BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, July 24, 2010

Pemuliharaan batu karang

Pemuliharaan batu karang
Oleh FIRDAUS SAHAT


2010/07/18 DARI permukaan, air laut yang kebiruan kelihatan sungguh jernih sehingga kelihatan dasarnya. Warna-warni terumbu karang serta pelbagai spesies ikan membuatkan penulis tidak sabar-sabar untuk turut berenang bersama hidupan itu.


Sebanyak 200 tukun tiruan ditanam di kawasan pantai Pulau Perhentian bagi pembiakan. sebelum - selepas
KEKAL...banyak tikun tiruan ditanam di pantai Pulau Perhentian. ROSAK...terumbu karang berwarna putih. CANTIK...hidupan laut berkumpul di terumbu karang. KHAZANAH...inisiatif membina tukun tiruan berhasil.
KEKAL...banyak tikun tiruan ditanam di pantai Pulau Perhentian.Meskipun berkesempatan menyelam sedalam lima meter menerusi program ‘Discovery Scuba Dive’ (DSD), ia sudah cukup buat penulis menikmati keindahan alam dalam laut.


Bagaimanapun, dalam keseronokan menyelam, mata penulis terpana terhadap terumbu karang yang berwarna putih. Tidak kurang juga yang jatuh menyembah bumi dan mulai reput.


Timbul persoalan di hati penulis, apakah itu tanda terumbu karang yang menjadi khazanah laut kita mati? Daripada pemahaman penulis, terumbu karang mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk hidup semula. Jadi, pasti sukar untuknya kembali hidup mewarnai dasar laut.


Bersama Panasonic, beberapa saintis dan sukarelawan turut hadir membantu program pemulihan terumbu karang di Pulau Perhentian. Dalam kekeliruan itu, penulis sempat menemubual Timbalan Pengarah Institut Sains Bumi dan Laut, Universiti Malaya, Dr Azhar Hussin.


Katanya, fenomena keputihan terumbu karang perkara biasa dan ia terjadi selang beberapa tahun akibat kadar suhu air meningkat.


“Kebanyakan terumbu karang bertukar warna kepada warna putih kerana ia berada di bawah tekanan. Tekanan ini pula datang daripada pelbagai faktor, terutama keadaan suhu air yang meningkat akibat pemanasan dunia.


“Kebanyakan terumbu karang tidak boleh hidup dalam suhu air yang terlalu sejuk atau panas. Buat masa ini suhu air di sini (Pulau Perhentian) meningkat kepada 31 hingga 32 darjah Celsius manakala suhu yang sesuai untuk tumbuhan ini hidup ialah 27 hingga 29 darjah Celsius.


“Terumbu karang mendapat makanan daripada alga yang berada di dalamnya. Bila suhu air meningkat, alga ini akan meninggalkan terumbu karang itu dan berpindah ke tempat yang lebih sejuk. Proses ini dipanggil simbiosis.


“Bagaimanapun, selepas alga meninggalkan terumbu karang, warna terumbu karang itu akan berubah atau luntur menjadi putih. Jika suhu air meningkat, ia akan mati kerana tiada makanan. Masalah ini digelar ‘coral bleaching’,” katanya.


Begitupun, bila suhu air kembali menurun, terumbu karang yang berwarna putih itu akan berada dalam proses pemulihan.


“Jika keadaan suhu air berubah, terumbu karang akan mengambil masa beberapa bulan untuk pulih seperti sedia kala. Ini lebih baik daripada membiarkan ia mati dan menunggu untuk terumbu karang lain tumbuh kerana ia mengambil masa lama,” tambahnya.


Bukan mudah untuk melihat terumbu karang tumbuh melata. Rata-ratanya, ia memerlukan satu benda keras dan kukuh untuk membiak.


Namun, jika anda pernah menyelam atau snokeling berhampiran pantai Pualu Perhentian, anda akan dapat melihat ribuan terumbu karang membiak di kawasan itu.


Hakikatnya, tidak mudah untuk menyaksikan terumbu karang hidup di kawasan berkenaan yang mempunyai ombak kuat.


Disebabkan inisiatif pihak Panasonic yang menanam lebih 200 tukun tiruan di kawasan pantai berkenaan, keindahan alam di dasar laut itu dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.


Menurut Pengurus Besar Penjenamaan dan Komunikasi Korporat Panasonic, Azizah Wahid, pembinaan tukun tiruan itu sebagai satu langkah oleh pihaknya untuk memulihara ekosistem marin.


Katanya, terumbu karang dan hidupan laut pelbagai spesies adalah khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Jadi, pelbagai kemusnahan terhadap hidupan laut yang tidak dibendung menyuntik perasaan ingin membantu daripada syarikatnya.


“Kami mula serius terhadap penjagaan khazanah laut sejak 2005. Pelbagai kerosakan berlaku terhadap hidupan ini. Saya tidak nafikan ia sukar dibendung tetapi sebagai anggota masyarakat, saya mahu turut sama membantu menjaga dan memulihara ekosistem itu.


“Pada mulanya kami hanya menanam 10 tukun tiruan sebagai percubaan. Selepas melihat perkembangan tukun itu, kami menambah bilangan tukun tiruan yang dibuat dalam pelbagai bentuk menerusi bahan Polyvinyl Chloride atau pvc.


“Sejak kami menurunkan tukun tiruan ini, terumbu karang mula membiak. Dalam pemantauan kami, terumbu karang ini membesar sebanyak tiga sentimeter (cm) setahun. Sehingga kini ia membesar dan membentuk satu kumpulan terumbu karang pelbagai warna.


“Tambah menarik, kehadiran terumbu karang ini turut menarik perhatian pelbagai spesies hidupan laut lain yang menjadikan kawasan itu sebagai rumah atau makanannya,” katanya.


Melihat inisiatif Panasonic serta pihak lain yang terbabit, penghargaan perlu diberi kepada mereka yang bijak memilih aktiviti marin sebagai tumpuan bagi merealisasikan tanggungjawab sosial korporat.


Sebaik melihat terumbu karang mula membiak di sekeliling tukun tiruan yang ditanam, proses pemuliharaan itu sudah menjadi agenda tahunan mereka.

0 comments: