bersama daripada negara peserta.

Negara-negara maju yang didakwa menyebabkan pemanasan global diminta memberikan pampasan atau ganti rugi kepada negara sedang membangun dan negara mundur kerana mereka terpaksa berkorban untuk pembangunan.

Indonesia, umpamanya mahu negara perindustrian membayar pampasan kerana negara-negara maju turut mendapat manfaat daripada peraturan yang dikenakan kepada negara ini bagi melindungi hutan.

Pada persidangan itu, negara maju dituding hanya mementingkan kekayaan ekonomi dan perniagaan, tetapi enggan membantu negara yang membangun dan miskin yang tidak memiliki dana dan teknologi untuk melindungi alam sekitarnya.

Indonesia yang menjadi penyelaras persidangan itu bagaimanapun menafikan dengan keras bahawa persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu gagal mencapai tujuannya.

Ada pihak yang mendakwa mesyuarat itu seperti sebuah ‘bangunan kertas’ yang mudah terbongkar dan ada yang menyarankan supaya hari persidangan di Bali itu dilanjutkan lagi.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagaimanapun menyatakan komitmennya supaya persidangan itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kepentingan semua negara.

Namun apa yang menarik, persidangan itu telah mengangkat bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore sebagai ‘hero’ kerana beliau turut membidas negaranya sendiri kerana dikatakan menjadi ‘penghalang’ kepada kemajuan persidangan itu.

Al Gore yang baru sahaja memenangi Hadiah Nobel Kedamaian kerana memperjuangkan kesan pemanasan dunia, menuduh Amerika Syarikat telah menyekat perjalanan mesyuarat.

Sementara negara Kesatuan Eropah pula dilaporkan mengancam untuk menarik diri daripada mengambil bahagian pada persidangan iklim yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat sekiranya negara itu sendiri enggan berkompromi dalam mengurangi pelepasan gas dan karbon. Amerika telah mengundang 16 buah negara Eropah selain China, Jepun, dan India untuk menyertai persidangan tentang iklim bulan depan.

Kenyataan pedas Al Gore di Bali bagaimanapun dilihat sebagai ‘serangan balas’ terhadap Presiden George W. Bush. Beliau juga dilihat memulakan ‘kempen’ politik bagi pilihan raya Presiden negara itu yang dijangka pada penghujung tahun depan.

Al Gore dilaporkan menyarankan kepada para perwakilan yang menyertai persidangan itu untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi pemanasan global. Beliau membayangkan kepada mereka kemungkinan Presiden Amerika yang akan dipilih kelak (pengganti Bush) akan memberikan kerjasama terhadap masalah perubahan iklim yang dihadapi oleh dunia sekarang.

“Negara saya sendiri bertanggungjawab sebagai penghalang utama pada mesyuarat di Bali ini,” tegas Al Gore.

Perlu disebut Amerika dilaporkan menjadi penyumbang terbesar kepada pencemaran udara (kadar pelepasan gas rumah hijau) dan satu-satunya negara perindustrian yang menentang perjanjian perubahan iklim di Kyoto yang disepakati bersama pada 1997.

Bush menolak perjanjian itu kerana bimbang akan menjejaskan ekonomi Amerika Syarikat. Sebaliknya beliau mahu negara yang sedang pesat berkembang dalam sektor industri seperti China dan India mengurangkan had pelepasan gas dan karbon.

Bagaimanapun Kristen Hellmer, seorang perwakilan Amerika ke persidangan itu menafikan tudingan yang dibuat oleh Al Gore.

Delegasi Amerika itu tetap mempertahankan peranan negaranya yang dikatakan turut menyingsing lengan bersama negara lain untuk merangka pakatan baru menggantikan Protokol Kyoto yang dijadual tamat pada tahun 2010.

Negara-negara maju seperti Amerika dan Jepun dilaporkan enggan menyetujui beberapa aspek dalam draf cadangan di Bali yang meminta negara-negara perindustrian mengurangkan perlepasan pencemaran gas dari industri menjelang tahun 2020.

Al Gore menyarankan para delegasi persidangan itu mencari kata sepakat untuk menyelesaikan permasalahan walaupun tanpa sokongan Amerika Syarikat.

Ia bukan masalah politik dan perniagaan, tetapi masa depan generasi akan datang, kata Al Gore.

Ketika perbahasan di peringkat menteri sama ada perlu atau tidak negara maju dikenakan peraturan mengehadkan pembebasan gas, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut merayu tindakan yang lebih segera diambil untuk ‘menyelamatkan Bumi’.

Bagaimanapun hanya enam negara bersetuju dengan saranan itu dan menyatakan sokongan terhadap rangka peraturan asas bagi melaksanakan rundingan selanjutnya ke arah merealisasikan satu pakatan baru tentang perubahan iklim dunia.