BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, October 11, 2011

Timberland pulihara paya gambut


BAGI peserta program, aktiviti yang dianjurkan oleh Timberland turut memberi mereka peluang mengenal dan mempelajari ekosistem flora dan fauna.


KELIHATAN air perang kehitam-hitaman mengenangi hampir segenap kawasan Hutan Paya Gambut Hutan Simpan Raja Musa yang terletak di Batang Berjuntai, Kuala Selangor, Selangor.

Air perang kehitam-hitaman yang dihasilkan bahan organik tersebut cukup kaya dengan nutrien terhasil daripada tumbuhan dan haiwan reput dalam membantu ekosistem kehidupan flora serta fauna.

Bagaimanapun, keadaan boleh menjadi buruk sekiranya air menjadi kering terutamanya apabila musim kemarau menjengah kawasan berkenaan sehingga menyebabkan kebakaran.

Menyedari kepentingan pemuliharaan hutan paya gambut itu, jenama Timberland yang cukup sinonim dengan aktiviti lasak telah menjalin kerjasama bersama Pusat Alam Sekitar Global (GEC) baru-baru ini melalui program Serv-A-Palooza.

Program Serv-A-Palooza merupakan salah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Timberland dalam memulihara alam semula jadi berjaya mengumpul kira-kira 60 peserta terdiri daripada pekerja Timberland dan GEC.


TAHUN ini merupakan tahun kedua Timberland membuat kerja amal di Hutan Paya Gambut Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor.


Tanpa menghiraukan keadaan paya gambut yang digenangi air, para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk membina benteng takungan air dan menanam pokok dalam program berkenaan.

Walaupun, riak wajah para peserta kelihatan agak penat meredah air sambil memakai kasut getah paras betis, mereka tetap bersemangat dalam memastikan sekelumit usaha yang dicurahkan dapat membantu memulihara alam semula jadi.

Ketua Program Global Steward Timberland Malaysia, Michael Fong berkata, bersesuaian dengan jenama aktiviti lasak, Timberland sangat prihatin terhadap pemuliharaan alam semula jadi.

“Sudah 19 tahun Timberland melakukan usaha CSR dalam memulihara alam semula jadi secara global. Program Serv-A-Palooza ini merupakan salah satu usaha memulihara alam semula jadi Timberland Malaysia.

“Ini bukan pertama kali, kita memilih Hutan Paya Gambut Hutan Simpan Raja Musa sebagai lokasi melakukan aktiviti CSR kerana telah melakukannya pada bulan April lalu. Kita berharap dengan usaha yang tidak seberapa ini dapat membantu mengekalkan alam semula jadi untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Michael Fong yang turut turun padang membuat benteng secara tradisional menggunakan kayu bakau, tayar dan guni pasir memberitahu, Timberland mempunyai skim membenarkan pekerja-pekerjanya melakukan aktiviti CSR selama 40 jam tanpa perlu mengambil cuti tahunan.

Katanya, ia sekali gus dapat membenarkan pekerja-pekerja menabur bakti dalam memberi keringat membantu orang ramai dan alam semula jadi.

Dalam pada itu, Pegawai Kanan Program GEC, Nagarayan Rengasamy menjelaskan, tujuan utama membina benteng berkenaan adalah untuk memastikan air sentiasa bertakung di paya gambut berkenaan.

“Ia amat penting apatah lagi apabila musim kemarau kerana paya gambut boleh terbakar dengan mudah.


KIRA-KIRA 60 orang sukarelawan yang terdiri daripada pekerja Timberland dan kakitangan GEC menyertai program Serv-A-Palooza baru-baru ini.


“Sukar untuk memadam kebakaran yang berlaku di paya gambut disebabkan ia berlaku di bawah tanah, jadi adalah lebih baik mengambil langkah berjaga-jaga sebelum terjadi,” katanya lagi.

Selain daripada membina benteng untuk menakung air, Nagarayan menambah, sebanyak 100 batang pokok tenggek burung juga ditanam dalam program kali ini.

Katanya, pemilihan pokok ini adalah kerana ia merupakan pokok yang mudah hidup di kawasan ini. Ia juga dapat berfungsi dalam membantu mengawal kebakaran.

Tanpa berselindung, seorang peserta yang mengikuti program berkenaan Siti Zuliana Ramsan, 25, memberitahu, dia sangat berbangga kerana dapat bersama-sama membantu memelihara dan memulihara alam semula jadi.

“Agak penat juga menanam pokok dalam keadaan air bertakung tetapi ia tidak melemahkan semangat saya malah, amat menyeronokkan kerana dapat berganding bahu bersama rakan-rakan menjaga kehijauan negara,” ujarnya yang pernah mengikuti sebanyak tiga kali program CSR Timberland.

Asman Burhan, 25, pula berkata, dia banyak mempelajari tentang kepentingan paya gambut terhadap ekosistem flora dan fauna apabila menyertai program berkenaan.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai program ini dan ia banyak memberi ilmu pengetahuan mengenai kepentingan paya gambut.

“Saya berharap apa yang dilakukan hari ini dapat membantu bersama-sama mengurangkan kepanasan global melanda dunia pada hari ini,” katanya lagi.


1 comments:

Kolek Kecil said...

Tahniah pada semua sukarelawan.