DI sebuah kawasan pembuangan bahan toksik dan sesak Arif Nagar, Bhopal, India jumlah haiwan ternakannya melebihi manusia. Kedudukannya terletak betul-betul bersebelahan bekas tapak kemalangan industri paling dahsyat di dunia yang berlaku 25 tahun lalu. Ketika haiwan-haiwan itu cukup tennang berada di persekitaran yang beracun, para penduduk sekitar masih sukar menerima hakikat berhubung peristiwa yang berlaku pada pagi 3 Disember 1984 itu. Kepulan asap beracun memenuhi ruang udara apabila berlaku kebocoran di tangki gas kilang lama Union Carbide. Arif Nagar dan beberapa kejiranan miskin yang berhampiran kilang tersebut bertukar menjadi sebuah kawasan perkuburan apabila penduduknya mati lemas akibat terhidu 40 tan metil isosianat iaitu bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan racun serangga. "Mulut saya mula berbuih, mata saya besar dan merah. Saya fikir saya akan mati," kata Hamid Khan, 70, yang turut melihat dua anaknya mati di depan mata. Dia juga mengalami kecacatan kekal pada kulit dan organ badannya rosak akibat jangkitan penyakit sehingga ke hari ini. Khan merupakan seorang buruh harian pada ketika itu, namun kesan gas dan bertahun-tahun terdedah dengan air dan tanah yang tercemar menyebabkan dia terlalu lemah untuk melakukan kerja-kerja yang biasa dilakukannya. Kerajaan mencatatkan jumlah kematian dalam tempoh tiga hari pertama adalah 3,500 orang, tetapi data persendirian yang diperoleh oleh Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) jumlah kematian sebenar ialah di antara 8,000 hingga 10,000 orang dalam temph yang sama. "Ramai yang tiba-tiba rebah, beratus-ratus yang lain terbaring, muntah di jalanan, tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan," kata N.R. Bhandari yang ketika itu merupakan salah seorang petugas di hospital besar di Bhopal pada tahun 1984. Dia juga mengetuai kajian yang dilakukan untuk ICMR. Mangsa yang terselamat berkata, ulang tahun kejadian tersebut seperti menambah setahun lagi trauma fizikal dan psikologi yang berpunca daripada kecuaian kerajaan dan institusi korporat. Kebocoran Dow Chemical telah membeli Union Carbide pada 1999. Tetapi mereka menegaskan liabiliti berkaitan kemalangan itu telah diselesaikan dengan bayaran sebanyak AS$470 juta (RM1,582,715 bilion) di luar mahkamah kepada kerajaan India dalam tahun 1989. Insiden yang dianggap tragedi paling dahsyat dan terus membangkitkan kemarahan meskipun selepas 25 tahun berlalu, syarikat terbabit komited untuk memberi bantuan kepada mangsa dan mencari cara terbaik bagi mempermudahkan tuntutan penduduk. Syarikat terbabit menegaskan kebocoran tersebut berpunca daripada sabotaj dan menekankan bahawa kerajaan yang menguruskan kawasan tersebut sedekad lalu sepatutnya bertanggungjawab membersihkan baki sepuluh tan sisa toksik yang berbaki. Bagaimanapun, aktivis dan mangsa mengecam tindakan Menteri Alam Sekitar India, Jairam Ramesh ketika melawat tapak kejadian awal tahun lepas yang mengenggam segumpal tanah yang tercemar dengan tangannya dan menyatakan dia masih sihat. "Kerajaan tidak sensitif. Mereka tidak tahu apa yang berlaku kepada anak-anak kami," kata Mamta Sen sambil memegang anaknya yang mengalami kecacatan otak. ICMR yang melakukan kajian kesan pada kesihatan akibat kejadian tersebut, namun kerajaan telah mengarahkannya dihentikan tahun 1994. Lebih malang, kebanyakan kajian tidak disiarkan dan Bhandari menyifatkannya sebagai jenayah bahan buangan saintifik. "Ahli birokrat tidak memahami perihal kesihatan, tapi masih ingin menguasai kesemuanya. "Kajian tersebut patut diteruskan supaya dapat melihat kesannya untuk jangka masa panjang," kata Bhandari. Kecacatan Mangsa yang selamat menderita pelbagai jenis penyakit antaranya masalah pernafasan, buah pinggang, ketidakseimbangan hormon, penyakit mental dan kanser. Generasi baru juga tidak terkecuali daripada menggunakan air bawah tanah yang tercemar dan susu ibu yang beracun yang mereka minum sejak lahir. Sehingga hari ini, kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan pada tangan dan kaki, sistem imun yang lemah, tumbesaran terbantut dan kecacatan kongenital. Kerajaan memberi pampasan sebanyak AS$1,000 (RM3,367) hingga AS$2,000 (RM6,734.96) setiap seorang. Namun, peruntukan tersebut semakin kekeringan setelah bertahun membayar peruntukan jangka masa panjang. Kajian ICMR menunjukkan 25,000 orang mati akibat pencemaran gas beracun itu. Statistik kerajaan pula menunjukkan 100,000 orang menghidap sakit kronik dengan lebih 30,000 tinggal di kawasan yang tercemar. Walaupun kerajaan telah membina sistem paip yang baru untuk membekalkan air minuman yang bersih namun ia tidak konsisten. Mereka sering bergantung kepada pam tangan yang mengeluarkan air yang kotor. "Jika bekalan tidak mencukupi, kami tidak mempunyai pilihan untuk mengambil air daripada tanah walaupun kami tahu ia membuatkan kami sakit," kata Sisupal Yadav sambil menyingsing lengan baju menunjukkan ruam di tangan. Mangsa yang terselamat berasa marah apabila kerajaan mengumumkan untuk membuka semula kilang itu kepada pengunjung yang mahu melihat bekas tapak tragedi tersebut.
Assalamualaikum...
9 years ago
0 comments:
Post a Comment