BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, May 20, 2008

Bumi semakin nazak

Semenjak 1960, gas nitrogen yang dibebaskan ke ekosistem meningkat sebanyak dua kali ganda dan tiga kali ganda bagi fosforus.


MAMPUKAH dunia dirawat untuk kembali sihat?


APAKAH kadar dan skala perubahan yang berlaku ke atas alam semula jadi? Bagaimana perubahan alam meninggalkan kesan ke atas ekosistem dan kebaikan kepada manusia sejagat? Apakah perubahan ekosistem yang dijangkakan dalam tempoh 50 tahun akan datang?

Soalan-soalan ini diusulkan oleh Profesor A.H. Zakri dari Institut Lanjutan Kajian di Universiti United Nations pada perbincangan meja bulat Linking Ecosystem Knowledge and Development, baru-baru ini. Ekosistem telah banyak berubah dalam tempoh 50 tahun lalu dan prospek perubahan dalam 50 tahun akan datang amat tinggi dan amat menakutkan.


SUNGAI tidak mampu lagi menjadi habitat hidupan laut.


Berdasarkan kepada penilaian milenium yang terbesar terhadap ekosistem sub-global, seramai 1,360 orang pakar dari 95 buah negara berkongsi pendapat dan pandangan masing-masing berhubung 'kesihatan' bumi.

Didapati, dalam tempoh 50 tahun lalu menyaksikan perubahan yang paling mendadak dan tersebar meluas berbanding dengan mana-mana catatan tempoh dalam sejarah.

Ini telah menyebabkan banyak kehidupan alam yang pelbagai hilang tanpa kawalan atau sukar dipulihkan. Semenjak 1960, gas nitrogen yang dibebaskan ke ekosistem meningkat sebanyak dua kali ganda dan tiga kali ganda bagi fosforus.

Sebanyak 50 peratus daripada baja nitrogen sintetik digunakan sejak tahun 1985 dan 60 peratus daripada penambahan gas karbon dioksida berlaku sejak 49 tahun lalu.


PENCEMARAN daripada sumber bahan api antara faktor utama melonjakkan suhu dunia.


Menurut satu petikan: "Sejak 1960, populasi penduduk berlipat dua kali ganda dan aktiviti ekonomi bertambah sehingga enam kali ganda tetapi kadar pengeluaran makanan meningkat dua setengah kali dengan harga makanan menurun, penggunaan air dan tenaga hidro bertambah dua kali ganda."

Kesan langsung daripada kerosakan ekosistem dilihat dalam aktiviti penangkapan ikan, makanan hidupan luar, sumber tenaga kayu, biokimia, air tawar, sumber genetik, bencana alam, penyebaran penyakit dan sebagainya. Yang bertambah maju ialah sektor tanaman, penternakan haiwan, pembebasan karbon dan akuakultur.

"Kawasan tanah lapang meliputi kawasan seluas 41 peratus daripada permukaan bumi dan hanya lapan peratus daripada bekalan air ini boleh diperbaharui. Tapi bayangkan lebih daripada dua bilion manusia hidup di atas permukaan kering ini dan sekarang, hampir 10 hingga 20 peratus kawasannya musnah," kata Zakri yang menambah kadar perkembangan populasi yang tertinggi direkodkan pada tahun 1990-an.

Malaysia mengalami perubahan ekosistem yang drastik semenjak aktiviti penggunaan sumber alam dan pertanian dilakukan secara besar-besaran. Sektor pertanian mengambil kawasan tanah yang terbesar dan dalam tempoh 30 tahun, trend penggunaan tanah memihak kepada tanaman kelapa sawit.


KAWASAN pertanian tidak menjadi lantaran kemarau melampau di banyak negara.


Selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia mengadaptasikan konsep industrialisasi sebagai agen penjana ekonomi sekali gus menukar kebanyakan zon tanah pertanian kepada zon industri.

Seperti yang dinyatakan oleh Prof. Mazlin Mokhtar, Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), meskipun perubahan ekosistem untuk memberi laluan kepada perkembangan ekonomi adalah baik dan berimpak positif, namun ia tidak sejajar dengan pemeliharaan alam.

Bencana alam seperti banjir kilat, hakisan tanah di persisiran pantai, gangguan bekalan air, kepupusan biodiversiti dan kawasan pembiakan hidupan marin adalah tempias yang dirasai oleh penduduk, lewat-lewat ini.

"Setakat ini, polisi negara bagi menjamin ekosistem alam tidak lengkap. Masih wujud jurang kesinambungan di antara ekosistem alam dan sistem sosial alam semula jadi."

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) juga menuding kepada beberapa kelemahan sistem seperti ketidakseragaman dan konflik pengurusan tanah di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri serta cabaran kawalan jerubu di perantauan ini.

Bagaimanapun, wakil dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mempertahankan usaha yang diambil dengan menyenaraikan langkah-langkah perlindungan lima juta hektar hutan dan kawasan marin, yakni Taman Marin Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan larangan menangkap ikan.




Sehingga hujung tahun 2007, 397.1 hektar hutan paya bakau ditanam semula dengan spesies bakau minyak, bakau kurap dan rhu pantai. Akhir tahun nanti, angka ini dijangka akan meningkat kepada 2,000 hektar.

Mungkin ada baiknya jika kerajaan menerima baik opsyen insentif ekonomi yang ditawarkan oleh negara Costa Rica di mana pemilik tanah di kawasan tanah tinggi 'dibayar' untuk mengekalkan pokok-pokok dan sebaliknya, penduduk di kawasan tanah rendah memperoleh manfaat daripada perlindungan ekosistem.

Bencana petanda rintihan alam

Belum reda dengan krisis kekurangan bekalan makanan yang turut diakibatkan oleh perubahan iklim global, dunia terus cemas apabila satu demi satu bencana meletus sehingga mengorbankan ratusan ribu nyawa.


FUTALEUFU Chile: Gunung Chaiten memuntahkan laharnya sehingga menyebabkan ribuan penduduk kawasan itu melarikan diri.


SATU demi satu bencana mencemari alam dan paling teruk, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa. Tanpa amaran, ia memusnahkan segalanya dalam sekelip mata.

Namun, beginilah keadaannya apabila bumi 'mengamuk'.


SICHUAN, China: Gegaran sekuat 7.8 skala ritcher menyebabkan banyak mangsa maut di bawah timbunan runtuhan bangunan.


Bermula dengan kes letusan gunung berapi di Chile pada 2 Mei lalu, penduduk-penduduk di bahagian selatan negara itu lari bertempiaran meninggalkan rumah dan haiwan peliharaan sebaik saja Gunung Chaiten memuntahkan laharnya.

Di bandar Futaleufu, asap tebal dan abu hitam menutupi kebanyakan kawasan.

Hanya 400 daripada 1,500 penduduk di kawasan itu dibenarkan tinggal di rumah masing-masing meskipun bekalan air sudah terputus.

Sesetengah pakar ekologi berpendapat, bencana ini meninggalkan kesan perubahan yang ketara ke atas alam semula jadi seperti hutan pokok sipres dan pain di samping spesies rusa yang jarang ditemui.


LABUTTA, Myanmar: Mangsa taufan Nargis merenung masa depan kehidupan mereka yang kini semakin sukar.


Chile merupakan 'rumah' kepada 2,000 gunung berapi, di mana 500 daripadanya masih aktif dan hampir 60 gunung berapi ini telah meletus sejak 450 tahun yang lalu. Chaiten buat pertama kali meletus dalam tempoh beribu tahun.

Di Myanmar, hampir 30,000 nyawa hilang sebaik Siklon Nargis melanda pada hari yang sama dengan kekuatan tiupan angin selaju 120 batu sejam dan ribut taufan.

Secara rasminya 33,000 penduduk dipercayai maut dengan lebih 50,000 masing hilang meskipun seorang jurucakap dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Horsey percaya besar kemungkinan angka itu lebih tinggi, iaitu boleh mencapai sehingga 100,000 orang.

Dalam situasi genting sebegini, lebih daripada dua juta penduduk memerlukan bantuan segera dari segi makanan, minuman dan pakaian tetapi usaha untuk mencapai ke kawasan-kawasan luar bandar memang sukar.

Di kawasan yang paling teruk ditimpa malapetaka, Delta Irrawaddy, penduduknya hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan beratus-ratus orang mendapatkan teduhan di dalam biara.


LABUTTA, Myanmar: Adakah pukulan Nargis akibat kemurkaan alam kerana pemanasan global yang semakin membimbangkan?


Selebihnya mereka cuba mendirikan khemah di luar tanpa bekalan air bersih kerana telah dicemari najis dan mayat yang bergelimpangan.

Amerika Syarikat (AS) turut tidak terkecuali apabila ribut petir dan puting beliung melanda di bahagian tengah negara itu pada 10 Mei lalu.

Pengurus Agensi Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Michelann Ooten, memberi amaran bahawa angka kematian mungkin meningkat lebih tinggi.

Beliau berkata, sebuah kawasan kediaman yang mempunyai 20 blok bangunan di Oklahoma mengalami kerosakan besar akibat bencana tersebut.

Sementara itu, pada awal minggu ini, satu gempa bumi yang kuat menggegarkan bumi China, berdekatan dengan bandar Sichuan. Bermagnitud 7.8 pada skala Richter, ia menyebabkan kematian kira-kira 10,000 orang penduduk dan ramai lagi yang masih terperangkap di bawah ranapan bangunan konkrit.


OKLAHOMA, AS: Tidak terlepas daripada amukan alam, AS antara negara yang paling kerap menerima pukulan ribut taufan.


Gempa bumi ini dilaporkan yang terburuk dalam tempoh tiga dekad. Di bandar Juyuan, sebuah bangunan sekolah bertingkat tiga runtuh lalu memerangkap 900 pelajar hidup-hidup dan 50 lagi terbunuh. Seramai 1,000 lagi pelajar dan guru dipercayai tertanam atau terbunuh di sekolah menengah yang runtuh di Beichuan.

Selain di wilayah Sichuan, angka korban juga tinggi di Gansu, Yunnan dan juga Chongqing yang berjiran dengan Sichuan, lapor akhbar harian Xinhua.

Pusat gegaran tertumpu di daerah Wenchuan di Sichuan dan kekuatannya menyebabkan bangunan-bangunan tinggi di seluruh China bergoyang.

Gempa bumi itu yang berlaku pada pukul 2.28 petang (waktu tempatan), dirasai selama beberapa minit di Bangkok, Thailand, yang jaraknya kira-kira 3,300 kilometer ke barat daya China. Bangunan di ibu negara Vietnam, Hanoi, juga dilaporkan bergegar.


SICHUAN, China: Seorang lelaki menangis selepas ahli keluarganya menjadi korban gempa.


Kurang tiga bulan Beijing akan menjadi tuan rumah kepada sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik. Namun, ramai yang mempersoalkan adakah China mampu menganjurkan di sebalik pelbagai bencana yang menimpa. - SUBASHINI RAJANDRA