BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, October 11, 2011

Didik masyarakat kepentingan paya bakau


KAWASAN penanaman pokok bakau sebenarnya meliputi kawasan sehingga beratus-ratus meter ke tengah laut dari pantai.


TIDAK terasa letih kerana berseronok! Pastinya pengalaman tersebut dialami oleh seramai 60 orang kakitangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang sanggup meredah lumpur dan selut di kawasan lapang paya bakau Pulau Che Mat Zain, Klang tanpa menghiraukan kesan kotor pada pakaian dan tangan mereka.

Memakai pakaian warna seragam iaitu merah, mereka ialah individu yang sanggup menyumbangkan tenaga untuk terlibat secara sukarela dalam program penanaman 600 batang pokok bakau di situ.

Perjalanan mereka bermula seawal pukul 8 pagi dari jeti Pulau Ketam sebelum sampai ke destinasi. Meskipun dilambung ombak selama lebih sejam, mereka sedikitpun tidak terasa resah lantaran semangat sukarelawan yang menebal.

Disertai semangat memelihara alam sekitar yang berkobar-kobar, mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk ditugaskan di zon penanaman masing-masing.

Masa hadapan

Pada hari tersebut, salah seorang peserta yang terlibat, pengurus BIMB cawangan Banting, Yusof Basran, 42, telah berjaya menanam sebanyak 20 batang pokok. Jumlah yang sama turut ditanam oleh ahli kumpulannya yang lain.


Seramai 60 orang petugas BIMB pelbagai peringkat pengurusan berganding bahu menjalankan aktiviti sukarela menanam anak pokok bakau.


Walaupun mengetahui tumbesaran pokok bakau sangat perlahan dan tidak mungkin akan menampakkan hasil dalam tempoh terdekat tetapi Yusof tetap optimis.

“Pokok bakau mungkin akan membesar dalam tempoh lebih 10 tahun lagi. Namun, saya percaya ia adalah untuk kebaikan pada masa hadapan,” kata lelaki yang berasal dari Sabak Bernam itu.

Ternyata, sesi taklimat yang diberikan mengenai kepentingan pokok bakau kepada alam sekitar menyedarkan kakitangan BIMB yang terlibat mengenai makna di sebalik usaha mereka itu.

“Pokok bakau mampu menjadi penghadang atau benteng kepada ombak besar dan tsunami. Kerja-kerja sukarela ini bukan sahaja bertujuan memelihara alam sekitar malah ia mampu menyelamatkan generasi akan datang daripada bencana alam,” ulas Yusof lagi.

Selain terlibat dalam kerja sukarela di tempat dia mencari rezeki, Yusof turut aktif menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tempat tinggalnya, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang.

Mendidik sukarela

Sementara itu, Pengarah Urusan BIMB, Datuk Seri Zukri Samat berkata, aktiviti sukarela tersebut adalah untuk mendidik para pekerja mengenali flora dan fauna di hutan bakau.

“Kepentingan hutan paya bakau dalam menghalang hakisan tanah di kawasan pantai dapat diserapkan dalam kalangan kakitangan BIMB selain memberi peluang mereka merasai sendiri cara menanam pokok bakau,” ujarnya sempena acara istimewa tersebut.

Aktiviti penanaman pokok bakau juga adalah sebagai antara cara untuk memulihara ekosistem paya bakau.

Program itu tidak akan berjaya tanpa mendapat kerjasama sepenuhnya dua badan iaitu Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dan Jabatan Perhutanan Selangor.

Bercakap bagi pihak YAWA, pengurus operasinya, Norashikin Shaharudin, memeberitahu, tugas mereka adalah menjadi orang tengah antara BIMB dan Jabatan Perhutanan.

“Kami membantu Bank Islam mendapatkan benih pokok bakau. Pokok bakau yang digunakan ketika acara tersebut adalah daripada jenis api-api.

“Ketika hari penanaman pula, pihak kami memberi tunjuk ajar kepada sukarelawan Bank Islam cara-cara menanam pokok bakau,” ujar Norashikin ringkas.

Sasar enam juta pokok


UNTUK ke Pulau Che Mat Zain, perjalanan bot selama sejam perlu ditempuhi.


Program seperti itu amat dialu-alukan oleh pihak jabatan perhutanan. Tambahan pula, ia selari dengan matlamat negara untuk menanam 26 juta batang pokok di seluruh Malaysia menjelang tahun 2014.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Perhutanan Negeri (Penguat Kuasa Hutan), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Mohd. Yussainy Mohd. Yusop, pihaknya menyasarkan untuk menanam sebanyak lima hingga enam juta batang pokok di negeri itu.

Pulau yang menjadi lokasi program penanaman pokok bakau oleh BIMB pula dipilih kerana kedudukannya yang jauh daripada tanah daratan dan terpisah oleh lautan.

“Menarik tentang program di Pulau Che Mat Zain itu, mereka sebenarnya menanam anak pokok di tengah laut. Jadi mereka perlu cepat menanam kesemua anak pokok sebelum air laut kembali pasang,” terang Yussainy lagi.

Tambahnya, pulau tersebut tidak berpenghuni dan merupakan salah satu daripada 69 hutan simpan di Selangor manakala 13 daripadanya terletak di pulau-pulau perairan negeri perindustrian tersebut.

Pihak Jabatan Perhutanan Selangor amat menggalakkan individu-individu atau kumpulan yang berminat mengadakan aktiviti-aktiviti seperti itu.

Ia juga sebagai salah satu cara kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman menanam pokok bakau. Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyumbang ke arah usaha tersebut boleh menghubungi talian 03-5544 7507.


1 comments:

Kolek Kecil said...

Berkongsi: Larut Matang di Perak adalah hutan paya dengan pengurusan terbaik di Asia.