idak mustahil, dalam tempoh dua dekad akan datang Malaysia juga akan mengalami nasib yang sama seperti Eropah.
"MALAYSIA harus belajar daripada apa yang berlaku di Eropah. Penduduk di sana hanya sedar bila kerosakan sudah berlaku dan semuanya sudah musnah. Jangan biar nasi menjadi bubur".
Demikian pandangan Anthony Van der Ent, ahli biologi dan sains alam sekitar dari Belanda.
Menurut beliau, sebahagian besar alam sekitar (di Eropah) telah punah dan tercemar akibat pembangunan secara besar-besaran yang tidak lestari sejak awal 1950-an. Masyarakat Eropah kini bergelut untuk memulihkan keadaan.
"Semua itu bukan sahaja membabitkan tugas yang besar tetapi juga kos yang tinggi. Sebagai contoh, untuk memulihkan hutan yang sudah dibinasakan mengambil masa beribu-ribu tahun".
Menurut Van der Ent, Malaysia dan negara-negara Asia yang lain sedang berhadapan dengan situasi yang sama dialami Eropah pada 1950-an dari segi pertumbuhan ekonomi, kepesatan pembangunan sektor perindustrian dan pertanian.
"Di sebalik apa yang sedang berlaku sekarang, masih terdapat banyak kawasan di Malaysia yang amat berharga untuk dipulihara tetapi pada kadar apa yang sedang berlaku sekarang, saya bimbang tidak ada lagi yang boleh diselamatkan terutamanya di Cameron Highlands," katanya sambil menambah, dalam tempoh 20 tahun akan datang Malaysia akan mengalami apa yang menimpa Eropah 15 tahun lalu.
Van der Ent mula mengenali Cameron Highlands ketika melawat Malaysia tujuh tahun lepas bersama ibu bapanya yang gemar melancong.
Sejak itu tanah tinggi tersebut telah menawan hatinya. Setiap tahun, dia pasti kembali ke sini untuk meskipun hanya untuk lawatan singkat.
Pada 2005, beliau yang ketika itu adalah pelajar di Saxion niversity Deventer, Netherlands bersama seorang pelajar lain, Chantal Termeer menjalankan kajian kualiti air di zon tadahan air bahagian Hulu Bertam.
Sungai Bertam adalah sungai yang paling penting mengalir ke dalam Takungan Air TNB Ringlet.
Projek penyelidikan mengenai kimia dan kualiti air sungai-sungai di kawasan tadahan air Hulu Bertam ditugaskan kepada mereka oleh kumpulan komuniti Cameron Highlands, Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH).
Kajian yang memakan masa lima bulan itu mendapati, pencemaran serius sebatian organik dan kelodak sebagai dua punca utama kemerosotan kualiti air di kawasan tadahan air Hulu Bertam.
|
|
Terdapat lapan sungai di Cameron Highlands. Ini termasuklah Sungai Bertam, Sungai Telom dan Sungai Lemoi. Ketiga-tiga sungai tersebut mempunyai sejumlah 123 cawang sungai. Justeru, ketiga-tiga sungai berkenaan mempunyai peranan besar dalam membekalkan air bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga memenuhi keperluan sektor pertanian di tanah tinggi itu.
Cameron Highlands turut mempunyai kepentingan kerana ia membentuk kawasan tadahan air untuk dua sungai utama di tanah dataran rendah iaitu Sungai Pahang dan Sungai Perak. "Tadahan air adalah kawasan di bahagian hulu satu-satu sistem sungai, lazimnya di tanah tinggi dan sebahagian besarnya terdiri daripada hutan. Tanah tinggi dan terutamanya ekosistem hutan tanah tinggi membentuk kawasan tadahan air yang paling penting di Semenanjung Malaysia.
"Hutan tanah tinggi adalah pengeluar air dan bekalan sumber semula jadi yang terhad dan semakin terhakis ini, baik dari segi kuantiti dan kualiti, amat bergantung kepada kawasan tadahan air berhutan di tanah tinggi," jelas Van der Ent.
Menurut beliau, litupan hutan memainkan peranan besar untuk kawasan tadahan air. Berdasarkan kajian kami, kira-kira 30 peratus daripada tanah di kawasan tadahan air Bertam digunakan untuk pertanian dan pembangunan bandar", kata Van der Ent.
Air sebagai penanda aras
Kualiti air dilihat sebagai penunjuk terbaik menanda aras kualiti alam sekitar kerana kemerosotan mutunya boleh terhasil akibat pembangunan yang tidak lestari.
Bagaimana keadaannya sejak kajian 2005 atau krisis air yang melanda Cameron Highlands pada 1998?
Presiden REACH, Ramakrishnan Ramasamy memberitahu, secara keseluruhan keadaan air di Cameron Highlands tidak menunjukkan perubahan yang diharapkan.
"Pihak kami memandang berat keadaan ini dan banyak usaha kami ditumpukan kepada isu ini dan yang berkaitan. REACH sendiri ditubuhkan kerana isu kualiti dan kuantiti air di Cameron Highlands.
"Meskipun REACH hanya sah didaftar pada 2001, pihak kami sudah mula menyuarakan kebimbangan kami mengenai isu air ini sejak 1998 lagi apabila krisis air yang meruncing melanda Cameron Highlands," katanya.
Menurut Ramakrishnan, sebanyak 80 peratus sumber air yang ada di Cameron Highlands dialihkan ke sektor pertanian.
Beliau turut menganggarkan bahawa 80 peratus ladang di Cameron Highlands dibuka di cerun yang melebihi kecuraman melebihi 25 peratus darjah yang dibenarkan.
"Sejak 2000, Cameron Highlands mengalami kekurangan air sebanyak 4 juta liter sehari untuk penduduknya ketika itu seramai 29,000. Sehingga tahun lepas, penduduk di sini sudah meningkat melebihi 33,000 orang.
"Bagi mengatasi kekurangan tersebut, satu takungan air dirancang di Sungai Terla.
Pada permulaan projek tersebut, terdapat hanya enam buah ladang di atas takungan air yang dirancang. Apabila projek ini dimulakan dan siap, jumlah ladang meningkat kepada lebih 60 buah," katanya.
Pencemaran berterusan
Bagi Ramakrishnan, bilangan ladang yang semakin meningkat hanya menambah masalah kepada bekalan air di Cameron Highlands.
"Memandangkan terdapat banyak ladang di kawasan hulu Takungan Air Sungai Terla, airnya tercemar bukan sahaja akibat buangan pertanian tetapi najis manusia. Kebanyakan ladang menggunakan tenaga pekerja asing dan betul," katanya.
Sesebuah ladang, tambahnya mempunyai kira-kira 10 pekerja dan kebanyakan ladang menggunakan najis ayam sebagai baja.
"Apabila kami menguji air tersebut, kami menemui bakteria E.coli dan apabila air yang tercemar itu dihantar ke makmal untuk ujian lanjut, ia didapati mengandungi najis manusia," katanya.
Ramakrishnan berkata, pihak berkuasa tempatan perlu memikul tanggungjawab di atas situasi yang berlaku kerana kurang penguatkuasaan dan gagal mengawal pembukaan ladang baru di kawasan hulu takungan air tersebut. Menurut beliau, berlaku satu kejadian tanah runtuh akibat pembukaan tanah secara haram yang menyebabkan Sungai Terla berkelodak sekitar 2008 dan membuatkan takungan air terpaksa ditutup. "Apabila ada takungan air, sepatutnya tidak ada sebarang kegiatan manusia termasuk perladangan. Akibat kurangnya penguatkuasaan, petani-petani ini menceroboh kawasan tadahan air dan ini menambah pencemaran sumber air.
"Keseluruhan Cameron Highlands adalah kawasan tadahan air dan sebahagian besar hutan ini berfungsi sebagai span, mengumpul dan menahan air. Anak sungai mengalir dari hutan ini. Sekiranya hutan ini diganggu, bererti sumber air akan turut terjejas," jelasnya.
Menurut Ramakrishnan, REACH menjalankan ujian yang kerap, sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga bulan ke atas air mentah dan air yang sudah dirawat, yang diambil dari semua pekan di Cameron Highlands. "Menakutkan, dalam air yang dirawat, kehadiran bakteria E.coli terlalu banyak," katanya.
Ramakrishnan berkata, pada tahun lepas, REACH menjalin kerjasama dengan sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor bagi menjalankan kajian ke atas kualiti air di Cameron Highlands.
"Mereka melakukan ujian dan terperanjat apabila mendapati betapa tercemarnya air yang diuji," katanya.
Amarah alam
Satu lagi isu yang turut mencetuskan kebimbangan bagi Ramakrishnan ialah amarah alam ke atas Cameron Highlands.
Beliau merujuk kepada banyaknya kejadian tanah runtuh terutamanya pada penghujung tahun lalu akibat hujan lebat. Apa yang paling mencemaskan ialah apabila ia berlaku di cerun yang tidak disentuh kegiatan manusia.
"Pada Disember tahun lepas, selepas berlaku hujan lebat saya dan rakan memandu selama sejam kurang 10 km sekitar Pos Terisu (perkampungan Orang Asli kira-kira 15 km dari Kuala Terla) banyaknya tanah runtuh, kecil dan besar, sampai tak terkira", katanya.
Ramakrishnan turut menyatakan kegiatan menebang hutan yang begitu berleluasa di sekitar Pos Terisu. Katanya, pada kadar yang dibuat sekarang, kegiatan pertanian di sana akan mengatasi Lembah Bertam dalam masa yang singkat.
"Perkampungan Orang Asli itu semakin dikelilingi tanah pertanian", tambahnya.
Kata beliau, kejadian tanah runtuh yang besar pernah berlaku di Habu pada lewat 1990-an apabila seorang petani membina takungan airnya di atas takungan air Jabatan Bekalan Air (JBA).
"Takungan air petani itu pecah dan meranapkan takungan air JBA. Akibatnya berlaku runtuhan tanah besar yang meragut nyawa dua orang," katanya. Ramakrishnan turut menyentuh kejadian banjir yang melanda Kampung Raja. Fenomena itu semakin kerap berlaku di Kampung Raja sejak dua tahun kebelakangan ini. Beliau turut menyentuh mengenai banjir yang melanda padang bola di Tanah Rata.
"Kali terakhir banjir melanda padang bola itu ialah pada 1980-an. Ia berlaku tahun lepas dan salah satu puncanya ialah Sungai Bertam yang semakin teruk berkelodak. Sungai tak dapat lagi menakung kelodak dan ini akibat kegiatan pertanian yang tidak dikawal di Hulu sungai berkenaan", jelasnya.
Ramakrishnan melahirkan rasa khuatir yang amat sangat dengan apa yang sedang berlaku terutamanya di Sungai Bertam yang airnya mengalir ke Empangan Sultan Abu Bakar. Menurut beliau, kemampuan empangan itu adalah untuk menakung air bukan kelodak.
Ramakrishnan memberitahu, beliau telah mengemukakan isu tersebut kepada pihak berkuasa tempatan agar memeriksa kegiatan pertanian di hulu Sungai Bertam. Beliau menganggarkan 600,00 meter padu kelodak dialir masuk ke dalam empangan tersebut setiap tahun.
"Jika kegiatan di hulu tidak dipantau dan sekiranya empangan itu pecah, impak bukan sahaja di sini tetapi boleh sampai ke Lipis dan peluang untuk selamat hampir tiada.
"Saya memang risau dengan apa yang berlaku di Cameron Highlands ini," kata Ramakrishnan, yang menganggotai Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA) sejak 2003. - Bernama (kosmo!)