BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 6, 2009

Pulihara lebih 50 air terjun

Wei Lea sanggup melepaskan kerjayanya sebagai seorang pengurus perhubungan di salah sebuah bank semata-mata mahu menunaikan tanggunjawab sosialnya kepada alam sekitar.




"Masa kecil dulu saya suka buang sampah rata-rata, sebab terikut-ikut orang keliling. Saya sedikit pun tidak fikir kesan buruknya pada alam sekitar atau manusia". Demikian pengakuan jujur, pengasas merangkap presiden Waterfall Survivors, Joe Yap Wei Lea, 30, menyingkap penglibatan awalnya dalam aktiviti alam sekitar beberapa tahun lalu.

Menurut Wei Lea, kepayahan pengutip sampah yang tekun membersihkan longkang yang kotor dan dipenuhi sampah sarap demi menjaga alam sekitar memberi kesan yang bukan sedikit kepadanya.

"Memang saya sedih tengok pengutip sampah yang bertungkus-lumus membersihkan sampah, sedangkan kita sendiri boleh melakukannya.

"Tambahan pula sampah yang dibuang itu bukannya kering tetapi basah. Namun, mereka tetap melakukan kerja tersebut," cerita ibu kepada seorang anak itu.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu menjelaskan komitmennya pada alam sekitar bermula selepas kunjungannya ke Hutan Lipur Kanching, Rawang, Selangor pada Jun tahun lalu.

Keindahan hutan lipur itu benar-benar memikat hatinya. Namun, ada sesuatu yang membuatkan Wei Lea berasa kecewa. Kawasan air terjun yang menghijau dan tenang itu dicemari dengan sampah sarap.

"Semakin tinggi kawasan air terjun itu, semakin teruk keadaan persekitarannya. Sayang sekali air terjun yang cantik seperti ini tidak dijaga," ujarnya ketika ditemui pada kempen Save Our WaterfallS di Air Terjun Kanching, Rawang, Selangor baru-baru ini.




Cara penyelesaian

Jauh di sudut hati Wei Lea, sesuatu harus dilakukan untuk mengekalkan keindahan kawasan air terjun tersebut. Kecintaan Wei Lea kepada air terjun menyebabkan dia menjadikan destinasi rekreasi itu untuk bersantai bersama teman-temannya pada hujung minggu.

Meskipun bukan semua rakan-rakannya berminat untuk menghabiskan cuti hujung minggu di kawasan air terjun, semangat Wei Lea tidak pernah patah. Sebaliknya, wanita itu mendapat ilham lain. Wei Lea mahu berkongsi minatnya itu dengan mencari rakan-rakan baru menerusi laman sosial Facebook.

"Saya buka akaun Facebook Waterfall Survivors pada 12 Julai 2008 semata-mata untuk mencari kenalan yang boleh berkongsi pengalaman dan hobi yang sama dengan saya.

"Bimbang juga jika tidak mendapat sambutan. Tetapi selepas setahun akaun itu aktif, ia berjaya menarik ramai peminat. Sehingga kini, ahli Waterfall Survivors mencecah lebih 3,300 orang," kata Wei Lea yang berpuas hati dengan usahanya itu.

Oleh kerana tidak mempunyai pengetahuan atau pengalaman mendalam mengenai air terjun, Wei Lea sering melayari Internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan.

Dia memilih laman web Waterfalls of Malaysia yang diterajui oleh Jan Stuivenberg. "Bagi mendapatkan maklumat atau cara-cara untuk mengendalikan ekspedisi, saya sering berkomunikasi dengan Stuivenberg.

"Dia merupakan mentor saya kerana Waterfall Survivors telah berjaya meneroka lebih 50 air terjun di negara ini," katanya yang turut memuatkan jadual aktiviti yang bakal diadakan di lokasi air terjun itu sendiri.


WEI LEA menumpukan sepenuh masa untuk aktiviti Waterfall Survivors.


Sepenuh masa

Bekas pengurus perhubungan di salah sebuah bank itu sanggup melepaskan kerjayanya semata-mata mahu berkecimpung secara serius dalam aktiviti Waterfall Survivors.

Meskipun pilihannya itu mendapat tentangan daripada ibu bapa, namun Wei Lea nekad. Bagi merealisasikan tanggungjawab sosialnya pada alam sekitar, beliau berusaha mendapatkan bantuan dana daripada beberapa syarikat korporat.

"Melalui cara ini, sekurang-kurangya sekali dalam sebulan, Waterfall Survivors dapat menganjurkan aktiviti-aktiviti alam sekitar," katanya.

0 comments: