BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, January 13, 2010

Jerman Contoh Baik Negara Mesra Alam

Oleh Ummi Nadiah Rosli

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Beliau mengayuh basikal dengan cermat walaupun agak laju di atas jalan kota raya yang pada ketika itu pula kereta-kereta akan berhenti kerana kesesakan lalu lintas yang teruk.

Beliau yang mengemudi dengan lancar akan melalui pelbagai bentuk mukabumi bandar raya yang memerlukan beliau mengelak lubang atas jalan, mengurangkan kelajuan bagi memberi laluan kepada pejalan kaki dan memastikan beliau berada dalam jarak yang selamat daripada trafik di hadapan.

Inilah laluan yang diambil oleh beliau untuk ke tempat kerja pada setiap hari, berbasikal melepasi rumah, apartmen dan pencakar langit, khasnya Menara Berkembar Petronas ikonik yang terletak tidak jauh dari tempat kerja.

Masa yang diambil untuk sampai ke bangunan tempat kerja hanyalah 10 minit pada satu lagi pagi ceria selepas berjaya melepasi kesesakan lalulintas yang terpaksa diharungi oleh pengguna jalan yang lain.

Selepas mengesat peluh di dahi, beliau mengunci basikal dan membetulkan tali leher serta kot. Semasa memasuki pejabat seorang pegawai menyambutnya dengan ucapan "Good Morning Your Excellency!".

Berapa ramai anggota perwakilan diplomatik yang boleh berbangga kerana datang kerja dengan berbasikal? Pastinya tiada yang lain selain Duta Jerman Dr Guenter Georg Gruber.

DUTA MESRA ALAM

Ia pengetahuan lazim bahawa rakyat Jerman mengutamakan masa, tetapi ini tidak menghalang Dr Gruber daripada sampai ke tempat kerja, mesyuarat-mesyuarat perniagaan atau majlis rasmi dengan kaedah pengangkutan berlainan sama sekali.

Mengetepikan kaedah pengangkutan yang lebih bergaya dengan mengguna kereta mewah yang terkenal keluaran negaranya, Dr Gruber menekankan kepada usaha mengurangkan sumbangan karbon dengan beliau mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam.

"Jika saya membawa kereta ke pejabat, ia mungkin mengambil masa sejam untuk sampai berbanding jika saya berbasikal, yang hanya mengambil masa 10 minit. Ia mengurangkan penggunaan bahan api, menjimatkan masa dan kurang merumitkan," kata duta berusia 61 tahun ini.

Malaysia adalah antara negara dengan kadar tertinggi 'Single-Occupancy Vehicles' (SOV) (kenderaan dengan seorang penumpang) di dunia. Menurut satu laporan yang dikeluarkan pada 2007, lebih kurang 65 hingga 70 peratus kereta yang memasuki bandar raya adalah SOV. Lebih kurang 125,000 kenderaan ataupun 65 peratus (pada purata) yang melalui lebuh raya MRRII semasa waktu puncak pada pagi dan petang adalah kenderaan SOV.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail menganggarkan buat masa ini lebih sejuta kenderaan kebanyakannya SOV masuk ke pusat bandar raya setiap hari. Kenderaan ini menyumbangkan kepada kesesakan dan gas rumah hijau.

Dr Gruber berkata, "Saya juga mengayuh basikal ke majlis-majlis berdekatan dengan pejabat saya (bertempat di Jalan Tun Razak). Tetapi apa yang melucukan ialah apabila saya tiba di hotel bersama kereta-kereta mewah yang lain, saya tidak dibenar meletakkan basikal di situ, walaupun selepas saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya adalah seorang duta.

BUATAN JERMAN

Duta ini mungkin sudah biasa dengan renungan orang ramai semasa berbasikal ke tempat kerja, keghairahan beliau terhadap amalan-amalan mesra alam tidak lari daripada sikap lazim orang Jerman.

Gelombang mesra alam yang melanda negara itu pada 1970-an berterusan sehingga hari ini, mempengaruhi generasi muda Jerman dan mencetuskan pemikiran canggih dalam revolusi mesra alam.

Jerman dianggap sebagai pemimpin dunia dalam tenaga boleh diperbaharui serta ia mendorong revolusi industri lestari. Teknologi mesra alamnya membawa manfaat dan syarikat-syarikatnya membantu mempengaruhi persekitaran global dengan menjadi negara maju contoh kepada yang lain.

Pada 2007, Jerman adalah 'juara dunia' daripada segi penjimatan tenaga, dengan ia mencatatkan pengurangan terbesar dalam penggunaan tenaga.

Negara Eropah ini juga berada dalam kedudukan nombor satu dalam bidang fotovolta dan tenaga angin. Sementara tenaga boleh diperbaharui, mewakili lebih 15 peratus daripada penjanaan tenaga elektrik domestik dan ia menguasai 10 peratus daripada pasaran tenaga boleh diperbaharui pada 2008, bersama sasaran untuk meningkatkannya kepada 20 peratus menjelang 2020.

Jerman meraih 29 bilion Euro (RM143 bilion) dalam hasil pada 2008 daripada industri ini, dan lebih 9 bilion Euro (RM44 bilion) dalam eksport dan lebih 13 bilion Euro (RM64 bilion) dalam pelaburan domestik.

Mereka juga mendahului dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi mesra alam di seluruh dunia dengan lebih 15 bilion Euro (RM74 bilion) dalam pelaburan kerajaan. Sektor tenaga boleh diperbaharui juga menggajikan lebih kurang 280,000 kakitangan pada 2008, satu angka yang mahu ditingkatkan kepada 400,000 menjelang 2020.

MALAYSIA BOLEH JADI NEGARA CONTOH

Walaupun Jerman berjaya dalam menggalakkan teknologi mesra alam, Dr Gruber menjelaskan ia mengambil masa yang lama.

"Ia mengambil masa 40 tahun bagi Jerman untuk membangunkan dasar-dasar mesra alam yang berkesan, dan kami masih berusaha menambahbaik keadah-kaedah kami dalam menggalakkan satu industri yang lebih lestari. Pada 1960-an Jerman asyik dengan pertumbuhan, oleh itu berusaha mengembangkan ekonomi tanpa menghiraukan akibatnya. Sumber-sumber semulajadi kami habis, dan nasib hutan dan sungai-sungai kami terabai.

Bagaimanapun perubahan berlaku pada 1970-an apabila satu pergerakkan akar umbi mendesak bagi dasar-dasar mesra alam, seterusnya 'German Green Party' diasaskan pada 1980, yang berjuang atas platform alam sekitar dan ia meningkat popular hingga ke peringkat kebangsaan.

Kejayaan Green Party, kata beliau, melampaui batasan politik. Ia membawa cetusan minda kepada warga Jerman supaya lebih arif akan alam sekitar dan mengundi bagi dasar-dasar lebih mesra alam.

"Dalam cara tertentu, apa yang dilalui Malaysia hari ini adalah mirip kepada apa yang berlaku di Jerman pada 1970-an. Negara kini di ambang revolusi mesra alam sekitar dan saya berpendapat Malaysia boleh menjadi negara contoh bagi yang lain dalam melangkah ke hadapan. Malaysia, dengan antara biodiversiti terkaya di dunia boleh muncul sebagai penggiat utama. Anda mempunyai segala-galanya - air, matahari, sumber-sumber semulajadi", kata beliau.

MESRA ALAM DITERIMA

Malaysia telahpun memulakan beberapa perkongsian dua hala bersama syarikat-syarikat perdana Jerman dalam industri mesra alam.

Pelaburan utama oleh syarikat-syarikat Jerman termasuk usahasama dengan

Q-cells, pengeluar terbesar di dunia sel-sel fotovolta. Kilangnya di Taman Sains Selangor mula beroperasi pada tahun ini mengeluarkan sel-sel solar bagi pasaran dunia.

Bersama satu pelaburan sebanyak 1 bilion, Euro Q-cells juga akan menyediakan sel-sel solar bagi kegunaan di kawasan-kawasan penempatan negeri Selangor yang akan memanfaatkan suku juta orang dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Penggiat-penggiat Jerman yang lain juga meningkatkan kehadiran mereka di Malaysia menerusi kerjasama dalam bahan api bio, inovasi dan pemindahan teknologi bagi bangunan mesra alam (senibina). Selain daripada itu, kursus-kursus dalam pembangunan lestari sedang diperkenalkan di universiti-universti tempatan oleh Jerman.

"Banyak yang Malaysia boleh lakukan dalam industri ini oleh kerana penjimatan tenaga bukan satu beban, tetapi satu peluang bagi pasaran baru dan peluang pekerjaan. Tenaga fosil adalah terhad, jadi tenaga yang dijimatkan adalah sumber terbaik untuk mendapatkan tenaga."

Beliau menambah kata kerajaan juga boleh menghulurkkan sokongan kepada program-program mesra tenaga, termasuk menyediakan geran penyelidikan, inisiatif eksport tenaga boleh diperbaharui, inisiatif eksport kecekapan tenaga dan yang lain.

MASA SEMAKIN SUNTUK

Sambil memandang ke arah Menara Berkembar dari pejabatnya di tingkat yang tinggi, Dr Gruber mengulas walaupun beliau berharap bahawa gelombang mesra alam akan meningkat di Malaysia, Jerman memahami bahawa setiap negara berhak untuk membangun.

"Jerman tidak akan memberitahu Malaysia apa yang perlu dilakukan. Kita akan berkongsi pengalaman dan membawa bersama mereka yang bersependapat demi kesejahteraan semua.

Jerman sanggup meneruskan usaha, dan kami mempunyai rekod untuk membuktikan komitmen mesra alam kami. Pada 2007, sebanyak 8 peratus daripada GDP kami datang daripada teknologi alam sekitar dan kami mensasarkan untuk meningkatkannya kepada 14 peratus menjelang 2020. Kami mahu mengurangkan lagi penggunaan tenaga antara 25 dan 30 peratus."

"Permintaan bagi teknologi mesra alam terus meningkat, dan lebih cepat Malaysia menyertai aliran ini, lebih baik kualiti kehidupan rakyat Malaysia. Alternatif sentiasa ada, tetapi dapatkah kita menyahut cabaran ini?".

Buat seketika, jika anda kebetulan berselisih dengan Dr Gruber berbasikal di jalan-jalan di Kuala Lumpur, jangan lupa menyapa beliau dengan mengucapkan hello, atau seperti yang dikatakan oleh orang Jerman 'Guten tag!'.

-- BERNAMA

2 comments:

Kak Nurul said...

saya pencinta alam.. mohon copy yer... =]

nurulizati88@yahoo.com

tokiap12 said...

mohon copy untuk disebarluaskan