BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, August 2, 2008

Kebaikan enzim sampah - Kuasa untuk menyelamatkan dunia ada di dalam sampah di dapur anda


BAHAN buangan ini mudah ditemui di dapur.


“Sampah dari dapur anda mampu membawa keajaiban. Kulit buah, lebihan sayur dan bahan yang anda gunakan untuk memasak atau makan, adalah kuncinya. Tukarkan ia kepada enzim dan anda dapat merawat dunia,” ujar seorang pengamal perubatan alternatif homeopati, Dr. Joean Oon.

Merawat dunia? Mungkin ramai yang tertanya-tanya akan maksudnya. Formulanya mudah: penapaian sampah dari dapur anda dapat menghasilkan gas ozon yang diperlukan untuk memulihkan cuaca bumi.

Bagaimana ia berlaku?


Joean


Ia bermula dari hari pertama anda memerap atau menapai sisa makanan organik. Proses katalisnya sudah mula membebaskan gas ozon.

Molekul itu kemudiannya bertindak balas dengan gas karbon dioksida dalam lapisan atmosfera serta logam berat yang memerangkap haba di dalam awan. Sekali gus haba dapat dibebaskan dari muka bumi, mengurangkan kesan rumah hijau dan pemanasan global.

Pada masa yang sama, garam nitrat dan karbonat terbentuk. Kedua-dua elemen ini dapat membantu menyuburkan tanah dan menjadi hormon serta nutrien semula jadi kepada tumbuhan.

Enzim pula secara amnya diketahui dapat menggalakkan atau mempercepatkan proses kimia. Jadi penggunaannya dalam sungai yang dicemari minyak atau bahan kimia didapati berjaya merungkaikan ikatan kompleks bahan kimia tersebut dan seterusnya menjernihkan airnya.

Biarpun masih belum dapat membuktikannya melalui ujian makmal, banyak keajaiban telah disaksikan hasil usaha Joean, ibu kepada tiga orang anak.


ENZIM sayur-sayuran dapat menggalakkan proses kimia.


Ilmu yang dipelajari daripada seorang pensyarah dan doktor dalam perubatan alternatif di Thailand, Dr. Rosukon Poompanvong, ini mula mendapat perhatian dan kini memperoleh permintaan sehingga ke beberapa negara di rantau Asia Tenggara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.




“Pokok naga di sebuah ladang di Seremban yang disembur enzim sayur-sayuran dan buah-buahan dapat mengeluarkan sehingga 40 biji buah dari sebatang pokok, sedangkan pokok naga pekebun lain hanya dapat mengeluarkan maksimum 10 biji. Perbezaannya ialah empat kali ganda.

“Seorang wanita yang mempunyai 60 pasu pokok bunga orkid pernah merungut pokok yang ditanam sukar untuk berbunga, tetapi selepas menyembur enzim yang dihasilkan sendiri, bunga berkembang sehingga 60 peratus lebih banyak tanpa bantuan baja herbisid,” kongsi Joean tentang kebaikan enzim kepada bidang agro.

Tidak melibatkan kos yang besar, enzim yang dihasilkan hanya memerlukan apa yang ada di dapur anda. Perapkan bersama gula perang, sisa makanan dan air pada nisbah 1: 3: 10 dalam bekas tertutup dan tunggu selepas tiga bulan.

“Enzim yang terhasil akan melakukan magik untuk anda. Pengusaha restoran yang sebelum ini mempunyai masalah lalat yang banyak di kawasannya sekarang dapat berniaga dengan tenang selepas beliau mengelap meja menggunakan enzim yang dihasilkan sendiri,” kongsinya.

Tidak menolak sangkaan ramai bahawa penapaian akan menghasilkan bau yang teruk, wartawan Kosmo Ahad diberi peluang menghidu enzim yang dihasilkan dan nyata ia tidak seteruk yang disangkakan. Tambahan pula penapaian dilakukan dalam bekas kedap udara.

“Setiap kali kita melintas tong atau longgokan sampah, kita akan terhidu bau masam yang busuk. Itulah gas metana. Apabila ia dibebaskan ke udara, ia membentuk gas karbon dioksida yang memerangkap sehingga 21 peratus haba berbanding keupayaan gas karbon dioksida.

“Jadi, bayangkan apa yang sedang kita lakukan semasa kita membuang sampah,” usul anak kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang ini.