BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 6, 2009

Pulihara lebih 50 air terjun

Wei Lea sanggup melepaskan kerjayanya sebagai seorang pengurus perhubungan di salah sebuah bank semata-mata mahu menunaikan tanggunjawab sosialnya kepada alam sekitar.




"Masa kecil dulu saya suka buang sampah rata-rata, sebab terikut-ikut orang keliling. Saya sedikit pun tidak fikir kesan buruknya pada alam sekitar atau manusia". Demikian pengakuan jujur, pengasas merangkap presiden Waterfall Survivors, Joe Yap Wei Lea, 30, menyingkap penglibatan awalnya dalam aktiviti alam sekitar beberapa tahun lalu.

Menurut Wei Lea, kepayahan pengutip sampah yang tekun membersihkan longkang yang kotor dan dipenuhi sampah sarap demi menjaga alam sekitar memberi kesan yang bukan sedikit kepadanya.

"Memang saya sedih tengok pengutip sampah yang bertungkus-lumus membersihkan sampah, sedangkan kita sendiri boleh melakukannya.

"Tambahan pula sampah yang dibuang itu bukannya kering tetapi basah. Namun, mereka tetap melakukan kerja tersebut," cerita ibu kepada seorang anak itu.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu menjelaskan komitmennya pada alam sekitar bermula selepas kunjungannya ke Hutan Lipur Kanching, Rawang, Selangor pada Jun tahun lalu.

Keindahan hutan lipur itu benar-benar memikat hatinya. Namun, ada sesuatu yang membuatkan Wei Lea berasa kecewa. Kawasan air terjun yang menghijau dan tenang itu dicemari dengan sampah sarap.

"Semakin tinggi kawasan air terjun itu, semakin teruk keadaan persekitarannya. Sayang sekali air terjun yang cantik seperti ini tidak dijaga," ujarnya ketika ditemui pada kempen Save Our WaterfallS di Air Terjun Kanching, Rawang, Selangor baru-baru ini.




Cara penyelesaian

Jauh di sudut hati Wei Lea, sesuatu harus dilakukan untuk mengekalkan keindahan kawasan air terjun tersebut. Kecintaan Wei Lea kepada air terjun menyebabkan dia menjadikan destinasi rekreasi itu untuk bersantai bersama teman-temannya pada hujung minggu.

Meskipun bukan semua rakan-rakannya berminat untuk menghabiskan cuti hujung minggu di kawasan air terjun, semangat Wei Lea tidak pernah patah. Sebaliknya, wanita itu mendapat ilham lain. Wei Lea mahu berkongsi minatnya itu dengan mencari rakan-rakan baru menerusi laman sosial Facebook.

"Saya buka akaun Facebook Waterfall Survivors pada 12 Julai 2008 semata-mata untuk mencari kenalan yang boleh berkongsi pengalaman dan hobi yang sama dengan saya.

"Bimbang juga jika tidak mendapat sambutan. Tetapi selepas setahun akaun itu aktif, ia berjaya menarik ramai peminat. Sehingga kini, ahli Waterfall Survivors mencecah lebih 3,300 orang," kata Wei Lea yang berpuas hati dengan usahanya itu.

Oleh kerana tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman mendalam mengenai air terjun, Wei Lea sering melayari Internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Dia memilih laman web Waterfalls of Malaysia yang diterajui oleh Jan Stuivenberg. "Bagi mendapatkan maklumat atau cara-cara untuk mengendalikan ekspedisi, saya sering berkomunikasi dengan Stuivenberg.

"Dia merupakan mentor saya kerana Waterfall Survivors telah berjaya meneroka lebih 50 air terjun di negara ini," katanya yang turut memuatkan jadual aktiviti yang bakal diadakan di lokasi air terjun itu sendiri.


WEI LEA menumpukan sepenuh masa untuk aktiviti Waterfall Survivors.


Sepenuh masa

Bekas pengurus perhubungan di salah sebuah bank itu sanggup melepaskan kerjayanya semata-mata mahu berkecimpung secara serius dalam aktiviti Waterfall Survivors.

Meskipun pilihannya itu mendapat tentangan daripada ibu bapa, namun Wei Lea nekad. Bagi merealisasikan tanggungjawab sosialnya pada alam sekitar, beliau berusaha mendapatkan bantuan dana daripada beberapa syarikat korporat.

"Melalui cara ini, sekurang-kurangya sekali dalam sebulan, Waterfall Survivors dapat menganjurkan aktiviti-aktiviti alam sekitar," katanya.

Pencemaran jejaskan kehidupan

n


KEMPEN Save Our Waterfalls semakin mendapat sambutan daripada golongan belia.


RAMAI yang memilih air terjun sebagai destinasi merehatkan minda dan menenangkan fikiran. Namun masih ramai yang enggan mengubah sikap untuk menitikberatkan penjagaannya.

Pakar Geologi Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan memberitahu, sikap segelintir masyarakat yang mencemari kawasan air terjun dengan timbunan sampah sarap akan mendatangkan impak yang bukan sedikit.

Ini kerana apabila air terjun tercemar, ia akan menjejaskan banyak perkara yang melibatkan keperluan utama manusia.

"Air terjun merupakan sebahagian daripada sumber air bersih. Jika ia disalahguna, banyak perkara yang tidak diingini akan berlaku. Antaranya menjejaskan sektor pertanian dan perikanan.

"Selain itu, suatu hari nanti kita akan kekurangan lokasi rekreasi. Bukan itu sahaja, tarikan pelancong akan berkurangan dan ini bermakna ia akan merencatkan ekonomi negara," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Malah katanya, air terjun yang turut dijadikan kawasan rekreasi bagi sesetengah masyarakat termasuk aktiviti bersukan akan lumpuh.


MOHAMAD ALI


Lebih menyedihkan lagi, kawasan yang dipenuhi dengan kehijauan dan sunyi daripada hiruk-pikuk kota tidak mampu lagi menjadi peneman bagi golongan yang ingin mendapatkan ilham.

"Kesemua faedah yang kita peroleh melalui air terjun akan terjejas sekiranya masih ramai antara kita bersikap endah tidak endah untuk menjaganya sebaik mungkin.

"Jangan hanya tunggu ada kempen sahaja atau berlaku perkara yang sudah serius, barulah kita kelam-kabut untuk mencari penyelesaian," katanya.

Selain itu katanya, ia juga berkait rapat dengan faktor untuk mengejar keuntungan dari segi pembinaan di lereng-lereng bukit, pembalakan dan kuari yang turut menjejaskan lokasi tadahan air iaitu air terjun.

Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohd. Azmi Abd. Hamid pula berkata, sekiranya sesebuah kawasan air terjun itu hanya mampu menampung bilangan orang ramai sekitar 1,000 orang, maka jumlah kemasukan pengunjung ke situ perlu dikawal.

"Kemasukan pengunjung sewenang-wenangnya seperti sekarang perlu dikawal.


LONGGOKAN sampah yang dikumpul dalam kempen ini.


"Ini merupakan antara cara terbaik sekiranya kita ingin mengekalkan alam semula jadi di negara kita. Kapisiti sesebuah air terjun perlu dipatuhi, jangan pula air terjun yang tidak terlalu luas diberi kelonggaran kemasukan pengunjung yang berlebihan," katanya.

Tegasnya lagi, jika negara tidak mengambil serius berhubung kualiti air terjun, kemungkinan dalam tempoh dua dekad akan datang, generasi baru tidak dapat menikmati apa yang kita miliki sekarang.

"Untuk memulihkan sesuatu yang rosak, ia mengambil masa yang sangat lama. Misalnya, pokok yang sudah berusia bukannya mudah untuk diganti balik. Ia mengambil tempoh bertahun-tahun," ujarnya lagi.

Saturday, October 31, 2009

Pengalaman saintis teroka Artik

Saintis-saintis Malaysia yang pernah ke Artik untuk penyelidikan mereka tiga tahun lalu menyaksikan bongkah-bongkah ais di Artik semakin mengecil dan suhunya juga semakin panas.




SAAT melabuhkan punggung di tempat duduk kapal terbang, perasaan Profesor Madya Dr. Siti Aisah Alias bercampur baur.

Keterujaan saintis dari Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu tidak dapat digambarkan apabila buat pertama kalinya beliau menjejakkan kaki ke Lautan Artik. Lautan yang dipenuhi bongkah-bongkah ais dan beruang polar.

Biarpun kedatangannya ke lautan yang terkecil dan tercetek antara empat lautan di dunia iaitu Lautan Atlantik, Lautan Hindi, Lautan Pasifik dan Lautan Selatan itu atas urusan penyelidikan, namun Siti benar-benar tidak sabar.

Pensyarah Institut Biologikal Sains, Fakulti Sains UM itu sudah membuat persediaan rapi apatah lagi suhu di Artik dikatakan mencecah bawah 10 darjah Celsius.

Perjalanan yang mengambil masa 20 jam dari Malaysia itu memaksa beliau dan dua rakan saintis yang lain iaitu Profesor Madya Dr. Irene Tan Kit Ping dan Profesor Dr. Phang Siew Moi menempuh perjalanan ke Amsterdam, Belanda; Oslo, Norway; Longyearbyen dan Svalbard Arctic sebelum sampai ke Lautan Artik.


SITI AISAH mengumpul beberapa sampel kulat untuk penyelidikan.


Tiga saintis itu mencipta sejarah dalam kalangan penyelidik serantau apabila menjadi kumpulan pertama ke Artik bagi menjalankan kajian bakteria, alga dan kulat tiga tahun lalu.

Apabila kapal terbang merentasi Lautan Artik yang berkeluasan kira-kira 14,090,000 kilometer persegi iaitu 1.5 kecil sedikit berbanding saiz Amerika Syarikat (AS) itu, Siti segera merapatkan mukanya ke cermin kapal terbang untuk melihat pemandangan Lautan Artik dari atas.

Ternyata apa yang dilihatnya mengejutkan. Lautan yang disangkanya penuh dengan ais itu kini dipenuhi air. Bongkah-bongkah ais telah cair.

"Sebelum ini Artik dikenali sebagai sebuah lautan ais. Namun, pertama kali menjejakkan kaki ke sana pada 17 hingga 24 Julai 2006, ia berbeza dengan apa yang saya sangkakan.

"Banyak bongkah ais yang mula mengecil berikutan kesan pemanasan global. Paling mengejutkan saya ialah apabila suhu yang dijangka terlalu sejuk bertukar menjadi panas mencecah sehingga 18 darjah Celsius," katanya yang berasa panas ketika berada di Artik kerana memakai pakaian tebal.


BERUANG kutub mungkin pupus jika bongkah ais di Artik terus mencair.


Bercerita lanjut, Siti yang ditugaskan membuat kajian mengenai kulat di Artik terkejut kerana pertumbuhan kulatnya begitu subur.

Ketika itu, terdapat sebanyak 78 spesies kulat ditemui di Artik. Suhu adalah faktor penting dalam mempengaruhi pertumbuhan kulat.




"Disebabkan suhu di Artik semakin panas, pertumbuhan kulat menjadi sempurna. Jika tidak kulat tidak boleh tumbuh pada suhu yang begitu rendah," katanya yang menjalani sesi pertama kajian selama lapan hari dengan kerjasama Institut Penyelidikan Polar Korea (Kopri).

Habitat

Memikirkan kesan yang berlaku ke atas Lautan Artik, Siti mula memikirkan bagaimana nasib beruang polar yang hidupnya bergantung pada bongkah-bongkah ais tersebut.

Apabila suhu semakin panas, ais akan mula mencair. Ketika itu, habitat beruang polar dan lain-lain haiwan akan menerima kesan buruk sekali gus hidupan-hidupan di sana juga bakal terancam.

Agensi berita AFP baru-baru ini melaporkan bahawa ais di Artik dijangka cair sepenuhnya menjelang musim panas dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang.


PEJABAT penyelidikan Artik.


Itulah antara penemuan terbaru satu pasukan penyelidikan di kutub utara yang diketuai oleh pengembara, Pen Hadow. Hadow memberitahu, kemungkinan besar Kutub Utara tidak akan mempunyai ais semasa musim panas dalam tempoh sedekad.

Hadow dan dua lagi rakyat Britain yang menjelajah Kutub Utara selama 73 hari dalam musim bunga mengambil lebih 6,000 ukuran dan pemantauan ais di sana.

Data yang diperoleh dari Mac hingga Mei lalu memberikan ramalan mengenai keadaan bongkah ais.

"Liputan ais musim panas akan hilang sepenuhnya dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun. Tetapi dalam masa kurang dari itu, jumlah ais akan berkurangan dengan banyak.

"Dalam masa sedekad, kawasan Artik akan menjadi laut lepas," kata ketua kumpulan fizik lautan polar dari Universiti Cambridge, Profesor Peter Wadhams.

Krisis

Penemuan itu sangat menakutkan. Terdapat kemungkinan manusia akan berdepan dengan krisis bekalan makanan dan air bersih yang kronik. Malah, udara akan menjadi sangat panas dan kering, selain hidupan lain juga pasti terjejas.

Lautan Artik meliputi hidupan seperti oleh manusia, tumbuh-tumbuhan tundra Kutub Utara seperti rumput rampai, herba-herba dan sebagainya. Oleh kerana ia berada begitu jauh di utara, maka adalah terlalu sukar untuk pokok-pokok tumbuh.

Antara haiwan yang hidup di Artik terdiri daripada beruang kutub, wolverin (sebahagian daripada keluarga musang), rubah Artik, ptarmigan (sejenis burung yang membuat sarang dalam gunung-gunung bersalji) dan ikan paus beluga iaitu sejenis ikan paus berwarna putih.

"Apabila Artik pupus, paras air laut akan meningkat. Pada masa itu juga, iklim dunia akan menjadi tidak stabil. Hidupan di laut akan mati dan manusia akan berdepan dengan kekurangan sumber makanan dan air bersih," kata Wadhams.

Namun Siti memberitahu, banyak usaha telah dijalankan di Artik selain penyelidikan terperinci oleh Kanada, Amerika Syarikat (Alaska), Rusia dan lain-lain negara yang terletak berdekatan dengan Lautan Artik.

Sebenarnya, bukan mudah untuk Siti dan rakan-rakan saintis yang lain memasuki lautan tersebut. Mereka perlu mendapat permit atau mendapat jemputan khas untuk ke Artik. Itupun bukan semua kawasan dibenarkan untuk membuat penyelidikan.

Tujuannya agar kawasan tersebut dilindungi daripada ancaman manusia. Malah, kehadiran tiga saintis wanita itu juga dikawal ketat.

"Cabaran yang kami hadapi bukan sedikit. Bayangkan semasa membuat penyelidikan, kami dibawa dan dikawal oleh Pembantu Kerja Lapangan Artik bersenjata kerana bimbang kami terdedah dengan ancaman binatang buas.

"Malah, jika cuaca berubah buruk seperti angin kencang, penyelidikan juga perlu perlu dihentikan," katanya yang menjadi pensyarah sejak tujuh tahun lalu.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Irene Tan Kit Ping berkata, penyelidikan yang dijalankan di Artik itu bertujuan mengambil sampel-sampel tumbuhan yang terdapat di Artik untuk dibandingkan dengan sampel sedia ada dari Antartika.

"Kami ambil sampel seperti cendawan, air, lumut, rumpai laut, glasier dan beberapa sampel lain untuk dijadikan bahan kajian," katanya.

Hidupan liar

Jelas Irene, sepanjang berada di sana beliau berpeluang melihat pelbagai hidupan liar yang menarik seperti angsa teritip, burung camar artik, musang artik, rusa kutub Svalbard dan banyak lagi. Amat menyedihkan jika hidupan-hidupan itu pupus disebabkan ais di Artik mulai cair.

Irene berkongsi pengalaman memakai sut kering sebelum berdepan dengan ais yang cair.

"Sut kering itu akan memastikan kami terapung semasa keluar daripada bot membuat penyelidikan," katanya.

Ketiga-tiga saintis itu membuat penyelidikan di kawasan Artik menggunakan Stesen Dasan di Ny-Alesund, Norway, dengan kerjasama stesen penyelidikan dari Korea, China, Jepun dan India.


DARI kiri: Phang Siew Moi, Irene Tan Kit Ping dan Siti Aisah Alias bergambar kenangan di Lautan Artik.


Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd. Nor, penyelidikannya di Artik bersama Ketua Jabatan Geografi, UM, Datuk Dr. Azizan Abu Samah empat tahun lalu menimbulkan rasa kesal dan sedih terhadap masalah kecairan ais di Artik.

"Pemanasan global menyebabkan jumlah air tawar di Laut Utara meningkat. Ini kerana air tawar lebih ringan daripada air laut.

"Kewujudan air tawar ini menyebabkan air laut yang sampai di daerah kutub diserap oleh kepanasan atmosfera. Penyerapan itu menyebabkan bongkah-bongkah ais menjadi cair," katanya.

Ujarnya, usaha bersama daripada semua pihak amat penting untuk menstabilkan cuaca dunia.

Ais sangat penting. Jika ais cair ia akan membahayakan kehidupan bukan sahaja di Artik tetapi juga di kawasan bumi yang lain. Ia turut mengakibatkan sumber pemakanan manusia mahupun binatang akan terjejas.

"Perairan Malaysia tidak terkecuali menerima ancaman kemusnahan. Sebahagian besarnya disebabkan manusia dan selebihnya oleh kesan semula jadi" katanya yang pernah memenangi anugerah Langkawi pada tahun 1957 berikutan usahanya memelihara alam sekitar.

Jelas Salleh, pengalaman berada di Artik menyuntik kesedaran pada dirinya. Hidup di dunia ibarat seperti sebuah keluarga.

Apa jua tindakan seperti pencemaran dan tidak menjaga alam sekitar dengan baik akan memberi implikasi kepada yang lain.

Kini, penduduk dunia sudah mula merasai kesan hasil daripada kerakusan sejak berpuluh tahun lamanya.

Paling malang kerosakan bukan hanya dirasakan oleh hidupan di darat, malah menjejaskan di laut.

Friday, October 30, 2009

Projek air bawah tanah jejas alam

PROJEK pembangunan sumber air bawah tanah di Batang Padang, Perak yang dilaksanakan Sime Darby bertujuan membantu menguruskan permintaan air dan sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan air, terutama di Lembah Klang menjelang 2011. Projek ini meliputi kawasan 2,712 kilometer dengan pengeluaran dianggarkan 50 hingga 500 juta liter air sehari.

Projek sebegini tentunya akan memberikan pelbagai impak ekoran pengeluaran air berterusan. Salah satu impak yang paling membimbangkan ialah tanah mendap disebabkan kadar pengeluaran air berlebihan berbanding kadar penggantian semula. Butiran tanah akan mampat disebabkan air yang sepatutnya memegang struktur tidak lagi dapat berbuat demikian. Disebabkan itu, kadar aliran adalah sangat penting bagi memastikan tidak berlakunya kesan berkenaan.

Di Malaysia, daripada sumber air hujan, 57 peratus akan menjadi air larian permukaan, 36 peratus melalui proses pemeluwapan dan hanya enam hingga tujuh peratus akan meresap menjadi air bawah tanah dan jumlah ini tidak serta-merta menjadi air bawah tanah dan kadang kala memerlukan masa bertahun. Daripada jumlah kecil ini, bagaimanakah boleh dikatakan projek ini dapat dijalankan secara lestari dan tidak mengundang kesan terhadap alam sekitar?

Tidak dapat dinafikan, apabila berlakunya tanah mendap, pelbagai infrastruktur akan terjejas. Contohnya, kerosakan pada jalan raya, jalan kereta api, sistem pembetungan dan perparitan, perubahan aras pada sungai dan parit dan kerosakan pada struktur bangunan.

Bukan itu saja, masalah banjir akan kerap berlaku disebabkan kawasan itu bertukar bentuk kepada ka-

wasan rendah. Apabila semua ini berlaku, ia sama sekali tidak dapat dikembalikan kepada bentuk yang asal.

Banyak bukti yang menunjukkan tanah tenggelam berlaku disebabkan oleh pengeluaran air bawah tanah yang berlebihan seperti berlaku di Indonesia dan Thailand.

Semarang, bandar terbesar di Indonesia mengalami masalah tanah mendap. Faktor utamanya adalah pengeluaran air bawah tanah berlebihan dan pemendapan terhadap tanah. Berdasarkan kajian aras yang dijalankan dari 1996 sehingga 2001 menunjukkan, kadar tanah mendap dianggarkan 17 sentimeter setiap tahun. Jakar-ta juga mengalami nasib sama, kadar tanah mendap di antara 20 � 200sm setiap tahun. Di Bangkok, dari 1980 hingga 2003, menunjukkan kadar sebanyak 1.25 meter. Ini memberi impak yang besar di mana aras jalan baru perlu dibuat bagi menggantikan aras jalan lama yang terjejas.

Walaupun pembangunan diperlukan di dalam kehidupan, jika pembangunan sesuatu projek itu hanya mengundang pelbagai impak yang buruk, terutama terhadap alam sekitar, ia satu tindakan yang sia-sia. Belajarlah daripada kesilapan. Malaysia masih lagi memer-lukan kepakaran dalam sumber air bawah tanah, pentadbiran dan pengurusan sumber air bawah tanah yang cekap.

Di sini, kita masih lagi tidak mempunyai maklumat yang cukup dan data baru hendak dikumpulkan merujuk kepada kenyataan Sime Darby yang bermesyuarat dengan pihak kami.

Mengapa masih perlu dijalankan projek pembangunan air bawah tanah ini? Adakah ia hanya satu tindakan `menangguk air keruh` yang hanya memen-tingkan keuntungan? Ada cara lain yang lebih berkesan untuk menguruskan permintaan air. Beri tumpuan kepada pengurangan air tanpa hasil (NRW) kerana ini faktor utama kepada pembaziran bukan saja terhadap sumber air yang terawat tetapi juga kepada wang ringgit.

Selain itu, lakukan pemuliharaan terhadap sungai dan kecekapan dalam penggunaan air, terutama dalam sektor pertanian disebabkan sektor ini menjadi pengguna utama air iaitu sebanyak dua pertiga daripada jumlah air di Malaysia.

Cuba fikirkan sejenak, jika setiap sumber alam semula jadi hendak dieksploitasi dan menambahkan lagi pence-maran terhadap alam sekitar, apakah lagi yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang? Kita cuma meminjam sementara alam ini.

SYARINA MOHD YUSOF,
Pengurus (Sektor Air) Forum Air Malaysia.

Sunday, October 18, 2009

Alam sekitar jadi keutamaan


rIcOH aktif dalam kerja-kerja penanaman bakau.

DI sebalik penglibatan dalam teknologi untuk kegunaan orang ramai, Ricoh Malaysia juga proaktif dalam usaha-usaha melindungi alam sekitar melalui pelbagai program.

Antaranya ialah Program Mengambil Balik Botol Toner, kartrij toner dan mesin.

Botol toner, katrij toner dan mesin yang diambil balik akan dihantar ke Jabatan Alam Sekitar - badan kitar semula yang diiktiraf. Dengan ini, kita dapat memastikan ia tidak berakhir di kawasan pembuangan sampah.

Tambahan pula, Ricoh Malaysia seringkali mengelolakan pelbagai aktiviti yang berkenaan dengan pemuliharaan alam sekitar.

Syarikat terbabit juga sering menjalankan aktiviti-aktiviti mesra alam yang memberi kesan positif yang secara langsung terhadap alam sekitar.

Antaranya, aktiviti Menanam Pokok di Cameron Highlands, Penanaman Semula Bakau di Pulau Kukup, Kuala Gula dan Tanjung Piai, Pembersihan Pantai di Port Dickson.

Pada tahun lepas , Kumpulan Ricoh telah diikftiraf sebagai satu daripada Global 100 Most Sustainable Corporations di dunia untuk tahun keempat berturut-turut.

Selain itu , Ricoh juga mengamal dan menitik beratkan pengurusan alam sekitar di dalam produk, pejabat dan perkhidmatan sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan dan pemuliharaan untuk melindungi alam sekitar.

Oleh kerana bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan pembebas karbon dioksida yang paling besar di dunia. Ricoh juga memberi perhatian terhadap usaha untuk menjadi sebuah perbadanan perniagaan yang menerajui dan menitik beratkan usaha-usaha melindungi alam sekitar.

Sebagai contoh, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia baru-baru ini, Ricoh Malaysia telah memadamkan lampu yang tidak diperlukan (termasuk papan tanda RICOH yang berada di Axis Plaza) di setiap hari pada pukul 7 malam bermula Jun 5 hingga Jun 12, 2009.

Tambahan pula, Ricoh juga memadamkan penghawa dingin dan lampu yang tidak diperlukan dari pukul 1 petang hingga 2 petang dan pada pukul 7 malam di setiap hari.

Dengan ini, ia akan meningkatkan tahap kesedaran terhadap melindungi alam sekitar di kalangan kakitangan Ricoh Malaysia dan orang awam.

Aktif dalam aktiviti-aktiviti pemuliharaan alam sekitar juga merupakan sebahagian tanggungjawab korporat syarikat berkenaan .

Selain dari itu, Ricoh juga memberi khidmat nasihat dan penyelesaian kepada pelanggan-pelanggan kami untuk membantu mengurangkan pembebasan karbon di pejabat mereka.

Salah satu pendekatan baru ialah memperkenalkan konsep Total Green Office Solutions sebagai satu cara yang praktikal untuk menyalurkan kemahiran kami dalam mewujudkan teknologi yang memberangsangkan perolehan pencapaian dan penjimatan kos perniagaan.

Pembebasan karbon juga dapat dikurangkan melalui Total Green Office Solutions.

Total Green Office Solutions merangkumi bahagian yang berikut: - Khidmat Nasihat, Pengurangan Kegunaan Kertas, Penjimatan Tenaga, Rekaan Produk Mesra Alam, Pematuhan Undang-Undang, Penyelesaian Kitaran Hidup.

Friday, October 16, 2009

Kabinet mesyuarat dalam laut


GAMBAR fail beberapa anggota Kabinet Maldives membuat latihan selaman di sebuah lokasi di Maldives pada 29 September lalu.


MALE – Barisan menteri kepulauan Maldives mengadakan latihan selaman terakhir semalam menjelang mesyuarat Kabinet hujung minggu ini yang bakal berlangsung di dalam laut bagi menyedarkan masyarakat mengenai bahaya pemanasan global ke atas negara pulau itu.

Penyelaras acara tersebut, Aminath Shauna berkata, menteri-menteri itu yang memakai sut selaman lengkap mengadakan dua sesi latihan menyelam pada kedalaman enam meter berhampiran pulau Girifushi, dekat sini.

“Segalanya berjalan lancar dan kami sudah bersedia untuk mengadakan mesyuarat Kabinet esok di dalam laut,” katanya.

Jelas wanita itu, barisan menteri tersebut akan menandatangani sut selaman masing-masing yang akan dilelong dalam laman web protectmaldives.com bagi mengumpul dana untuk melindungi batu karang di negara itu.

Sebuah meja berbentuk ladam kuda ditempatkan di dasar laut untuk mesyuarat tersebut manakala mereka akan berkomunikasi dengan menggunakan papan putih dan isyarat tangan.


Menteri Perikanan, Ibrahim Didi menandatangani peralatan selamannya di Pulau Girifushi, Maldives semalam.


Mesyuarat dalam laut itu akan dipengerusikan oleh Presiden Mohamed Nasheed, 42, dengan disertai timbalannya, Mohamed Waheed, 11 menteri dan setiausaha Kabinet.

Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, pihak tentera akan mengerahkan sekumpulan pakar selam bagi melindungi ahli-ahli politik berkenaan.

Lebih 80 peratus tanah Kepulauan Maldives yang terletak di barat daya Sri Lanka berada kurang satu meter dari paras laut. – AFP

Thursday, October 15, 2009

Jiran gempa

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my




Kedudukan Malaysia yang hampir dengan laluan taufan, pusat gempa menyebabkan ia merasai tempias bencana

DALAM tempoh beberapa minggu lalu, rantau Asia Pasifik teruk dilanda beberapa bencana alam yang mengorbankan ribuan nyawa. Paling teruk, Taufan Ketsana yang mengorbankan lebih 400 orang di Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Bencana itu disusuli pula dengan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia mengakibatkan hampir 1,000 nyawa terkorban, belum termasuk kategori orang hilang yang kemungkinan besar akan menyumbang kepada peningkatan statistik korban.

Pada hari sama juga, tsunami membadai Samoa Amerika dan Samoa Barat, mengakibatkan hampir 150 orang maut.

Beberapa hari lalu, Filipina sekali lagi dilanda musibah taufan disifatkan sebagai 'super typhoon' dikenali Taufan Parma, mengakibatkan banjir kilat yang mengorbankan hampir 300 orang di Manila dan sekitarnya.

Taufan itu melanda timur laut pulau Catanduanes di tengah Filipina pada kelajuan 180 kilometer sejam, meniup kencang menghala ke arah barat daya menuju tanah besar Luzon, dengan membawa hujan yang amat lebat.

Keadaan itu membimbangkan kerana Malaysia berada dalam lingkungan tengah antara semua negara terbabit. Semuanya berlaku berhampiran Malaysia iaitu gempa Sumatera (barat Semenanjung) manakala taufan melanda Filipina (Sabah dan Sarawak) serta Kemboja dan Vietnam (timur Semenanjung).



Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari menjelaskan, secara geografi, rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sebenarnya dihimpit dari semua arah oleh pergerakan plat tektonik iaitu Plat Indian Australia, Plat Pasifik dan Plat Eurasian.

Katanya, pergerakan plat tektonik ini menyebabkan rantau ini mempunyai kawasan aktiviti seismik yang aktif dikenali sebagai 'lingkaran api' yang mengunjur dari Laut Andaman, perairan barat Sumatera, Pulau Jawa, Sulawesi, Irian Jaya, dan Filipina.

Kedudukan Malaysia yang berhampiran pertembungan plat tektonik di sebelah barat kepulauan Sumatera dan di kepulauan Filipina menyebabkan beberapa aktiviti gempa bumi yang terjadi di kawasan berkenaan turut dirasai di Malaysia.

"Jika dilihat kepada statistik, ia agak membimbangkan kerana secara purata, Filipina dilanda bencana taufan 20 kali setahun dan sembilan daripadanya serius dan tepat. Ini berlaku kerana ia berada di kedudukan tempat pertukaran putaran angin tekanan rendah yang akan menarik udara tekanan tinggi.

Kejadian gempa bumi (atas) dan tsunami di Indonesia.

"Namun, biasanya laluan pergerakan angin itu yang menyumbang kepada taufan sebenarnya lebih menghala ke arah China, Jepun, Taiwan dan kadang kala tersasar ke Vietnam dan Kemboja.

"Keadaan itu berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu 7 darjah Celsius utara dan selatan dan hakikatnya, Malaysia langsung tidak cenderung ke arah itu kerana mempunyai daya tarikan suhu hampir 0 darjah Celsius.

"Jika ada, ia cuma angin ribut pada suhu permukaan atau ribut tropika mengakibatkan angin kencang dan ribut petir. Cuma Sabah dan Sarawak agak terdedah kepada risiko berkenaan terutama di pantai barat Sabah," katanya.

Hakikat yang harus dibimbangi juga ialah Indonesia kerap dilanda gempa bumi dan tsunami, bahkan kesan gegarannya turut dirasai di negara ini.

Alui berkata, pertembungan plat tektonik di sebelah kepulauan Sumatera berlaku setiap tahun dengan purata pergerakan garis sesar aktif sebanyak 7 sentimeter (sm) setahun manakala di Filipina, ia merekodkan pergerakan 11 sm setahun.

"Ia terlalu kecil dan jarang dirasai gegarannya. Umpama individu yang mengalami tekanan perasaan, lebih baik dilepaskan sedikit demi sedikit daripada dibiarkan dan dipendam. Akibatnya, jika dipendam terlalu lama, ia akan 'meletup' mengakibatkan gempa besar dan boleh terjadi tsunami," katanya.

Seorang lagi pakar meteorologi merangkap Ketua Pemantau Sistem Bumi, Simulasi dan Iklim, Institut Sains Laut dan Bumi, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata taufan boleh dikesan berdasarkan petanda cuaca buruk dan pergerakan angin, tetapi keadaannya berbeza jika berlaku gempa bumi terutama yang kuat hingga menyebabkan tsunami.

"Pergerakan angin 'tidal search' juga boleh menyebabkan banjir di kawasan pantai dengan ketinggian ombak mencecah 3 hingga 4 meter tetapi tenaganya agak rendah berbanding ombak tsunami kerana tenaganya sangat kuat dan kekal walaupun ketika melanda pantai hingga menghasilkan ombak tinggi.

"Jika wujud rekahan plat sedalam satu kilometer, kelajuan ombak yang terhasil boleh mencecah 360 kilometer sejam. Maknanya, ombak itu boleh sampai dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dalam tempoh sejam, sama kelajuan kapal terbang," katanya.

Info

  • Definisi gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Satu perkataan Jepun bermaksud 'ombak pelabuhan'. Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.
  • Lingkaran gergasi Zuhal

    Oleh Hazirah Che Sab
    zeehan@bharian.com.my




    Luas gelung terbesar dalam sistem solar mampu tampung 1 bilion bumi

    DUNIA astronomi minggu ini dikejutkan dengan penemuan satu lingkaran gergasi planet Zuhal yang keluasannya mampu menampung kira-kira 1 bilion bumi.

    Lingkaran gergasi yang dirakam teleskop angkasa milik Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (Nasa), mempunyai ukur lilit kira-kira 36 juta kilometer dan lebarnya pula, 12 juta kilometer.

    Ia yang mengandungi debu serta ketulan ais, tidak pernah dilihat sebelum ini dan menjadi satu catatan sejarah tersendiri bidang astronomi selepas penemuan lingkaran pertama Zuhal atau Saturn oleh Galileo Galilei, kira-kira 400 tahun lalu.

    Apa yang menarik, penemuan terbaru oleh sepasukan penyelidik Universiti Virginia itu juga yang terbesar pernah ditemui dalam sistem solar atau suria kita.

    Digelar ‘Lingkaran bersaiz luar biasa,’ oleh pasukan saintis berkenaan, ia yang merangkumi debu dan partikel, memang cukup besar sehingga boleh meliputi dua bulan penuh di langit jika dapat melihatnya dari Zuhal.



    Berbeza dengan lingkaran pertama yang boleh dilihat dengan menggunakan teleskop paling kecil sekalipun, penemuan terbaru cuma boleh kelihatan menerusi lampu infra merah.

    Ia kira-kira 10 kali lebih besar berbanding garis pusat Zuhal dan orbit pada jarak lapan juta kilometer dari planet berkenaan. Lingkaran itu kira-kira 2.4 juta kilometer tebal dan 50 kali lebih jauh ke dalam angkasa lepas berbanding lingkaran Zuhal lain sekali gus menjadikannya yang terbesar berbanding lingkaran lain pernah dikaji.

    Sehingga kini, lingkaran terbesar dalam sistem solar ialah lingkaran E pada planet Zuhal.

    Malangnya, biarpun bersaiz gergasi, lingkaran terbaru itu terlalu pudar untuk dilihat dari bumi.

    “Ia sememangnya satu penemuan yang amat menakjubkan dan menarik,” kata saintis astronomi Institut Penyelidikan Southwest di Amerika, John Spencer.

    Saintis kelahiran Ireland, Prof Carl Murray, yang juga salah seorang penyelidik utama misi kapal angkasa NASA, Cassini ke Zuhal pada 2004, pula menyifatkan penemuan itu hanya mengiyakan ramalan kertas saintifik kurang dikenali yang dibentangkan 30 tahun lalu.

    Prof Murray, salah seorang ketua saintifik dalam misi kapal angkasa NASA, Cassini, yang merakamkan gambar Zuhal dan sistem lingkarannya selama bertahun-tahun, berkata penemuan itu menyelesaikan misteri mengapa salah satu daripada bulan planet itu, Iapetus, gelap di satu sisi dan terang di sisi satu lagi.

    “Apabila mendengar mengenainya, saya cuma mengangguk dan berkata ‘ya itu hampir dengan apa yang kita jangkakan’. Bulan yang dinamakan Phoebe ialah sumber material lingkaran.

    “Kita berdepan masalah selama 300 tahun apabila hasil pemantauan Cassini menemui Iapetus yang anehnya mempunyai kawasan hemisfera gelap dan cerah” katanya.

    Seperti bulan di bumi, Iapetus juga ‘terikat’ dengan Zuhal, menyebabkan bahagian yang berdepan Phoebe akan terkena impak serpihan yang datang daripada bulan berkenaan.

    “Kami mempunyai petunjuk mengenai perkara ini daripada kapal angkasa Voyager (yang merakamkan Zuhal dan semua bulannya pada awal tahun 1980-an) tetapi akhirnya menyaksikan dengan imej Cassini yang Iapetus mempunyai beberapa lapisan.

    “Teori menyatakan jika Phoebe dilanggar dan serpihannya akan berputar ke arah Zuhal dan bulan pertama akan ditemui ialah Iapetus. Ia semakin jelas sekarang. Kami menjangkakan pasti ada lingkaran. Ia sudah terbukti sekarang,” katanya.

    FAKTA: Sistem Solar

  • Merujuk Matahari dan semua objek yang mengorbitnya iaitu planet seperti Utarid (Mercury), Zuhrah (Venus), Bumi, Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Uranus, dan Neptun (Neptune), tiga planet kerdil (Pluto, Ceres dan Eris), 170 bulan-bulan yang mengelilingi planet-planet itu dan berbilion objek-objek yang lebih kecil, termasuk asteroid, objek lingkaran Kuiper, komet, meteoroid dan debu angkasa.

    Planet Zuhal
  • Planet keenam dari matahari dan kedua terbesar dalam sistem suria, selepas Musytari. Zuhal, bersama-sama dengan Musytari, Uranus dan Neptun, diklasifikasikan sebagai sebuah planet gergasi bergas.
  • Mempunyai 53 bulan
  • Suhunya -191 darjah Celsius - -130 darjah Celsius
  • Mempunyai kira-kira 53 bulan.
  • Thursday, October 8, 2009

    Vietnam masih dicemari dioksin

    Vietnam masih dicemari dioksin
    Kerajaan AS dan Vietnam kini bekerjasama melaksanakan projek pembersihan lapangan terbang Danang kerana lokasi tersebut disifatkan paling tercemar dengan racun perosak.

    NGUYEN QUANG HOA (bawah) yang mengalami kecacatan akibat Agen Oren melakukan aksi seni mempertahankan diri di Perkampungan Persahabatan, Hanoi.
    ________________________________________


    MAI Khai gembira dengan tanaman ubi kentang dan buah tembikai yang diusahakannya berlatar belakang sebuah dinding bata. Dinding itu mengelilingi sebuah bekas lapangan terbang milik kerajaan Amerika Syarikat (AS) di Danang yang masih disifatkan sebagai lokasi paling tercemar.
    Sudah hampir empat dekad berlalu selepas insiden penyemburan Agen Oren dan racun perosak yang lain dihentikan di situ oleh pasukan tentera AS. Racun-racun perosak tersebut mengandungi bahan penyebab kanser dan dioksin. Kini, kerajaan AS dan Vietnam bekerjasama melaksanakan projek pembersihan peringkat awal di Lapangan Terbang Danang.
    Bahan tercemar
    Proses penyingkiran bahan-bahan tercemar berskala besar bagaimanapun belum dimulakan lagi. Ia mungkin memakan masa bertahun-tahun lamanya.
    Pakar-pakar dari Vietnam dan negara luar berkata, kerja-kerja pembersihan yang berterusan itu tidak terlalu membahayakan Khai dan tanamannya.
    Biarpun begitu, penduduk yang tinggal berdekatan lapangan terbang tersebut secara amnya memang terdedah kepada risiko dioksin.
    Satu kajian oleh penyelidik Kanada mendapati, terdapat peningkatan paras dioksin di dalam tubuh mereka yang tinggal berdekatan lingkungan utara dan timur lapangan terbang itu. Biarpun begitu, bilangan orang yang terdedah kepada risiko pencemaran itu tidak dapat dikenal pasti.
    "Kami sebulat suara bersetuju dioksin adalah tidak baik," kata Koos Neefjes, seorang penasihat tentang dioksin untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Hanoi.
    Khai yang berusia 76 tahun bagaimanapun tidak berasa bimbang.
    "Di sini, mana ada pencemaran? Tengok, saya pun masih hidup lagi," ujar seorang penduduk tetap di kawasan tersebut.
    Racun
    Sepanjang perang Vietnam, pasukan tentera AS telah menyimpan sejenis racun rumput-rampai, Agen Oren di Danang dan pangkalan lain sebelum dimuatkan ke dalam pesawat untuk tujuan meranggas.
    Presiden pakar-pakar Perunding Persekitaran Hatfield, Kanada, Thomas Boivin berkata, kawasan hutan yang terkena semburan racun perosak itu bagaimanapun tidak mengandungi paras dioksin yang tinggi hari ini. Boivin telah menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya untuk mengkaji pencemaran dioksin di Vietnam.
    Walaupun begitu, kerajaan AS dan Vietnam telah mengenal pasti bekas lapangan terbang AS di Danang, Bien Hoa dan Phu Cat sebagai lokasi pencemaran utama. Di situ, tumpahan dan proses memuatkan racun-racun perosak itu ke dalam pesawat telah menyumbang kepada pencemaran bertoksik.

    TRAN TIEN DAT, 4, (kiri) salah seorang kanak-kanak yang menghadiri sesi pemulihan Doan Thi Quyen di Perkampungan Keamanan Thanh Xuan, Hanoi, Vietnam.
    ________________________________________


    Boivin berkata, paras kandungan dioksin di Lapangan Terbang Danang kini 300 hingga 400 lebih tinggi berbanding tahap yang dibenarkan di peringkat antarabangsa.
    Kira-kira dua tahun lalu, kerajaan Vietnam dengan bantuan AS telah memasang sebuah penutup di lokasi penyimpanan Agen Oren selain memperbaiki sistem perparitan. Proses menapis mendapan tasik di dalam kawasan lapangan terbang Danang turut dijalankan.
    Pegawai kedua-dua pihak memberitahu, langkah-langkah bersifat sementara itu berjaya mencegah sebaran pencemaran tersebut.
    Destinasi pelancongan
    Kawasan yang terjejas itu berada di bawah pengawasan pasukan tentera Vietnam dan dalam perancangan kerajaan untuk dipromosikan sebagai sebuah destinasi pelancongan. Ia juga terpisah daripada terminal penumpang di bandar raya keempat terbesar di Vietnam itu.
    Dalam beberapa sesi ceramah mengenai sebaran Agen Oren pada bulan ini, Neefjes berkata, tanpa tindakan lanjut, bahan-bahan tercemar di lokasi 'tenat' itu akan terus tersebar menerusi partikel-partikel tanah, aliran air, hidupan liar dan udara. Sesi ceramah tahunan itu telah diadakan di antara pihak berkuasa Vietnam dan AS.
    Dioksin boleh merebak menerusi rantaian makanan seperti melalui ikan atau ayam.
    Biarpun bantuan terus diterima, AS memberi tumpuan kepada lokasi Danang atas permintaan kerajaan Vietnam.
    Para pegawai AS berkata, isu yang kompleks dan sensitif dari aspek politik seperti itu memerlukan persetujuan sebulat suara daripada kerajaan AS sendiri selain persefahaman antara AS dan Vietnam.
    Duta AS, Michael Michalak berkata, kerajaan AS telah bertindak pantas dalam menggerakkan projek tersebut. Beliau mengulas aduan seorang pegawai kanan kerajaan Vietnam yang mendakwa dana daripada kerajaan AS tidak disalurkan dengan pantas.
    Penilaian
    Michalak sebaliknya memberitahu, pelbagai tawaran telah diterima dan satu kontrak untuk penilaian alam sekitar serta kerja-kerja persediaan di Danang akan diumumkan dalam masa terdekat. Malah, pada Jun lalu kedua-dua kerajaan telah mula mencuba satu kaedah penyingkiran dioksin menggunakan organisma biologikal, bioremediasi.
    Pengarah Office 33 yang mengendalikan isu Agen Oren di Vietnam, Lai Minh Hien berkata, proses penyingkiran bahan-bahan tercemar itu dilakukan menerusi teknologi bio atau kaedah lain.
    Proses penyingkiran bahan pencemaran di tiga bekas lapangan terbang tersebut mungkin mencecah kos perbelanjaan bernilai AS$60 juta dolar (RM209 juta). Dalam satu temu bual bersama agensi berita AFP, Hien telah meminta bantuan dana tambahan daripada kerajaan AS.
    "Kami mahu kerajaan AS menggandakan usaha mereka," kata Hien.

    PEGAWAI Persatuan Mangsa Agen Orange Danang Tra Thanh Lanh menunjukkan kawasan yang dipercayai tercemar dengan dioksin di Danang, Vietnam.
    ________________________________________


    Meskipun begitu, Michalak memberitahu, adalah terlalu awal untuk menganggarkan kos sebenar proses pembersihan tersebut.
    Sementara itu, pengerusi bersama dalam ceramah bersifat bilateral itu, Le Ke Son berkata, pencemaran di Bien Hoa misalnya adalah satu contoh terbaik.
    "Skop pencemaran di sana adalah jauh lebih luas daripada jangkaan dan memerlukan kajian baru," jelasnya.
    Biarpun Perang Vietnam berakhir pada 1975, hubungan antara AS dan Vietnam hanya berjaya dipulihkan sekitar tahun 1995. - AFP

    Friday, October 2, 2009

    Isu-isu Alam Sekitar

    Pembangunan Ekonomi Yang Berterusan

    Kesan Pembangunan Tanah Ke atas Alam Sekitar

    Pertanian

    Penukaran tanah dari hutan kepada pertanian telah mengakibatkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain daripada mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia

    Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan semula air bawah tanah dan menyebabkan lebih banyak banjir di kawasan tanah rendah.

    Pembangunan pertanian menyokong US$30 bilion nilai jualan racun makhluk perosak setiap tahun diseluruh dunia. Kira-kira 40% daripada jumlah ini dibelanjakan di negara membangun untuk sebatian toksik seperti DDT, orgonofosfat dan organoklorin.

    Menurut Repetto dan Baliga (1996), Malaysia merupakan salah sebuah negara yang paling banyak menggunakan racun makhluk perosak yang paling intensif di Asia. Jumlah racun makhluk perosak yang digunakan bagi setiap hekter tanaman untuk tahun 1992 dilaporkan 9.2 kilogram/hektar iaitu hampir sepuluh kali ganda jumlah yang digunakan di Thailand untuk tempoh yang sama.

    Selain menimbulkan masalah pencemaran air akibat penggunaan secara intensif ini, rakyat Malaysia yang menggunakan penyembor serta operator mesin penyembur racun makhluk perosak akan menghadapi risiko akibat pendedahan terutamanya melalui kulit, apabila menggunakan peralatan yang tidak sempurna untuk mencampurkan atau menyembur racun makhluk perosak.

    Perlombongan

    Kekayaan ekonomi boleh dicapai dari pembangunan industri perlombongan dengan mengurangkan kerosakan kepada alam sekitar, tidak lebih daripada bentuk pembangunan lain. Kebanyakan operasi perlombongan menjalankan penilaian kesan alam sekitar.

    Satu dasar berkaitan dengan galian telah pun dirangka untuk mengambil kira faktor alam sekitar melaui penggunaan bon prestasi dan langkah fisikal lain. Bagaimanapun, perlombongan skala kecil dan operasi kuari perlu diperbaiki segera terhadap pengurusan alam sekitar mereka.

    Penyelidikan menunjukkan lombong emas skala kecil boleh mengganggu dengan tetap sumber air semula jadi, menyebabkan masalah pemendapan teruk di bahagian hilir operasi dan menyebabkan saliran lombong berasid. Tambahan pula, operasi perlombongan pasir di dataran serta tebusguna tanah dan lain-lain pembangunan di sepanjang pantai meningkatkan ancaman kepada ekologi marin. Terutamanya terumbu karang, hutan bakau dan rumput laut sepanjang pantai yang menjadi sumber perikanan.

    Pengembangan kawasan perbandaran dan pembangunan industri secara langsung telah menyebabkan perubahan yang besar kepada ekosistem semula jadi berbanding dengan pembangunan hutan, perlombongan atau pertanian.

    Isu alam sekitar berkaitan dengan perbandaran dan pembangunan industri, adalah lebih kompleks dan sering lebih sukar untuk ditangani, Ini termasuklah sisa buangan dan pembetungan, pemuliharan kawasan hijau di dalam perbandaran, maslah haba perbandaran serta pencemaran air dan udara.

    Sisa buangan/pembentungan

    Perkhidmatan pembentungan dan sisa buangan telah diswastakan di Malaysia untuk memperbaiki pengurusannya. Bagaimanapun, masih terdapat kebimbangan berkaitan dengan kesan alam sekitar daripada kemudahan ini. Di antaranya ialah kemungkinan pencemaran air bawah tanah di kawasan tapak pembuangan sampah lama majlis perbandaran dengan bahagian permukaan yang tidak sesuai serta pencemaran air sungai akibat pembuangan sisa kumbahan daripada penempatan dan kemudahan rawatan kumbahan yang tidak mencukupi.

    Ketiadaan dasar untuk mewajibkan kitar semula dan kekurangan insentif untuk menggalakkan penggunaan semula melemahkan usaha majlis perbandaran untuk mengurangkan sisa buangan. Akibatnya beberapa kawasan pembuangan sampah secara terbuka akan meningkat dengan cepat dan risiko pencemaran air dan air bawah tanah mungkn juga akan meningkat.

    Pembuangan industri telah menjadikan masalah toksik dan sisa buangan bahaya lebih teruk lagi. Masalah ini dan kesannya yang menjejaskan kesihatan manusia hanya dikenal pasti sejak awal 1990an. Masalah ini termasuklah pencemaran logam berat, nitrogen dan sulfur oksida, hidrokarbon petrolium, bahan partikel, polychlorinated, biphenyls (PCBs), sianida dan arsenik.

    Pencemaran tanah dan air bawah tanah akibat pembangunan industri perlu dijelaskan dan diklasifikasikan dengan cara yang lebih sistematik di Malaysia. Dalam usaha untuk mengadakan kawalan sisa bahaya dan toksik yang berkesan, industri seharusnya diwajibkan menyimpan rekod jenis dan jumlah sisa buangan yang dihasilkan oleh mereka serta tarikh dan cara ia dilupuskan. Oleh kerana pembuangan sisa ini menelan belanja yang tinggi, memerlukan kemudahan khas dan kontraktor serta kontraktor kecil mereka seharusnya berhati-hati kerana insentif untuk menipu amat banyak.

    Aktiviti lain

    Keadaan suhu pada umumnya lebih tinggi di kawasan bandar kerana haba yang dikeluarkan oleh perumahan, pengangkutan dan industri serta termal dari bangunan dan jalan. Suhu pada waktu malam di persimpangan Jalan Ampang-Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur di dapati meningkat kira-kira 4 darjah F antara 1972 dan 1980 akibat peningkatan jumlah lalu-lintas.

    Suhu pada waktu malam juga berubah dalam 3-4 darjah juga direkodkan di kawasan perumahan. Kawasan perumahan lama dengan lebih banyak kawasan hijau dan pertumbuhan pokok didapati suhunya lebih sederhana berbanding dengan kawasan perumahan baru. Oleh sebab itu kepupusan kawasan hujau di bandar mestilah dihentikan segera.

    Keperluan semasa di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1970 (Semakan 1995) untuk mengekalkan semua pokok dengan lilitan melebihi 80 cm dalam sebarang perojek pembangunan mungkin boleh menyumbangkan kepada keadaan kecil terhadap pemuliharaan kawasan hijau di bandar dan kawalan terhadap suhu di kawasan bandar.

    Pencemaan udara di kawasan bandar merupakan salah satu contoh di Malaysia di mana ia telah melebihi paras kritikal dan dengan itu menjejaskan potensi pembersihan sendiri alam sekitar. Sumber utama pencemaran udara di Lembah Klang ialah kenderaan bermotor yang menyumbangkan kepada partikel karbon (PM-10). Sumber lain termasuklah pembuangan industri dan aktiviti pembinaan (JAS, 1993)

    Perbandaran juga mempengaruhi paras jumlah partikel terampai (TSP) dalam udara (JAS, 1993). Selain sumber daripada luar sempadan dalam tempoh tertentu setiap tahun, sumber utama TSP ialah pembakaran secara terbuka daripada pembangunan perumahan dan pertanian. Pencemaran udara di Lembah Klang tidak akan diperbaiki melainkan langkah-langkah kawalan dilaksanakan dengan segera.

    Penggunaan Tanah Yang Buruk
    Timbulkan Masalah

    Kategori undang-undang tanah di Malaysia seperti yang dicatatkan dalam Laporan Klasifikasi Kemampuan Tanah (Lee dan Panton, 1971) termasuk Tanah Kerajaan, Tanah Yang Diberi Milik Untuk Pertanian, Tanah Yang Diluluskan Untuk Perlombongan, Tanah Rizab Melayu, Rizab Untuk Ternakan, Rizab Orang Asli, Rizab Hutan, Rizab Hidupan Liar dan Tanah Diberi Mlik/Diwartakan untuk kemudahan awam dan tujuan lain.

    Kategori terakhir itu merujuk kepada tanah untuk pembangunan perbandaran, kubur, polis dan rezab tentera, lapangan terbang dan rizab-rizab lain kerajaan tetapi tidak termasuk rizab tadahan air.

    Pembangunan tanah di Malaysia termasuklah pembangunan kawasan baru untuk pertanian, perlombongan dan perhutanan serta penukaran tanah untuk pertumbuhan industri dan perbandaran. Kepelbagaian penggunaan tanah meningkatkan konflik berhubung dengan matlamat pembangunan. Pembangunan yang pesat telah menjadikan tanah satu persaingan di Malaysia. Ia juga telah mengakibatkan amalan penggunaan tanah yang buruk dalam keadaan tertentu.

    Amalan penggunaan tanah yang buruk boleh membawa kepada masalah yang serius dan berdepan dengan halangan untuk pembangunan dalam jangka panjang. Masalah yang boleh timbul termasuklah kemusnahan yang kekal atas kemampuan tanah untuk menyediakan faedah alam sekitar dan ekonomi, ketidakcekapan penggunaan sumber semula jadi yang diperolehi serta pengumpulan kesan negatif. Dari segi kawasan, pertanian akan menjadi salah satu bentuk pembangunan tanah yang paling meluas di Malaysia.

    Teknik dan amalan pertanian moden, disokong oleh penggunaan mesin dan input sejumlah besar tenaga daripada minyak fosil telah menjadikan pertanian lebih produktif di Malaysia tetapi memberikan kesan kepada alam sekitar. Penukaran tanah daripada hutan kepada pertanian telah mengakibatkan meluasnya penebangan hutan, mengurangkan jumlah hutan dan kepelbagaian bilogi hutan serta hidupan liar.

    Selain itu, pembukaan kawasan baru untuk pertanian telah menyebabkan sumber galian semakin berkurangan di kawasan ini. di sebalik fakta bahawa sebahagian besar tanah telah dikurangkan untuk pembangunan pertanian, kebanyakan tanah yang subur tidak digunakan untuk pengeluaran makanan, sebalinya digunakan untuk tujuan lain seperti perumahan, rekreasi dan kawasan perindustrian.

    Pengeluaran makanan tempatan

    Tambahan pula, perikanan persisir pantai dan pedalaman tidak begitu berjaya dalam persaingan untuk pembangunan tanah yang seterusnya melemahkan pengeluaran makanan tempatan. Usaha untuk menggalakkan pengeluaran makanan dan menggalakkan industri berasaskan makanan perlulah diperkukuhkan dalam usaha untuk menyediakan jaminan makanan untuk negara.

    Kos import makanan negara dilaporkan sekitar RM8 bilion setahun dan turut menyumbang kepada defisit akaun semasa negara (NST, 1997). Memandangkan kemelesetan ekonomi semasa dan krisis mata wang, perkara ini perlu ditangani dengan segera.

    Oleh kerana jumlah penduduk semakin meningkat di kawasan bandar, pembangunan infrastruktur semakin meningkat ke kawasan yang bermasalah dan kurang sesuai. Kawasan ini sering terdedah kepada kejadian banjir, hakisan sungai, tanah runtuh dan pemendapan, melainkan langkah pengawalan yang sempurna diambil.

    Dalam kes tertentu, langkah pengawalan tidak dapat diambil dan cara terbaik untuk keselamatan penduduk ialah kawasan ini tidak dimajukan untuk perumahan tetapi digunakan untuk tujuan lain seperti taman, rezab semula jadi dan kawasan rekreasi.

    Pada tahun 1996 terdapat lebih 100 kejadian banjir, 20 kejadian tanah runtuh, lapan kejadian mendapan dan tujuh kes tebing sungai dihakis, yang dilaporkan di Lembah Klang sahaja. Ini menunjukkan betapa perlunya diperkuatkan pengurusan perbandaran bersepadu untuk menjadikan penempatan manusia lebih selamat dan terjamin.

    (Petikan artikel-artikel daripada Utusan Pengguna, Mac 1998)


    Pencemaran Alam Sekitar
    PENCEMARAN

    Pembuangan bahan-bahan buangan secara tidak terkawal boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar. Pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang tidak sesuai kepada kehidupan di persekitaran kita. Bahan-bahan yang tidak sesuai ini dipanggil bahan-bahan pencemar .

    Kebanyakan pencemaran yang berlaku adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia. Terdapat berbagai jenis pencemaran iaitu:

    ( a ) Pencemaran udara
    ( b ) Pencemaran air
    ( c ) Pencemaran tanah

    PENCEMARAN UDARA

    Pencemaran udara berlaku bila terdapat bahan-bahan pencemar di udara. Contoh bahan-bahan pencemar ini ialah habuk,
    debu, asap, dan gas-gas beracun .
    Jadual di bawah menunjukkan punca-punca pencemaran udara dan bahan-bahan pencemar utama yang dihasilkan .

    PUNCA-PUNCA PENCEMARAN
    BAHAN-BAHAN PENCEMAR
    Pembakaran bahan api di kilang
    dan dalam enjin kenderaan bermotor
    Gas sulfur dioksida, nitojen dioksida,
    karbon monoksid dan debu
    Pembakaran sampah sarap dan
    hutan secara besar-besaran
    Gas karbon dioksida dan debu
    Penyemburan racun serangga dan
    bahan-bahan kimia
    Gas dan kimia beracun
    Penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) Gas CFC

    Kesan Pencemaran Udara

    Menjejaskan kesihatan

    1 . Apabila kita menarik nafas , udara yang tercemar memasuki badan dan menjejaskan kesihatan kita .
    2 . Debu dan gas-gas beracun daripada kilang -kilang , ekzos kenderaan dan penyemburan racun serangga menyebabkan
    penyakit jika disedut .
    3 . Penyakit ini adalah berkaitan dengan sistem pernafasan dan penyakit mata .

    Penyusutan Lapisan Ozon

    1 . Lapisan ozon di udara ialah lapisan yang melindungi kita daripada sinaran terik matahari .
    2 . Pembebasan gas CFC yang digunakan dalam alat-alat menyembur , alat penyaman udara dalam peti sejuk menipiskan
    lapisan ozon .
    3 . Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi .
    4 . Pendedahan kepada sinaran matahari yang banyak boleh mengakibatkan penyakit kanser kulit .

    Pembetukan Hujan Asid

    1 . Gas-gas sulfur diosida dan nitrogen dioksida bergabung dengan air hujan dan membentuk hujan asid .
    2 . Hujan asid boleh membunuh tumbuh-tumbuhan dan ikan-ikan .
    3 . Ia juga menghakis pakaian , kertas dan bahan binaan bangunan .

    Kenaikan Suhu Di Bumi

    1 . Gas karbon dioksida yang terlalu banyak dalam udara akan memerangkap haba .
    2 . Jadi suhu di bumi menigkat dan persekitaran kita menjadi panas .
    3 . Ini akan menyebabkan banjir akibat pencairan ais di kutub-kutub bumi dan kemarau di beberapa tempat di dunia .

    PENCEMARAN AIR

    1 . Punca bekalan air datang dari sungai , laut , kolam dan tasik .
    2 . Air boleh dicemari melalui
    ( a ) pembuangan bahan-bahan sisa kilang
    ( b ) tumpahan minyak dari kapal laut
    ( c ) pembuangan sampah-sarap dan najis
    ( d ) hakisan tanah akibat pembalakan dan pembinaan berleluasa .

    Kesan Pencemaran Air

    Menjejaskan Kesihatan

    1 . Sisa-sisakilang yang dibuang ke dalam sungai meracuni air sungai .
    2 . Ini membahayakan kesihatan kita jika air tersebut diminum atau digunakan untuk mandi .
    3 . Sampah-sarap dan najis yang dibuang ke dalam sungai pula mengalakkan pertumbuhan bakteria yang menyebabkan
    penyakit .

    Pembunuh Hidupan Air

    1 . Minyak yang tertumpah ke laut menghalang kemasukan udara ke dalam air laut .
    2 . Jadi tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan yang hidup dalam laut tidak dapat bernafas dan akan mati .
    3 . Air sungai yang mengandungi sisa-sisa kilang juga meracuni hidupan air .
    4 . Sampah-sarap yang terkumpul dan lumpur yang termendap dalam air akibat hakisan tanah menghalang kemasukan
    sinaran matahari kedalam air .
    5 . Ini menjejaskan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan air .

    Memburukkan Keindahan Alam

    1 . Pantai-pantai yang dipenuhi dengan sampah-sarap tidak indah dipandang .
    2 . Air sungai dan laut juga berbau busuk .

    PENCEMARAN TANAH

    Sesuatu kawasan tanah dicemari melalui :
    ( a ) pembuangan sampah-sarap di merata-rata tempat
    ( b ) penyemburan racun serangga
    ( c ) aktiviti pembinaan , perlombongan dan pembalakan .

    Kesan Pencemaran Tanah

    Hakisan Tanah

    1 . Aktiviti-aktiviti pembinaan , perlombongan dan pembalakan yang tidak terkawal menyebabkan kawasan tanah
    terdedah .
    2 . Kawasan tanah yang terdedah dihakis oleh angin dan air hujan .

    Membunuh Haiwan Di Bawah Tanah

    1 . Racun serangga yang disembur meresap masuk dan berkumpul dalam tanah .
    2 . Haiwan yang hidup di bawah tanah mati akibat pengumpulan racun ini .

    Menjejaskan Kesihatan

    1 . Sampah-sarap yang dibuang di kawasan-kawasan lapang menjadi tempat pembiakan kuman penyakit .
    2 . Tikus, lipas dan lalat tertumpu di kawasan ini dan menyebarkan kuman-kuman penyakit ke tempat-tempat lain .
    3 . Jika makanan yang dihinggapi lalat atau dimakan lipas , kita mungkin diserang penyakit .

    Kekurangan Tanah Subur

    1 . Pembinaan rumah-rumah dan bangunan-bangunan menyebabkan kesusutan tanah .
    2 . Manusia menghadapi kekurangan tanah subur untuk pertanian .

    LANGKAH-LANGKAH MENGATASI
    PENCEMARAN ALAM SEKITAR

    Untuk menyelamatkan alam sekitar daripada bahaya pencemaran , kita perlu mengambil langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran . Di antara langkah-langkah yang diambil ialah :

    ( a ) mengharamkan pembakaran sampah-sarap di kawasan terbuka

    ( b ) menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal pembebasan gas-gas beracun dari kilang-kilang dan
    kenderaan .

    ( c ) membina kilang-kilang jauh dari kawasan perumahan

    ( d ) mengawal aktiviti pembinaan , perlombongan dan pembalakan

    ( e ) menyedarkan orang ramai supaya menjaga kebersihan alam sekitar

    ( f ) menjalankan proses kitar semula bahan-bahan buangan.

    Pengolahan Alam Hidupan

    Mengolah Alam Hidupan Dengan Bertanggungjawab

    1 Manusia mengolah alam sekitar dan hidupan untuk mendapatkan keperluan asas hidupnya ( makanan , pakaian dan
    tempat kediaman ) dan mendirikan tempat rekreasi .

    2 Dalam usaha memenuhi keperluannya, manusia telah membuka hutan untuk pertanian , perumahan , industri
    perlombongan , membina empangan dan mengeringkan hutan paya bakau .

    3 Aktiviti-aktiviti manusia ini menukar dan mencemarkan alam persekitaran serta menhapuskan habitat semula jadi,
    banyak spesies tumbuhan dan haiwan . Ini merupakan ancaman yang terbesar terhadap kemandirian hidupan liar .

    4 Tumbuhan dan haiwan yang juga diolah untuk keperluan manusia seperti sukan , makanan , ubatan , kulit dan bulu
    turut susut bilangannya .

    5 Beribu-ribu spesies tumbuhan dan haiwan menghadapi kepupusan kerana pupolasi mereka adalah terlampau rendah
    akibat aktiviti manusia .

    6 Spesies tumbuhan atau haiwan yang terpupus akan hilang dari bumi ini selama-lamanya . contohnya , burung dodo ,
    harimau bali , dan harimau kaspia adalah diantara beribu-ribu hidupan yang telah pupus dari permukaan bumi .

    7 Manusia perlu mengolah alam hidupan dengan lebih bertanggung jawab kerana kemandirian manusia juga berkait
    rapat dengan kemandirian tumbuhan dan haiwan .

    Kepentingan Pemeliharaan dan Pemulihan Haiwan dan Tumbuhan

    1 Makanan : manusia bergantung pada tumbuhan dan haiwan untuk makanannya .Masih banyak spesies tumbuhan dan
    haiwan yang belum diterokai tetapi berpotensi untuk membekalkan makanan kepada populasi manusia dunia yang
    semakin meningkat .

    2 Ubat-ubatan : Semua ubat-ubat tradisi dan sebahagian besar daripada bahan kimia ubat moden diperoleh daripada
    haiwan dan tumbuhan . Masih terdapat banyak spesies tumbuhan dan haiwan yang belum sempat dikaji tetapi mempunyai
    potensi untuk merawat penyakit-penyakit seperti barah , AIDS dan sebagainya .

    3 Sumber bahan mentah

    ( a ) Kayu balak merupakan satu sumber yang sangat penting dalam pembinaan rumah dan perabot serta membuat
    kertas .
    ( b ) Hasil keluaran seperti kulit haiwan , madu , rotan , damar dan sebagainya berasal daripada tumbuhan dan haiwan .

    4 Keseimbangan alam sekitar :

    ( a ) Tumbuhan dan haiwan memainkan peranan yang sangat penting dalam siratan makanan dan keseimbangan
    alam .
    ( b ) Tumbuhan hijau menolong mengekalkan kandugan gas oksigen dalam atmosfera yang perlu untuk haiwan dan
    manusia bernafas . Sebaliknya haiwan dan manusia membebaskan gas karbon diosida yang diperlukan oleh
    tumbuhan dalam fotosintesis .
    ( c ) Tumbuhan menapis kebanyakan debu dalam udara serta menyerap gas kasbon dioksida dan dengan itu
    membantu mengawal pencemaran udara .
    ( d ) Tumbuhan memperlahankan aliran air hujan dan dengan itu mengelakkan banjir , hakisan tanah dan tanah runtuh
    daripada berlaku semasa hujan turun .
    ( e ) Tumbuhan melindungi permukaan bumi daripada sinaran langsung cahaya matahari , langsung mengurangkan
    penyejatan air dan membantu menyejukkan permukaan bumi .

    5 Sumber air : Tumbuhan dalam hutan hujan merupakan kawasan tadahan air yang sangat penting untuk mengisi
    empangan dan membekalkan keperluan air kepada manusia .

    6 Rekreasi : Kepelbagaian haiwan dan tumbuhan mengekalkan keindahan semula jadi alam sekitar untuk aktiviti
    riadah dan rekreasi manusia . juga ia menjadi satu daya tarikan kepada pelancong dan menyumbang kepada
    ekonomi negara .

    7 Ekonomi : hasil keluaran tumbuhan dan haiwan seperti hasil tanaman , hasil tangkapan ikan , kayu balak ,
    damar ,ubat-ubatan , kulit dan sebagainya memberikan pendapatan kepada negara .


    KEPUPUSAN HAIWAN DAN TUMBUHAN

    1 Di Malaysia , pemusnahan habitat dan pencemaran alam sekitar mengancam banyak spesies hidupan ini adalah
    seperti :
    ( a ) Spesies tumbuhan yang dikenali dan belum dikenali dalam hutan hujan tropika ( bunga pakma , orkid - orkid liar
    dan pisang liar ) .
    ( b ) Burung-burung ( misalnya burung enggang , bangau dan helang bahu hitam ) .
    ( c ) Haiwan (misalnya tapir , harimau , badak Sumatera , orang utan , siamang , lutong , dan ular sawa ) .
    ( d ) Serangga .
    ( e ) Penyu ( misalnya penyu belimbing dan penyu hijau .

    2 Contoh hidupan lain di dunia yang menghadapi kepupusan :
    ( a ) Panda gergasi hanya terdapat di satu kawasan kecil di China . Kini , terdapat kurang 200 ekor yang masih tinggal .
    ( b )Gorila gunung Afrika Barat juga terancam dengan kepupusan kerana pemusnahan habitatnya akibat aktiviti pertanian
    serta diburu untuk bulu dan untuk dijadikan ubat-ubatan .
    ( c ) Ikan paus biru , haiwan yang terbesar , terancam dengan kepupusan kerana diburu untuk dagaing dan lemaknya .

    Usaha Pemeliharaan dan Pemuliharaan Hidupan Liar

    1 Pemuliharaan hidupan liar ialah usaha pengurusan hidupan liar secara bijaksana supaya hidupan ini dapat dikekalkan
    untuk generasi yang akan datang .
    2 Sumber Bumi adalah terhad . Dengan penambahan populasi dunia , lebih makanan dan keperluan lain diperlukan
    daripada sumber hidupan liar . Pada masa yang sama , kita perlu memastikan kita sentiasa dapat mengekalkan spesies
    hidupan yang ada .
    3 Usaha-usaha pemuliharaan hidupan liar termasuk :
    ( a ) Mewujudkan kawasan hutan simpanan untuk memelihara hidupan liar . Contohnya , hutan dara , hutan simpanan ,
    dan taman negara ( T.N. Pahang ; T.N. Kinabalu di Sabah ; T.N. Bako , T.N. Mulu dan T.N. Niah di Sarawak ) .
    ( b ) Memindahkan tumbuhan yang diancami kepupusan untuk ditanam di kebun khusus atau aboretum dalam usaha
    pemeliharaan .
    ( c ) Melindugi hidupan liar di hutan paya bakau dengan mewujudkan hutan simpanan paya bakau , misalnya di Matang
    ( Perak ) dan Pulau Kukup ( Johor ) .
    ( d ) Mendirikan pusat pembiakan haiwan yang terancam dengan kepupusan , seperti ikan dan penyu ( di pantai timur ) ,
    tuntung ( Perak ) dan orang utan ( Sabah dan Sarawak ) .Pusat-pusat ini akan membiakkan haiwan -
    haiwan tersebut untuk dikembalikan kepada habitat asalnya .
    ( e ) Taman marin didirikan untuk melindungi hidupan laut . Contohnya taman-taman marin di Pulau Redang ,
    Pulau Tioman , pulau Paya , Pulau Perhentian dan Pulau Tinggi .
    ( f ) Mengisytiharkan hidupan yang terancam dengan kepupusan sebagai spesies terpelihara dan tiada siapa pun
    dibenarkan menangkap , menembak atau menjualnya . Antara spesies-spesies terpelihara ialah orang utan , siamang ,
    kera , badak Sumatera dan harimau .
    ( g ) Menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi hidupan liar .
    ( h ) Mengawal aktiviti pembalakan untuk mengurangkan pemusnahan habitat hidupan liar .
    ( i ) Penghutanan semula , iaitu menanam semula hutan dengan anak benih baru setelah pokok balak ditebang .
    ( j ) Pendidikan : Mendidik pelajar sekolah dan orang ramai tentang kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan
    hidupan liar .
    ( k ) Mengawal pencemaran sungai dan laut yang memusnakan habitat hidupan air .


    ALAM SEKITAR

    PENGENALAN

    Dalam tahun 1995, proses disentralisasi kerja-kerja menyemak dan meluluskan laporan EIA telah dilaksanakan di semua 13 Pejabat Jabatan Alam Sekitar Negeri. Walau bagaimanapun, projek-projek yang meliputi lebih daripada satu negeri dan laporan terperinci EIA masih diproses di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar.

    Langkah-langkah untuk mempertingkatkan lagi prosedur EIA terus diberi penekanan. Antaranya ialah kajian semula Buku Panduan EIA yang diterbitkan semula pada bulan Ogos 1995. Manakala 12 set garis panduan spesifik juga telah diterbitkan yang melibatkan aktiviti-aktiviti seperti bekalan air bawah tanah dan air permukaan, penjanaan dan pemancaran kuasa, saliran dan pengairan, pelabuhan perikanan dan akuakultur berasaskan penggunaan tanah, empangan dan takungan air, perlombongan dan kuari, tempat peranginan di kawasan bukit, kemudahan pelancongan di kawasan taman negara, kemudahan pelancongan di pulau-pulau yang dikelilingi oleh perairan yang diwartakan sebagai taman laut, industri, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran dan pelupusan serta pengolahan sisa toksik dan berbahaya. Selain daripada itu, Jabatan juga telah bekerjasama dengan memberikan input kepada penyediaan dan penerbitan garis panduan bagi aktiviti pembinaan jalan raya dan lebuh raya oleh Jabatan Kerja Raya.


    PROSEDUR EIA

    Pemberitahuan Projek-Projek yang tertakluk kepada Perintah EIA Sebagai langkah proaktif, Jabatan Alam Sekitar meneruskan usaha menyenaraikan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak pencadang projek ataupun yang dilaporkan oleh media massa walaupun tiada keperluan mengenai pemberitahuan ini. Pada tahun 1995, sejumlah 1,705 cadangan projek yang tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling telah diawasi berbanding dengan hanya 344 projek dalam tahun 1994. Antara projek yang paling banyak dicadangkan ialah untuk aktiviti pembangunan kemudahan rekreasi dan tempat peranginan (19 peratus), dan diikuti oleh kuari (18 peratus), infrastruktur (12 peratus), perumahan (10 peratus) dan industri (9 peratus).

    Semakan Laporan
    Bilangan laporan EIA yang diterima pada tahun 1995 telah meningkat sebanyak 16 peratus berbanding dengan tahun 1994. Daripada 348 laporan yang diterima, sebanyak 339 adalah laporan awal EIA, 1 laporan terperinci EIA dan 8 laporan analisa risiko yang berkaitan dengan kemudahan berbahaya (rujuk Rajah 5.1).

    Semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) dikuatkuasakan pada 1 April 1988, sehingga 31 Disember 1995, bilangan laporan EIA yang telah diterima adalah berjumlah 1,444 dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,363 (94 peratus) adalah laporan awal EIA, 62 (4 peratus) laporan analisa risiko, 8 laporan terperinci EIA dan selebihnya iaitu sebanyak 11 laporan bagi cadangan pembangunan yang dijalankan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

    Kategori Projek dan Aktiviti-aktiviti yang Ditetapkan
    Sehingga kini, bilangan laporan yang paling banyak diterima semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling), 1987 dikuatkuasakan ialah pembangunan tempat-tempat peranginan dan rekreasi (17 peratus) diikuti dengan pembangunan projek-projek infrastruktur (16 peratus) dan projek-projek perumahan serta aktiviti kuari, masing-masing sebanyak 14 peratus Laporan EIA yang berkaitan dengan aktiviti kuari didapati telah meningkat pada tahun 1994 dan 1995, manakala keadaan sebaliknya berlaku bagi aktiviti industri setelah tidak mengalami perubahan antara tahun 1991 sehingga 1993. Laporan terperinci EIA yang pertama bagi aktiviti penjanaan kuasa iaitu Projek Kuasa Hidroelektrik Bakun di Sarawak telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk ulasan. Projek ini merupakan aktiviti yang tertakluk di bawah bidang kuasa Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Negeri Sarawak. Rajah 5.2 menunjukkan perbandingan taburan laporan EIA mengikut kategori aktiviti-aktiviti bagi tahun 1995 dan untuk tempoh antara tahun 1988 hingga 1995.

    Sehingga 31 Disember 1995, sejumlah 353 laporan EIA (86 peratus) telah disemak. Ini termasuklah 61laporan EIA yang dibawa ke hadapan dari tahun 1994. Manakala yang selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan EIA masih dalam semakan ataupun keputusannya masih tertakluk kepada beberapa maklumat tambahan yang belum diperolehi daripada pihak penggerak projek. Rajah 5.3 menunjukkan bilangan laporan EIA yang telah disemak setiap tahun dalam tempoh masa dari tahun 1988 sehingga 1995.

    Sejumlah 238 daripada 348 laporan EIA yang diterima telah diluluskan, 38 laporan ditolak, 16 laporan telah ditarik balik oleh penggerak projek dan selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan telah dibawa ke tahun 1996 untuk disemak. Secara keseluruhannya, bermula dari 1 April 1988, sebanyak 1,081 (75 peratus) laporan telah diluluskan, 194 (13 peratus) laporan telah ditolak dan 52 laporan (3 peratus) telah ditarik balik oleh pihak pemaju. Rajah 5.4 menunjukkan status laporan EIA yang telah diproses pada setiap tahun dalam tempoh masa 1988 hingga 1995.

    Rajah 5.5 pula menunjukkan kemajuan bagi tempoh pemprosesan laporan EIA. Secara purata, masa yang diambil adalah 1.6 bulan bagi satu laporan iaitu dengan kadar yang lebih baik daripada tempoh 3 bulan yang ditetapkan dalam Piagam Pelanggan. Berdasarkan pencapaian ini, bermula dari 1 Mac 1995, Piagam Pelanggan bagi memproses setiap laporan EIA telah dikurangkan kepada 2.5 bulan bagi setiap laporan. Sepanjang pelaksanaan EIA, analisa taburan laporan EIA mengikut negeri projek dibangunkan menunjukkan tren yang sama dengan tahun 1994, iaitu 38 peratus daripada keseluruhan jumlah laporan yang diterima ialah dari negeri Selangor dan Johor, iaitu jauh melebihi negeri-negeri lain. Manakala laporan EIA bagi negeri Perlis dan Kelantan pula merupakan yang terendah diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan
    .
    Rajah 5.6 menunjukkan taburan laporan EIA bagi setiap negeri untuk tempoh 1988 hingga 1995.

    Kemajuan Dalam Pelaksanaan Prosedur EIA

    Garis Panduan Spesifik

    Jabatan meneruskan usaha membuat susulan kepada cadangan-cadangan yang telah diperakukan oleh Kabinet pada 9 Disember, 1992 bagi mempertingkatkan keberkesanan prosedur EIA dengan menerbitkan 12 set garis panduan spesifik EIA. Garis panduan yang diterbitkan ini adalah untuk aktiviti bekalan air bawah tanah dan air permukaan, penjanaan dan pemancaran kuasa, saliran dan pengairan, pelabuhan perikanan dan akuakultur berasaskan penggunaan tanah, empangan dan takungan air, perlombongan dan kuari, tempat peranginan di kawasan bukit, kemudahan pelancongan di kawasan taman negara, kemudahan pelancongan di pulau-pulau yang dikelilingi oleh perairan yang diwartakan sebagai taman laut, industri, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran, serta pengolahan dan pelupusan buangan toksik dan berbahaya.

    Sebanyak 4 bengkel telah diadakan bagi menyediakan garis panduan-garis panduan tersebut yang dihadiri oleh wakil daripada agensi Kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan, penggerak-penggerak projek, perunding-perunding alam sekitar, badan-badan profesional dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dengan alam sekitar.

    Pendaftaran Perunding-Perunding EIA

    Pada bulan Januari 1995, senarai perunding-perunding EIA yang didaftarkan telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Sehingga 31 Disember 1995, sebanyak 55 firma perunding dan 176 perunding individu telah didaftarkan dengan Jabatan Alam Sekitar. Satu mesyuarat bersama dengan perunding-perunding EIA yang didaftarkan ini telah diadakan pada Julai 1995 untuk perbincangan kriteria pendaftaran dan isu-isu mengenai kualiti laporan EIA yang dikemukakan kepada Jabatan. Mesyuarat tersebut telah memperakukan beberapa perkara antaranya:

    • Penubuhan Jawatankuasa Sementara
    • Perunding-perunding EIA yang berperanan mengkaji perkara-perkara yang berkaitan dengan perakuan perunding-perunding EIA; dan
    • Pembentukan Lembaga Perunding-perunding EIA.
    • Promosi EIA
    Program-program kesedaran terus ditingkatkan melalui pembentangan beberapa kertas kerja dan mengadakan hubungan baik antara Jabatan dan pelanggan. Sepanjang tahun 1995, sebanyak 15 kertas kerja yang berkaitan dengan EIA telah dibentangkan di beberapa persidangan dan seminar di dalam dan luar negara.

    Terbitan IMPAK merupakan satu makalah keluaran Jabatan Alam Sekitar mengenai EIA dan diterbitkan setiap sukutahun. Isu-isu seperti pembangunan tanah tinggi, Ulangtahun Ke-7 Prosedur EIA dan kemajuannya, pelupusan sisa toksik secara haram serta audit alam sekitar telah diberi fokus dalam keluaran-keluaran yang diterbitkan.

    INPUT ALAM SEKITAR DALAM PERANCANGAN PEMBANGUNAN

    Jabatan meneruskan usaha menggalakkan penerapan dimensi alam sekitar ke dalam perancangan projek. Dalam tahun 1995, input-input alam sekitar kepada 66 buah projek pembangunan telah disediakan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.7. Bilangan ini adalah sama seperti tahun yang sebelumnya.

    Projek-projek pembangunan yang berkaitan kebanyakannya merupakan projek-projek kerajaan yang terdiri daripada penggubalan pelan-pelan tindakan (6%), pelan-pelan pemuliharaan (5%), pelan-pelan pembangunan (17%), pelan-pelan tempatan (6 %), pelan-pelan pengurusan (7.5%), pelan-pelan induk (9 %) dan pelan-pelan struktur (27%). Selainnya ialah projek tebatan banjir (7.5%), industri (1.5%), infrastruktur (7.5%), pengairan (1.5%), lanskap (1.5%), sumber asli (1.5%) dan projek-projek pembetungan (1.5%). Senarai projek-projek ini ditunjukkan dalam Jadual 5.1.

    Jadual 5.1 Jabatan Alam Sekitar : Senarai Input Alam Sekitar bagi Perancangan Pembangunan Projek, 1995.

    Jenis Projek

    Pelan Tindakan Pelan Tindakan Akuakultur
    Jalan Haji Abdul Rahman (Kuantan)
    Pelan Tindakan Strategi Pembangunan Negeri Melaka
    Sungai Kuantan

    Pelan Pemulihan Kajian Pinggir Pantai dan Luar Pantai bagi Penyediaan Pelan Struktur Kuala
    Terengganu, Setiu dan Besut
    Pembangunan Zon Pinggir Pantai bagi Garis Panduan Perlindungan Hakisan Pantai
    Strategi Pemuliharaan Kebangsaan

    Pelan Pembangunan Pembangunan Akuakultur Besut
    Kajian Kemungkinan dan Pembangunan Kawasan Air Panas bagi Pelancong
    di Malaysia
    Hulu Terengganu
    Kuala Terangganu
    Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
    Kajian Kemungkinan Projek Pemusatan Ternakan Khinzir di Bidor
    Kajian Semula Pembangunan Ekonomi Jangka Panjang Negeri Johor: 1995-2010
    Setiu
    Pelan Pembangunan Tasik Kenyir

    Projek Tebatan Banjir Pelan Pengurusan Menyeluruh bagi Lembangan Sungai Muda
    Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Khusus bagi Sistem Sungai-sungai
    Prai, Sungai Juru, Sungai Jejawi.
    Kajian Kemungkinan bagi Pembaikan Sungai Kelantan
    Lembangan Sungai Kelang
    Lemal dan Rantau Panjang

    Projek Industri Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana

    Projek Infrastruktur Kajian Awal dan Kemungkinan kejuruteraan bagi Jambatan Sungai Dinding
    Lumut, Perak,
    Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Terperinci bagi Kerja-kerja
    Perlindungan Pantai di Pengkalan Datu, Kuala Besar, Kampung Buntal,
    Sarawak dan Tanjung Aru, Sungai Kinarut, Sabah
    Kajian Hidrolik bagi Kawasan Tadahan Sungai Sarawak Kiri dan
    Kajian Kemungkinan bagi Cadangan Penambakan Merentasi Sungai Sarawak.
    Cadangan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor
    Bantuan Teknikal bagi Peraturan dan Polisi Pengairan.

    Projek Pengairan Kajian Kemungkinan bagi Pembangunan Takungan Air Kecil

    Projek Lanskap Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya

    Pelan Tempatan Bukit Jalil
    Pinggir Pantai Kuantan
    Pusat Bandar Kuantan
    Seberang Kuantan

    Pelan Pengurusan Pelan Pengurusan Pantai Johor Selatan
    Pelan Pengurusan Menyeluruh Lembangan Sungai Muda
    Rancangan Malaysia ke-7 bagi Pasukan Petugas Alam Sekitar
    Jawatankuasa Kecil bagi Piawai Alam Sekitar- Syarat & Definisi
    Taman Negara Endau- Rompin

    Pelan Induk Johor
    Kajian mengenai Pelan Induk Operasi bagi Wilayah Jengka
    Pulau Tioman
    Cadangan Pelan Induk bagi Taman Botanikal di Sungai Buloh
    Seri Iskandar, Perak
    Pelancongan di Bandar Mersing

    Sumber Asli Bidang Rujukan bagi Kajian Pengurusan Menyeluruh Sumber-Sumber Air di Malaysia

    Projek/Sistem
    Pembetungan Kajian Pengurusan Sungai dan Kawalan Alam Sekitar Sg. Sarawak :
    Ringkasan Kajian Kemungkinan Pembetungan

    Pelan Struktur Alor Gajah dan Jasin, Bentung, Bera, Besut, Cameron Highlands
    Daerah Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak, Daerah Manjung dan Perak Tengah,
    Hulu Terengganu, Jerantut, Kuala Terangganu, Lipis, Majlis Perbandaran Seberang Prai
    Maran, Pekan, Raub, Rompin. Setiu dan Termeloh

    Sistem Informasi Geografik (GIS)

    Perkakasan dan perisian GIS telah ditingkatkan bagi menampung tiga pengguna yang menggunakan Sistem GIS serentak melalui Rangkaian Tempatan (LAN) yang sedia ada.

    Peta-peta tematik GIS yang dihasilkan terus memainkan peranan dalam membekalkan maklumat untuk membuat sesuatu keputusan. Antara projek-projek yang dijalankan dalam tahun 1995 ialah:

    • Pemetaan bagi Projek Pembangunan di Lojing, Kelantan
    • Projek-projek EIA di sekitar Mimaland
    • Aktiviti pembersihan tanah di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Subang
    • Pembangunan di sekitar Genting Highlands
    • Peta Kegunaan Tanah (1990) bagi Selangor, Pahang, Terengganu, Negri Sembilan dan Perlis
    Program antara-muka antara GIS dan Sistem Inventori Punca-punca Pencemaran (SIPP) telah juga dibangunkan. Program antara-muka GIS-SIPP ini dapat menghubungkaitkan antara maklumat ruang dengan maklumat ‘tabular’. Di samping itu, projek baru iaitu Sistem Pembantu Pembuat Keputusan Alam Sekitar (EDSS) telah dicadangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh.

    Penilaian Awal Tapak Projek
    Penilaian awal tapak projek-projek dapat memastikan aspek alam sekitar diambilkira dalam pembangunan projek projek yang tidak tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling, 1987.

    Penempatan
    sesuatu cadangan projek dinilai berasaskan kegunaan tanah sedia ada di sekeliling kawasan tersebut. Pelan-pelan pembangunan telah dikaji bagi memastikan kawasan- kawasan sensitif alam sekitar seperti kawasan perumahan, sekolah, kawasan tadahan air, hutan simpan dan taman negara terletak pada jarak yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang impak alam sekitar akibat daripada aktiviti pembangunan yang dijalankan di sekitarnya.

    Pencadang-pencadang projek perlu melaksanakan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian bagi mengurangkan pencemaran pada awal peringkat perancangan projek. Jabatan Alam Sekitar Negeri memainkan peranan utama dalam menjalankan siasatan tapak cadangan projek dan kemudiannya memajukan ulasan, pandangan dan cadangan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

    Pada tahun 1995, sejumlah 6,565 permohonan bagi penilaian awal tapak telah diterima oleh Jabatan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.8. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding dengan tahun sebelumnya. Manakala Rajah 5.9 pula menunjukkan pecahan permohonan penilaian awal tapak yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri.

    Kelulusan Pemasangan Alatan/ Kemudahan

    Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-peraturan yang berkaitan, kelulusan dalam bentuk kebenaran bertulis dan kelulusan bertulis perlu diperolehi daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling sebelum pembinaan atau pemasangan sebarang kemudahan yang akan mengakibatkan pelepasan bahan-bahan pencemar kepada persekitaran. Ini bertujuan untuk memastikan langkah-langkah pengawalan pencemaran digabungkan bagi mematuhi standard yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Minyak Kelapa Sawit Mentah), 1977,

    Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Getah Asli Mentah), 1978, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-effluen Perindustrian), 1979.

    (i) Kawalan Pencemaran Air
    Sejumlah 796 permohonan kebenaran bertulis bagi pemasangan alat kawalan pencemaran air diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri, iaitu pertambahan sebanyak 27% daripada tahun sebelumnya. Rajah menunjukkan Negeri Johor menerima paling banyak permohonan (42%), dan ini diikuti oleh Negeri Selangor (15 %). Jumlah kelulusan yang dikeluarkan dalam tahun 1995 ini menghasilkan penambahan sebanyak 4,468,473 meter padu/hari effluen yang diolah.

    (ii) Kawalan Pencemaran Udara
    Sepanjang tahun 1995, sebanyak 1,189 permohonan kelulusan bertulis bagi pemasangan ala pembakaran bahanapi telah diterima dan jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 17% dari tahun 1994. Permohonan yang paling banyak telah diterima daripada Negeri Sabah (20%), diikuti oleh Negeri Selangor (19%) dan Johor (17%) seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.11. Jumlah penggunaan bahanapi cecair dan gas adalah sebanyak 268,562 tan/hari manakala jumlah penggunaan bahanapi pepejal pula ialah sebanyak 12,516 tan/hari.

    PUSAT KHIDMAT NASIHAT ALAM SEKITAR DI MIDA

    Pusat Khidmat Nasihat di Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menjalankan peranan sebagai penasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan alam sekitar, bukan sahaja kepada pelabur-pelabur malah kepada orang ramai. Dalam tahun 1995, sebanyak 35 pelabur tempatan dan asing serta 40 orang awam telah mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai alam sekitar. Perkara-perkara berkaitan dengan alam sekitar yang seringkali ditanya atau dirujuk adalah mengenai pembangunan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling 1987, kesesuaian tapak bagi projek yang dicadangkan, keperluan-keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan yang berkaitan, galakan-galakan bagi pemasangan alat pengawalan pencemaran, prosedur EIA dan keperluan-keperluannya, peluang-peluang untuk memberikan perkhidmatan berkaitan alam sekitar termasuk perundingan dan teknologi kepada industri yang sedia ada, dan juga peranan penswastaan dalam rancangan jangka panjang kerajaan dan polisi-polisi alam sekitar yang akan memberi kesan kepada sektor industri.

    Jabatan Alam Sekitar juga merupakan ahli jawatankuasa kepada Jawatankuasa Tindakan Berkenaan Pengindustrian yang meluluskan lesen pengilang dan galakan. Pada tahun 1995, sejumlah 80 permohonan lesen pengilang telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk nasihat dan ulasan. MIDA juga menerima sejumlah 1,075 permohonan bagi projek-projek pengilangan berbanding dengan hanya 1,018 permohonan pada tahun 1994. Daripada jumlah tersebut, 554 permohonan adalah bagi projek-projek pengilangan baru dan selebihnya iaitu 521 permohonan adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran. Sejumlah 894 buah projek telah diberikan kelulusan oleh pihak MIDA berbanding 870 kelulusan dalam tahun 1994.

    Sebanyak 516 buah projek daripada 894 kelulusan yang telah dikeluarkan adalah projek pengilangan baru, sementara 378 adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran kilang. Daripada jumlah ini, 41 projek adalah tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling yang kebanyakannya merupakan projek industri kimia dan petrokimia, projek kitar semula buangan terjadual, pengeluaran bahan bukan logam seperti simen dan kapur, kilang kertas dan juga kawasan peranginan pinggir pantai.

    (Petikan daripada Sumber Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar)


    Dapatkan maklumat lanjut dari Kementerian Saians, Teknologi dan Alam Sekitar

    alam sekitar

    Check out this SlideShare Presentation: