Sejauh manakah pembangunan dengan pembinaan hutan batu dan pembukaan besar-besaran untuk pertanian merubah wajah Cameron Highlands?
Mereka mendambakan suasana silam. Mendatangi waktu pagi sambil menghirup udara segar yang dingin, dikelilingi panorama kehijauan, mendamaikan.
Namun segalanya kini tinggal dalam lipatan memori. Tanah tinggi itu sudah lama bertukar wajah atas nama pembangunan dengan pembinaan hutan batu dan pembukaan besar-besaran tanah untuk pertanian.
Menjelang musim perayaan atau cuti sekolah, tanah tinggi tersebut pasti sesak dengan ribuan pengunjung dan kenderaan.
"Memang aman masa itu. Orang tak ramai. Kereta pun tak banyak. Dulu anak-anak boleh main tengah jalan.
"Cuaca pula amat sejuk. Bekerja pun pakai jaket. Sejuknya sampai minyak kelapa boleh jadi beku dan keras, boleh bungkus dengan kertas surat khabar," cerita Zainal Abidin Shafie, 77, yang datang ke Cameron Highlands pada 1948, ketika usianya 18 tahun.
Keriangan Zainal Abidin yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Cameron Highlands 2009 apabila berkongsi kenangan manis sewaktu mula-mula tinggal di tanah tinggi bertukar bimbang apabila ditanya keadaan yang dilihatnya pada hari ini.
"Rumah dibina sampai tepi jalan, tepi sungai pun ada, bayangkanlah...Tengok di Tringkap (kira-kira lapan kilometer dari Brinchang) rumah sampai tepi jalan, nak letak kereta pun susah.
"Tengok di Tanah Rata, gerai sana-sini. Tak ada tempat letak kereta. Buat bangunan pun sampai tepi jalan. Bila pelancong datang, nak berhenti kereta pun tak boleh.
"Harap pihak berkuasa fikir dan adakan lebih banyak tempat letak kereta. Berapa ratus ribu kereta bila cuti. Kami penduduk di Cameron Highlands bila musim cuti memang tak keluar rumah, kalau keluar memang sangkut," kata Zainal Abidin sambil menjelaskan, beliau biasanya membuat perancangan membeli barang keperluan sebelum musim cuti bagi mengelakkan kesesakan.
Aktiviti pertanian semakin rakus merubah landskap pusat peranginan tanah tinggi tersohor Malaysia, Cameron Highlands.
Bermula dengan teh yang ditanam di lereng bukit, daerah yang paling kecil di Pahang itu semakin diasak penanaman sayuran secara intensif. Sudah habis tanah rendah digondolkan, kini lereng bukit semakin ditarah dan kawasan hutan pula diredah dan ditebang.
Hawa tanah tinggi yang sebelum ini dingin menyusuk hingga ke tulang, kian menjadi panas. Angin yang bertiup di tengah-tengah cuaca yang kering, membawa bersama cemar bau baja yang begitu kuat menusuk hidung.
Inilah realitinya. Pengunjung ke tanah tinggi itu semakin kempunan udara segar dan nyaman yang sering dikaitkan dengan pusat peranginan pergunungan.
Dengan kawasan seluas kira-kira 71,000 hektar dan penduduk melebihi 30,000, Cameron Highlands kini mempunyai lapan pekan iaitu Blue Valley, Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Brinchang, Tanah Rata, Lembah Bertam dan Ringlet.
Bagi Kolandapayan a/l Sengkali Kaundan, 74, banyak memori indah tinggal di Cameron Highlands.
Dilahirkan di India, Kolandapayan datang ke Cameron Highlands pada 1953 untuk bekerja di ladang teh di Blue Valley.
|
|
|
|
Cukup katanya, menyara diri dengan upah RM2.30 sehari di mana RM1 untuk belanja makan sementara bakinya disimpan.
"Mula-mula datang banyak sejuk dan lama-lama suka. Lagi pun tak boleh pergi tempat lain. Masa itu ada sikit pondok kecil, orang tak ramai, kereta kurang.
"Takut pun ada juga sebab keliling hutan. Komunis pun ada, memang takut pada komunis. Ada yang minta duit," kata Kolandapayan. Beliau melakukan banyak kerja selepas berhenti bekerja di ladang teh.
Bagaimana kehidupan di Cameron Highlands sekarang? "Panas. Orang pun ramai, kereta sudah banyak. Dulu satu bulan dua hari panas, sekarang satu bulan panas. Banyak hutan, bukit kena potong."
Bagi Francis Thangam, 74, keputusan berhijrah ke Cameron Highlands ketika berusia 23 membuka lembaran baru dalam hidupnya setelah mendapat tahu tentang tempat tersebut daripada kawannya yang mempunyai kedai gunting rambut di situ.
"Saya bayar RM1.80 untuk tiket bas ke Cameron Highlands. Naik bas dari Klang ke Tapah. Basnya kecil, boleh muat 16 orang sahaja. Perjalanan memang meletihkan, jalannya berliku-liku.
"Mula-mula datang, banyak sejuk, semua orang pakai jaket, tak boleh tahan," katanya.
Berkat kesabaran dan ketekunannya, meskipun terpaksa berjauhan daripada keluarga dan melakukan pelbagai kerja, Francis akhirnya mendapat kerja yang lebih baik. Pada 1963, beliau mula bekerja sebagai pengurus di Ladang Teh Bharat sehingga bersara pada Disember 2004.
Zulkifli Mohd Ariffin, 67, pula datang ke Cameron Highlands pada 1981 selepas dinaikkan pangkat sebagai ketua kerani Pejabat Tanah dan terus menetap di tanah tinggi ini.
Bagi beliau, yang paling dirinduinya ialah kabus Cameron Highlands.
"Masa muda dulu saya banyak bersukan. Kadang-kadang tengah bermain terpaksa berhenti dulu sebab kabus tebal lalu. Tak semestinya hujan, kalau hujan, lagi tebal kabus. Kalau bercakap, keluar wap dari mulut, begitu sejuknya.
"Sekarang nak dapat kabus sebulan sekali pun susah. Itu pun lepas hujan. Tengok sahaja pelancong yang datang ke Cameron Highlands, tak macam dulu pakai tebal-tebal. Ada yang pakai kemeja-T dan seluar pendek sahaja!
"Masa dulu-dulu, mesti pakai jaket dan tidur malam pun kena pakai baju dua tiga lapis dan sarung kaki," kata Zulkifli.
Beliau turut mengeluh apabila bercakap tentang apa yang berlaku di Cameron Highlands.
"Bukan sahaja cuaca tetapi juga pembangunan yang tak menentu. Tepi jalan banyak gerai, tempat letak kereta tak ada, keadaan semakin meruncing.
"Sampai bila struktur muka bumi Cameron Highlands dapat bertahan. Yang dihakis, ditebang dan digondolkan. Apa yang akan diwarisi generasi masa depan Cameron Highlands?" tegasnya.
Terkenang zaman muda
Bagi masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Boh di Ringlet, meskipun perkampungan mereka terletak nun jauh di dalam hutan, ia masih terkena tempias pembangunan pesat dan hiruk-pikuk kehidupan moden Cameron Highlands.
Keruh air Sungai Mensoon yang mengalir di kampung itu bukti pencemaran yang berpunca daripada banyaknya kegiatan pertanian di kawasan hulu sungai berkenaan.
Bahdin Pulai, 67, terkenang zaman mudanya memancing dan berenang di sungai berhampiran kawasan penempatan Orang Asli itu.
"Kebun sayur belum ada, air sungai jernih dan boleh diminum, ikan pun banyak, tak ada racun. Binatang dalam hutan banyak, ada kijang dan rusa.
"Sekarang banyak kebun sayur, ramai pekerja asing. Air sungai tak bersih, ikan pun pupus. Anak-anak tak berpeluang menangkap ikan atau berburu. Buat sumpit pun tak tahu," keluh Bahdin yang terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan kerana penyakit gout.
Katanya, air sungai mula tercemar penghujung 1970-an dengan pembukaan banyak kebun sayur di Ringlet.
Rasa kecewa dan hampa Bahdin turut dikongsi Tok Batin Kampung Kuala Boh, Nordin Abu Bakar, 45.
"Sudah empat tahun tak merasa ikan yang dipancing sendiri. Dulu dalam Sungai Mensoon ni boleh tangkap ikan kelah, besar-besar paha, ikan tengas. Semua dah tak ada. Sungai dah kotor, tercemar," katanya.
Terdapat 92 keluarga di Kampung Kuala Boh dan semuanya beragama Islam. Orang tua di kampung itu masih bekerja mencari rotan, menanam pisang dan ubi kayu serta mengerjakan padi bukit. Anak-anak muda pula ada yang keluar merantau, bekerja di bandar besar.
Dilahir dan dibesarkan di Kampung Kuala Boh yang meliputi kawasan seluas 100 hektar, Nordin menyandang jawatan Tok Batin pada 1992 mengambil alih jawatan daripada bapanya yang meninggal dunia pada 1991.
Di sebalik lokasi kampung yang dikelilingi hutan tebal, Nordin berkata cuaca sekitar amat berbeza ketika zaman kecilnya.
"Masa kecil, kami tak boleh pakai baju tak berlengan macam yang saya pakai sekarang. Kena pakai pakaian tebal, tak kira pagi atau tengah hari. Sekarang pagi boleh minum ais, oren ke. Itu yang beza. Sampai tahun 70-an, masih lagi sejuk.
"Banyak tanah dibuka untuk ladang sayur. Saya harap mereka tak menceroboh sampai ke kampung ini. Kami tak mahu pencemaran," kata Nordin yang pernah berkhidmat sebagai askar komando selama 12 tahun sebelum kembali ke kampung halamannya, Kampung Kuala Boh.
Bagi Zainal Abidin, Kolandapayan, Francis Thangam, Zulkifli, Bahdin dan Nordin, Cameron Highlands terlalu berharga dan istimewa.
Mereka sudah menghirup udara segar dan dingin Cameron Highlands serta menikmati keindahan dan kedamaian hidup di tanah tinggi.
Apa yang mereka dambakan sekarang agar legasi tanah tinggi ini, dengan segala keistimewaannya dapat diwarisi tanpa sebarang onar dan cemar kepada anak cucu mereka serta generasi akan datang. - Bernama
0 comments:
Post a Comment