BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, January 22, 2010

Urus sisa elektronik

r


Oleh ABDUL RAHMAN MAHMUD 23 Julai 2008 Utusan Malaysia
Setiap tahun dianggarkan sebanyak 50 juta tan bahan elektronik dibuang sebagai sisa pepejal di seluruh dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan lima peratus daripada jumlah sisa perbandaran terdiri daripada buangan elektronik. Lambakan buangan elektronik ini sebenarnya boleh membawa implikasi yang besar terhadap manusia dan alam sekitar. Ia merupakan suatu cabaran kepada pengurusan sisa pepejal sama ada di peringkat lokal mahupun global.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China adalah antara pengeluar bahan buangan elektronik yang tertinggi di dunia. Pada tahun 2007, di AS sahaja terdapat lebih kurang 700 juta komputer usang yang sedia untuk dilupuskan sebagai bahan sisa pepejal.
Sementara itu China dilaporkan mengeluarkan satu juta tan buangan elektronik setahun dan Kesatuan Eropah menjana lebih kurang 8.7 juta tan buangan elektronik setahun.

Dalam konteks Malaysia, penggunaan peralatan elektronik turut bertambah seiring dengan pertambahan penduduk. Statistik menunjukkan sejak tahun 1999 hingga 2003 jumlah komputer yang digunakan telah meningkat sebanyak dua kali ganda iaitu daripada 1.8 juta kepada 4.18 juta. Sementara itu penggunaan telefon bimbit meningkat sebanyak empat kali ganda daripada 2.7 juta pada tahun 1999 kepada 11.12 juta pada tahun 2003.

Selain itu peralatan elektronik yang digunakan oleh penduduk Malaysia menunjukkan angka yang agak tinggi iaitu pada tahun 2003 bagi TV ialah 4.5 juta, radio 9.4 juta dan peti sejuk 3.5 juta. Kesemua barangan ini bakal menjadi bahan buangan apabila sampai ke penghujung hayatnya.

Pada tahun 2004 adalah dianggarkan sebanyak 380,000 hingga 430,000 tan buangan elektronik dikeluarkan oleh negara ini. Persoalannya apakah kita telah bersedia untuk menguruskan pertambahan buangan elektronik ini pada masa hadapan?

Sememangnya pengurusan buangan sisa pepejal di Malaysia pada ketika ini amat mencabar dan sering kali menjadi isu nasional. Kebanyakan tapak pelupusan sampah di Malaysia kini mempunyai hayat tampungan yang semakin berkurangan. Ini disebabkan oleh jumlah penjanaan bahan sisa pepejal dan pertambahan penduduk yang semakin meningkat.

Pada ketika ini dianggarkan 18,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari di seluruh Malaysia. Di Kedah misalnya, sehingga tahun 2006, terdapat lebih kurang 11 buah tapak pelupusan sisa pepejal dan 50 peratus daripadanya mempunyai jangka hayat tidak lebih daripada empat tahun.
Antara isu yang sering kali timbul mengenai pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal adalah aspek penempatan dan reka bentuknya yang tidak menepati spesifikasi kejuruteraan dan tidak menerapkan konsep mesra alam.

Hal ini telah mengundang pelbagai kesan buruk terhadap persekitaran seperti bau busuk dan pelepasan air larut resap dari tapak pelupusan sehingga menjejaskan kualiti air sungai di kawasan berhampiran.

Dalam konteks buangan elektronik pula, ia memerlukan suatu sistem pengurusan yang agak kompleks dan berbeza dengan pengurusan sisa pepejal harian. Sejak tahun 1990 Kesatuan Eropah telah melarang pelupusan buangan elektronik bersama dengan sisa pepejal harian.
Terdapat dua sebab utama mengapa buangan elektronik perlu di urus secara sistematik. Sebab yang pertama adalah buangan elektronik mengandungi bahan kimia berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar.

Terdapat lebih kurang seribu jenis bahan kimia dalam buangan elektronik. Ini termasuklah beberapa jenis logam berat yang boleh membawa kesan toksik kepada manusia seperti plumbum, raksa dan kadmium. Buangan elektronik juga mengandungi Polychlorinated biphenyls (PCBs) yang boleh membawa kesan karsinogenik kepada manusia.

Kajian yang dibuat oleh Basel Action Network (BAN), daripada sejumlah 500 juta komputer di dapati mengandungi 2.8 bilion kg plastik, 716.1 juta kg plumbum dan 286,700 kg raksa. Secara puratanya setiap sebuah monitor komputer mempunyai enam peratus plumbum yang kebanyakannya terdapat dalam kaca tiub sinar katod (CRT).

Sebab kedua mengapa buangan elektronik perlu diurus secara sistematik kerana peningkatan drastik jumlah bahan buangan elektronik. Jumlah tapak pelupusan yang sedia ada kini amat terhad dan tidak sesuai untuk pelupusan buangan elektronik.

PelupusanPelupusan buangan elektronik kebiasaannya memerlukan proses yang agak kompleks. Kaedah pelupusan bahan buangan elektronik juga perlu mematuhi perundangan alam sekitar yang ditetapkan.

Buangan elektronik kini dijadikan sumber bahan mentah untuk industri kitar semula bagi mendapatkan bahan-bahan kimia yang bernilai untuk kegunaan lain. Selain itu, buangan elektronik seperti komputer boleh diguna semula dengan kaedah membaik pulih komputer lama.

Konsep 3R (reuse, reduce, recycle) telah diterapkan dalam usaha untuk mengelakkan bahan buangan elektronik terus dilupus dan mencemarkan alam. Bagaimanapun kaedah pelupusan buangan elektronik perlu mematuhi prosedur perundangan yang ketat.
Di Malaysia buangan elektronik perlu mematuhi perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang ditadbir oleh Jabatan Alam Sekitar. Buangan elektronik dikategorikan sebagai Buangan Terjadual di bawah kod SW 110.

Pelupusan buangan elektronik perlu mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan. Konsep dari buaian hingga ke liang lahad (cradle to grave) diamalkan bagi memastikan tiada sebarang ketirisan dalam pelupusan bahan buangan ini. Mengurus buangan elektronik dari ia terhasil sehingga ia dilupuskan di tapak pelupusan selamat yang dilesenkan oleh kerajaan.

Dalam konteks antarabangsa, buangan elektronik telah disenaraikan di bawah kod A1180 dan kod A2010 di bawah Perjanjian Basel. Perjanjian Basel ini bermatlamat untuk mengerakan masyarakat antarabangsa mengenai usaha menjaga kesihatan manusia dan alam sekitar daripada kesan bahan buangan berbahaya, serta berusaha untuk mengurangkan penghasilan dan mengawal pergerakan buangan berbahaya rentas benua. Malaysia merupakan satu daripada 116 negara yang telah menandatangani perjanjian Basel pada tahun 1989.

Pengurusan buangan elektronik di Malaysia perlu dilihat sebagai suatu cabaran besar. Ia hanya mampu dilaksanakan dengan kesedaran dan kerjasama antara semua pihak termasuk individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan. Selain daripada polisi dan perundangan amalan mesra alam perlu diterapkan di semua peringkat untuk memastikan risiko buangan elektronik ini dapat dikawal pada tahap minimum.

Antara amalan yang boleh dilakukan pertama, adalah mengembalikan setiap barangan elektronik yang lusuh kepada penjual. Kedua, menukar barangan elektronik yang lama apabila membeli yang baru. Ketiga, menghantar ke pusat- pusat kitar semula. Keempat, penggunaan komputer di sektor awam umpamanya perlu di servis secara berkala bagi memanjangkan hayat penggunaan barangan elektronik.


Kelima, membeli barangan elektronik yang lama tapi masih boleh digunakan. Keenam, memperbanyakan tong kitar semula bahan buangan elektronik untuk telefon bimbit. Ketujuh, memperbanyakan program kesedaran di kalangan masyarakat mengenai isu lambakan buangan elektronik dan kesannya terhadap alam sekitar.

Sesungguhnya langkah-langkah ini perlu segera dilaksanakan bagi mengelakkan negara kita terus menjadi lambakan buangan elektronik sehingga boleh menjejaskan alam sekitar dan manusia.

Dipetik daripadablog TAFAKUR KEINDAHAN ALAM (paparian.blogspot.com)

0 comments: