BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, November 30, 2011

Kitar semula sisa pepejal



DALAM sedar atau tidak, pengurusan sisa pepejal yang efektif sangat penting dalam memberi impak positif kepada kehidupan manusia dari aspek sosial, politik, ekonomi dan persekitaran.

Apabila sesebuah negara semakin maju dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, lebih banyak sisa pepejal akan dihasilkan.

Malaysia yang sedang berkembang pesat tidak terkecuali. Negara ini perlu berdepan dengan cabaran menguruskan sisa pepejal secara berhemah.

Ia adalah untuk memastikan jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal dapat dipanjangkan seterusnya boleh menampung sisa pepejal negara.

Dalam tahun 2005, kuantiti sisa pepejal yang dihasilkan oleh penduduk Malaysia adalah sejumlah 19,000 tan sehari.

Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah menganggarkan bahawa pada tahun 2020, jumlah buangan sisa pepejal akan mencecah hampir 30,000 tan sehari.

Bagaimanapun, beberapa penemuan terkini menunjukkan bahawa jumlah sampah dan bahan buangan telahpun mencecah hampir 27,000 tan sehari.


SISA pepejal akan diangkut menggunakan kren untuk dihancurkan dan dicincang.


Ini bermakna jangkaan bahawa jumlah sisa pepejal sebanyak 30,000 tan sehari akan dicapai lebih awal sebelum tahun 2020.

Pengurusan sisa pepejal yang baik dapat memastikan alam sekitar, sumber tanah, air dan udara kekal terpelihara.

Bahkan, dengan kaedah yang tepat, sampah-sarap menggunung di tapak pelupusan sisa pepejal yang menyakitkan mata itu boleh diubah menjadi sumber tenaga untuk bekalan penduduk.

Menyedari kepentingan pengurusan sisa pepejal, YCB Renewable Energy Sdn. Bhd. tampil memberi alternatif dengan membawa kepakaran teknologi stabilat Herhof dari Jerman untuk dimanfaatkan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif YCB Renewable Energy Sdn. Bhd. (YCB), Yaakop Daut, berkata, teknologi stabilat Herhof menggunakan konsep pengurusan sisa pepejal kitar semula menyeluruh. Dalam falsafah operasi mereka, sisa pepejal merupakan aset yang boleh menjana pendapatan.

“Teknologi stabilat adalah berbeza berbanding teknologi pengurusan sisa pepejal yang pernah dilihat sebelum ini. Ia lebih mesra alam dan pengguna malah mampu memberi pelbagai faedah apabila digunakan kelak.

“Disebabkan itu, kita telah menjadi ejen rasmi teknologi stabilat Herhof untuk memindahkan teknologi yang diguna pakai di negara Jerman. Ia merupakan penyelesaian menyeluruh kepada pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal,” katanya kepada Kosmo!.

Faedah

Dalam erti kata lain, dia memberitahu, terdapat banyak faedah yang boleh diperoleh apabila menggunakan teknologi stabilat didatangkan khusus dari negara Jerman itu.


PENGGUNAAN sistem berkomputer terkini memudahkan lagi proses kitar semula sisa pepejal.


Pertama adalah mengenai aspek termasuklah penjimatan tanah. Memulakan mekanisme pengurusan sampah menggunakan teknologi stabilat itu tidak memerlukan pembukaan tapak pelupusan tanah yang baharu.

“Bayangkan berapa banyak tanah perlu digunakan untuk membina tapak pelupusan sisa pepejal dengan sampah sarap semakin meningkat.

“Dengan implikasi teknologi stabilat ini, tapak pelupusan sisa pepejal yang tidak aktif turut ditebus guna semula untuk memastikan ia tidak dibiarkan begitu sahaja sekali gus dapat menjimatkan tanah,” ujarnya.

Yaakop menambah, kelebihan itu secara tidak langsung dapat membantu memulihara alam sekitar sekali gus menghindari pencemaran air, udara dan tanah yang boleh mengakibatkan risiko penyakit.

Teknologi stabilat membolehkan sisa buangan yang telah melalui pelbagai proses dapat dikitar semula menjadi tenaga bahan api seperti gas mahupun material pepejal guna semula.

Penjimatan pelepasan karbon yang dipromosi teknologi stabilat juga boleh ditukar nilainya dalam sistem perdagangan kredit karbon untuk menjana ekonomi kepada negara.

Proses

Berbanding membiarkan proses reputan sampah dan menimbusnya seperti di pusat pelupusan sampah biasa ataupun pembakaran menggunakan insinerator yang menelan belanja tinggi, stabilat ada perbezaannya.

“Dalam kaedah teknologi stabilat, terdapat tiga fasa utama yang perlu dilalui iaitu pemprosesan, penstabilan dan pengasingan sisa pepejal.

“Sisa pepejal akan melalui proses pengasingan setelah dihancurkan dan dikeringkan sebelum dikitar semula,” kata Yaakop.

Ujarnya lagi, sisa sampah tersebut akan dikumpulkan pula di dalam bunker yang mampu menampung muatan sehingga 300 buah lori sampah.

Dengan teknologi terkini dan sistem berkomputer, dia menambah, sisa pepejal akan dicincang serta dihancurkan di dalam mesin pengisar menggunakan kren.


PRODUK akhir stabilat yang telah dikitar semula mempunyai pelbagai faedah.


Selepas proses tersebut, sampah akan dipindahkan ke bunker pemindahan yang dikenali sebagai kebuk Herhof bio box.

“Selepas semua sudah selesai, proses penstabilan biologi sisa pepejal pula dilakukan. Kerja pengeringan terebut memakan masa selama tujuh hari.

Yaakop memberitahu, pengasingan sisa pepejal pula akan dilakukan untuk mengasingkan pecahan mineral seperti batu, gelas, seramik, besi dan lain-lain material.

Katanya, selepas ketiga-tiga langkah tersebut dilakukan, barulah hasil produk kitar semula dapat diperoleh.

Kelebihan

Sementara itu, Ketua Bahagian Borneo YCB, Zubir Zainuddin, menjelaskan, penggunaan teknologi terbaharu itu juga dapat mengatasi masalah bau busuk dan pencemaran di tapak pelupusan sisa pepejal.

“Ia juga dapat mengurangkan kos operasi dan pengurusan sisa pepejal apabila menggunakan teknologi ini.

“Dalam pada itu, pengenalan teknologi ini mampu mengatasi tapak pembuangan haram malah menghilangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sisa pepejal,” katanya.

Kajian

Menyedari hakikat bahawa tidak semua teknologi dari luar negara boleh diaplikasikan di negara ini, YCB telah melantik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai konsultan khas bagi melakukan penilaian teknikal terhadap teknologi stabilat Herhof.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan dan Kejuruteraan Bioperubatan, Prof. Dr. Jasmy Yunus, berkata, pasukan yang melakukan penilaian teknikal terhadap teknologi stabilat Herhof mendapati ia adalah teknologi terkini rawatan sisa pepejal yang mendukung ciri mesra alam sekitar dan mapan.


PIHAK kerajaan tidak perlu membuka tapak pelupusan atau pengurusan sampah yang baharu kerana teknologi stabilat boleh mengguna pakai tapak yang sedia ada.


“Kita turut mendapati teknologi Jerman ini mempunyai kesesuaian untuk digunakan di Malaysia kerana mampu menjadi teknologi penyelesaian menyeluruh dalam pengurusan sisa pepejal.

“Teknologi tersebut juga dapat memanfaat sisa pepejal apabila boleh di kitar semula dan digunakan dengan lebih efisien serta ekonomi,” katanya yang merupakan Pengurus Besar Global Technology and Innovation Management Sdn. Bhd. (GTIM).

Jasmy menambah, pasukan yang menjalankan kajian tersebut terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Katanya, mereka adalah Prof. Mohd. Razman Salim, Prof. Mohd. Rashid Mohd. Yusof, Prof. Farid Ani Nasir dan Prof. Abdul Halim Yatim.

Dalam pada itu, Yaakop menambah, dia menjangka menggunakan loji pengurusan sisa pepejal teknologi Herhof yang mempunyai kapasiti 1,000 tan satu hari.

Jelasnya, ia amat bersesuaian dan berharap dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.


Kosmo! Online 1.12.2011

Tanam pokok di padang pasir


DAHAN-DAHAN pokok yang ditanam sebelum ini perlu dicantas bagi membolehkan pokok tersebut boleh tumbuh lebih tinggi.


WALAUPUN telah menempuhi perjalanan yang cukup panjang untuk sampai padang pasir Horqin, China, Aishah Sinclair yakin pengembaraannya itu bukan sesuatu yang sia-sia.

Dia yang dilantik sebagai duta Earthkeepers Malaysia bersama-sama 70 orang wakil dari negara lain seperti Taiwan, Singapura dan China serta para pekerja Timberland telah pergi dengan satu misi iaitu supaya padang pasir di situ tidak menjejaskan alam sekitar.

Dahulu, padang pasir tersebut mempunyai rumput dan tumbuh-tumbuhan lain tetapi perubahan masa dan gaya hidup telah menyebabkan kawasan tersebut bertukar menjadi kawasan gurun.

Kini, kawasan itu menjadi salah satu tempat yang berada pada tahap kritikal dengan masalah perubahan alam sekitar iaitu hutan yang menjadi kawasan tandus dan kering.

Apabila tiba musim angin monsun, tiupannya akan membawa pasir-pasir tersebut berterbangan sehingga ke negara jiran seperti Jepun. Fenomena itu secara tidak langsung menyumbang kepada kesan pemanasan global.

“Horqin adalah salah satu contoh bahawa usaha menjaga alam sekitar merupakan tanggungjawab semua orang di dunia ini. Pemanasan global bukan sahaja memberi efek kepada manusia di sesetengah tempat tetapi melibatkan penduduk dunia,” ujar Aishah ketika ditemui di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.


AISHAH sedang menemuramah Pengarah Pemasaran Rantau Asia, Tumberland, Arthur Ang ketika di padang pasir Horqin.


Cantas dahan

Aktiviti penanaman semula hutan di situ telah berlangsung selama tiga hari iaitu dari 14 hingga 17 Ogos. Aishah telah menjalankan pelbagai aktiviti seperti mencantas dahan yang bertujuan supaya pokok-pokok itu mampu tumbuh lebih tinggi.

Pokok-pokok tersebut umpama menjadi penapis bagi mengelakkan pasir-pasir berterbangan ke udara dan memasuki ruang udara negara jiran.

Selain itu, mereka turut menyemai anak-anak pokok baharu dan membina pagar di keliling kawasan tersebut.

Dalam masa yang sama, mereka turut memberi tunjuk ajar kepada penduduk tempatan di situ mengenai cara-cara menjaga alam sekitar supaya ekosistem akan kekal seimbang.

Projek Penanaman Semula Hutan Horqin diadakan setiap tahun oleh Program Earthkeepers Timberland dengan kerjasama badan bukan kerajaan yang berpusat di Jepun, Green Network sejak tahun 2001.

Di samping projek pemuliharaan, Timberland turut bekerjasama dengan China Beijing Environment Exchange (CBEX) untuk meminimum pengeluaran karbon sepanjang aktiviti dijalankan.


AISHAH menemu bual Pengarah Urusan Green Network, Yoshio Kitaura yang terlibat dalam aktiviti tersebut.


Tabung khas

Jumlah kewangan dikira oleh CBEX mengikut kadar pengeluaran karbon dan nilai tersebut akan didermakan kepada tabung khas projek Janakuasa Angin Heilongjiang.

Bukan itu sahaja, pada tahun ini juga pihak berkuasa tempatan turut sama menyertai Timberland dalam memelihara padang pasir Horqin.

“Saya sangat berbesar hati melihat usaha positif Timberland untuk alam sekitar dan kehidupan masyarakat di wilayah Horqin,” kata Pengarah Urusan Green Network, Yoshio Kitaura ringkas.

Pada tahun lepas, Timberland telah berjaya menanam sebanyak satu juta pokok di situ dan dalam tempoh 10 tahun mendatang, pihaknya menyasarkan untuk menanam dua juta pokok lagi.

Sebagai langkah menangani perubahan iklim global dan perlindungan terhadap alam sekitar, Timberland turut meletakkan sasaran menanam lima juta pokok dalam jangka masa lima tahun.


SELAIN menjalankan tanggungjawab sebagai warga bumi, Aishah turut berpeluang melihat kehidupan tradisional penduduk Horqin.


Ujar Aishah, perjalanan untuk sampai ke pedalaman Mongolia itu sangat mencabar dan panjang. Untuk ke padang pasir Horqin, dia perlu menaiki bas yang perjalanannya memakan masa tiga jam dari bandar berdekatan.

Tuesday, November 22, 2011

Karya Bunga Besi pilihan juri

DARI kiri : Abdullah, Nasrul dan Mohd. Haris bersama hasil karya mereka yang bertajuk Bunga Besi.


BAGI Nasrul Haziq Murad, 16, dia dan rakan-rakannya tidak menyangka akan memenangi tempat pertama dalam pertandingan hasil karya seni mesra alam kategori sekolah menengah anjuran Panasonic Malaysia Sdn. Bhd.

Mewakili Sekolah Menengah Teknik Sepang, Selangor dia mengucapkan syukur tatkala nama sekolahnya dipanggil untuk menerima hadiah tempat pertama yang akan membawa kumpulannya ke Jepun untuk melihat lebih dekat kaedah pembuatan barang-barang secara mesra alam.

"Idea kami datang secara tiba-tiba dan memerlukan empat hari untuk menyiapkannya, yang pasti ia bersifat mesra alam dan dibuat daripada bahan-bahan kitar semula," terang Nasrul mengenai hasil karya seni yang diberi tajuk Bunga Besi.

Rakan sepasukan, Mohd. Haris Fadhillah Mohd. Idris dan Abdullah Ihsan masing-masing 16 tahun menambah, bahagian paling penting dalam proses pembuatan adalah ketika pengembangan idea.

Kata Haris, jika idea kurang menarik, sudah pasti hasil yang diperoleh mengecewakan. Mereka merupakan antara 16 pemenang yang menyertai pertandingan sempena Program Pembelajaran Alam Sekitar Untuk Kanak-kanak di Sekolah Panasonic.

Bagi kategori Eko Diari Bergambar, Muhammad Wafie Sarbini, 11, dari Sekolah Kebangsaan Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, dia bertuah kerana memenangi tempat pertama. Wafie bakal berangkat Paris, Perancis pada bulan Februari 2012 untuk menyertai pertandingan yang sama di peringkat antarabangsa.

Diari bergambarnya menceritakan aktiviti yang dilakukannya sepanjang bulan Ramadhan lalu dan sudah pasti ia berkait rapat dengan usaha Wafie dalam memulihara alam sekitar.

Dalam diari tersebut, Wafie menceritakan segala pemerhatiannya terhadap masyarakat sekeliling ketika persiapan hari raya Aidilfitri. Antara perkara yang disentuhnya adalah penggunaan beg plastik dan pokok hiasan.

Seramai 1,200 orang pelajar dari 10 buah sekolah di Selangor telah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Daripada angka itu, 30 penyertaan bagi kategori karya seni telah diterima dengan 16 buah karya terpilih ke pusingan akhir. Untuk diari bergambar pula, 500 buah diari diterima tetapi hanya 21 buah diadili di peringkat akhir.

Program yang pertama kali dianjurkan oleh Panasonic itu menyasarkan kepada para pelajar sekolah supaya generasi tersebut menjadi masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar.

"Kami juga berhasrat agar mereka menjadi individu yang faham dan bijak dalam memulihara alam sekitar melalui model pengajaran yang disampaikan," ujar Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., Jeff Lee pada majlis penyampaian hadiah di Balai Seni Visual Negara Kuala Lumpur.

Pelbagai aktiviti seperti kelas pengajaran khas di sekolah-sekolah di Selangor yang menerangkan mengenai ekosistem dan kepentingan menjaga alam sekitar oleh kakitangan Panasonic turut dijalankan.

Lawatan para pelajar sekolah ke kilang eko Panasonic bagi menyebarkan kaedah sesebuah kilang pembuatan bersifat mesra alam dengan mengurangkan pengeluaran pencemaran karbon dioksida dan aktiviti-aktiviti lain.

Pada majlis yang sama, hasil karya mesra alam para pelajar dan Eko Diari Bergambar para pelajar sekolah rendah dipamerkan di ruang legar Balai Seni Visual Negara yang terletak di Jalan Tun Razak.

Saturday, November 19, 2011

Jakarta dijangka banjir Januari

2011/11/20

KERETA dan motosikal terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di sebatang jalan di Jakarta. Ibu negara Indonesia itu dijangka dilanda banjir Januari depan.
KERETA dan motosikal terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di sebatang jalan di Jakarta. Ibu negara Indonesia itu dijangka dilanda banjir Januari depan.
Pihak berkuasa siap sedia ambil langkah tangani bencana alam

JAKARTA: Ibu kota Indonesia dijangka dilanda banjir besar Januari depan yang akan menimbulkan keadaan keadaan sukar ketika ia sudah berdepan masalah kesesakan melampau dan sistem saliran teruk.
Jakarta berdepan banjir besar sekali setiap lima tahun dan kali terakhir bandar raya itu mengalami bencana itu ialah pada tahun 2002 dan 2007. Ia memaksa majlis perbandaran menyediakan sistem kecemasan dan langkah awal mengawal masalah itu.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Agensi Bantuan Bencana (BNBP) topografi Jakarta didapati semakin rendah manakala paras laut semakin tinggi. Ia bergabung dengan jumlah air yang diperoleh ketika musim hujan yang akan mencetuskan banjir yang lebih besar dan berlanjutan lebih lama.

Peningkatan paras laut terkini yang dipantau BNBP sekitar tiga hingga tujuh milimeter setahun. Bagaimanapun, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Suhu (IPPC) menganggarkan ramalan peningkatan paras laut sekitar satu meter menjelang tahun 2050 akan meletakkan Jakarta keseluruhannya di bawah paras laut.

BNBP bekerjasama dengan majlis perbandaran dan beberapa agensi lain mengambil beberapa langkah menangani banjir dengan kira-kira 26,500 kakitangan, mesin mengepam, khemah, peralatan logistik, ubat dan air bersih disediakan bagi menghadapi bencana itu.

Kira-kira 33 trak membekalkan air bersih dengan kapasiti 5,000 liter setiap satu, 60 pam dan 49 tempat perlindungan dengan kapasiti 3,000 orang juga disediakan.
Jumlah kawasan yang kerap dilanda banjir di seluruh Jakarta berkurangan dari setahun ke setahun disebabkan penambahbaikan sistem penyaliran dan operasi terusan banjir. Bencana pada tahun 2002 menenggelamkan 159 tempat meliputi kawasan seluas 16,778 hektar manakala banjir lima tahun kemudian sekadar melanda 78 kawasan. – Agensi



Thursday, November 17, 2011

Laut sebar sisa radioaktif Fukushima

2011/11/18

BEG beras jenis Koshihikari diidapati turut dicemari radioaktif dan diharamkan pihak berkuasa Jepun.
BEG beras jenis Koshihikari diidapati turut dicemari radioaktif dan diharamkan pihak berkuasa Jepun.
TOKYO: Sebahagian besar sisa radioaktif akibat bencana di loji nuklear Fukushima jatuh ke lautan dan merebak ke seluruh planet selepas dibawa air laut, kata penyelidik Jepun di sini semalam.

Selain itu, pihak berkuasa mengharamkan beras dari sebuah kawasan berhampiran loji Fukushima yang membocorkan radiasi sejak musnah dalam gempa bumi dan tsunami, 11 Mac lalu.
Sehingga 80 peratus bahan radiasi caesium yang dibebaskan loji kuasa Fukushima Daiichi jatuh ke Pasifik dan menular ke laut lain di seluruh dunia, kata saintis di Institut Penyelidikan Meteorologi.
“Bakinya jatuh di atas tanah di sekitar Fukushima. Akibatnya lautan lebih tercemar berbanding darat walaupun data terkini menunjukkan pencemaran lautan disebabkan kemalangan itu di bawah paras yang menjejaskan manusia,” kata penyelidik di institut itu, Hiroshi Takahashi.

Penyelidik berkata, bahan radioaktif termasuk caesium-137, tersebar luas apabila memasuki lautan dan setiap partikel diukur tidak sampai satu mikrometer, satu pertujuh daripada saiz sel darah merah manusia.

Menggunakan simulasi komputer, mereka menetapkan bahan radioaktiif pertama tersebar ke timur laut melepasi timur Russia dan Alaska, sebelum masuk ke Lautan Pasifik dan sampai ke pantai barat Amerika sekitar 17 Mac lalu, kata Takahashi.

Bahan itu dipercayai menyempurnakan penyebaran seluruh dunia pada 24 Mac lalu, katanya, sambil menambah hasil kajian akan dibentangkan di pertemuan akademik di Nagoya, tengah Jepun.
Beberapa kajian terdahulu, termasuk satu yang dihasilkan di Perancis bulan lalu, merumuskan kejatuhan itu dicairkan oleh arus lautan dan kecuali bagi spesies berhampiran pantai, ia tidak memberi ancaman. – Reuters