BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, January 6, 2011

Angkara salji

New York lumpuh akibat ribut salji




KEMERIAHAN sambutan Hari Natal pada penghujung tahun lalu di New York agak suram ekoran ribut salji yang melanda kota metropolitan itu.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, ribut salji yang melanda New York disifatkan sebagai yang terburuk pada abad ini.

Ekoran ribut salji itu, New York yang mencatatkan sebagai salah sebuah bandar yang paling ramai penduduk di dunia itu lumpuh sehingga tahun 2010 melabuhkan tirainya.

Jika sebelum ini New York dihiasi dengan pencakar langit yang gah, keindahan tersebut bagaimanapun lenyap ditelan salji. Apa yang kelihatan, hanyalah lautan kawasan berwarna putih. Lebih memburukkan keadaan, sistem pengangkutan seperti jalan-jalan raya dan landasan kereta api akibat dilitupi salji tebal dan membeku.

Bencana alam itu mengundang seribu satu masalah baik kepada pelancong mahupun kepada penduduk New York sendiri.

Ribut salji yang berpanjangan sejak Krismas lalu menyebabkan pengangkutan udara di pantai timur Amerika Syarikat (AS) terjejas kerana beratus-ratus penerbangan terpaksa dibatalkan.

Ruang legar di lapangan terbang juga dipenuhi dengan ribuan penumpang yang terkandas. Pelbagai ragam dapat dilihat, ada yang sibuk dengan telefon bimbit, komputer riba, tidak kurang pula yang mencuba untuk membuat tempahan penerbangan lain dan tempahan hotel sebagai alternatif.

Ribut salji itu merupakan antara yang terburuk pernah berlaku dalam tempoh beberapa tahun ini hingga melumpuhkan kawasan pinggir laut di bahagian timur di Carolina utara dan selatan sehingga ke wilayah maritim Kanada.


SEORANG pekerja membersihkan timbunan salji di atas jalan raya.


Penduduk New York juga tidak menjangkakan ribut salji itu menyebabkan timbunan salji setebal 80 sentimeter (sm), sekali gus menyebabkan ramai penumpang yang menaiki pesawat terkandas. Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan sebelum itu meramalkan kemungkinan salji setebal 7.5 hingga 12.5 sm sahaja bagaimanapun ketebalan itu meningkat saban hari.

Keadaan itu menyebabkan jalan-jalan di New York dipenuhi dengan salji tebal. Beratus-ratus bas dan berpuluh-puluh ambulans terperangkap di bawah timbunan salji.

Perkhidmatan kereta api bawah tanah dan tren komuter menjadi lembap kerana masalah isyarat dan litar pintas yang berlaku akibat salji.

Terjejas teruk

Akibatnya, pengangkutan udara dan darat di timur laut AS lumpuh pada 27 Disember lalu. Ribut yang bermula pada malam 26 Disember itu berterusan selama dua hari.

Ribut salji itu menyebabkan jalan raya menjadi licin dan menjejaskan perjalanan kereta api. Dalam pada itu, aktiviti di beberapa buah kawasan teruk terjejas terutamanya di bandar raya New York, di bahagian timur New Jersey dan barat Long Island.

"Ribut kali ini amat luar biasa berbanding sebelum ini.


BASIKAL dan kereta antara pengangkutan yang ditenggelami timbunan salji.


"Keadaan ini menyebabkan situasi menjadi buruk dan kami bekerja keras untuk memulihkan keadaan," kata Datuk Bandar New York, Michele Bloomberg.

Tambahnya, kelajuan angin sehingga 89 kilometer (km) sejam memburukkan lagi keadaan kerana jalan raya dan tanah menjadi licin.

"Sebanyak 1,000 kenderaan telah dialihkan dari lebuh raya di tiga buah kawasan utama di New York. Kerja-kerja pembersihan lebuh raya, laluan bas dan jalan raya sepanjang 9,656 km dibersihkan oleh lebih 2,400 pekerja pembersihan.

"Jentolak salji tidak boleh digunakan sehingga kita dapat mengalihkan semua ambulans, jentera bomba dan kereta yang terkandas di bawah timbunan salji tebal," ujarnya dalam satu temu ramah dengan agensi berita.

Datuk Bandar Newark, New Jersey, Cory Booker secara peribadi membantu sebahagian penduduk menggali timbunan salji untuk mencari kenderaan masing-masing dan menggunakan Twitter bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan.

"Saya masih menerima banyak tweets yang mahukan bantuan. Nampaknya saya perlu membantu mereka juga," katanya.

Dalam pada itu, salji yang makin menebal menyebabkan Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty ditutup. Lantaran itu sebanyak 1,400 penerbangan dibatalkan.

"Penghantaran kapal terbang oleh syarikat penerbangan ke Lapangan Terbang John F. Kennedy tanpa pintu atur siap menyebabkan sistem sokongan alternatif terpaksa dilakukan," kata jurucakap pihak berkuasa Lapangan Terbang New York, Steve Coleman.


SALJI tidak menghalang orang ramai membeli-belah di Union Square, New York.


Gigi Godfrey dari Belize, Amerika Tengah terperangkap selama 10 jam di dalam kapal terbang Cathay Pacific sehinggalah para penumpangnya dibenarkan turun dari kapal terbang tersebut.

"Ia sangat mengecewakan. Kami terpaksa duduk di dalam kapal terbang berjam-jam lamanya sambil menerima lebih banyak berita buruk.

"Saya sangat letih dan tidak ingat hari apakah semalam," katanya yang baru pulang dari Thailand meraikan Hari Natal.

Ribut salji mula reda selepas dua hari mengganas. Kelihatan banyak kenderaan terperangkap di jalan raya dan pengangkutan awam terjejas dek salji yang tebal.

Mula beroperasi

Lebih malang, ribut salji kemudiannya beralih ke Kanada dengan angin kuat dan salji tebal yang menyebabkan masalah yang sama seperti di New York.

Amaran ribut di pantai timur AS ditarik balik oleh Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan kerana ribut yang membawa salji tebal dan angin kencang menghala ke Kanada hingga pantai Atlantik.

Angin kencang yang melanda Carolina utara hingga Maine berkelajuan 150 km sejam menyebabkan lebih 5,000 penerbangan dibatalkan.

Pada masa yang sama, beratus-ratus bandar, pekan dan lebuh raya lumpuh.

Beratus-ratus pemandu kenderaan yang terkandas akibat salji tebal dan penumpang kereta api bawah tanah di New York berjaya diselamatkan oleh krew penyelamat selepas terpaksa bermalam di dalam pengangkutan awam yang gagal beroperasi akibat cuaca sejuk.

Ribut turut membawa salji setebal 80 (sm) di beberapa bahagian New Jersey dan menyebabkan ketebalan salji meningkat 50 sm di Central Park, New York.

Bagaimanapun, urusan perniagaan, operasi dewan bandar raya dan aktiviti seharian di New York kembali normal beberapa hari lalu. Serentak dengan itu, tiga lapangan terbang terbesar beroperasi seperti biasa.


LAPANGAN terbang juga lumpuh ekoran ribut salji yang melanda New York.


Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata, Lapangan Terbang La Guardia dibuka lewat petang 28 Disember diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark di New Jersey.

Syarikat-syarikat penerbangan menyambung semula operasi dengan jumlah penerbangan yang terhad. Sungguhpun begitu, kelewatan dijangka berlaku rentetan beribu-ribu penerbangan telah dibatalkan sejak ribut mula melanda pada 26 dan 28 Disember lalu.

Jentolak bagi membersihkan salji sukar digunakan kerana ketebalan salji mencecah hingga ke paras lutut di jalan-jalan raya di Manhattan.

Kelumpuhan dijangka berlaku untuk beberapa hari lagi sebelum kota New York dan pengangkutan utama beroperasi seperti biasa selepas melalui episod buruk amukan salji.

0 comments: