BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 6, 2009

Pencemaran jejaskan kehidupan

n


KEMPEN Save Our Waterfalls semakin mendapat sambutan daripada golongan belia.


RAMAI yang memilih air terjun sebagai destinasi merehatkan minda dan menenangkan fikiran. Namun masih ramai yang enggan mengubah sikap untuk menitikberatkan penjagaannya.

Pakar Geologi Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan memberitahu, sikap segelintir masyarakat yang mencemari kawasan air terjun dengan timbunan sampah sarap akan mendatangkan impak yang bukan sedikit.

Ini kerana apabila air terjun tercemar, ia akan menjejaskan banyak perkara yang melibatkan keperluan utama manusia.

"Air terjun merupakan sebahagian daripada sumber air bersih. Jika ia disalahguna, banyak perkara yang tidak diingini akan berlaku. Antaranya menjejaskan sektor pertanian dan perikanan.

"Selain itu, suatu hari nanti kita akan kekurangan lokasi rekreasi. Bukan itu sahaja, tarikan pelancong akan berkurangan dan ini bermakna ia akan merencatkan ekonomi negara," jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.

Malah katanya, air terjun yang turut dijadikan kawasan rekreasi bagi sesetengah masyarakat termasuk aktiviti bersukan akan lumpuh.


MOHAMAD ALI


Lebih menyedihkan lagi, kawasan yang dipenuhi dengan kehijauan dan sunyi daripada hiruk-pikuk kota tidak mampu lagi menjadi peneman bagi golongan yang ingin mendapatkan ilham.

"Kesemua faedah yang kita peroleh melalui air terjun akan terjejas sekiranya masih ramai antara kita bersikap endah tidak endah untuk menjaganya sebaik mungkin.

"Jangan hanya tunggu ada kempen sahaja atau berlaku perkara yang sudah serius, barulah kita kelam-kabut untuk mencari penyelesaian," katanya.

Selain itu katanya, ia juga berkait rapat dengan faktor untuk mengejar keuntungan dari segi pembinaan di lereng-lereng bukit, pembalakan dan kuari yang turut menjejaskan lokasi tadahan air iaitu air terjun.

Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohd. Azmi Abd. Hamid pula berkata, sekiranya sesebuah kawasan air terjun itu hanya mampu menampung bilangan orang ramai sekitar 1,000 orang, maka jumlah kemasukan pengunjung ke situ perlu dikawal.

"Kemasukan pengunjung sewenang-wenangnya seperti sekarang perlu dikawal.


LONGGOKAN sampah yang dikumpul dalam kempen ini.


"Ini merupakan antara cara terbaik sekiranya kita ingin mengekalkan alam semula jadi di negara kita. Kapisiti sesebuah air terjun perlu dipatuhi, jangan pula air terjun yang tidak terlalu luas diberi kelonggaran kemasukan pengunjung yang berlebihan," katanya.

Tegasnya lagi, jika negara tidak mengambil serius berhubung kualiti air terjun, kemungkinan dalam tempoh dua dekad akan datang, generasi baru tidak dapat menikmati apa yang kita miliki sekarang.

"Untuk memulihkan sesuatu yang rosak, ia mengambil masa yang sangat lama. Misalnya, pokok yang sudah berusia bukannya mudah untuk diganti balik. Ia mengambil tempoh bertahun-tahun," ujarnya lagi.

0 comments: