BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, December 16, 2007

Pemanasan global: AS terus timbulkan pelbagai masalah

NUSA DUA 16 Dis. – Perjanjian Bali yang menetapkan 2009 sebagai tarikh akhir untuk memeterai perjanjian baru bagi menangani pemanasan global terus berdepan dengan kesulitan hari ini apabila Amerika Syarikat (AS) menyuarakan “kebimbangan serius” tentang beberapa peruntukan perjanjian itu.

Ketika delegasi ke persidangan mengenai perubahan iklim di sini berlepas pulang selepas rundingan sengit selama dua minggu, White House merungut bahawa perjanjian itu gagal memperoleh komitmen negara membangun utama seperti China dan India untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau dengan banyak.

Delegasi AS yang tersisih di sini telah akur dengan kehendak majoriti semasa hari ke-13 rundingan dan menyatakan mereka akan menerima perjanjian itu.

Namun beberapa jam kemudian, pentadbiran Presiden George W. Bush dilihat mempersoalkan aspek tertentu perjanjian tersebut.

White House menyatakan, sebarang perjanjian baru bagi menggantikan Protokol Kyoto perlu mengakui hak sesebuah negara untuk memajukan ekonomi dan menjamin bekalan tenaga.

White House mengakui perjanjian Bali mengandungi beberapa aspek positif namun “AS menaruh kebimbangan serius berhubung aspek lain apabila rundingan mengenai perjanjian baru dimulakan.”

AS satu-satunya negara perindustrian utama yang menolak Kyoto atas alasan tidak adil kerana tidak mewajibkan negara seperti China untuk memenuhi sasaran mengurangkan pengeluaran gas karbon dioksida.

China yang merupakan pengeluar gas rumah hijau kedua terbesar selepas AS juga tidak tertakluk kepada ketetapan Kyoto.

– AFP

0 comments: